Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Insyirah – Ayat Pertama

Tafsir Surah Al-Insyirah – Ayat Pertama

5572
0
Iklan

Tafsir Surah Asy Syarh atau nama lain, Alam Nasyrah atau Al-Insyirah

Info surah atau trivia surah:

Maksud: Kelapangan / Yang Melapangkan

Surah ke: 94 (akan tetapi kronologi penurunan ialah ke – 12)

Bilangan ayat: 8

Kategori: Makkiyyah

27 kalimat, 103 huruf

Kaitan antara Surah Adh Dhuha dan Asy Syarhu:Kaitan yang amat rapat. Ia adalah penyambungan dari surah Dhuha, dari ayat yang dimulai dengan soalan: أَلَم يَجِدكَ يَتيمًا فَآوىٰ (fokus pada lafaz “ALAM” yang bermaksud BUKANKAH?)

(bermaksud: bentuk soalan yang sama terdapat dalam surah Dhuha).

Di hujung surah Dhuha, terdapat pesanan Allah SWT menyuruh Nabi SAW sampaikan dakwah dan ajar agama kepada manusia. Dalam surah ini pula Allah SWT menyebut kelebihan agama itu sendiri kepada baginda.

Dalam surah Dhuha, Allah SWT sebutkan “pasti yang kemudian akan lebih mudah”. Dalam surah ini juga disebut tentang kesenangan yang akan diberikan kepada Baginda selepas kesukaran.

أَلَم نَشرَح لَكَ صَدرَكَ

“Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?

Konteks ayat ini, ia adalah soalan (istifham taqriri) yang bukan berbentuk meminta jawapan. Tujuan Allah SWT bertanya dalam bentuk itu adalah kerana hendak menekankan yang memang perkara itu telah dilakukan.

Contoh:

Kalau kita cakap kepada seseorang: “bukankah aku telah ingatkan tentang hal itu?”

Soalan itu maksudnya: hendak beritahu yang kita telah diberi peringatan sebelum ini.

Jadi,apakah yang Allah SWT hendak beri penekanan di sini?

Iaitu: Kelapangan dada kepada Nabi Muhammad SAW.

Ada beberapa tafsiran untuk “kelapangan dada Baginda”:

Beberapa tafsiran.

Pertama:

Ibnu Abbas telah mentafsirkan: “Bukankah Kami telah memudahkan hatimu (Muhammad SAW) di hari pengambilan janji (kiamat).

Melapangkan dengan pengetahuan, pemahaman, kemenangan, keyakinan yang teguh.

Kedua:

Riwayat lain dari Ibnu Abbas: Bukankah Kami telah luaskan (kelapangan hati) dengan kenabian.

Kenabian dengan penurunan wahyu ( Al-Quran ) kepada Nabi SAW. Jadi, lebih kurang rumusannya:

Lapang > Nabi : Al-Quran (agama)

Ketiga:

Ada juga mufassir yang memberikan pendapat, ayat ini merujuk kepada kisah bagaimana dada Nabi SAW telah pernah dibelah dan dibersihkan dua kali sepanjang hidupnya.

Namun ia pandangan yang lemah dan tidak sesuai untuk dikaitkan dengan ayat ini.

Dalam erti kata lain, ayat ini menceritakan bahawa Allah SWT memberikan kelapangan (Islam) kepada Nabi Muhammad SAW (juga sebenarnya maksud umum: kepada seluruh manusia)

Firman Allah SWT SWT: [Al-An’am: 125]

فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ

“Maka sesiapa yang Allah SWT kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam”;

وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ

“dan sesiapa yang Allah SWT kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya)”.

كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

“Demikianlah Allah SWT menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman”.

Kelapangan dada adalah dengan Islam, dan ia adalah tanda Allah SWT memberikan hidayah kepadanya.

Justeru, sesiapa yang cari kelapangan hati selain dari ajaran Islam, maka kena renung-renungkan.

Contoh: Ramai yang cari kelapangan hati kononnya jalan jauh sana-sini. Tidaklah salah secara mutlak, tetapi sebenarnya kelapangan hati tidaklah sesukar itu untuk cari.

Amalkan ajaran Islam: mengaji Al-Quran, solat, sedekah, zikrullah dan lain-lain.

Lawan kepada kalimah Syarh (lapang) pada ayat ini ialah Dhoyyiqan (sempit) iaitu kepada orang yang tidak beroleh hidayah Allah SWT.

Oleh yang demikian iman hendaklah dijaga.

Demikian beberapa info tafsir dan beberapa ilmu tentang “kelapangan” dalam ayat pertama ini.

Kesimpulan dan Ibrah:

1. Kelapangan hati yang sebenar adalah dari Allah SWT. Maka jika sedang diuji/hati tidak tenteram maka kembalikan urusan dan harapan kepada Allah SWT.

Semak hati kita, selama ini terima jenis kelapangan hati yang mana.

2. Allah SWT telah memberikan kelapangan kepada manusia dengan agama (yakni Islam). Oleh itu sesiapa yang mencari kelapangan selain ajaran yang terdapat dalam agama Islam, maka ia mungkin sekadar mainan nafsu.

Amalkan Islam mungkin rasa berat, tidak rasa bagus macam ikut nafsu, tetapi ikut nafsu hanya perasaan lapang seronok/sementara dan tidak hakiki.

3. Orang Islam hatinya sentiasa lapang.

Berbahagia dan bersyukurlah menjadi orang Islam. Nafsu jahat sentiasa menyempitkan, yang tidak mengikut syariat dari Nabi SAW, tidak ada jaminan kelapangan.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan