Utama Uncategorized Kaitan Uban Rasulullah S.A.W Dan Adik Beradik Hud

Kaitan Uban Rasulullah S.A.W Dan Adik Beradik Hud

648
0
Iklan

Terjemahan dan Syarah oleh

محمد عدلن بن محمد شريف الدين بن أحمد بن جعفر الدياري

ADÖULINÉ Lacharouphe
Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin

Dari Saitama, Jepun

42- حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ وَكِيعٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بِشْرٍ، عَنْ عَلِيِّ بْنِ صَالِحٍ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنْ أَبِي جُحَيْفَةَ، قَالَ: قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، نَرَاكَ قَدْ شِبْتَ. قَالَ: «قَدْ شَيَّبَتْنِي هُودٌ وَأَخَوَاتُهَا».

42- Telah bercerita kepada kami Sufyan bin Waki`, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Bisyr, daripada `Aliy bin Salih, daripada Abi Ishaq, daripada Abi Juhayfah, dia berkata: Mereka berkata: Ya Rasula Llah, kami melihat kamu telah beruban. Dia berkata: «Telah mengubankan saya Hud dan adik-beradiknya».

 

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini dibawakan sebagai menyokong hadis sebelumnya. Jika seseorang itu benar-benar mencintaï ilmu dan ikhlas dalam mempelajarinya, dia akan sekali lagi membaca Surah Hud, dan adik-beradik surah Hud. Di sini, tidak disebutkan apakah nama adik-beradik tersebut, tetapi, ia telah disebutkan dalam hadis sebelumnya.

Sebagaimana kita mempunyaï adik-beradik, yang rata-rata mempunyaï persamaan, maka dalam bahasa `Arab, sesuatu yang mempunyaï persamaan boleh disebut sebagai (وَأَخَوَاتُهَا) dan adik-beradiknya. Kesemua surah tersebut ialah surah Makkiyyah, iaitu ia diturunkan semasa Nabi berada di Makkah, sebelum berlakunya peristiwa Hijrah.

Secara umum, persamaan yang ada ialah surah-surah ini menyebut tentang Hari Qiyamah dan kisah umat-umat terdahulu. Hari Qiyamah, ia ialah sesuatu yang besar. Disebut di dalam Surah An-Naba’:

عَمَّ يَتَسَاءَلُونَ * عَنِ النَّبَإِ الْعَظِيمِ * الَّذِي هُمْ فِيهِ مُخْتَلِفُونَ

Tentang apakah mereka saling bertanya? Tentang berita yang besar. Yang mereka – padanya – berselisih [An-Naba’: 1-3]

Berita yang besar itu ialah tentang kehidupan selepas mati, iaitu tentang Hari Qiyamah. Orang-orang musyrikin berselisih tentang Hari Qiyamah, iaitu mereka mengatakannya tidak akan berlaku, justeru mereka tidak beriman dengannya.

Peristiwa Qiyamah ini menyebabkan Nabi beruban kerana khuatirkan tentang umatnya – iaitu tentang nasib kita di akhirat – sama ada umatnya akan termasuk dalam golongan yang berjaya atau celaka.

Di dalam Surah Hud, terdapat pengulangan perkataan (بُعْدًا) yang membawa maksud binasa. Kata Allah:

وَقِيلَ بُعْداً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Dan dikatakan: Binasalah untuk kaum yang zalim [Hud: 44]

أَلاَ بُعْدًا لِّعَادٍ قَوْمِ هُودٍ

Ketahuïlah: Binasalah untuk `Ad, kaum Hud [Hud: 60]

أَلاَ بُعْدًا لِّثَمُودَ

Ketahuïlah: Binasalah untuk Samud [Hud: 68]

أَلاَ بُعْدًا لِّمَدْيَنَ كَمَا بَعِدَتْ ثَمُودُ

Ketahuïlah: Binasalah untuk Madyan sebagaimana telah binasa Samud [Hud: 95]

Pengulangan empat kali perkataan (بُعْدًا) ini pasti akan mengkhuatirkan seseorang Nabi, bagaimanakah nasib umatnya di akhirat kelak!

Di dalam Surah Al-Waqi`ah, disebut tentang (أَصْحَابُ الشِّمَال) golongan kiri dan `azab yang akan menimpa mereka, disebabkan kedegilan mereka yang tidak percaya tentang Hari Qiyamah. Di dalam Surah Al-Mursalat pula, Allah mengulang perkataan (وَيْلٌ) celaka sebanyak sepuluh kali dalam ayat yang sama:

وَيْلٌ يَوْمَئِذٍ لِّلْمُكَذِّبِينَ

Celakalah pada hari itu untuk orang-orang mendustakan [Al-Mursalat: 15, 19, 24, 28, 34, 37, 40, 45, 47, 49]

Surah Hud dan adik-beradiknya ini pasti akan menggerunkan hati orang-orang yang beriman apabila membaca tentang Hari Qiyamah dan tentang `azab di Akhirat. Maka kita sebagai umat Muhammad, tidakkah kita juga lebih wajar merisaui nasib kita di akhirat?

Diriwayatkan juga bahawa dalam Surah Hud, Allah berkata:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلاَ تَطْغَوْاْ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

«Maka tetaplah sebagaimana kamu telah diperintahkan, dan sesiapa yang bertawbat bersama kamu juga, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Dia – dengan apa yang kamu lakukan – adalah maha Melihat» [Hud: 112]

Ayat ini merupakan perintah yang besar kerana beristiqamah di atas kebenaran yang diperintahkan merupakan suatu perintah yang sangat besar ke atas seseorang. Untuk istiqamah, ia memerlukan kesabaran dan pengorbanan yang besar. Justeru, banyak onak dan duri, serta ranjau yang akan dihadapi. Ini sangat berat dan merupakan satu amanah dan pertanggungjawaban daripada Tuhan kepada Nabi Muhammad.

Selain itu, hadis ini diriwayatkan oleh sahabiy bernama Abi Juhayfah, yang menyebut: (قَالُوا) mereka berkata. Ini menunjukkan bahawa bukan setakat Abu Bakr sahaja yang mengambil berat tentang Nabi, tetapi sahabiy yang lain juga. Justeru, kepada setiap sahabiy yang bertanya, Nabi menjawab dengan isi yang sama, tetapi dengan gaya ucapan yang berlainan.
Perlu diketahuï bahawa para sahabiy, mereka mengetahuï tentang Nabi, disebabkan mereka bermulazamah dengan Nabi. Para sahabiy bergaul dengan Nabi, makan bersamanya, bersalat bersamanya, dan Nabi hidup di tengah-tengah mereka. Justeru, perubahan pada diri Nabi, sehingga kepada ubannya, dapat dilihat dan diperhatikan oleh para sahabiy.

Tidakkah hal ini berbeza dengan para pemimpin di dunia dewasa ini? Pemimpin dewasa ini, mempunyaï beberapa lapisan pengawal dan aspek keselamatan, yang menyebabkan rakyat tidak dapat bergaul dengan para pemimpin. Para pemimpin dikhuatiri akan keselamatan mereka, takut dibunuh oleh musuh atau dicederakan, selain menganggap wujudnya perbezaan darjat antara pemimpin dan rakyat jelata yang menyebabkan perlunya wujud jurang antara pemimpin dan orang yang dipimpin.

Namun, berbeza dengan Nabi, dia ialah pemimpin yang disayangi dan dibela, sehingga para sahabat akan membela Nabi melebihi diri mereka sendiri, sama ada dalam peperangan atau apabila berhadapan dengan musuh.

Ia juga melambangkan tawakkal yang kurang dalam kalangan pemimpin dewasa ini, kerana ajal sudah ditetapkan Tuhan sejak kita berada di dalam rahim lagi! Justeru, kematian adalah suatu kepastian yang tidak dapat dielakkan atau ditangguh. Jika kita bertawakkal ke atas Allah, kita pasti tidak akan gentar dengan (الْمَوْت) kematian.
*******
*******
*******
.

Komen dan Soalan