جَاءَ فِي خَاتَمِ النُّبُوَّةِ
Bab: Apa yang datang berkenaan cop kenabian
Hadis 16
16- حَدَّثَنَا أَبُو رَجَاءٍ قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا حَاتِمُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ، عَنِ الْجَعْدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، قَالَ: سَمِعْتُ السَّائِبَ بْنَ يَزِيدَ، يَقُولُ: ذَهَبَتْ بِي خَالَتِي إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ ابْنَ أُخْتِي وَجِعٌ. فَمَسَحَ رَأْسِي وَدَعَا لِي بِالْبَرَكَةِ، وَتَوَضَّأَ، فَشَرِبْتُ مِنْ وَضُوئِهِ، وَقُمْتُ خَلْفَ ظَهْرِهِ، فَنَظَرْتُ إِلَى الْخَاتَمِ بَيْنَ كَتِفَيْهِ، فَإِذَا هُوَ مِثْلُ زِرِّ الْحَجَلَةِ.
16- Telah bercerita kepada kami Abu Raja’ Qutaybah bin Sa`id, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Hatim bin Isma`il, daripada Al-Ja`d bin `Abdi r-Rahman, dia berkata: Saya telah mendengar As-Sa’ib bin Yazid, dia berkata: Makcik saya telah pergi bersama saya kepada Nabi, maka dia telah berkata: Ya Rasula Llah, sesungguhnya anak saudara perempuan saya sakit. Maka dia telah memegang kepala saya dan dia telah berdoa untuk saya dengan barakah, dan dia telah berwudhu’, kemudian saya telah minum daripada air wudhu’nya, dan saya telah berdiri di belakang badannya, maka saya telah melihat kepada cop di antara dua bahunya. Saya dapati ia seperti butang khemah.
Syarah Adou_Fr:
Hadis ini diriwayat oleh Imam At-Tirmizi dalam Sunannya [At-Tirmizi/ 3643] dan di sini, disebut kunyah bagi Qutaybah iaitu Abu Raja’. Hadis yang sama diriwayatkan dalam [Al-Bukhariy/ 6352] dan [Muslim/ 2346] dengan lafaz hadis yang sama dari awal hadis hingga ke hujungnya. Justeru, diketahuï bahawa Qutaybah bin Sa`id ialah guru bagi Imam Al-Bukhariy, Imam Muslim dan Imam At-Tirmizi.
Hadis ini menunjukkan satu perkara yang besar iaitu apakah yang perlu dilakukan bagi orang yang sakit, terutama kanak-kanak. Apabila As-Sa’ib bin Yazid sakit, makciknya membawanya berjumpa dengan Rasulu Llah. Justeru ini menjadi dalil bahawa boleh berjumpa orang yang salih apabila sakit. Walau bagaimanapun, kaedah perubatan ini hendaklah diambil sepenuhnya seperti dalam hadis, iaitu:
1- Membawa orang sakit berjumpa dengan orang `alim.
2- Orang `alim menyentuh bahagian tertentu dan mendoakan pesakit.
3- Orang `alim berwudhu’ di dalam bekas seperti besen.
4- Orang sakit minum air bekas wudhu’ di dalam besen itu.
Dengan menggunakan kaedah perubatan seperti ini, seseorang tidak boleh mengambil upah, kecuali hanya apabila pesakit itu sembuh. Dan dalam perubatan Islam yang sebenar, pesakit akan sembuh dengan satu kali rawatan, serta-merta. Justeru, terdedahlah penipuan ramai orang yang mendakwa sebagai perawat atau pengamal perubatan Islam, yang menipu orang ramai atas nama agama. Antara kesalahan mereka ialah mengambil upah walaupun pesakit tidak sembuh. Kadangkala mereka tidak meminta, tetapi diubah nama sebagai duit kopi, atau duit minyak. Dalam perubatan Nabawi, hanya apabila pesakit sembuh, barulah si perawat layak dibayar upah.
Apabila dengan satu kali pengubatan – iaitu dengan cara berdoa dan minum air seperti ini – tidak sembuh, maka perawat itu sebenarnya tidak akan mampu mengubati orang yang sakit itu, dan orang yang sakit tersebut hendaklah bertemu dengan ahli perubatan seperti doktor, dan memulihkan sakitnya dengan ubat dan prosedur kedoktoran, atau dia hendaklah berjumpa dengan perawat lain. Jika dengan sekali pengubatan – secara Islam ini – pesakit masih belum sembuh, dan si perawat berulang kali meminta pesakit datang bertemu dengannya, itu adalah satu penipuan, kerana si perawat sebenarnya tidak mampu merawat dan mengubat!
Selain itu, perubatan Islam tidak menggunakan barang-barang tambahan. Ia hanya bacaan doa atau ayat Al-Qur’an, dan disapu kepada tubuh pesakit. Berhati-hatilah apabila ada perawat yang menggunakan lada hitam, atau bawang, atau bahan-bahan tambahan lain, kerana itu bukan lagi perubatan Nabawi, sebaliknya sudah bercampur dengan budaya bukan `Arab.
Hadis menyatakan bahawa Nabi berwudhu’ dan air wudhu’nya itu diminum oleh As-Sa’ib bin Yazid yang sedang sakit. Hal ini sangat asing bagi kita di alam Melayu, iaitu untuk minum sisa atau baki air wudhu’ – yang dipanggil (وَضُوء) wadhu’ –. Lebih asing lagi, sangat jarang kita menadah air wudhu’ kita, dan hal ini sangat sukar untuk dilihat dalam masyarakat. Sebenarnya, minum sisa wadhu’ ini adalah sunnah, sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis sahih bahawa Nabi, apabila dia habis daripada bersucinya, dia mengambil daripada lebihan air bersucinya dengan tapak tangannya dan meminumnya. Justeru, adalah sunnah untuk setiap daripada kita meminum lebihan air wudhu’ sendiri.
Dalam hadis ini, As-Sa’ib bin Yazid meminum lebihan wadhu’ Nabi. Hal ini bukanlah untuk keberkatan, kerana tidak diriwayatkan sesiapa dari kalangan sahabat yang meminta lebihan wadhu’ Nabi untuk diambil berkat dan diminum. Namun, ia adalah sebagai satu kaedah rawatan, iaitu seseorang yang salih memberikan lebihan wadhu’nya kepada orang yang sakit untuk diminum, dan hal ini tidak khusus untuk Nabi, sebaliknya umum untuk semua.
Sesetengah orang yang jahil atau para pelampau agama mungkin menyalahgunakan hadis ini sebagai jalan untuk menjual agama dengan harga yang sedikit. Mereka mungkin menjadikan ritual meminum air basuhan kaki guru sebagai tanda ketaatan murid kepada gurunya. Hal ini batil, kerana ia air lebihan wudhu’, bukan air basuhan kaki semata-mata. Malah, minum lebihan wadhu’ bukan tanda ketaatan atau apa-apa, kecuali ia sebagai satu kaedah perubatan. Maka tersilaplah golongan jahilin yang cuba mencari keberkatan tanpa haq, sedangkan para sahabat, mereka melakukan yang haq untuk mendapat berkat.
Begitulah indahnya apabila kita mendalami sunnah, kerana akan kelihatan banyak kejahilan dalam amalan dan pemikiran masyarakat di sekeliling kita, sehingga kita perlu memutuskan dengan nekad, sama ada kita mahu mengikut sunnah, atau kita mahu melarut dalam masyarakat dan menurut kejahilan mereka. Semoga Allah menyinarkan hati kita dengan sunnah, dan kita pula mendapat faedah daripada sunnah Nabi-Nya.
Dalam hadis ini, apakah sebenarnya yang dilakukan oleh Nabi itu? Bagaimanakah air wudhu’nya menjadi kaedah rawatan? Sebenarnya, hal ini sangat mudah. Caranya, seseorang yang salih berwudhu’ dengan menggunakan air di dalam besen – atau sebarang bekas yang boleh menakung air –. Dia hendaklah berwudhu’ seperti yang datang di dalam sunnah iaitu dengan membasuh dahulu tangannya tiga kali sebelum menyentuh air itu. Setelah itu, dia menceduk air dengan tangan kanannya, dan memasukkan air ke dalam mulut, diikuti dengan memasukkan air ke dalam hidung. Dia menghirup air itu dengan hidung dan mengeluarkannya semula, begitu juga dengan air dari dalam mulutnya, ke dalam besen semula. Setelah itu, dia memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam besen, dan dia merapatkan kedua-dua tapak tangannya itu, dan dia menceduk air dan membasuh mukanya. Setelah itu, dia memasukkan tangan kirinya, menceduk air dan membasuh tangan kanannya sehingga ke siku, diikuti dengan memasukkan tangan kanannya ke dalam besen, menceduk air dan membasuh tangan kirinya sehingga ke siku. Setelah itu, dia memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam air, merapatkannya, menceduk air, membiarkan air itu jatuh semula ke dalam besen, dan dia meletakkan kedua-dua tangannya di hadapan kepala, terus ke belakang sehingga hampir ke leher, dan berpatah balik sehingga ke hadapan kepala semula. Dia membasuh kepala sebanyak satu kali. Setelah itu, dia menceduk air dengan tangan kiri, dan membasuh kakinya yang kanan, diikuti dengan menceduk air dengan tangan kanan, dan membasuh kakinya yang kiri. Setelah itu, dia membaca tasyahhud atau dua kalimah syahadah. Air di dalam besen itulah yang diambil untuk perubatan Islam, iaitu air yang telah digunakan untuk mengambil wudhu’ – dengan cara yang diajarkan oleh Nabi – dan masih berbaki di dalam bekas.
Walaupun pada zaman ini, rata-rata orang berwudhu’ dengan menggunakan air paip. Namun, kaedah berwudhu’ dengan menggunakan bekas juga hendaklah dipelajari, kerana nilai pengubatan yang ada. Air yang masih bersisa inilah yang diberi minum kepada orang yang sakit, malah adalah sunnah untuk setiap daripada kita minum air lebihan wudhu’ ini.
Jelas bahawa air lebihan wudhu’ seperti ini tidak najis, malah ia adalah suci hingga boleh diminum. Sungguhpun pada mata Melayu dan lidah Melayu, air itu akan dianggap kotor atau tidak bersih, namun, inilah yang perlu dibetulkan dalam budaya Melayu, demi kembali kepada sunnah dan mengikut petunjuk Nabi. Tidak perlu segan, tidak perlu geli, tidak perlu berasa sangsi untuk mengikut sunnah minum air lebihan wudhu’ ini, malah ia adalah satu kemuliaan dapat mengikut sunnah, dan mempunyaï nilai pengubatan seperti dalam hadis.
Daripada cara berwudhu’ yang dinyatakan di atas, yang diambil daripada hadis-hadis sahih tentang cara berwudhu’ Nabi, maka terbatallah apa yang disebut sebagai air musta`mal, kerana hadis menyebut beginilah cara wudhu’ Nabi, iaitu dengan memasukkan tangan ke dalam bekas, dan air itu digunakan sehingga selesai wudhu’, malah disunnahkan untuk diminum. Maka tiada sebarang soalan pertikaian wajar ditanya, melainkan “Kami dengar dan kami ta`at”.
Dalam hadis ini, rawi bernama As-Sa’ib bin Yazid menceritakan pemerhatiannya terhadap tubuh Nabi, iaitu bahagian belakang tubuh Nabi. Secara nyata, ketika itu, Nabi tidak berbaju sehingga bahagian belakangnya dapat dilihat! Yang dilihat As-Sa’ib ialah suatu daging yang berbulu, atau untuk lebih mudah untuk kita fahami, tahi lalat hidup yang sebesar butang khemah.
Perkataan (الْحَجَلَة) khemah jama`nya ialah (الْحِجَال) khemah-khemah, ia ialah rumah seperti kubah yang mempunyaï butang-butang yang besar dan lubang-lubang butang. Dan inilah pengertian yang benar bagi (زر الحجلة) iaitu butang khemah. Telah tersilap mereka yang memahami kalimah ini sebagai “telur burung hajalah”, kerana ia diinkari oleh para `ulama’. Malah, Imam At-Tirmizi sendiri dalam Sunannya, apabila dia menyebut: (الزِّرُّ: يُقَالُ بَيْضٌ لَهَا) Az-Zirr: dikatakan sebagai telur baginya, dia menyebut (غريب من هذا الوجه) gharib dari jalan ini. Ini ialah isyarat bahawa tambahan ini adalah sesuatu yang gharib – iaitu tidak sahih – dan ia bersalahan dengan apa yang lebih kuat.
Rawi bernama As-Sa’ib bin Yazid ini lahir pada tahun 2 Hijrah. Dia pernah berkata: Bapa saya telah berhaji bersama saya bersama Nabi ketika saya berusia tujuh tahun. Justeru, hadis ini diriwayatkan oleh seorang budak lelaki yang berusia tidak lebih tujuh tahun!
Lihatlah betapa bagusnya kanak-kanak generasi terdahulu, sehingga dia mampu mengingati apa yang berlaku dan meriwayatkan hal itu kepada orang lain. Dan sebagai anak kecil, dia mensifatkan cop di belakang tubuh Nabi dengan sesuatu yang biasa di sekelilingnya iaitu butang yang terdapat pada khemah!