Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 9: Disebalik Pendeknya Hadis Sifat Rasulullah Ini

Hadis 9: Disebalik Pendeknya Hadis Sifat Rasulullah Ini

368
0
Iklan

شرح الديارية

لأحاديث الشمائل المحمدية

للإمام أبي عيسى محمد بن عيسى بن سورة

(المتوفي سنة 279 هجرية)

Syarhu d-Diyariyyah

Li’ahadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah

Lil-Imam Abi `Isa Muhammad bin `Isa bin Sawrah

Hadis 9

 

9- حَدَّثَنَا أَبُو مُوسَى مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ سِمَاكِ بْنِ حَرْبٍ، قَالَ: سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ سَمُرَةَ، يَقُولُ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَلِيعَ الْفَمِ، أَشْكَلَ الْعَيْنِ، مَنْهُوسَ الْعَقِبِ. قَالَ شُعْبَةُ: قُلْتُ لِسِمَاكٍ: مَا ضَلِيعُ الْفَمِ؟ قَالَ: عَظِيمُ الْفَمِ، قُلْتُ: مَا أَشْكَلُ الْعَيْنِ؟ قَالَ: طَوِيلُ شِقِّ الْعَيْنِ، قُلْتُ: مَا مَنْهُوسُ الْعَقِبِ؟ قَالَ: قَلِيلُ لَحْمِ الْعَقِبِ.

 

9- Telah bercerita kepada kami Abu Musa Muhammad bin Al-Musanna: Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Ja`far, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Syu`bah, daripada Simak bin Harb, dia berkata: Saya telah mendengar Jabir bin Samurah, dia berkata: Rasulu Llah itu lebar mulut, mata bercorak, tumit bergigit. Berkata Syu`bah: Saya telah berkata kepada Simak: Apa itu lebar mulut? Dia berkata: Besar mulut. Apa itu mata bercorak? Dia berkata: Panjang bukaan mata. Saya berkata: Apa itu tumit bergigit? Dia berkata: Sedikit daging tumit.

 

Syarah Adou_Fr:

 

Hadis ini sebenarnya adalah pendek dan ia tamat pada (مَنْهُوسَ الْعَقِبِ) tumit bergigit. Jabir, iaitu seorang sahabiy, dia hanya menyebut tiga sifat Nabi dengan berkata: (كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَلِيعَ الْفَمِ، أَشْكَلَ الْعَيْنِ، مَنْهُوسَ الْعَقِبِ) Rasulu Llah itu lebar mulut, mata bercorak, tumit bergigit.

 

Walau bagaimanapun, seperti yang dilihat, masih ada lagi teks selepas ucapan Jabir tersebut. Ucapan itu datang daripada Syu`bah. Jika dilihat pada sanad (rantaian rawi) hadis ini, ia adalah seperti berikut:

 

Muhammad  Muhammad  Syu`bah  Simak  Jabir

 

Jadi ucapan Syu`bah ini: (قُلْتُ لِسِمَاكٍ) Saya telah berkata kepada Simak, ia merupakan suatu persoalan seorang anak murid kepada gurunya terhadap apa yang dia tidak fahami, kerana Syu`bah ialah anak murid Simak. Persoalannya adalah tentang maksud perkataan atau frasa yang tidak difahami di dalam hadis.

 

Sangat menghairankan kerana Syu`bah atau nama penuhnya Syu`bah bin Al-Hajjaj bin Al-Ward [85H-160H] yang digelar oleh Sufyan As-Sawriy dan Az-Zahabiy sebagai (أمير المؤمنين في الحديث) Amiru l-Mu’minin fi l-hadis, yang lahir di bandar (واسط) Wasit di `Iraq, yang tinggal di Basrah sehingga dia meninggal dunia, boleh bertanya kepada gurunya tentang setiap perkataan dalam hadis ini.

 

Lihatlah bahawa dia bertanya kepada Simak setiap ungkapan dalam hadis ini: (مَا ضَلِيعُ الْفَمِ؟) Apa itu lebar mulut?, (مَا أَشْكَلُ الْعَيْنِ؟) Apa itu mata bercorak?, (مَا مَنْهُوسُ الْعَقِبِ؟) Apa itu tumit bergigit?.

 

Bandingkan pula dengan pelajar pada zaman ini, tidak kira dalam apa juga disiplin ilmu, berapa ramaikan di antara mereka yang akan bertanya kepada gurunya? Tanyakan kepada para pelajar itu, adakah mereka benar-benar memahami apa yang diajar, atau mereka hanya berlakon dan berpura-pura? Syu`bah ini bukanlah orang yang bodoh, malah dia ialah Imam, Hafiz, Hujjah, tetapi dia masih bertanya. 

 

Tanyakan pula berapa ramai orang yang mempelajari hadis, dan hanya membiarkan hadis itu berlalu pergi tanpa bertanya apakah maksud hadis itu, dan bagaimana pula kefahaman hadis tersebut! Malah, berapa ramai yang tidak mengulang-ulang semula hadis yang dibaca atau dipelajari? Dan kemudian mereka mengaku bahawa mereka telah mempelajari hadis!

 

Seseorang yang jujur dalam menuntut ilmu, dia akan sentiasa bertanya, terutama kepada gurunya. Dia akan memastikan apa yang diterimanya itu sama seperti apa yang ingin diajar oleh gurunya. Dia akan memastikan bahawa dia memahami setiap apa yang diterima dan dipelajarinya.

 

Jabir iaitu perawi hadis ini menggunakan perkataan (ضَلِيعُ) lebar, yang dita`rifkan dalam kamus sebagai: (الْوَاسِعُ الْعَظِيمُ الْأَسْنَانِ) yang luas, yang besar gigi. Sifat ini dipuji dan oleh orang-orang `Arab, malah mereka mencela mulut yang kecil. Perkatan (ضَلِيعُ) lebar ini maksud asalnya ialah (الذي عظمت أضلاعه ووفرت فأجفر جنباه) orang yang membesar rusuknya dan ia menjadi besar hingga menjadi luas dua rusuknya. Justeru, ia diguna pakai untuk menggambarkan mulut besar, iaitu yang lebar, luas bukaannya, dan besar giginya.

 

Seterusnya Simak memberikan ta`rifan bagi (أَشْكَلُ الْعَيْنِ) mata bercorak dengan menjelaskannya sebagai (طَوِيلُ شِقِّ الْعَيْنِ) panjang bukaan mata. Walau bagaimanapun, ta`rifan ini adalah pelik, dan tafsir yang ganjil. Hal ini kerana sifat ini ialah sifat yang dicela oleh bangsa `Arab, bahkan tidak sabit sebagai sifat seseorang berbangsa `Arab. Justeru, Ibnu l-Asir menyebut ta`rifan bagi frasa ini sebagai: (فِي بَياضِهَا شَيْءٌ مِنْ حَمْرَةٍ) pada putihnya terdapat sedikit kemerahan.

 

Untuk bahagian terakhir, Jabir menyebut (مَنْهُوسُ الْعَقِبِ). Para pensyarah hadis ini menyebut bahawa lafaz ini diriwayatkan dengan dua lafaz, yang pertama (مَنْهُوسُ) dengan huruf sin, dan yang kedua (مَنْهُوشُ) dengan huruf syin. Yang pertama bermakna menggigit dengan gigi, manakala yang kedua bermakna menggigit dengan gigi geraham. Dalam konteks ini, tumit itu adalah sedikit dagingnya sehingga ia seolah-olah telah digigit atau dimakan sehingga hilang dagingnya.

 

Begitulah rumitnya bahasa yang digunakan dalam hadis, sehingga ia perlu dipelajari dan difahami dengan sebenar-benarnya, dan hendaklah menggunakan bahasa asalnya iaitu bahasa `Arab. Ini kerana, apabila seseorang hanya membaca terjemahan, separuh daripada ilmu hadis itu akan hilang, iaitu ilmu bahasa, morfologi kata, makna kalimah dan sebagainya. Maka adalah wajar bagi para pencinta Nabi, mula mempelajari bahasa `Arab – walaupun yang paling asas – sehingga sekurang-kurangnya dia dapat merasaï kenikmatan memahami kalam Nabi atau cerita-cerita sahabat tentang Nabi.

ترجمة وشرح باللغة الماليزية 

Terjemahan dan Syarah oleh

محمد عدلن بن محمد شريف الدين بن أحمد بن جعفر الدياري

ADÖULINÉ Lacharouphe

Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin

Komen dan Soalan