Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Istilah Tafsir Al-Quran – Idmaj, Idkhal Ilahi dan I’aadah

Istilah Tafsir Al-Quran – Idmaj, Idkhal Ilahi dan I’aadah

1690
0
Iklan

Istilah Tafsir Al-Quran

Istilah Ke-12

Idmaj – ادماج atau Jumlah Muqaddar

Ia adalah kalimah yang tidak ada dalam Al-Quran tetapi mesti ‘ditaqdirkan’ (ditambah) bagi melahirkan makna sesuatu ayat. Ada perkataan dalam Al-Quran yang tidak disebut, tetapi sebenarnya ada. Ini adalah kerana ia sudah dihazafkan (dihilangkan). Ia adalah suatu jumlah yang tiada disebut di dalam Al-Quran, tetapi mesti di’taqdir’kan bagi melahirkan makna sebenar sesuatu ayat, atau dinamakan di dalam istilah lughah (bahasa) Arab, “jumlah muqaddaroh”, atau ‘muqaddar’. Kalau tidak, ayat itu jadi tergantung dan tidak dapat difahami.

Ini biasa sahaja digunakan dalam penggunaan bahasa, termasuk Bahasa Arab dan Al-Quran. Dalam bahasa Melayu pun ada juga. Sebagai contoh dalam bahasa Melayu: Perkataan ‘terima kasih’ sebenarnya telah dihazafkan. Bayangkan kalau orang yang tidak tahu lenggok bahasa Melayu, dia akan hairan (kasih diterima? Apa tu?). Kerana kalimah itu sepatutnya panjang lagi (aku ucapkan terima kasih kepada kamu) tetapi kita sebut ‘terima kasih’ sahaja. Dan inilah yang lebih indah dan lebih patut digunakan. Ini berkaitan dengan ilmu balaghah (ilmu bahasa). Ini membawa kita kepada belajar nahu dan ilmu ma’ani kalau hendak faham lagi.

Contoh ayat Idmaj adalah ayat Al-Baqarah: 17

مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا

“Perbandingan hal mereka samalah seperti orang yang menyalakan api”;

Kita telah belajar ayat ini dalam kelas terdahulu. Siapakah yang dimaksudkan dengan ‘mereka’ dalam ayat ini? Kita telah belajar bahawa mereka yang dimaksudkan adalah golongan ‘kafir degil’ iaitu golongan Musyrikin Mekah. Dan ‘orang yang menyalakan api’ itu adalah Nabi Muhammad SAW.

Jadi kalau maklumat ini tidak disampaikan di dalam tafsir, pembaca Al-Quran tidak akan dapat memahaminya ayat ini.

Istilah Ke-13

Idkhal Ilahi – ادخال الهى

Ia bermaksud: ‘Pencelahan Tuhan’. Allah ‘mencelah’ antara ayat-ayat yang ada hubungan antara satu sama lain. Tujuannya supaya ada penekanan khas kepada ayat tersebut. Ia menunjukkan yang ada benda penting Allah hendak beritahu. Dalam ayat yang panjang, tiba-tiba ada ayat yang nampak macam tidak kena dengan rentetan ayat-ayat yang lain, tetapi sebenarnya Allah letak di situ sebagai penekanan dan sebagai penjelasan tentang maksud yang hendak disampaikan.

Kadang-kadang ia dimasukkan kerana Allah hendak beri jawapan kepada soalan ‘muqaddarah’ iaitu jawapan kepada pihak lawan. Macam ada soalan yang akan timbul dari mereka setelah diberitahu sesuatu perkara dalam Al-Quran. Soalan itu memang tidak ada disebut dalam ayat-ayat Al-Quran, tetapi sebenarnya ada. Ia ada dalam fikiran manusia. Kadang-kadang soalan itu dari pembaca Al-Quran yang mukmin pun. Maka, untuk tutup terus hujah mereka, Allah beri jawapan terus. Ini untuk memastikan fakta yang disampaikan dalam Al-Quran itu mantap. Dan kepada orang mukmin, ia adalah sebagai penjelasan kepada soalan yang bermain dalam fikiran mereka.

Contoh ayat Idkhal Ilahi ada terdapat dalam Al-Ghafir:25

فَلَمّا جاءَهُم بِالحَقِّ مِن عِندِنا قالُوا اقتُلوا أَبناءَ الَّذينَ آمَنوا مَعَهُ وَاستَحيوا نِساءَهُم

“Setelah Nabi Musa datang kepada mereka dengan membawa kebenaran dari sisi Kami, mereka berkata (dengan marahnya): “Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang beriman yang mengikutnya, dan biarkan hidup anak-anak perempuan mereka”,

Ayat Idkhal Ilahi ini diletakkan di hujung ayat yang sama:

وَما كَيدُ الكافِرينَ إِلّا في ضَلالٍ

“dan tipu daya orang-orang kafir itu hanya menyebabkan mereka tenggelam dalam kesesatan dan kebinasaan sahaja”.

Dalam ayat ini, apabila dibaca perancangan Firaun itu, mungkin timbul dalam akal fikiran pembaca Al-Quran: adakah rancangan itu berjaya? Maka Allah jawab dan mencelah dalam ayat ini sendiri: rancangan mereka itu tidak berjaya.

 Istilah Ke-14

I’aadah – اعادة

Ia bermaksud ‘pengulangan semula’. Diulang kalimah yang telah disebut sebelumnya supaya hukum dalam ayat sebelumnya boleh difahami dengan lebih mudah.

Atau kalimah itu akan mendekatkan semula hukum yang akhir dengan kandungan-kandungan yang panjang sebelumnya. Contoh terdapat dalam Al-Waqiah: 83 di mana ada pengulangan perkataan فَلَوْلَا .

فَلَوْلَا إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ

“Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya”,

Diulang perkataan فَلَوْلَا dalam ayat ke-86. Inilah yang dipanggil I’aadah.

فَلَوْلَا إِن كُنتُمْ غَيْرَ مَدِينِينَ

“Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami)”,

Dalam rentetan ayat-ayat ini, Allah menceritakan tentang keadaan orang yang hampir mati. Tiada ada sesiapa yang boleh menahan roh untuk keluar dari jasad. Walau bagaimana berkuasa pun seseorang itu, dia tidak akan dapat menahan roh dari keluar (mati). Sekuat mana pun seseorang itu, dia kena mengalah satu hari di mana kematian akan datang dan dia terpaksa akur kepada kudrat Allah.

Allah cabar mereka yang ada kuasa, kenapa mereka mengalah waktu itu? – Kalau betul kamu berkuasa, maka tahanlah roh itu dari keluar -. Waktu itu semua tahu yang tidak ada sesiapapun yang boleh sekat. Kalau kamu mengalah waktu itu, kamu patut mengalah kepada hukum Allah yang lain dan percaya bahawa ada kehidupan selepas mati. Ayat ini diberikan kepada mereka kerana mereka tidak percaya ada akhirat.

Allah hendak beritahu yang akhirat dan pembalasan itu ada. Dalilnya adalah, apabila Dia hendak ambil nyawa sesiapa, tidak ada sesiapa yang boleh halang. Diberikan penekanan kepada mereka dengan dibawakan ayat-ayat dalam kaedah ini.

Maksud i’adah yang kedua adalah: kadang-kadang Allah ulang Dakwa yang telah disebut pada awal surah sebagai pengulangan. Dan apabila ada pengulangan, itu adalah sebagai penekanan kepada isu yang penting. Macam kalau kita beri arahan kepada seseorang, kita kadang-kadang akan ulang arahan itu jika ia penting kerana takut orang itu terlupa.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan