Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Kelas #10 | Ulum Hadith

Kelas #10 | Ulum Hadith

182
0
Iklan

Bismillah, Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Allah yang telah memberi kita kelapangan masa dan kekuatan untuk meneruskan kelas pada malam ini, selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, para Sahabatnya serta keluarganya. Wa ba’d.

Malam ini kita akan menyambung topik al-Ittisal, atau lebih khusus lagi al-Sama’, iaitu mendengarnya seorang rawi dari seorang rawi.

Ya, kita masih dalam perbincangan syarat pertama hadith Sahih.

Kita telah berbincang berkenaan siyagh adaa, iaitu gaya sebutan ketika meriwayatkan hadith, serta telah berbincang berkenaan “thuuli al-suhbah” serta “mulazamati li syaikhihi” iaitu panjangnya perguruan serta lamanya perdampingan seseorang murid itu dengan gurunya.

Kesemua perkara yang telah kita bincangkan adalah untuk menentukan thabitnya sama’ dan bersambungnya isnad.

Malam ini kita akan melihat kaedah lain pula untuk menentukan sama’ dan ittisal.

Pertama: melihat kepada biodata (tarjamah) seorang rawi dengan rawi yang dia riwayatkan (iaitu murid dan guru) itu. Lihat dalam kitab tarjamah rawi atau kitab jarh dan ta’dil, ada atau tidak disebut di sana bahawa fulan A meriwayatkan dari fulan B. Sekiranya ada, maka secara asasnya ia dikira bersambung.

Namun perlu diperhatikan juga, sebahagian para imam menyebut “fulan meriwayat dari fulan”, namun ia bukan bermaksud fulan mendengar dari fulan, sebaliknya ia hanya bermaksud fulan ada menyebut sanad dari fulan iaitu dia ada meriwayatkan hadith dari fulan, sedangkan mereka tidak berjumpa dan ia putus.

Perlu diberi perhatian, sebahagian mengambil apa yang terkandung dalam kitab tarjamah yang ringkas seperti Tahzib al-Kamal secara muktamad berkenaan sama’ atau tidak fulan dari fulan, iaitu dengan melihat al-Mizzi menyebut bahawa fulan meriwayat dari fulan, atau al-Mizzi tidak menyebut fulan meriwayat dari fulan. Sekiranya ada maka dia menganggap bersambung, jika tiada maka dia menganggap putus. Ini adalah gopoh, ini adalah gopoh.

Al-Mizzi hanya membuat ringkasan, dan sekiranya al-Mizzi tidak menyebut bahawa fulan tidak mendengar dari fulan, itu tidak mesti bermaksud putus, tidak mesti bermaksud putus.

Kedua: sentiasa memberi perhatian dan mengambil faedah dari kalam para huffaz nuqaad berkenaan sama’ atau tidaknya seseorang rawi dari seseorang rawi lain. Sama ada para nuqaad memberi ithbat (penetapan berlaku) atau memberi nafi (menolakan berlaku) sama’ antara fulan dan fulan.

Misalnya, berkata al-Imam Yahya Ibn Ma’in ketika beliau ditanya berkenaan rawi bernama Muhammad bin Ibrahim bin al-Harith, adakah dia bertemu salah seorang para Sahabat atau tidak? Maka jawab Ibn Ma’in “tidak, dia tidak mendengar”, maka berpandukan kalam Ibn Ma’in ini, maka kesemua riwayat Muhammad al-Harith dari Sahabat, maka ia putus, maka ia putus.

InsyaAllah kita akan sambung kelas kemudian, tarikh dan masa akan saya beri nanti. Moga kelas malam ini bermanfaat, walaupun sikit. Kita akhir dengan tasbih kaffarah. Barakallahufikum, jangan lupa tela’ah al-Quran.

 

Komen dan Soalan