Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Al-Baqarah – Pengenalan

Tafsir Al-Baqarah – Pengenalan

6408
0
Iklan

بسم الله الرحمن الرحيم

Al-Baqarah – Pengenalan

Salah satu adab dalam mempelajari tafsir Al-Quran adalah mengenali dahulu latar belakang surah itu. Ia akan memberikan kita pemahaman yang lebih mendalam dalam memahami satu-satu surah. Jadi, saya hendak terangkan sedikit tentang latar belakang surah ini.

Al-Baqarah ini diturunkan di Madinah (dipanggil Surah Madaniyyah). Ia adalah surah terpanjang dan di dalamnya juga ada ayat yang terpanjang dalam Al-Quran.

Surah ini banyak menceritakan tentang sifat-sifat Yahudi. Kita pun kenalah tahu apakah masalah dan salah faham mereka dan di manakah kesesatan mereka. Kita kena faham yang Allah bukan marah ‘bangsa’ Yahudi, tapi ‘sifat’ Yahudi yang buruk itu, kerana ada juga yang baik dalam kalangan mereka dan isteri Nabi pun ada yang berbangsa Yahudi (Safiyah binti Huyay). Ada juga sahabat yang asalnya dari agama Yahudi (seperti Abdullah bin Salam – bekas pendeta).

Allah sebut dalam Ar-Ra’d: 36

 ‎وَالَّذينَ آتَيناهُمُ الكِتابَ يَفرَحونَ بِما أُنزِلَ إِلَيكَ

Orang-orang yang telah Kami berikan kitab kepada mereka bergembira dengan kitab yang diturunkan kepadamu.

Jadi ada golongan Yahudi yang baik, yang tidak boleh diikut adalah ‘perangai mereka’. Orang Melayu pun boleh jadi ada yang berperangai seperti itu dan yang Allah marah adalah perangai tersebut. Ditakuti kita pun ada perangai seperti yang dikutuk di dalam Al-Quran tersebut. Jadi, dengan belajar Al-Baqarah ini bolehlah kita periksa sifat mereka dengan diri kita.

Ada hubungan yang rapat (robtus suwar) antara Al-Fatihah dan Al-Baqarah. (ربط السور) ‘Robtus Suwar’ bermaksud ‘kaitan antara surah’. Susunan Al-Baqarah itu terletak betul-betul selepas Al-Fatihah dan susunan ini adalah tawqifi – maknanya susunan itu dari Allah dan bukan Nabi atau sahabat susun sendiri. Bukan Nabi buat sendiri tapi dipandu oleh Allah dan tentunya ada hikmah kenapa ia disusun sebegitu. Jika diikutkan susunan dari masa diturunkan, tentulah bukan Al-Baqarah surah yang awal.

Oleh kerana itu, ulama telah ramai yang mengkaji kaitan antara Al-Fatihah dan Al-Baqarah. Antara yang memberi pendapat adalah seorang ulama yang bernama Imam Ar-Razi. Dia mengaitkan antara ayat terakhir Al-Fatihah dan awal Al-Baqarah.

Ayat dari Al-Fatihah berakhir dengan صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ. Maka Allah hendak menjelaskan tentang empat golongan itu dalam Al-Baqarah ini.

Di awal Al-Baqarah memang menerangkan beberapa golongan yang dimaksudkan dalam Al-Fatihah itu. Lima ayat pertama adalah tentang mereka yang ‘diberi nikmat’. Mereka diberi nikmat kerana sifat mereka yang baik, bukannya kerana keturunan mereka dan sebagainya. Oleh itu, kalau kita hendak dapat seperti apa yang mereka dapat, maka hendaklah bersifat seperti mereka.

Ayat ke-6 dan ke-7 adalah tentang golongan yang dimurkai, iaitu golongan musyrikin dan Yahudi. Allah kunci hati mereka kerana kedegilan mereka. Maka jangan kita degil seperti mereka.

Ayat ke-8 hingga ke-16 tentang golongan munafikin.

Ayat ke-17 dan ke-18 adalah bandingan golongan Yahudi dan musyrikin, supaya kita senang kenal siapakah Yahudi dan siapakah musyrikin.

Ayat ke-19 dan ke-20 pula adalah bandingan kepada golongan munafikin.

Jadi 20 ayat pertama dalam Al-Baqarah ini adalah untuk menjelaskan siapakah 4 golongan tersebut.

Satu lagi kaitan Al-Baqarah dengan Al-Fatihah adalah kita telah meminta hidayah dalam Al-Fatihah – اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ. Maka Allah jawab yang hidayah itu ada dalam Al-Quran dalam ayat ذٰلِكَ الكِتابُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِلمُتَّقينَ. Kita hendak jalan yang lurus yang menepati kehendak Tuhan. Hendak tahu? Kena belajarlah tafsir Al-Quran. Jika tidak belajar tetapi setakat membaca sahaja tanpa faham, bagaimana boleh tahu!

Kelebihan Surah ini:

Hadis mengatakan bahawa jikalau Al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, jin dan syaitan akan keluar dari rumah itu.

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya Al-Baqarah. Muslim dalam Sahihnya, Hadis no: 1179.

Bermaksud untuk menjaga rumah kita, sunnahnya adalah baca Al-Baqarah, bukannya panggil bomoh pagar rumah atau amalkan ayat-ayat tertentu. Nabi telah pun ajar, mengapa tidak ikut?

Ayat Pertama:
‎الم
Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah (Ayat yang dipotong-potong) atau huruf-huruf hijaiyah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat ini sahaja.

Ini menyedarkan kita bahawa jika Allah tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa perkara ghaib. Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Tentu ada maknanya, kerana Allah tidak akan buat perkara yang sia-sia, cuma kita sahaja yang tidak tahu, kerana Allah tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad SAW juga tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Dan sahabat pun tidak bertanya dan sampaikan kepada kita. Tiada maklumat tentangnya kerana tidak ada hadis yang Nabi memberitahu maknanya.

Ada perkara yang Allah tidak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad SAW. Maka, redha sahajalah dan terimalah apa yang kita tidak tahu, kerana perkara sebegini bukan boleh diagak dan dicapai dengan akal.

Namun, ada pengajaran yang boleh kita ambil juga, bukannya tiada. Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim. Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat sama ada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu. Mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu. Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawab juga mengikut agak-agakan mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat.

Ini mengingatkan kita tentang kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawab 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik menjawab: ‘Tidak tahu’. Maka, jangan malu untuk berkata, ‘Saya tidak tahu’.

Kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita. Nanti bila ada fahaman yang berbeza dengan fahaman kita sebelum ini, yang telah dipelajari dahulu, maka mulalah hendak tolak pula. Selepas ini kita akan belajar banyak ayat-ayat yang mungkin berlainan dari fahaman kebiasaan masyarakat kita. Waktu itu akan ada ujian, sama ada boleh terima atau tidak. Nanti kita akan lihat.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini memberi kesan untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar sebelum itu. Kalau الم, pada mereka, tentu bacaannya adalah ‘alam’, bukan? Tapi Al-Quran sebut lain pula – ini pelik. Jadi, apabila Al-Quran menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Al-Quran itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya. Mereka tertanya-tanya apakah yang hendak disampaikan sebab pelik sangat.

Untuk kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Cuba baca betul-betul. Memang ianya menggetar jiwa walaupun kita tidak faham, bukan? Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Al-Quran yang Allah telah jadikan untuk kita.

Memang ada banyak pendapat yang berbagai-bagai tentang maksudnya. Bukan kita tidak tahu, tetapi semua pendapat itu tidak ada asas dan dalil, maka kita kena tinggalkan. Sebagai contoh, ada yang kata dalam alif lam mim ini:

Alif – Allah
Lam – Jibrail
Mim – Muhammad

Tetapi itu semua tidak ada dalil dan ilmu khayalan sahaja. Maka tinggalkan tafsir sebegitu. Jangan hirau kalau ada yang kata: “Macam mana kata belajar tafsir, maksud alif lam mim pun tak tahu..?”

Cukup setakat ini tentang huruf Muqattaah. Ada 29 surah dalam Al-Quran yang dimulai dengan huruf-huruf Muqattaah. Selepas ini tidak akan dijelaskan lagi kerana sama sahaja tafsirnya – iaitu kita ‘tidak tahu’.

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan