Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Pakaian Hijau Dan Uban Merah Rasulullah: Syamail Muhammadiyyah

Pakaian Hijau Dan Uban Merah Rasulullah: Syamail Muhammadiyyah

249
0
Iklan

Terjemahan dan Syarah oleh

محمد عدلن بن محمد شريف الدين بن أحمد بن جعفر الدياري

ADÖULINÉ Lacharouphe
Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin

43- حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ حُجْرٍ، قَالَ: أَنْبَأَنَا شُعَيْبُ بْنُ صَفْوَانَ، عَنْ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ عُمَيْرٍ، عَنْ إِيَادِ بْنِ لَقِيطٍ الْعِجْلِيِّ، عَنْ أَبِي رِمْثَةَ التَّيْمِيِّ تَيْمِ الرِّبَابِ، قَالَ: أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَعِي ابْنٌ لِي، قَالَ: فَأَرَيْتُهُ، فَقُلْتُ لَمَّا رَأَيْتُهُ: هَذَا نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَعَلَيْهِ ثَوْبَانِ أَخْضَرَانِ، وَلَهُ شَعَرٌ قَدْ عَلَاهُ الشَّيْبُ، وَشَيْبُهُ أَحْمَرُ.

40- Telah bercerita kepada kami `Aliy bin Hujr, dia berkata: Telah memberitakan kami Syu`ayb bin Safwan, daripada `Abdi l-Malik bin `Umayr, daripada Iyad bin Laqit Al-`Ijliy,

daripada Abi Rimsah At-Taymiy Taymi r-Ribab, dia berkata: Saya telah mendatangi Nabi dan bersama saya anak lelaki saya. Dia berkata: Maka saya telah menunjukkannya. Maka saya telah berkata ketika saya melihatnya: Ini ialah Nabiyyu Llah. Dan di atasnya terdapat dua helai pakaian yang hijau, dan dia mempunyaï rambut – yang telah mengatasinya – iaitu uban, dan ubannya merah.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini diriwayatkan oleh Abi Rimsah At-Taymiy, seorang sahabiy dari suku yang dipanggil Taymi r-Ribab. Dia merupakan seorang tabib – doktor – yang pakar tentang luka. Apabila Abi Rimsah sampai – bersama anaknya – ke hadapan Rasulu Llah, dia memperkenalkan kepada anaknya dengan berkata: (هَذَا نَبِيُّ اللَّهِ) Ini Nabiyyu Llah.

Perbuatan Abu Rimsah ini adalah satu adab terpuji yang boleh dilihat dalam beberapa aspek. Pertama, dia membawa anaknya yang bernama (قُرَيْط) Qurayt berjumpa dengan Nabi, iaitu seorang pemimpin, contoh tauladan, dan tokoh yang dihormati. Kedua, dia memperkenalkan Nabi kepada anaknya. Ramai ibu bapa terlepas hal ini, sehingga mereka gagal memperkenalkan kepada anak-anak mereka tokoh-tokoh pemimpin dan tokoh-tokoh agama.

Hal ini berlaku kerana ibu bapa sendiri jahil atau keliru dengan siapakah yang harus mereka perkenalkan kepada anak-anak mereka. Ada yang langsung tidak melakukannya kerana kesibukan mereka menghalang mereka daripada meluangkan masa bersama anak-anak. Bahkan yang diutamakan ialah kerja atau urusan perniagaan mereka.

Sebahagian pula hanya memperkenalkan orang-orang tertentu yang boleh mendatangkan keuntungan kepada diri mereka, sama ada orang itu berharta atau berpangkat besar. Mereka berharap agar apabila anak mereka dapat berjumpa dan berkenalan dengan orang-orang sebegini, hidup si anak akan menjadi senang, bahkan mereka boleh menumpang sekali kemewahan si anak nanti.

Abu Rimsah, dia mengambil langkah memperkenalkan Nabi kepada anaknya yang baru kali pertama terserempak dengan Nabi. Inilah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa iaitu memperkenalkan orang-orang salih kepada anak-anaknya. Sama ada orang itu `alim atau mahir dalam agama, atau dia ialah orang yang mulia akhlaq dan perilakunya, atau orang itu ta`at dalam melaksanakan tuntutan agama, apabila diperkenalkan kepada si anak, ia akan memberikan kesan dan pengaruh kepada si anak.

Tidakkah wajar kita memperkenalkan anak kita dengan seseorang yang kita mahu dia mencontohinya? Tidakkah kita mengharapkan agar anak kita menjadi `alim dalam agamanya? Atau menjadi mulia peribadinya? Atau ta`at dalam beragama?

Ketika Abu Rimsah berjumpa dengan Nabi, dia melihat Nabi sedang memakai dua helai pakaian yang hijau. Seperti yang disyarahkan dalam hadis ketiga, apabila disebut pakaian yang hijau, ia boleh bermakna pakaian yang dicelup dengan warna hijau, atau kain yang mempunyaï benang berwarna hijau.

Dua helai pakaian pula bermakna sehelai kain yang meliliti bahagian pinggang ke bawah dan sehelai rida’ yang menutupi bahagian bahu atau bahagian atas tubuh.

Seterusnya, Abu Rimsah menyebut bahawa Nabi mempunyaï rambut uban yang berwarna merah, yang berada di atas kepalanya. Warna merah ini dijelaskan dalam [Al-Mustadrak/ 4203] sebagai (وَشَيْبُهُ أَحْمَرُ مَخْضُوبٌ بِالْحِنَّاءِ) dan ubannya merah diwarnakan dengan inai.

Dalam sanad hadis ini, disebut perkataan (أَنْبَأَنَا) telah memberitakan kami. Ia adalah satu daripada tiga lafaz yang biasa digunakan ialah (حَدَّثَنَا) telah bercerita kepada kami, (أَخْبَرَنَا) telah memberitahu kamu, dan (أَنْبَأَنَا) telah memberitakan kami. Terdapat perbahasan panjang tentang ketiga-tiga perkataan ini antaranya bilakah ia digunakan, adakah ia sama atau berbeza, atau adakah ia menunjukkan cara bagaimana hadis diterima?

Secara am, ia adalah sama iaitu menunjukkan sesuatu hadis itu diriwayatkan oleh rawi daripada gurunya. Namun, ada yang mengkhususkan seperti berikut:

Haddasana: Apabila mendengar lafaz guru.
Akhbarana: Apabila seseorang membacakan di hadapan guru dan guru mendengar.
Anba’ana: Apabila guru mengijazahkan tanpa membaca atau mendengar.

Dalam periwayatan hadis, biasanya guru akan membaca dan murid mendengar bacaan guru. Guru boleh membaca dari ingatan, atau dari kitabnya, manakala murid boleh mendengar sahaja, atau mendengar dan menulis. Mendengar inilah yang dinamakan sebagai (سَمَاع) sama`.
Ada juga keadaan di mana seseorang murid membacakan hadis di hadapan guru, dan gurunya itu mendengar. Justeru, si pembaca dan orang lain yang mendengar dikira meriwayatkan hadis daripada si guru.

Selain itu, guru boleh sahaja memberikan ijazah – atau kebenaran – bagi murid meriwayatkan hadis daripadanya dengan hanya menyebut: Saya ijazahkan kamu Sahih Al-Bukhariy. Periwayatan jenis ini tidak melaluï majlis sama`, iaitu murid tidak mendengar bacaan hadis-hadis dalam kitab tersebut, tetapi diberikan izin untuk meriwayatkannya.

Tiga cara periwayatan hadis yang disebut di atas adalah cara utama periwayatan hadis. Setiap satu cara mempunyaï kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Cara pertama, murid dapat mendengar bacaan guru, justeru lafaz dan sebutan yang betul dapat didengar. Namun, cara ini mungkin akan meletihkan si guru untuk majlis yang panjang. Cara ini sesuai untuk murid yang mahir bahasa `Arab dan mahir dengan selok-belok lafaz.

Cara kedua, murid dapat berlatih membaca sambil didengar oleh guru. Guru akan membetulkan bacaan murid yang salah. Cara ini sesuai untuk murid yang boleh membaca tulisan `Arab, dan pembaca boleh ditukar jika perlu. Si pembaca, walaupun hanya perlu kemahiran membaca tulisan `Arab, tanpa perlu memahami apa yang dibaca.

Cara ketiga, murid dapat meriwayatkan hadis dengan cepat tanpa melaluï proses mendengar yang memakan masa. Namun, si murid hendaklah boleh membaca sendiri kitab yang diijazahkan dan perlu berusaha menguasaï kitab tersebut.
*******
*******
*******
.

Komen dan Soalan