Utama Bilik (21) Aqidah Salaf Dr Yusuf al-Qaradawi Dihalau Kerana Permasalahan Akidah

Dr Yusuf al-Qaradawi Dihalau Kerana Permasalahan Akidah

955
0
Iklan

Dikongsi Oleh: Ustaz Zahiruddin Zabidi

Dalam buku Sunnah wa Bid`ah ada sebuah cerita yang menarik disampaikan oleh Prof Dr Shaykh Yusuf al-Qaradawi hafizahu’Llah berdasarkan pengalaman beliau sendiri. Katanya:

“Saya terkenangkan kisah ketika saya masih pelajar menengah Al-Azhar di Maahad Tanta. Di Tanta, terdapat makam Sayyidul Badawi yang masyhur. Dalam kalangan guru-guru kami, ada yang berada di sana pada waktu siang dan sebahagian yang lain berada di makam itu sepanjang malam. Saya pernah berdialog dengan seorang syeikh yang faqih dan bermazhab Hanafi, tetapi beliau daripada kelompok tang menyucikan para tasawuf dan para wali. Ketika itu beliau sedang mengajar bab melaksanakan korban menerusi perbahasan fiqh, manakala saya pula begitu suka menguhubungkait fiqh dengan kehidupan.

Kemudian saya katakan kepada guru itu, “Wahai syeikh, sebenarnya kita sudah menghilangkan perkara sunnah, yang mana orang yang melaksanakan ibadah korban begitu sedikit, dan saya percaya para syeikh harus memberikan pendekatan kepada mereka dalam menangani masalah ini. Dengan kemampuan yang dimiliki para syeikh, mereka mampu memberikan peringatakan kepada manusia bagi menghidupkan sunnah ini.” Syeikh itu membidas dengan menyatakan, “Perkara ini terjadi kerana ramai manusia tidak berkemampuan dalam kewangan.”

Saya menjawab kembali, “Tetapi, mereka melaksanakan korban bersempena keramaian yang lain dan ia bukan amalan sunnah.” Lantas beliau membalas, “Apakah yang kamu maksudkan?” Saya menjawab, “Maksud saya, mereka melakukan korban pada hari kelahiran Sayyid! Apabila menjelang hari kelahiran Sayyid, mereka mengorbankan puluhan, ratusan malah ribuan kambing, sedangkan pada Hari Raya Aidiladha, hanya segelintir individu mengadakan ibadah korban. Sekiranya para Syeikh mengarahkan masyarakat menghidupkan sunnah berkorban ini berbanding daripada melakukan korban untuk Sayyid, nescaya mereka sudah melakukan sunnah. Walaupun mereka tidak memberikan sedekah sedikit pun daripada korban itu, tetapi ia cukup bagi menghidupkan satu daripada syiar-syiar Islam. Ini dinyatakan dalam Surah al-Kauthar, ayat 2: “Oleh itu, laksanakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban sebagai tanda syukur.”

Apa yang saya sampaikan ini membangkitkan kemarahan Syeikh. Saya dihalau daripada kelas dan beliau melabel saya sebagai penghasut, pembenci para wali dan para solihin!

Keadaan ini mengingatkan saya kepada suatu kaum yang menghidupkan bid`ah. Ketika kaum itu menyibukkan diri dengan bid`ah itu, pada saat itu mereka mematikan sunnah. Ini adalah rahsia mengapa bid`ah diperangi dalam Islam.”

[lihat Prof Dr Shaykh Yusuf al-Qaradawi (2013), Sunnah wa Bid`ah (Sunnah vs Bid`ah), Ahmad Fauwaz Fadzil (terj.), Batu Caves: PTS Islamika Sdn. Bhd., h. 60-62]

Komen dan Soalan