Iklan
Nota 01.11.03 Mengenal Sahabat & Tabi’in
Susunan: BroSyarief
AT-TAABI’I (التابعي)
Secara bahasa, ia bermaksud mengikuti atau menuruti. Secara teknikal, ia merujuk kepada generasi selepas para sahabat, yang bertemu dengan sahabat dalam keadaan dia muslim dan mati dalam keadaan muslim, walaupun pernah murtad dan kembali kepada Islam.
Golongan tabi’in juga mempunyai kelebihan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul, kerana dekatnya mereka kepada para Sahabat raadhiyalLaahu ‘anhum ajma’in.
Firman Allah ‘azza wa jalla (terjemahannya), “Dan orang-orang yang terdahulu dan lebih awal, di kalangan Muhajirin dan Ansar, dan YANG MENGIKUTI mereka dengan baik..” [at-Taubah(9):100]
Dan juga sabda baginda Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, “Sebaik-baik kurun adalah kurunku (bersama para sahabat), dan kemudian yang mengikuti mereka (yakni, tabi’in), dan kemudian yang seterusnya (yakni, tabi’ taabi’in)” [HR al-Bukhari & Muslim]
Sebagaimana ramainya para sahabat, jumlah tabi’in juga sangat ramai dan tidak dapat dihitung jumlahnya dengan tepat.
Mereka kebiasaannya dibahagikan kepada tiga peringkat, (i) Kibar Taabi’in atau Tabi’in Kubro, yang banyak riwayat terus dari sahabat, (ii) Wast at-Tabi’in, yang banyak meriwayatkan dari sahabat dan kibar tabi’in, dan (iii) Sighar at-Tabi’in, yang banyak meriwayatkan dari sesama Tabi’in dan sedikit dari Sahabat.
Di antara tulisan-tulisan menyebut tentang golongan atTabi’in:
01. Ma’rifatu at-Tabi’in, karangan Abu al-Muthorrif (w.402H)
02. Talqih Fuhum al-Atsar, karangan Ibn al-Jawzi (w.597H)
03. Jannatu an-Naadzirin fi Ma’rifatu at-Tabi’in, karangan Muhibuddin al-Baghdadi (w.643H), dan lain-lain.
AL-MUKHADRAM (المخضرم)
Secara bahasa ia mempunyai beberapa makna, antaranya menjadikan sesuatu di antara dua keadaan. Contohnya: Penyair mukhadram, iaitu mereka yang sempat hidup dalam era jahiliyah dan kemudian masuk Islam, jadi hidupnya di antara jahiliyah dan islam.
Adapun secara teknikal, menurut ulama hadits, Mukhadram merujuk kepada mereka yang memeluk Islam semasa Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam masih hidup, namun tak berkesempatan menemuinya.
Imam Muslim menyebutkan jumlah mereka seramai 30 orang, dan sebahagian ulama lain mengatakan jumlah mereka sekitar 40 orang.
Di antara golongan al-Mukhadram ialah al-Aswad ibn Yazid an-Nakhaie, ‘Amr ibn Maymun, Sa’ad ibn Iyas, Syuraih ibn Haani’, Ashhamah ibn Abjar dan lain-lain.
WalLaahu a’lam
Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.
#BroSyariefShares