Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Insyirah – Ayat Ke-7 dan Ke-8

Tafsir Surah Al-Insyirah – Ayat Ke-7 dan Ke-8

6238
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Insyirah

Tafsir Ayat Ke-7 dan Ke-8

Pada perbincangan sebelum ini, kita telah membincangkan mengenai perkara “susah dan senang”. Di mana Allah SWT telah meneguhkan hati para pembaca kalam-Nya dengan firman:

إِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًا

(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.[Al-Insyirah: – 6]

Oleh itu dalam berusaha, mesti ada ketenangan dan hati perlu sentiasa “berhubung” dengan Allah.

(hati orang beriman sentiasa berhubungan dengan Allah SWT).

Kerana itu, pada perbincangan kali ini: Ia lanjutan mengenai usaha dan harapan kepada Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-7:

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ

“Kemudian apabila engkau telah selesai dari suatu perkara, maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha”, [Ash-Syar-h 94: 7]

Faragh-ta : Telah lapang dari sesuatu. Lega dari sesuatu tugas. Apabila telah selesai menjalankan tugas.

Fanshob: mempasakkan diri, mengukuhkan diri.

Atau lebih jelas

Buat sesuatu —-> (faraghta: selesai / lapang) —-> (kemudian) fanshob: kukuhkan diri.

Mengenai ayat ini: Beberapa maksud “telah lapang dari sesuatu” KEMUDIAN “mengukuhkan diri” iaitu:

1.Setelah selesai dari membuat urusan dakwah KEMUDIAN Qiyamullail pada malam hari.

Inilah contoh kehidupan para Nabi kepada umat mereka. Siang melakukan dakwah, menyeru umat agar kembali kepada objektif penciptaan manusia (menjadi hamba Allah).

Kemudian malam hari, bangkit menghidupkan malam.

—> Untuk mengubat hati dalam suka/duka dakwah.

—> Untuk mendoakan orang-orang yang “mereka” dakwahkan.

Betapa para Nabi beriman dengan ayat ini, mereka benar-benar seimbang dalam menyeru manusia dan menjaga hubungan mereka dengan Allah.

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.[Ar-Ra’d: 28]

“Ala bizikrillahi tat-mainnul qulub..”

Tidakkah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang?

– Kita mesti mengabdikan diri.

– Namun ia tetap untuk Allah.

– Tiada istilah pengabdian untuk selain Allah. Inilah yang terdapat kepada sesetengah fahaman/ agama, sehinggakan mereka menjadi hamba bangsa, hamba masyarakat, hamba rumah ibadat.

Pengabdian kepada Allah bukanlah sehingga menyebabkan seseorang terikat dengan sesuatu sehingga meninggalkan rutin/fitrah duniawi.

Inilah yang sepatutnya berlaku (nasihat untuk diri saya sendiri).

Pendakwah (penyeru kepada kebenaran) sebenar bukan hanya tahu menyeru, TETAPI juga ibadah dan hubungan mereka teguh dengan Tuhan, kerana “pendakwah sebegini” tahu hakikat sebenar, hidayah itu tetap milik Allah SWT.

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam) [Al-Qasas 28: 56].

2. Setelah selesai daripada membuat amal soleh KEMUDIAN membuat amal soleh yang lain.

Orang beriman tidak berbuat kebaikan dan terhenti macam itu sahaja. Dia akan berterusan melakukan kebaikan. Rasa “pening” jika tidak berbuat kebaikan.

Demikian juga ia menunjukkan ciri-ciri orang beriman yang membuat amal soleh, tiada masa hendak bercerita amal/kerja baiknya kepada orang lain (melainkan jika perlu sangat). Apatah lagi tiada masa nak ‘update’ status fb/tulis panjang lebar tentang “amal soleh” kepada umum (sekali lagi : melainkan jika rasa keperluan).

3. Setelah selesai daripada bekerja KEMUDIAN melakukan kerja yang lain.

Sebagaimana ciri-ciri seorang pekerja cemerlang, dia tidak akan sekadar selesaikan kerja kemudian duduk berehat sahaja, pasti dia akan berfikir lagi untuk membuat kerja yang lebih baik.

“Sepatutnya” pekerja muslim itu sentiasa cemerlang jika dia “ingat” akan ayat ini.

4. (Saat Nabi sedang menghadapi sakaratul maut ) ~ Setelah Nabi SAW telah hidup, KEMUDIAN akan “pergi” ke alam yang seterusnya.

Oleh kerana tugas baginda telah selesai untuk menyampaikan ajaran agama kepada umat, maka keinginan baginda adalah hendak bersama dengan Allah.

Allah tutup surah ini dengan pedoman yang sangat baik!

Tafsir Ayat Ke – 8:

وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَارْغَب

“Dan kepada Tuhan mu sahaja hendaklah engkau memohon”. [Ash-Syar-h 94: 8]

Ragb: mengadap dan memberikan perhatian. Berharap kepada seseorang dengan perasaan kasih. Dalam ayat ini kita disuruh untuk berharap kepada Allah.

Dan apabila kalimah إِلىٰ, itu bermaksud ada ikhtisas (pengkhususan). Maka hendaklah hanya kepada Allah sahaja kita berharap, bukan kepada orang lain.

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Hanya kepada Engkau kami sembah (kami jadi hamba), hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan”. [Al-Fatihah 1: 5]

ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ﴿٢﴾

“Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.” [Al-Ikhlas 112: 2]

Ibrah dan Kesimpulan:

Pertama:

Dunia ini adalah tempat bekerja seorang hamba Allah kepada Tuhan-Nya. Jangan sia-siakan umur yang ada. Selesai suatu amal, maka teruskan amal yang lain. Semoga akhirnya akhirat jua tempat kita berehat.

– Jadi, jika berasa penat hendak jadi hamba Allah atas dunia, itu perkara biasa, yang berasa tidak penat itu jika kita tidak berbuat apa-apa. Maka bersabarlah.

Kedua:

Orang yang beriman: kekuatan dan keteguhan mereka adalah dari Allah SWT berserta dengan ibadah, amal soleh dan doa kepada Allah SWT

– Itu lah kekuatan yang kekal abadi, bergantung kuat dan harap kepada makhluk, ia akan lenyap juga suatu hari nanti.

Ketiga:

Keseluruhannya, surah ini walaupun hanya sekadar 8 ayat (berbanding surah-surah panjang yang lain), namun tetap memberi erti yang besar kepada hidup manusia.

Ia bermula dengan membawa manusia agar bersyukur dengan Islam seterusnya nikmat yang besar apabila hidup “bersama” dengan Allah SWT.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan