Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 13: Rasulullah Berjumpa Para Nabi

Hadis 13: Rasulullah Berjumpa Para Nabi

503
0
Iklan

 Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah

Hadis 13

 

13- حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، قَالَ: أَخْبَرَنِي اللَّيْثُ بْنُ سَعْدٍ، عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «عُرِضَ عَلَيَّ الْأَنْبِيَاءُ، فَإِذَا مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ ضَرْبٌ مِنَ الرِّجَالِ، كَأَنَّهُ مِنْ رِجَالِ شَنُوءَةَ، وَرَأَيْتُ عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ، فَإِذَا أَقْرَبُ مَنْ رَأَيْتُ بِهِ شَبَهًا عُرْوَةُ بْنُ مَسْعُودٍ، وَرَأَيْتُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ، فَإِذَا أَقْرَبُ مَنْ رَأَيْتُ بِهِ شَبَهًا صَاحِبُكُمْ، يَعْنِي نَفْسَهُ، وَرَأَيْتُ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ، فَإِذَا أَقْرَبُ مَنْ رَأَيْتُ بِهِ شَبَهًا دِحْيَةُ.

13- Telah bercerita kepada kami Qutaybah bin Sa`id, dia berkata: Telah memberitahu saya Al-Lays bin Sa`d, daripada Abi z-Zubayr, daripada Jabir bin `Abdi Llah, bahawa Rasula Llah telah berkata: «Diperlihatkan kepada saya para Nabi, maka terdapat Musa yang kurus dari kalangan lelaki, seolah-olah dia dari kalangan lelaki-lelaki Syanu’ah. Dan saya telah melihat `Isa bin Maryam, maka yang paling dekat yang saya lihat menyerupaï dengannya ialah `Urwah bin Mas`ud. Dan saya telah melihat Ibrahim, maka yang paling dengat yang saya lihat menyerupaï dengannya ialah teman kamu, iaitu dirinya. Dan saya telah melihat Jibril, maka yang paling dekat yang saya lihat menyerupaï dengannya ialah Dihyah».

 

Syarah Adou_Fr:

 

Di dalam hadis ini, terdapat nama yang hampir sama iaitu (سعيد) Sa`id dan (سعد) Sa`d. Selain itu, nama yang hampir sama juga ialah (سعاد) Sa“ad dan (سعاد) Su`ad, dan kedua-dua ini mempunyaï ejaan `Arab yang sama. Justeru, sesiapa yang ingin menyebut nama ini, dia hendaklah menyebut dengan betul sama ada Sa`id, atau Sa`d, atau Sa“ad, atau Su`ad. Begitu juga sesiapa yang ingin menulis nama mereka dengan huruf latin, maka hendaklah dipastikan ejaan yang paling menghampiri bunyinya. Masalah nama rawi seperti ini, telah menghasilkan satu bidang ilmu baru, iaitu tentang perbezaan sebutan nama rawi bagi ejaan yang sama atau hampir sama. Imam Ad-Daraqutniy telah menulis sebuah buku bertajuk Al-Mu’talif Wal-Mukhtalif yang menghimpunkan hal ini.

 

Rawi hadis ini ialah Jabir bin `Abdi Llah, dan ini berbeza daripada Jabir bin Samurah yang disebut dalam hadis kesepuluh. Justeru, dalam ilmu hadis, apabila disebut nama seseorang rawi, maka hendaklah dikenal pasti, adalah dia – contohnya – bin `Abdi Llah atau bin Samurah, kerana ia ialah dua orang yang berbeza. Begitu juga ramai lagi rawi yang mempunyaï nama yang sama, atau nama dan nama bapa yang sama, atau rawi yang dikanna dengan kunyah yang sama, setiap mereka hendaklah dikenal pasti siapa dan siapa, agar tidak bertukar orang.

 

Sila rujuk hadis ketujuh, dan anda akan mendapati bahawa Imam At-Tirmiziy menyebut (وَأَبُو جَعْفَرٍ مُحَمَّدُ بْنُ الْحُسَيْنِ وَهُوَ ابْنُ أَبِي حَلِيمَةَ) dan Abu Ja`far Muhammad bin Al-Husayn – dan dia ialah Ibnu Abi Halimah –, dan tambahan (وَهُوَ ابْنُ أَبِي حَلِيمَةَ) – dan dia ialah Ibnu Abi Halimah – adalah untuk membezakan siapakah Muhammad bin Al-Husayn yang dimaksudkan. Disebut oleh Ibnu l-Mustawfiy dalam Tarikh Irbil beberapa nama iaitu:

a) Abu Ja`far Muhammad bin Al-Husayn bin Abi Halimah Al-Qasriy, guru Imam At-Tirmizi

b) Abu Ja`far Muhammad bin Al-Husayn Al-Barjalaniy (mati 238H), pengarang Az-Zuhdiyat dan guru Ibnu Abi d-Dunya

c) Abu Ja`far Muhammad bin Al-Husayn bin Abi Hunayn Al-Kufi (mati 277H), pengarang Al-Musnad

 

Selain itu, terdapat seorang lagi dengan nama yang sama iaitu:

d) Abu Ja`far Muhammad bin Al-Husayn bin Ibrahim Al-`Amiriy bin Isykab Al-Hafiz, guru Imam Al-Bukhariy dan Imam An-Nasa’iy.

 

Justeru, tambahan oleh Imam At-Tirmizi (وَهُوَ ابْنُ أَبِي حَلِيمَةَ) – dan dia ialah Ibnu Abi Halimah – adalah untuk membezakan rawi yang dimaksudkan agar tidak tersilap.

 

Di dalam hadis ini Nabi berkata: «Diperlihatkan kepada saya para Nabi» iaitu Nabi diperlihatkan ruh para Nabi ini dalam mimpi yang benar, dalam rupa sedemikian – sebagaimana rupa mereka semasa hidup –, atau rupa tubuh mereka ditunjukkan kepada Nabi semasa jaga – dalam keadaan yaqazah – ketika di Bayti l-Maqdis dan ketika dimi`rajkan ke langit.

 

Nabi diperlihatkan tiga orang Nabi iaitu Musa, `Isa dan Ibrahim, serta mala’ikat Jibril. Setiap satu mereka digambarkan dengan satu gambaran. Musa digambarkan seperti lelaki bangsa Syanu’ah, `Isa digambarkan seperti `Urwah bin Mas`ud, Ibrahim digambarkan seperti dirinya, dan Jibril digambarkan seperti Dihyah bin Khalifah Al-Kalbiy.

 

Gambaran ini hanyalah gambaran sahaja, dan ia mungkin gambaran bagi satu sifat atau keperibadian sahaja, bukanlah bulat-bulat seperti orang yang dinamakan tersebut. Contoh yang diberi dalam hadis, Nabi menyebut tentang Musa, (ضَرْبٌ مِنَ الرِّجَالِ) yang kurus dari kalangan lelaki. Kemudian, Nabi memberikan gambaran bahawa kurusnya Musa itu adalah seolah-olah kurusnya orang-orang daripada suku Syanu’ah, iaitu sebuah qabilah dari Yaman. Orang-orang lelaki qabilah ini berbadan kurus dengan daging yang sedikit, dan tidak berisi. Dan begitulah cara memahami perumpamaan atau permisalan seperti ini.

 

Di dalam hadis ini, walaupun `Isa digambarkan seperti `Urwah bin Mas`ud, tetapi para sahabat atau orang-orang Kristian zaman itu, mereka tidak sekali-kali menyamakan `Urwah bin Mas`ud seperti `Isa. Mereka tidak mengangkatnya sebagai seorang tokoh yang dipuja, juga tidak dimuliakan seperti seorang Nabi. Begitu juga dengan Dihyah, walaupun Jibril digambarkan seolah-olah menyerupaïnya, tetapi Dihyah tidak dinobatkan atau dimuliakan berlebih-lebihan.

 

Nabi tidak memperincikan apakah sifat yang diserupakan itu. Justeru, kita tidak dapat meneka apa yang tidak disebutkan oleh Nabi. Adakah yang serupa itu wajahnya? Atau warna kulitnya? Atau kurus gemuknya? Atau sifat apa? Justeru, pada perkara yang tidak diperincikan, maka hendaklah kita berhenti dan tidak memperincikannya.

 

شرح الديارية

لأحاديث الشمائل المحمدية

للإمام أبي عيسى محمد بن عيسى بن سورة

(المتوفي سنة 279 هجرية)

Syarhu d-Diyariyyah

Li’ahadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah

Lil-Imam Abi `Isa Muhammad bin `Isa bin Sawrah

Komen dan Soalan