Utama Fiqh Ramadhan 12. Hanya Jima` Yang Dikenakan Kafarah.

12. Hanya Jima` Yang Dikenakan Kafarah.

151
0
Iklan

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

12. Hanya jima` yang dikenakan kafarah.

بينما نحن جُلوسٌ عِندَ النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، إذ جاءَه رجلٌ فقال : يا رسولَ اللهِ، هلَكتُ . قال : ما لَكَ . قال : وقَعتُ على امرأتي وأنا صائمٌ، فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : هل تجِدُ رقبةً تُعتِقُها . قال : لا . قال : فهل تستطيعُ أن تصومَ شهرينِ متتابعينِ . قال : لا . فقال : فهل تجِدُ إطعامَ ستينَ مسكينًا . قال : لا . قال : فمكَث النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم . فبينا نحن على ذلك أُتِيَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم بعَرَقٍ فيه تمرٌ، والعَرَقُ المِكتَلُ، قال : أين السائلُ . فقال : أنا . قال : خُذْ هذا فتصدَّقْ به . فقال الرجلُ : أعلى أفقرَ مني يا رسولَ اللهِ ؟ . فواللهِ ما بين لابَتَيها، يُريدُ الحَرَّتينِ، أهلُ بيتٍ أفقرُ من أهلِ بيتي . فضَحِك النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم حتى بدَتْ أنيابُه ثم قال : أطعِمْه أهلَك .
الراوي : أبو هريرة | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 1936 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Suatu hari kami duduk bersama Nabi ﷺ, lalu datang seorang lelaki kepada baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah! Celaka aku.” Baginda bertanya: “Apa yang terjadi kepadamu?” Dia menjawab: “Aku menyetubuhi isteriku sedangkan aku berpuasa.” Rasulullah ﷺ bertanya lagi: “Adakah engkau mempunyai hamba yang boleh engkau merdekakan?” Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Baginda bertanya lagi: “Adakah engkau mampu berpuasa selama dua bulan berturut-turut?” Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Baginda bertanya lagi: “Adakah engkau mampu memberi makanan untuk 60 orang miskin?” Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Abu Hurairah berkata: Nabi ﷺ berdiam diri. Ketika kami berada dalam keadaan seperti itu, Nabi ﷺ dibawakan hadiah satu bekas tamar. Baginda bertanya: “Di manakah orang yang bertanya tadi?” Lelaki itu menyahut: “Aku.” Sabda baginda: “Ambillah tamar ini, dan bersedekahlah dengannya.” Kata lelaki tadi: “Ada ke orang yang lebih faqir daripada aku, wahai Rasulullah? Demi Allah! Tiada keluarga yang tinggal di antara dua perbatasan ini – yang dimaksudkannya adalah dua gurun tersebut – yang lebih faqir daripada keluargaku.” Lalu Nabi ﷺ ketawa sehingga menampakkan taringnya. Kemudian baginda berkata: “Berilah makan kepada keluargamu.” – Shahih Al-Bukhari no. 1936.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Hanya jima` yang dikenakan kaffarah, sedangkan perkara yang membatal puasa yang lain (termasuklah keluar mani dengan sengaja) hanya perlu qadha’ sahaja.

2. Kaffarah dikenakan secara berperingkat, iaitu:

(a) memerdekakan hamba,

(b) sekiranya tidak mampu, berpuasa selama dua bulan berturut-turut,

(c) sekiranya tidak mampu, memberi makanan untuk 60 orang miskin.

3. Hanya suami yang dikenakan kaffarah.

4. Jima` yang dilakukan berulang kali pada hari yang sama cuma dikenakan kaffarah sekali. Sedangkan, jima` yang dilakukan pada hari yang berbeza dikenakan mengikut bilangan harinya.

5. Sekiranya seseorang ingin bersetubuh dengan isterinya, lalu berbuka puasa dengan makan atau minum supaya tidak dikenakan kaffarah, para `ulama’ berbeza pendapat dalam masalah ini:

(a) Menurut jumhur, lelaki tersebut tetap dikenakan kaffarah. Inilah pendapat yang terpilih.

(b) Menurut mazhab Asy-Syafi`i, lelaki tersebut tidak dikenakan kaffarah.

6. Dibolehkan untuk ketawa dalam kadar yang dibenarkan.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan