Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadith 49: Apa Yang Datang Berkenaan Celak Rasuli Llah

Hadith 49: Apa Yang Datang Berkenaan Celak Rasuli Llah

413
0
Iklan

Panel: Ustaz ADÖULINÉ Lacharouphe

بَابُ مَا جَاءَ فِي كُحْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Bab: Apa yang datang berkenaan celak Rasuli Llah

49 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ حُمَيْدٍ الرَّازِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو دَاوُدَ الطَّيَالِسِيُّ، عَنْ عَبَّادِ بْنِ مَنْصُورٍ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «اكْتَحِلُوا بِالْإِثْمِدِ، فَإِنَّهُ يَجْلُو الْبَصَرَ وَيُنْبِتُ الشَّعْرَ»، وَزَعَمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَتْ لَهُ مُكْحُلَةٌ يَكْتَحِلُ مِنْهَا كُلَّ لَيْلَةٍ ثَلَاثَةً فِي هَذِهِ، وَثَلَاثَةً فِي هَذِهِ.

49- Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Humayd Ar-Raziy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Abu Dawud At-Tayalisiy, daripada `Abbad bin Mansur, daripada `Ikrimah, daripada Ibni `Abbas, bahawa Nabi telah berkata: «Bercelaklah dengan antimoni, maka sesungguhnya ia mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu». Dan dia mendakwa bahawa Nabi, dia mempunyaï bekas celak yang dia bercelak daripadanya setiap malam dengan tiga di sini, dan dengan tiga di sini.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu `Abbas berkenaan perintah Nabi agar bercelak dengan menggunakan antimoni. (الإِثْمِدُ) Al-ismid ialah bijih antimoni yang dijumpaï secara semula jadi sebagai hablur kristal stibnit. Stibnit ialah mineral sulfida, iaitu antimoni trisulfida, dengan formula kimia Sb2S3 dan berwarna kelabu cerah seperti perak. Untuk menggunakan antimoni ini sebagai celak, bijihnya akan dikisar atau dihancurkan di dalam bekas celak, kemudian barulah disapukan ke bahagian mata atau bulu mata.

Dalam hadis ini, Nabi menyebutkan dua kelebihan antimoni apabila digunakan sebagai celak, iaitu ia dapat mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata. Kelebihan ini adalah wahyu daripada Allah kepada Nabi-Nya, kerana Muhammad tidak akan bercakap berdasarkan hawa nafsunya.

Sebagai seorang muslim, kita hendaklah menerima hadis Nabi iaitu kita percaya dengan kelebihan yang dinyatakan. Namun, ia menjadi cabaran kepada manusia untuk membuktikan kata-kata Nabi tersebut melaluï kajian sains dan pengetahuan terkini.

Sebahagian manusia suka menggunakan perkataan (وَاللَّهُ أَعْلَمُ) waLlahu a`lam – dan Allah lebih mengetahuï –. Benar, ini ialah ucapan yang sahih, kerana para sahabat juga sering menggunakannya. Namun, apabila Allah dan Rasul-Nya sudah menyebutkan kelebihan sesuatu, maka kita hendaklah melakukan sebaik mungkin untuk membuktikan hal tersebut melaluï ilmu. Di sinilah letaknya keperluan kepada ahli sains, ahli kimia, ahli perubatan dan ilmu sains, iaitu untuk membuktikan kebenaran kata-kata Allah dan Rasul-Nya.

Menghafaz Al-Qur’an dan hadis, itu baru peringkat asas ilmu. Ia perlu dikembangkan untuk membumikan agama kepada masyarakat. Apabila Nabi menyebut bahawa antimoni boleh mencerahkan mata, maka kita sebagai umat Islam hendaklah mengkaji bagaimana proses itu berlaku sehingga akhirnya kita dapat membuktikan hal ini melaluï data dan kajian, sekali gus akan memberikan ketenangan di dalam hati kita bahawa kata-kata Allah dan rasul itu benar.

Mencerahkan mata, ia memerlukan kajian kimia tentang apa yang ada di dalam antimoni itu, dan ini memerlukan ahli kimia. Seterusnya kajian tindak balas antimoni dengan mata, dan ini memerlukan juruanalisis kimia. Seterusnya kajian tentang reaksi sel-sel mata apabila antimoni disapukan ke mata, dan ini memerlukan ahli biologi dan juruklinikal. Kesemua ini dengan jelas memerlukan pengetahuan saintifik untuk kita lebih memahami dengan setelusnya kata-kata Allah dan Rasul-Nya.

Justeru, adalah menjadi kesilapan jika sesebuah masyarakat hanya menumpukan perhatian mereka kepada ilmu agama semata-mata sehingga mengabaikan tuntutan ilmu moden.

Seterusnya Ibnu `Abbas memberitahu bahawa Nabi mempunyaï bekas celak, iaitu bekas yang mengandungi antimoni untuk digunakan sebagai celak. Nabi disebut sebagai menyapukan celak ke matanya tiga kali dan ke matanya yang satu lagi tiga kali setiap malam.

Walaupun tidak disebut mata yang mana dan yang mana, tetapi adalah jelas bahawa Nabi sentiasa mendahulukan dan memuliakan yang kanan. Justeru, adalah sunnah ketika menyapukan celak untuk memulakan dengan yang kanan, diikuti dengan mata kiri.

*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan