Utama Bilik Khas SYIRIK MAHABBAH

SYIRIK MAHABBAH

388
0
Iklan

SYIRIK

Bahagian Ketiga

oleh

Ustaz Baharuddin Ayudin

HADIS

13 – عَنْ عَبْدِ اللهِ – ، قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ:[1] }الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ{, شَقَّ ذَلِكَ عَلَى أَصْحَابِ النَّبِيِّ – `، وَقَالُوا: أَيُّنَا لَمْ يَلْبِسْ إِيمَانَهُ بِظُلْمٍ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ – `: «إِنَّهُ لَيْسَ بِذَاكَ، أَلاَ تَسْمَعُونَ إِلَى قَوْلِ لُقْمَانَ:[2] }إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ{».[3]

13 – Daripada ‘AbdulLāh – raḍiyalLāhu ‘anh, katanya: Tatkala turunnya ayat ini:  “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman,” para sahabat Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – ketika itu merasa tidak senang hati. Kata mereka: “Siapa di antara kita yang tidak bercampur keimanan mereka dengan kezaliman?” Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – lalu bersabda: “Sebenarnya ia bukan begitu. Apakah kamu tidak pernah mendengar ucapan Luqmān: “Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang sungguh dahsyat.”

MAKNA KALIMAH

Maḥabbah: Kasih yang mutlak ialah kasih kepada Allah – Jalla wa ‘Alā – dengan menyayangi apa yang Dia sayangi sebagaimana yang Dia beritahu di dalam Kitab-Nya, iaitu al-Qur’an. Seterusnya menerusi apa yang disampaikan oleh Rasul-Nya – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam. Kesemua itu dilakukan demi mencari keredaan-Nya. Manakala kasih  kepada makhluk Allah yang lain selepasnya adalah kelangsungan daripada rasa kasih kepada Allah.

ULASAN HADITH

Maḥabbah (kasih) adalah amalan hati yang penting. Ia adalah asas bagi terbangunnya sesuatu amalan sebagaimana ṣidq (benar) itu adalah asas kebolehpercayaan bagi setiap ucapan. Orang yang dikasihi itu dipanggil kekasih. Setiap Muslim wajib mengasihi Allah – Jalla wa ‘Alā. Tiadalah seorang hamba itu dikira Mu’min sehinggalah ia mengasihi Allah sebagai Rabb, Ilāh, Ḥākim dan Walīy. Patutkah seseorang hamba itu kasihkan selain Allah padahal Dialah Rabb yang mencipta segala-galanya. (6:164) Tiada sesiapa pun yang berkongsi dengan-Nya pada penciptaan langit dan bumi (46:4) dan Dialah yang Maha Kuasa ke atas kesemua makhluk ciptaan-Nya. Daripada Qatādah bin al-Nu‘mān, katanya: Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

«إِذَا أَحَبَّ اللهُ عَبْدًا حَمَاهُ الدُّنْيَا كَمَا يَظَلُّ أَحَدُكُمْ يَحْمِي سَقِيمَهُ المَاءَ».[6]

“Apabila Allah mengasihi seseorang hamba, Dia akan pelihara kepentingan dunianya sebagaimana seseorang kamu sentiasa memelihara pesakitnya akan keperluan air.”

Patutkah seorang hamba itu mencurahkan kasihnya kepada selain Allah dengan tunduk patuh memberi khidmat walaupun berlawanan dengan perintah Allah, padahal Dialah Ilāh yang sepatutnya dise-rahkan pengabdian diri sepenuhnya. (6:162-163)

Patutkah seseorang hamba itu mencurahkan kasih kepada selain Allah dengan membelakangkan hukum Allah dan menerima hukum yang bukannya hukum Allah bagi mengatur kehidupannya? Padahal Allah – Jalla wa ‘Alā – telah menurunkan al-Qur’an bagi mengatur kehidupan manusia di muka bumi ini. (6:114)

Patutkah seseorang hamba itu kasihkan selain Allah sehingga tergamak berkasih sayang dengan musuh-musuh Allah, lalu ia membenci apa yang Allah turunkan sebagaimana mereka membencinya. [47:

KECINTAAN KEPADA MAKHLUK

Kecintaan kepada makhluk bukanlah kecintaan yang mutlak. Ia tertakluk pada batas yang dibenarkan oleh Allah – Jalla wa ‘Alā. Berikut ini adalah penjelasannya:

1.  Rasul: Setiap Muslim wajib mengasihi Rasul – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam. Yahudi mendakwa mereka adalah kekasih Allah. Demikian juga Nasrani, mereka mendakwa bahawa mereka adalah kekasih Allah. (5:18) Kalau mereka benar kasihkan Allah dan menjadi kekasih Allah, Allah uji mereka dengan perintah mengikut Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam. Justeru kasihkan baginda adalah lanjutan daripada kasihkan Allah. (3:31) Daripada Anas bin Mālik, katanya: Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

«لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلَدِهِ، وَوَالِدِهِ، وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ».[7]

“Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku ini lebih dikasihi olehnya daripada anaknya, bapanya dan manusia seluruhnya.”

Namun begitu, kecintaan kepada baginda tidak boleh sampai ke peringkat pendewaan melewati batasan yang dibenarkan Allah. Justeru atas asas pendewaan, maka lahirnya kelompok Syiah. Daripada ‘Umar, katanya: Nabi  – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

«لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللهِ، وَرَسُولُهُ».[8]

“Janganlah kamu mendewa-dewakan daku sebagaimana golongan Nasrani mendewa-dewakan Putera Maryam. Sesungguhnya aku ini tidak lain adalah hamba-Nya, maka pangillah aku ini ‘AbdulLah dan Rasul-Nya.”

Sungguhpun para sahabat pernah mengambil berkat daripada rambut, air liur dan tubuh baginda yang mulia itu dan baginda tidak membantahnya, tetapi baginda juga mengingatkan mereka tentang hakikat sebenar maḥabbat al-Nabīy. Daripada ‘Abd al-Raḥmān bin Abū Qurād, katanya: Suatu hari Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – berwuduk, lalu para sahabat mengambil air wuduk baginda dan menyapunya ke badan mereka. Lalu baginda bertanya kepada mereka:

«مَا يَحْمِلُكُمْ عَلَى هَذَا؟».

“Apa yang mendorong kamu melakukan ini?”

Jawab para sahabat:

حُبُّ اللهِ وَرَسُولِهِ.

“Cintakan Allah dan Rasul-Nya.”

Lalu jawab Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam:

«مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُحِبَّ اللهَ وَرَسُولَهُ، أَوْ يُحِبَّهُ اللهُ وَرَسُولُهُ فَلْيَصْدُقْ حَدِيثَهُ إِذَا حَدَّثَ، وَلْيُؤَدِّ أَمَانَتَهُ إِذَا ائْتُمِنَ، وَلْيُحْسِنْ جِوَارَ مَنْ جَاوَرَهُ».[9]

“Sesiapa yang benar-benar kasihkan Allah dan Rasul-Nya atau ia ingin Allah dan Rasul mengasihinya, maka hendaklah ia membenarkan sabdanya apabila ia menyampaikannya, hendaklah ia menunaikan amanah apabila diserahkan amanah dan hendaklah ia berbuat dengan jiran yang tinggal di sekelilingnya.”

2.  Ulama’: Para ulama’ adalah golongan mulia yang dikasihi Allah kerana kelebihan ilmu, iman dan amal mereka. Justeru mereka adalah golongan yang hampir kepada Allah (35:28) dan menjadi pewaris para nabi, maka setiap Mu’min hendaklah menumpah perasaan kasih kepada para ulama’ mereka yang ikhlas dan taatkan Allah kerana telah membimbing mereka ke jalan syurga. Daripada Thawbān, katanya: Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

«اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ، وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ، وَحُبًّا يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ».[10]

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kasih-Mu, kasih orang yang mengasihi-Mu dan kasih yang menyampaikan daku kepada kasih-Mu.”

Daripada Tamīm bin Salamah, katanya:

«أَنَّ أَبَا عُبَيْدَةَ قَبَّلَ يَدَ عُمَرَ, رَحْمَةُ اللهِ عَلَيْهِمَا».[11]

“Sesungguhnya Abū ‘Ubaydah pernah mengucup tangan ‘Umar. Semoga Allah merahmati kedua-dua tokoh ini.”

Zayd bin Thābit juga pernah mengucup tangan Ibn ‘Abbās. Namun begitu, perbuatan mengucup tangan itu bukanlah menjadi kebiasaan, tetapi dilakukan sekali-sekala.

Namun begitu, menziarahi kubur para ulama’ dengan maksud bertawassul memohon doa, membayar nazar dan melakukan sembelihan di situ adalah perbuatan syirik. Justeru itu, Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – melarang mengembara kerana hendak mengambil berkat (tabarruk) kecuali kepada tiga buah masjid. Daripada Abū Hurayrah, katanya: Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

«لَا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ: مَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَسْجِدِي هَذَا وَالْمَسْجِدِ الْأَقْصَى».[12]

“Tidak boleh bersungguh-sungguh mengembara kecuali kepada tiga buah masjid: Masjid al-Ḥarām, masjidku ini dan Masjid al-Aqṣā.”

3.  Kaum keluarga: Allah memerintahkan orang-orang yang beriman mencintai kaum keluarganya. Menyediakan makanan yang sedap, tempat tidur yang empuk, membawa melancong dan bersiar-siar, membeli barang mainan dan hiburan bukanlah tanda kecintaan walaupun itu menyukakan mereka, tetapi tanda kecintaan ialah dengan berusaha menyelamatkan mereka daripada seksaan neraka. (66:6)

a.  Nenek moyang: Kasihkan nenek moyang janganlah sampai seorang Muslim menyalahi syariat dengan mengadakan kenduri meniga, menujuh, empat puluh dan meratus dengan majlis tahlilan dan yasinan bagi maksud menghadiahkannya kepada si mati. (53:39)

Daripada Jābir, katanya:

«نَهَى رَسُولُ اللهِ ` أَنْ يُكْتَبَ عَلَى الْقَبْرِ شَيْءٌ».[13]

“Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – melarang menulis sesuatu di atas kubur.”

Demikian juga baginda melarang menziarahi kubur dan meminta doa kepada mereka, atau membina binaan di atas kubur bagi tujuan memperingati mereka.

b. Isteri: (30:21) Isteri adalah teman hidup yang sentiasa mendampingi kita sepanjang hidup bersama. Ia menempuh segala susah senang bersama suami. Ajaran Islam menyuruh seorang suami menyayangi isterinya. Daripada Ibn ‘Abbās, katanya:

«خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ، وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي».[14]

“Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang paling baik kepada isterinya. Aku ini adalah orang yang paling baik di antara kamu kepada isteriku.”

Namun begitu, kecintaan kepada isteri janganlah sampai suami menjadi seorang yang dayyūth. (64:14) Daripada ‘Ammār bin Yāsir, katanya: Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

«ثَلَاثَةٌ لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ أَبَدًا: الدَّيُّوثُ مِنَ الرِّجَالِ، وَالرَّجُلَةُ مِنَ النِّسَاءِ، وَمُدْمِنُ الْخَمْرِ».[15]

“Tiga golongan yang tidak akan memasuki syurga selama-lamanya: Lelaki yang dayyūth, perempuan yang berperangai lelaki dan pemabuk arak.”

Maksud dayyūth itu ialah sikap suami yang membiarkan ahli keluarganya hanyut dalam maksiat tanpa usaha membimbing dan mendidiknya ke jalan yang benar.

c.  Anak-anak: Sayangkan anak adalah fitrah daripada Allah. (63:9) Daripada Abū Hurayrah, katanya: Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – mencium al-Ḥasan bin ‘Alīy dan ketika itu duduk di sisinya al-Aqra‘ bin Ḥābis al-Tamīmīy. Kata al-Aqra‘:

إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنَ الوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا.

“Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku tidak pernah mencium sesiapapun di antara mereka.”

Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – memandang al-Aqra‘, lantas baginda bersabda:

«مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ».[16]

“Sesiapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi.”

Tanda sayangkan anak-anak ialah mendidik mereka menghayati al-Qur’an dan al-Sunnah dengan mendorong mereka berkorban menyerahkan baki usia demi meninggikan kalimah Allah dalam kehidupan seharian di dunia ini. Hayati kisah Tamāḍir binti ‘Amru yang kehilangan empat orang anaknya dalam peperangan al-Qādisiyyah. Namun ia dengan kebanggaan imannya penuh yakin mengucapkan:

الْحَمْدُ للهِ الَّذِي شَرَّفَنِي بِقَتْلِهِم, وَأَرْجُو مِنْ رَبِّي أَنْ يَجْمَعَنِي بِهِمْ فِي مُسْتَقَرِّ رَحْمَتِهِ.[17]

“Segala pujian kesyukuran kepada Allah yang telah memuliakan daku dengan terbunuhnya mereka. Semoga Tuhanku menghimpunkan daku bersama mereka di dalam syurga yang melimpah ruah rahmatnya.”

4.  Bangsa dan tanah air: Kecintaan kepada bangsa dan tanah air adalah fitrah. Daripada ‘AbdulLāh bin ‘Adīy bin al-Ḥamrā’, katanya: Aku melihat Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – berada di atas untanya dan berhenti di al-Jazwarah sambil bersabda:

«وَاللهِ إِنَّكِ لَخَيْرُ أَرْضِ اللهِ، وَأَحَبُّ أَرْضِ اللهِ إِلَيَّ، وَاللهِ لَوْلَا أَنِّي أُخْرِجْتُ مِنْكِ، مَا خَرَجْتُ».[18]

“Demi Allah, sesungguhnya engkau adalah bumi Allah yang paling baik, bumi Allah yang paling aku sa-yangi. Demi Allah, kalaulah tidak kerana aku ini diusir daripadamu, tentu aku tidak akan keluar berhijrah.”

Namun begitu kecintaan kepada bangsa dan tanah air janganlah sampai ke tahap menolong bangsa melakukan kezaliman ke atas orang lain. Daripada Abū Hurayrah, katanya: Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

«مَنْ خَرَجَ مِنَ الطَّاعَةِ، وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ، مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً، وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ، أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ، أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً، فَقُتِلَ، فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ، وَمَنْ خَرَجَ عَلَى أُمَّتِي، يَضْرِبُ بَرَّهَا وَفَاجِرَهَا، وَلَا يَتَحَاشَى مِنْ مُؤْمِنِهَا، وَلَا يَفِي لِذِي عَهْدٍ عَهْدَهُ، فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ».[19]

“Sesiapa yang keluar daripada ketaatan dan memecahbelahkan jamā‘ah, maka matinya adalah mati jahiliah. Sesiapa yang berperang di bawah panji-panji fanatik, benci kerana fanatik perkauman, menyeru kepada fanatik perkauman, menyokong fanatik perkauman, lalu ia terbunuh, maka ia adalah korban jahiliah. Sesiapa yang keluar memerangi umatku, memukul yang baik dan jahatnya tanpa mempedulikan kalangan Mu’min di dalamnya dan tidak mengambil kira perjanjian yang sudah diikat, maka ia bukan dari kalanganku dan aku juga bukan dari kalangannya.”

Demikian juga usaha mempromosi warisan tradisi bangsa seperti busana dan aktiviti kesenian kerana takut ditelan dek zaman walaupun bertentangan dengan syariat Allah adalah usaha yang membawa kepada syirik. Bahkan ada yang berbangga dengan kebangsaan jahiliah itu, tetapi tidak merasa ‘izzah sebagai seorang Muslim. (35:10)

5. Perniagaan dan harta benda: Peniaga yang amanah, bekerja kuat, sentiasa mengingati Allah dan berusaha mencari keredaan-Nya adalah peniaga yang menguruskan perniagaan yang tidak akan rugi. (24:37-38) Itu adalah jaminan Allah ke atas hamba-hamba-Nya. (35:29) Bahkan menerusi usaha perniagaannya boleh menyelamatkan diri daripada seksaan Allah di Hari Akhirat kelak. (61:10-12) Khuatirkan kerugian dalam perniagaan, sebahagian peniaga hampir terlupa bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara. (37:38) Ia bertungkus lumus memelihara urusan perniagaannya sehingga tergamak mengabaikan urusan agamanya. (62:9) Daripada Abū Hurayrah, katanya: Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

«إِنَّ الله يُبْغِضُ كُلَّ جَعْظَرِيٍّ جَوَّاظٍ صَخَّابٍ فِي الْأَسْوَاقِ, جِيفَةٍ بِاللَّيْلِ, حِمَارٍ بِالنَّهَارِ, عَالِمٍ بِالدُّنْيَا, جَاهِلٍ بِالْآخِرَةِ».[20]

“Sesungguhnya Allah murka pada tiap-tiap orang yang keras hatinya lagi sombong, luas pergaulannya dan pandai tawar menawar di pasar. Pada malam hari tidur keletihan bagaikan bangkai, manakala pada siangnya bekerja kuat bagaikan keldai. Bijak tentang dunia, tetapi jahil tentang akhirat.”

Akibat sayangnya terhadap perniagaan, ia bersikap tamak, bakhil dan tidak mahu menolong orang lain. Ia beranggapan bahawa kejayaan yang diper-olehinya adalah hasil kebijaksanaannya, (28:78) bukan anugerah daripada Allah. Ia menjadi terlalu berkira kerana lebih selesa menimbun (102:1-8) daripada menyumbang. (64:16)

6.  Rumah kediaman dan kenderaan: Rumah kediaman yang selesa dan kenderaan yang baik itu adalah antara nikmat yang boleh memudahkan urusan seseorang. Daripada Sa‘d, katanya: Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

«إِنَّ مِنَ السَّعَادَةِ: الزَّوْجَةَ الصَّالِحَةَ، وَالْمَسْكَنَ الصَّالِحَ، وَالْمَرْكَبَ الصَّالِحَ».[21]

“Sesungguhnya di antara tanda kebahagiaan itu ialah: Isteri yang salihah, rumah kediaman yang baik dan kenderaan yang baik.”

Namun begitu menghabiskan masa dengan menumpu penuh perhatian kepada menghias rumah sehingga tergamak meremehkan peringatan Allah dan Rasul-Nya dengan memasukkan benda-benda yang dilarang ke dalamnya, maka perbuatan sedemikian boleh membawa syirik kepada Allah. Daripada Umm al-Mu’minīn ‘Ā’ishah, katanya: Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

«إِنَّ البَيْتَ الَّذِي فِيهِ الصُّوَرُ لاَ تَدْخُلُهُ المَلاَئِكَةُ».[22]

Sesungguhnya rumah yang terdapat di dalamnya gambar, tidak dimasuki malaikat.

Ada juga yang cerewet menjaga kenderaan sampai ke tahap melampau membeleknya sehingga melalaikan atau melampau mengubahsuai sehingga mengganggu jiran dan pengguna jalan raya yang lain. Daripada ‘Amru bin al-Ḥamiq, katanya: Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

«إِذَا أَحَبَّ اللهُ عَبْدًا عَسَلَهُ» .

“Apabila Allah menyukai seseorang hamba, Dia tunjukkan tandanya.”

Beliau bertanya:

يَا رَسُولَ اللهِ وَمَا عَسَلَهُ؟

“Wahai Rasulullah, apakah tandanya?”

Jawab baginda:

«يُوَفِّقُ لَهُ عَمَلًا صَالِحًا بَيْنَ يَدَيْ أَجَلِهِ حَتَّى يَرْضَى عَنْهُ جِيرَانُهُ».

“Allah memberi tawfiq kepadanya melakukan amalan salih sepanjang hidupnya sehingga menyenangkan jirannya.”

Atau baginda bersabda:

«مَنْ حَوْلَهُ».[23]

“Orang yang di sekelilingnya.”

Tumpuan berlebihan kepada rumah kediaman dan kenderaan sehingga tidak berkesempatan mencari ilmu pengetahuan, melibatkan diri berjuang dan berkorban pada jalan Allah tentulah sesuatu yang merugikan. (48:11; 9:65) Tunggulah saat Allah mendatangkan keputusannya. (9:24)

7.  Kekasih hati: Ramai anak-anak muda hari ini begitu teruja memiliki kekasih. Seluruh pemikiran dan perasaannya ditumpukan terhadap buah hatinya. (2:165) Maka pelbagai usaha dilakukan bagi menambat hati kekasih sehingga ada suatu hari yang dinamakan Valentine Day atau Hari Kekasih rekaan kaum yang menjadi musuh Allah, tetapi disambut penuh bernafsu oleh kalangan yang jahil tentang hakikat kehidupan ini. Maka banyaklah perbuatan maksiat dilakukan atas keprihatinan hendak menambat hati kekasih sehingga tergamak membelakangkan Allah dan Rasul. Bahkan seluruh hidupnya tunduk di bawah bayangan pengaruh kekasih sehingga sanggup menyerah apa sahaja bagi mencari keredaannya hatta tergamak menyerahkan maruah dan harga diri. Daripada Anas bin Mālik, katanya: Seorang lelaki berada di sisi Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam. Ketika itu melintas seorang lelaki, lalu lelaki itu berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي لَأُحِبُّ هَذَا.

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku benar-benar mencintai lelaki ini.”

Lalu Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda kepadanya:

«أَعْلَمْتَهُ؟».

“Sudahkah engkau memberitahunya?”

Jawabnya:

لَا.

“Tidak.”

Baginda bersabda:

«أَعْلِمْهُ».

“Beritahulah kepadanya.”

Kata Anas: Ia pun mengekorinya. Lalu katanya kepada lelaki itu:

إِنِّي أُحِبُّكَ فِي اللهِ.

“Sesungguhnya aku mencintaimu kerana Allah.”

Jawab lelaki itu:

أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ.[24]

“Semoga Dia yang mendorong engkau mencintaiku kerana-Nya mencintaimu.”

Kehidupan dunia ini bagai musafir. Tumpahkan kecintaan kepada Allah dengan bertakwa kepada-Nya, bertaubat dan memperbanyakkan amalan kebaikan. Daripada Anas, katanya: Seorang lelaki datang menemui Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam, lalu katanya:

يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي أُرِيدُ سَفَرًا فَزَوِّدْنِي.

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ini hendak bermusafir, berikanlah bekalan kepadaku.”

Nasihat baginda:

«زَوَّدَكَ اللهُ التَّقْوَى».

“Semoga Allah bekalkan ketakwaan kepadamu.”

Katanya:

زِدْنِي.

“Tambahkan lagi.”

Nasihat baginda lagi:

«وَغَفَرَ ذَنْبَكَ».

“Semoga Dia mengampunkan dosamu.”

Katanya:

زِدْنِي بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي.

“Bi abī anta wa ummī, tambahkan lagi.”

Nasihat baginda lagi:

«وَيَسَّرَ لَكَ الخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ».[25]

“Semoga Allah permudahkanmu melakukan kebaikan walau di mana engkau berada.”

PENGAJARAN

Ada beberapa pengajaran yang dapat disimpulkan daripada perbincangan ini. Antaranya ialah:

  1. Setiap Muslim hendaklah menerima Allah sebagai Rabb, Ilāh, Ḥākim dan Walīy.
  2. Hubungan kasih sayang kepada selain Allah adalah lanjutan daripada perasaan kasih sayang kepada Allah, bukannya mutlak.
  3. Tiada kasih sayang kepada makhluk yang derhakakan Khāliq.
  4. Berkasih sayang sesama makhluk sehingga tergamak menderhakai Allah adalah perbuatan syirik.
  5. Dosa akibat perbuatan syirik tidak diampunkan Allah selagi pelakunya tidak bertaubat dan kembali semula mentawhidkan-Nya.



[1]     Sūrah al-An‘ām, 6:82.

[2]     Sūrah Luqmān, 31:13.

[3]     Ṣāḥīḥ al-Bukhārīy [6918].

[4]     Ṣāḥīḥ al-Bukhārīy [3808].

[5]     Al-Mu‘jam al-Kabīr [8432].

[6]     Sunan al-Tirmidhīy [2036]. Taḥqīq Abū ‘Īsā: Hadith Ṣaḥīḥ.

[7]     Sunan Ibn Mājah [67]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ṣaḥīḥ.

[8]     Ṣaḥīḥ Ibn Ḥibbān [6620].

[9]     Sha‘b al-Īmān li al-Bayhaqīy [1440]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ḥasan.

[10]    Al-Mustadrak li al-Ḥākim [1932]. Taḥqīq al-Ḥākim: Hadith Ṣaḥīḥ menurut syarat al-Bukhārīy.

[11]    Muṣannaf Ibn Abī Shaybah [26208].

[12]    Sunan Ibn Mājah [1409]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ṣaḥīḥ.

[13]    Sunan Ibn Mājah [1409]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ṣaḥīḥ.

[14]    Sunan Ibn Mājah [1977]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ṣaḥīḥ.

[15]    Jāmi‘ Bayān al-‘Ilmi wa Faḍlih [1561].

[16]    Ṣāḥīḥ al-Bukhārīy [5997].

[17]    Al-Wāfi bi al-Wafayāt, 10:244.

[18]    Sunan Ibn Mājah [3108]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ṣaḥīḥ.

[19]    Ṣaḥīḥ Muslim, 53-[1848].

[20]    Al-Sunan al-Kubrā li al-Bayhaqīy [20804].

[21]    Al-Mu‘jam al-Awsāṭ [3610].

[22]    Ṣaḥīḥ al-Bukhārīy [5181].

[23]    Al-Mustadrak ‘alā al-Ṣaḥīḥayn [1258]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ṣaḥīḥ.

[24]    Sunan Abī Dāwūd [5125]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ḥasan.

[25]    Sunan al-Tirmidhīy [3444]. Taḥqīq Abū ‘Īsā: Hadith Ḥasan Ṣaḥīḥ.

Komen dan Soalan