Utama Bilik (20) Silsilah Hadith Sahih Hadits 17: Antara Kesabaran Para Anbiya’ Dalam Menghadapi Ujian

Hadits 17: Antara Kesabaran Para Anbiya’ Dalam Menghadapi Ujian

240
0
Iklan

#SilsilahShahihah:

Hadits 17: Antara Kesabaran Para Anbiya’ Dalam Menghadapi Ujian

Nabi Allah Ayyub `alaihi as-salam telah ditimpa musibah selama 18 tahun. Keluarganya yang dekat mahupun jauh telah menjauhinya, kecuali dua orang saudara lelakinya yang selalu menjenguknya dan menghiburkannya. Pada suatu hari, salah seorang daripada mereka berkata kepada temannya: “Ketahuilah, demi Allah, Ayyub telah melakukan satu dosa yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain di dunia ini.” Temannya bertanya: “Dosa apa?” Dia menjawab: “Sudah 18 tahun Allah tidak merahmatinya dan tidak menghilangkan ujian yang menimpanya.” Ketika kedua-dua menjenguk Ayyub, salah seorang daripada kedua-duanya tidak mampu menahan sabar, lantas menyebutkan tentang masalah itu. Kata Ayyub: “Aku tidak tahu apa yang kalian berdua ucapkan. Kecuali, Allah mengetahui bahawa aku pernah berjalan melewati dua orang lelaki yang bertengkar, dan kedua-duanya menyebut nama Allah, lalu aku pulang ke rumahku, dan aku membenci kedua-duanya, kerana aku tidak suka disebutkan nama Allah kecuali dalam perkara yang haq.” Kata perawi: Nabi Ayyub keluar untuk membuang hajat. Apabila selesai, isterinya menuntun tangannya hingga ke tempat membuang hajat. Suatu hari, baginda membuang hajat agak lama, lalu diwahyukan kepada Ayyub: “Hentakkan kakimu, inilah air sejuk untuk mandi dan minum.” (Surah Shad, ayat 42), sedangkan isterinya tetap menunggunya. Tatkala isterinya menyambutnya, dia melihat Ayyub berjalan ke arahnya, dan Allah telah menghilangkan semua ujianNya, dan ternyata Ayyub kelihatan lebih tampan berbanding sebelumnya. Ketika isterinya melihat Ayyub, dia berkata: “Semoga Alllah memberkatimu. Adakah engkau melihat seorang Nabi Allah yang sedang diuji? Demi Allah! Engkau sangat mirip dengannya ketika baginda masih sihat.” Ayyub berkata: “Sesungguhnya akulah Nabi Allah itu.” Nabi Ayyub memiliki 2 tempat mengeringkan tanaman. Satu untuk gandum, dan satu lagi untuk barli. Lalu Allah mengutuskan dua gumpalan awan, satunya tiba di atas tempat pengeringan gandum lalu mencurahkan emas sehingga melimpah, sedangkan gumpalan awan yang lain tiba di atas tempat pengeringan barli lalu mencurahkan perak sehingga melimpah.

إنَّ نبيَّ اللهِ أيُّوبَ لبث به بلاؤُه ثمانيَ عشرةَ سنةً ، فرفضه القريبُ والبعيدُ ، إلَّا رَجلَيْن من إخوانِه كانا يغدوان إليه ويروحان ، فقال أحدُهما لصاحبِه ذاتَ يومٍ : تعلمُ واللهِ لقد أذنب أيُّوبُ ذنبًا ما أذنبه أحدٌ من العالمين ، فقال له صاحبُه : وما ذاك ؟ قال : منذ ثمانيَ عشرةَ سنةً لم يرحَمْه اللهُ فيكشِفَ ما به ، فلمَّا راحا إلى أيُّوبَ لم يصبِرِ الرَّجلُ حتَّى ذكر ذلك له ، فقال أيُّوبُ : لا أدري ما تقولان غير أنَّ اللهَ تعالَى يعلمُ أنِّي كنتُ أمرُّ بالرَّجلَيْن يتنازعان ، فيذكران اللهَ فأرجِعُ إلى بيتي فأُكفِّرُ عنهما كراهيةَ أن يُذكَرَ اللهُ إلَّا في حقٍّ ، قال : وكان يخرُجُ إلى حاجتِه فإذا قضَى حاجتَه أمسكته امرأتُه بيدِه حتَّى يبلُغَ ، فلمَّا كان ذاتَ يومٍ أبطأ عليها وأُوحي إلى أيُّوبَ أن ارْكُضْ بِرِجْلِكَ هَذَا مُغْتَسَلٌ بَارِدٌ وَشَرَابٌ فاستبطأته ، فتلقَّته تنظُرُ وقد أقبل عليها قد أذهب اللهُ ما به من البلاءِ وهو أحسنُ ما كان ، فلمَّا رأته قالت : أيْ بارك اللهُ فيك ، هل رأيتَ نبيَّ اللهِ هذا المُبتلَى ، واللهِ على ذلك ما رأيتُ أشبهَ منك إذ كان صحيحًا ، فقال : فإنِّي أنا هو : وكان له أندَران أي ( بيدران ) : أندَرُ للقمحِ وأندَرُ للشَّعيرِ ، فبعث اللهُ سحابتَيْن ، فلمَّا كانت إحداهما على أندرِ القمحِ أفرغت فيه الذَّهبَ حتَّى فاض ، وأفرغت الأخرَى في أندرِ الشَّعيرِ الورِقَ حتَّى فاض
الراوي : أنس بن مالك – المحدث : الألباني
المصدر : السلسلة الصحيحة – الصفحة أو الرقم: 17 – خلاصة حكم المحدث : صحيح

Diriwayatkan oleh Abu Ya`la dalam musnadnya (1/176-177), Al-Bazzar (5357).

Ulasan:

1. Para anbiya’ diuji dengan ujian yang lebih besar.

2. Keutamaan Nabi Allah Ayyub `alaihi as-salam dalam kesabarannya atas ujian daripada Allah.

3. Seseorang yang ditimpa musibah bukanlah bererti dia seorang yang banyak berdosa.

Komen dan Soalan