Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits KESUNGGUHAN PARA ULAMA MEMERANGI PEMALSUAN HADITS (Bhg. 01)

KESUNGGUHAN PARA ULAMA MEMERANGI PEMALSUAN HADITS (Bhg. 01)

484
0
Iklan

Panel: BroSyarief
asSalaamu ‘alaikum semua.. 😊

Nota terbaru dah siap, membincangkan usaha para ulama dalam memerangi pemalsuan hadits.

Bahagian ini mungkin merangkumi dua atau tiga nota, dan ia menandakan berakhirnya perbincangan tentang hadits palsu.

Selepas itu, kita akan masuk ke kategori hadits Matruk dan kategori-kategori hadits yang lemah dari sudut kritikan para periwayat.

#260616 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

02.11.01 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Persoalan Hadits Palsu

#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40

Susunan: BroSyarief

KESUNGGUHAN PARA ULAMA MEMERANGI PEMALSUAN HADITS (Bhg. 01)

Para ulama kita telah mengusahakan pelbagai cara dan kaedah yang membantu memerangi usaha pemalsuan hadits, mengenal pasti hadits-hadits yang palsu dan membongkarkannya.

Usaha ini secara umumnya terbahagi kepada 2 bahagian:

1. Usaha Pencegahan (جهود وقائية), &
2. Usaha Penyembuhan (جهود علاجية)
________________

01 Usaha Pencegahan (جهود وقائية)

Usaha ini dilihat pada galakan oleh para ulama kepada murid-murid mereka akan mustahaknya memeriksa dan memastikan kesahihan dan kebenaran dalam periwayatan, dan berusaha mencari dalam periwayatan.

Malah, mereka juga mendorong agar mengurangkan periwayatan secara rawak supaya fokus hanya kepada mereka yang ahli dalam bidang hadits, kerana sikap ini adalah lebih selamat dari terjatuh dalam kekeliruan dan kesilapan.

Sikap ini mula terzahir pada zaman awal perkembangan ilmu umat Islam, sebagai hasil kesan dari peristiwa fitnah yang timbul di zaman ‘Utsman ibn ‘Affan radhiyalLaahu ‘anhu.

Ibn Sirin menyebutkan,

لَمْ يَكُونُوا يَسْأَلُونَ عَنْ الْإِسْنَادِ فَلَمَّا وَقَعَتْ الْفِتْنَةُ قَالُوا سَمُّوا لَنَا رِجَالَكُمْ فَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ السُّنَّةِ فَيُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ وَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ الْبِدَعِ فَلَا يُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ

Mereka dahulu tidak bertanya tentang sanad. Namun apabila berlakunya fitnah, mereka mula bertanya, ‘Sebutkan kepada kami siapa orang-orang yang kamu riwayatkan?’.

Lalu dilihat kepada ahli sunnah, maka diambil hadits periwayatan mereka, dan apabila dilihat kepada ahli bid’ah, maka tidak diambil hadits mereka.

[Muqaddimah Sahih Muslim]

Pengajaran yang sama boleh diambil dari kisah Ibn ‘Abbas radhiyalLaahu ‘anhuma bersama Busyair ibn Ka’b, apabila dia bertanya kenapa Ibn ‘Abbas tidak mahu mendengar hadits-haditsnya; lalu Ibn ‘Abbas menjawab,

إِنَّا كُنَّا مَرَّةً إِذَا سَمِعْنَا رَجُلا ، يَقُولُ : قال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسَلَّمَ ، ابْتَدَرَتْهُ أَبْصَارُنَا ، وأَصْغَيْنَا إِلَيْهِ بِآذَانِنَا ، فَلَمَّا رَكِبَ النَّاسُ الصَّعْبَةَ والذَّلُولَ ، لَمْ نَأْخُذْ مِنَ النَّاسِ إِلا مَا نَعْرِفُ

Sesungguhnya dahulu kami pernah jika sekali mendengar seseorang berkata ‘Rasulullah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam berkata’, pandangan kami akan segera ke arahnya, dan kami tumpukan telinga kami kepadanya.

Namun apabila manusia mula berhadapan dengan kesusahan dan kehinaan (kerana berlakunya fitnah), kami tidak lagi mengambil dari sembarangan orang, kecuali (dari) yang kami kenal.

[Tahzib al-Kamal]

Menyempurnakan lagi usaha ini, mereka melarang dari mengambil riwayat dari setiap jalan yang terdapat lompong untuk sampai kepada sesuatu hadits.

Mereka juga melarang meriwayatkan dari ahli bid’ah, dari periwayat-periwayat yang dikenal lemah dan diberi amaran dari meriwayatkan dari para Qussas (tukang-tukang cerita).

Ini kerana setiap kumpulan ini memiliki kemungkinan tinggi wujudnya campur tangan pada hadits dengan sesuatu yang bukan daripadanya, dalam keadaan mereka bukanlah ahli dan terjaga pada memelihara hadits RasululLah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan