Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 48: Rambut Rasuli Llah Diwarnakan

Hadis 48: Rambut Rasuli Llah Diwarnakan

215
0
THTL dan Utz Adou Al-Fikrah.net
Iklan

Panel: Ustaz ADÖULINÉ Lacharouphe

48 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ عَاصِمٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ، قَالَ: حَدَّثَنَا حُمَيْدٌ، عَنْ أَنَسٍ، قَالَ: رَأَيْتُ شَعْرَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَخْضُوبًا. قَالَ حَمَّادٌ: وَأَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ عَقِيلٍ، قَالَ: رَأَيْتُ شَعْرَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ مَخْضُوبًا.

48- Telah bercerita kepada kami `Abdu Llah bin `Abdi r-Rahman, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Amr bin `Asim, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Hammad bin Salamah, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Humayd, daripada Anas, dia berkata: Saya telah melihat rambut Rasuli Llah dalam keadaan diwarnakan. Berkata Hammad: Dan telah memberitahu kami `Abdu Llah bin Muhammad bin `Aqil, dia berkata: Saya telah melihat rambut Rasuli Llah di sisi Anas dalam keadaan diwarnakan.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menceritakan tentang Anas yang menyebut bahawa dia telah melihat rambut Rasuli Llah dalam keadaan diwarnakan. Setelah itu, Imam At-Tirmizi membawakan riwayat Hammad bahawa `Abdu Llah bin Muhammad bin `Aqil juga telah melihat rambut Rasuli Llah yang ada dalam simpanan Anas dalam keadaan diwarnakan.

Riwayat Anas dalam hadis ini, kelihatan bertentangan dengan riwayat dalam hadis ketiga puluh tujuh, dan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang menyebut, “Tidak”. Justeru, disyarahkan dengan panjang bahawa terdapat riwayat yang mengatakan rambut Nabi diwarnakan, dan terdapat riwayat yang mengatakan rambut Nabi tidak diwarnakan.

Antara penjelasan paling menarik berkenaan pertentangan ini ialah maksud tersurat (haqiqiy) dan maksud tersirat (majaziy). Maksud tersurat ialah Nabi – ketika hidupnya – tidak mewarnakan rambutnya disebabkan uban yang putih. Maksud tersirat ialah rambut Nabi – setelah matinya – telah disimpan oleh isteri Nabi seperti Ummi Salamah, dan rambut itu disimpan dengan meletakkan minyak wangi yang mengandungi (صُفْرَة) sufrah. Sufrah ialah pewarna kuning-merah, yang mempunyaï warna seperti warna emas atau tembaga. Apabila disimpan lama, pewarna itu mengubah warna rambut kepada kemerah-merahan. Selain itu, disebut juga bahawa rambut yang terpisah dari tubuh, apabila disimpan lama, warna hitamnya akan teroksida dan berubah menjadi kemerah-merahan.

Secara saintifik, di dalam rambut terdapat pigmen melanin yang dihasilkan oleh sel melanosit. Pigmen melanin mempunyaï dua jenis, iaitu eumelanin yang berwarna gelap – hitam dan coklat – dan feomelanin yang berwarna kuning-merah. Proses pengubanan semulajadi berlaku akibat pertambahan kandungan hidrogen peroksida dalam folikel rambut yang bertindak sebagai agen peluntur dan menyahwarnakan kehitaman rambut perlahan-lahan dari dalam menjadi merah, kemudian kuning dan akhirnya putih.

Apabila rambut terpisah dari tubuh, ia terdedah kepada oksigen di udara dan proses pengoksidaan melanin akan berlaku secara perlahan-lahan sekali gus melunturkan kehitaman rambut dan menzahirkan warna kemerah-merahan.

Justeru, apabila di dalam hadis ini menyebut “melihat rambut Rasuli Llah dalam keadaan diwarnakan”, ia tidak bermakna rambut Nabi semasa hidupnya, bahkan ia merujuk kepada rambut Nabi selepas matinya. Dan dengan penjelasan sebegini, dapatlah dihimpunkan dan difahami hadis-hadis yang zahirnya bercanggah, sedangkan maknanya sama dan selamat daripada percanggahan.

.

*******
*******
*******
Buku Syarhu d-Diyariyyah Li’ahadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah
Edisi PDF terkini setakat ini Hadis 1-48 boleh dibaca di:
https://drive.google.com/open?id=0B6dUHmEQLdx6bU4wc2RkeHc2Qnc&authuser=0

Untuk yang lebih selesa dengan Facebook, boleh gunakan link berikut:
https://www.facebook.com/adoufr/posts/10153308789332278

https://www.facebook.com/adoufr2/posts/925632510845717

Sebarang kritikan, ulasan atau nasihat adalah dialu-alukan.
*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan