Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.07.05#190515 : HADITS MUDALLAS (المدلس) Bhg. 01

02.07.05#190515 : HADITS MUDALLAS (المدلس) Bhg. 01

528
0
Iklan

Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.07.05 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Gugur Periwayat dari Sanad (السقط من الإسناد)

Susunan: BroSyarief

Setelah selesai kategori Gugur secara Zahir (سقط ظاهر) yang menempatkan 4 kategori Hadits Dha’if, iaitu Mu’allaq, Mursal, Mu’dhol dan Munqati.

Sekarang kita masuk kepada kategori Gugur secara Tersembunyi (سقط خفي).

HADITS MUDALLAS (المدلس) Bhg. 01

Mudallas berasal dari perkataan Tadlis, yang bermaksud kegelapan.

Ia juga merujuk kepada aktiviti di mana penjual menyembunyikan keburukan/aib barang jualan dari pembeli.

Secara teknikal, ia merujuk kepada hadits di mana pada sanadnya terdapat periwayat yang disembunyikan aibnya, dan diindahkan pada zahirnya.

at-Tadlis terbahagi kepada 3 kategori:

01. Tadlis al-Isnad (تدليس الإسناد)

Ia merujuk kepada satu hadits XXX di mana di dalam sanadnya terdapat seorang periwayat A meriwayatkan dari periwayat B, di mana A memang murid kepada B dan mendengarkan hadits dari B, tetapi sebenarnya dia tak mendengarkan hadits XXX ini secara khusus dari B.

Lalu dia menyebutkan yang dia meriwayatkannya dari B, dengan lafaz periwayatan yang tidak jelas sama ada dia mendengarkan hadits itu secara langsung dari B ataupun tidak.

Contohnya, dia menggunakan lafaz ‘An (عن) atau An (أن) yang secara umumnya bermaksud ‘Dari’, tidak lafaz-lafaz seperti Haddatsana (حدثنا) yang bermaksud ‘Telah menceritakan kepada kami’, atau Sami’tu (سمعت) yang bermaksud ‘Aku telah mendengar..’ yang mana lafz-lafaz ini menunjukkan dia benar-benar berjumpa dan mendengarkan.

02. Tadlis al-Taswiyah (تدليس التسوية)

Istilah ini merujuk kepada satu hadits YYY di mana di dalam sanadnya terdapat seorang periwayat Dha’if (K), di antara dua periwayat yang Tsiqah (J & L), di mana J juga meriwayatkan hadits dari L (untuk hadits-hadits yg lain).

Lalu, salah seorang periwayat yang di bawah menghilangkan periwayat K dari sanad, dan menjadikan pada sanad tersebut J mengambil terus dari L, menjadikan sanad tersebut kuat, kerana tiada periwayat Dha’if di dalamnya.

03. Tadlis al-Syuyukh (تدليس الشيوخ)

Ini adalah satu periwayatan di mana periwayat M mengambil dari gurunya N, di mana M benar-benar mendengarkan dari N, tetapi kemudiannya di dalam sanad disebutkan N dengan gelaran atau nama yang mana N tidak dikenali dengan gelaran atau nama tersebut.

Contohnya, nama guru N tersebut yang dikenali ramai adalah al-Kalbi, tetapi M menyebutkan kunyahnya iaitu Abu Sa’id, yang tidak dikenali ramai.

Sebab-sebab periwayat Mudallis melakukan Tadlis:

01. Dha’ifnya syaikh, atau guru yang diambil riwayat daripadanya.
02. Guru panjang umurnya, menyebabkan ramai periwayat mengambil darinya (berkait dengan poin 4)
03. Syaikh lebih muda dari dia, menjadikan dia segan mengaku mengambil dari gurunya yang lebih muda.
04. Ramainya periwayat mengambil dari syaikh yang sama, dia ingin jadi unik bersendiri dalam periwayatan.
05. Mengejar sanad ‘Aliy.

(bersambung)

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan