Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 44: Minyak Rambut Dan Belahan Rambut Rasulullah SAW

Hadis 44: Minyak Rambut Dan Belahan Rambut Rasulullah SAW

3102
0
Iklan

*******
*******
*******

44- حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مَنِيعٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا سُرَيْجُ بْنُ النُّعْمَانِ، قَالَ: حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ، عَنْ سِمَاكِ بْنِ حَرْبٍ، قَالَ: قِيلَ لِجَابِرِ بْنِ سَمُرَةَ: أَكَانَ فِي رَأْسِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْبٌ؟ قَالَ: لَمْ يَكُنْ فِي رَأْسِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْبٌ إِلَّا شَعَرَاتٌ فِي مَفْرِقِ رَأْسِهِ، إِذَا ادَّهَنَ وَارَاهُنَّ الدُّهْنُ.

44- Telah bercerita kepada kami Ahmad bin Mani`, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Suraij bin An-Nu`man, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Hammad bin Salamah, daripada Simak bin Harb, dia berkata: Dikatakan kepada Jabir bin Samurah: Adakah pada kepala Rasuli Llah terdapat uban? Dia berkata: Tiada pada kepala Rasuli Llah uban, melainkan rambut-rambut pada belahan kepalanya. Apabila dia meminyakkan, minyak itu menutupinya.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menunjukkan bahawa Simak bin Harb telah mendengar seseorang bertanya kepada Jabir bin Samurah soalan yang berbunyi: Adakah pada kepala Rasuli Llah terdapat uban? Jabir bin Samurah ialah seorang sahabat, ialah seorang sahabiy yang tinggal di Kufah. Simak bin Harb pula ialah tabi`in pertengahan yang berada pada tabaqah keempat. Simak bin Harb tinggal dan mati di Kufah pada tahun 123 Hijrah.

Mengetahuï tempat tinggal dan tempat mati seseorang rawi merupakan antara perkara penting dalam ilmu ulum hadis. Ini kerana, apabila Simak bin Harb meriwayatkan daripada Jabir bin Samurah, hendaklah berlaku pertemuan antara guru dan muridnya, dengan lafaz sama yang jelas. Apabila diketahuï bahawa Jabir bin Samurah tinggal di Kufah, dan Simak bin Harb juga tinggal di Kufah, maka sabitlah hubungan antara mereka berdua, iaitu pertemuan antara guru dan muridnya.

Pertemuan antara murid dengan guru ialah salah satu syarat diterima hadis. Ini ialah syarat yang ketat, sehingga memang jelas diketahuï bahawa berlaku pertemuan di antara mereka. Justeru, apabila disebut lafaz hadis haddasana, atau akhbarana, atau (سَمِعْتُ) saya telah mendengar, ia diterima dengan tenang tanpa ragu. Sungguhpun begitu, terdapat satu bahagian dalam ilmu `ilal hadis, yang menunjukkan bahawa ada antara rawi yang bertemu (iaitu melihat), tetapi dia tidak mendengar hadis daripada gurunya.

Apabila Simak Bin Harb mendengar Jabir bin Samurah ditanya, ini bermakna dia mendengar seorang sahabiy ditanya oleh orang yang tidak pernah melihat dan berjumpa Nabi, iaitu golongan tabi`in. Justeru, kita dapat melihat bahawa para tabi`in sangat suka bertanya tentang Nabi, dan sangat berminat untuk mengetahuï perihal Nabi.

Pada hari ini, pertanyaan tentang Nabi dan minat untuk mengetahuï perihal Nabi telah pudar daripada golongan muda. Sangat kurang orang yang bertanya tentang diri, sifat, sirah dan apa-apa yang bersabit dengan Nabi. Hal ini menunjukkan bahawa pusat agama pada generasi muda sudah tidak lagi bertumpu kepada Nabi, malah sebaliknya, mereka mula menjauhi Nabi dan ajarannya.

Bukti yang jelas, antara Nabi dan nama penyanyi, yang manakah lebih kerap muncul di lisan masyarakat sekarang? Antara Nabi dan nama pemain bola, yang manakah lebih kerap disebut-sebut? Antara nama Muhammad dan nama orang lain, yang manakah lebih kerap diulang-ulang? Ramai antara kita terlepas hal ini, sehingga mereka tidak sedar, bahawa apabila lisan mereka lebih banyak menyebut nama orang lain selain nama Nabi, maka itu menunjukkan bahawa mereka sudah mula terpesong dan lari daripada ajaran Islam yang sebenar.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa, guru, serta para `ulama’, untuk mengembalikan masyarakat kepada ajaran Nabi kita Muhammad, dengan menanamkan rasa cinta masyarakat kepada Nabi. Bukti cinta ini ialah lisan kita semakin kerap bersalawat dengan menyebut: (اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ)) Allahumma salli `ala Muhammadin wa`ala ali Muhammad, kita semakin kerap membaca hadis Nabi – dengan kitab-kitab hadis seperti Sahih Al-Bukhariy, Sahih Muslim, dan sebagainya – dan kita semakin teliti dan bersungguh-sungguh untuk mengamalkan apa yang diajarkan oleh Nabi.

Dalam hadis ketiga puluh, telah disebut bahawa Nabi telah membelah kepalanya – iaitu dia telah menyikat rambutnya kepada dua belahan –, dan di sini di nyatakan bahawa uban Nabi – iaitu hanya beberapa helai rambut seperti yang dijelaskan sebelum ini – dapat dilihat pada belahan rambut tersebut. Walau bagaimanapun, apabila Nabi meminyakkan rambutnya, ubannya tidak kelihatan kerana rambutnya sudah berkumpul akibat minyak menyebabkan ubannya tersorok.

Sila klik untuk muat turun himpunan nota

E-Book Syamail Muhammadiyyah UiTO

*******
*******
*******
.

Us Adou, mohon pertanyaan sikit. Bagaimana disiplin kita tatkala membaca kitab syamail muhammadiyah? Dan bagaimana kita berinteraksi dengan kitab itu?

Adou_Fr berkata: In sya’a Llah, jawaban ini akan terjawab dalam Syarah yang ditulis. Mohon baca Buku Syarhu d-Diyariyyah Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah ini dari awal.

.

Komen dan Soalan