Hadits 32: Sunnah yang ditinggalkan yang wajib dihidupkan kembali
“Luruskan saf-saf kalian.” (baginda mengulanginya sebanyak 3 kali). “Demi Allah! Kalian akan meluruskan saf-saf kalian, atau Allah akan menyelisihkan qalbu-qalbu kalian.”
أقيموا صفوفكم (ثلاثا)، والله لتقيمن صفوفكم أو ليخالفن بين قلوبكم
Diriwayatkan oleh Abu Dawud no. 662.
= = = = = = = = = =
Ulasan:
1. Dalam bab ini, terdapat 2 orang sahabat yang meriwayatkan hadits tersebut:
(a) Riwayat An-Nu`man bin Basyir (Abu Dawud, no. 662), dan beliau menambah: “Aku melihat seorang lelaki menyentuhkan bahunya ke bahu temannya, lututnya dengan lutut temannya, dan buku lalinya dengan buku lali temannya.”
(b) Riwayat Anas bin Malik (Al-Bukhari, no. 725), dan beliau menambah: “Ada di kalangan kami yang menyentuhkan bahunya dengan bahu temannya, dan tapak kaki dengan tapak kakinya.”
2. Hadits ini menunjukkan sunnahnya meluruskan saf, tidak terkedepan berbanding orang yang berada di sebelahnya, dan tidak pula terkebelakang.
3. Para `ulama’ berbeza pendapat tentang perbuatan merapatkan bahu, lutut, dan buku lali dengan jama`ah di sebelah (iaitu ilzaq):
(a) Al-Albani: “Dia menyangka maksud ilzaq (menyentuhkan bahu, lutut, dan buku lali) bererti anjuran untuk merapatkan ruang dalam saf, dan bukannya benar-benar menyentuh (sehingga menyentuh bahu, lutut, dan buku lali jama`ah di sebelahnya). Ini merupakan ta`thil (pengingkaran) terhadap hukum-hukum `alamiyyah, sebagaimana ta`thil terhadap sifat-sifat ilahiyyah, bahkan lebih buruk daripada itu.” – Silsilah Ahadits Ash-Shahihah
(b) Bakr Abu Zaid: “Menyentuhkan bahu dengan bahu ketika dalam keadaan qiyam adalah takalluf yang zahir (yakni perbuatan yang memberat-beratkan). Sedangkan menyentuhkan lutut dengan lutut adalah mustahil. Dan menyentuhkan buku lali dengan buku lali adalah perkara yang sukar dilakukan.” Katanya lagi: “Inilah yang difahami oleh sahabat – radhiyallahu `anhu – tentang merapatkan saf, iaitu istiqamah (lurus), merapatkan ruang (jarak) di antara para jama`ah, bukannya menyentuhkan bahu-bahu dan buku lali. Maka, zahirnya maksud ilzaq adalah anjuran untuk mengurangi ruang (jarak) antara jama`ah, istiqamah dalam saf dan meluruskannya, dan bukannya benar-benar menyentuh (jama`ah di sebelah).” – La Jadid fi Ahkam Ash-Shalat
(c) Muhammad bin Shalih Al-`Utsaimin: “Setiap orang daripada mereka hendaklah menyentuhkan buku lalinya dengan buku lali jama`ah di sebelahnya, agar saf benar-benar lurus. Namun, menyentuhkan buku lali bukanlah tujuan utamanya, tetapi ada tujuan lain sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian `ulama. Oleh itu, apabila saf telah sempurna dan para jama`ah telah berdiri, hendaklah setiap orang menyentuhkan buku lalinya dengan buku lali temannya supaya safnya lurus. Ini bukanlah bermakna para jama`ah harus tetap menyentuhkannya sehingga selesai solat.” – Fatawa Arkan Al-Iman
(d) Ibn Rajab Al-Hanbali: “Hadits Anas ini menunjukkan bahawa yang dimaksudkan dengan meluruskan saf adalah lurusnya bahu dan tapak kaki.” – Fath Al-Bari karya Ibn Rajab.
(e) Ibn Hajar Al-`Asqalani: “Maksud hadits Anas adalah berlebih-lebihan dalam meluruskan saf dan menutupi ruang (jarak di antara para jama`ah).” – Fath Al-Bari karya Ibn Hajar.
#SilsilahShahihah: