Halangan kepada Syirik
Oleh kerana kesan akibat syirik itu adalah merugikan pelakunya, maka Islam telah menetapkan beberapa ketetapan bagi menghalang terjadinya:
- Mengambil gambar, melukis dan mengukirnya: Islam melarang mengambil gambar, melukis dan mengukirnya. Allah – Jalla wa ‘Alā – mengutuk jurugambar, pelukis dan pengukir dengan ancaman seksaan yang keras pada Hari Kiamat kelak. Larangan ini bertujuan menghalang jalan ke arah syirik dan menjauhi perbuatan membuat sesuatu yang menyerupai makhluk Allah. Daripada ‘AbdulLāh, katanya:
«إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا عِنْـــــــــــدَ اللهِ يَوْمَ القِيَامَةِ المُصَوِّرُونَ».[1]
“Sesungguhnya orang yang paling keras seksaannya di sisi Allah pada Hari Kiamat kelak ialah muṣawwir.”
- Mendewa-dewakan orang yang salih: Allah – Jalla wa ‘Alā – melarang perbuatan ghuluw fi al-ṣāliḥīn, iaitu mendewa-dewakan orang yang salih dengan memanggilnya dengan panggilan yang memuja. Daripada ‘Umar, katanya:
«لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللهِ، وَرَسُولُهُ».[2]
“Janganlah kamu mendewa-dewakan daku sebagaimana golongan Nasrani mendewa-dewakan Nabi ‘Īsā bin Maryam. Sesungguhnya aku ini tidak lain adalah hamba kepada Allah. Maka panggillah aku hamba Allah dan Rasul-Nya.”
- Bergantung harap kepada selain Allah: Allah – Jalla wa ‘Alā – menggambarkan diri-Nya adalah amat dekat dengan hamba-hamba-Nya. Ia mende-ngar dan memperkenankan segala permohonan hamba-Nya. Justeru Dia lebih dekat daripada urat leher hamba-hamba-Nya itu. (50:16) Oleh itu, apabila memohon, maka mohonlah kepada Allah, apabila meminta, maka mintalah kepada Allah. Daripada Ibn ‘Abbās, katanya: Suatu hari aku membonceng Rasulullah – ṣallalLahu ‘alayhi wa sallam, lalu baginda menasihatiku dengan sabdanya:
«يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ، احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ لَكَ، وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ».[3]
“Wahai anak muda, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana keatas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.”
Gambaran Syirik
- Allah – Jalla wa ‘Alā – menggambarkan orang yang mensyirikkan Allah itu seolah-olah ia jatuh dari langit, lalu disambar burung, atau dihumbankan angin ke tempat yang jauh. (22:31) Daripada al-Barrā’ bin ‘Ᾱzib, katanya: Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – menceritakan bahawa malaikat maut mengambil roh yang khabīth (keji) dan terus memasukkannya ke dalam kain kapan buruk. Terbit dari roh itu satu bau yang amat busuk seperti bau bangkai yang paling busuk di atas muka bumi ini. Kemudian malaikat-malaikat yang berwajah hitam tadi akan membawa roh yang berbau busuk itu naik ke langit. Apabila sampai ke langit dunia, para malaikat yang membawa roh itu memohon dibukakan pintu langit, namun tidak dibuka. (7:40)
Allah – Tabāraka wa Ta‘ālā – memerintah:
اكْتُبُوا كِتَابَهُ فِي سِجِّينٍ فِي الْأَرْضِ السُّفْلَى.
“Tuliskan kitabnya pada Sijjin yang paling rendah di bumi.”
Maka dilemparkanlah rohnya itu dengan satu lemparan.[4]
- Perbandingan lain adalah seperti seorang hamba yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi, tetapi bertentangan tabiat dan kemahuannya dengan seorang hamba yang hanya dimiliki oleh seorang tuan sahaja. Adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya? Jawapannya, tentulah tidak sama. (39:29) Daripada Abū Hurayrah, katanya: Nabi – ṣallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:
«أَنَا أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنِ الشِّرْكِ، فَمَنْ عَمِلَ لِي عَمَلًا أَشْرَكَ فِيهِ غَيْرِي، فَأَنَا مِنْهُ بَرِيءٌ، وَهُوَ لِلَّذِي أَشْرَكَ».[5]
“Aku adalah sekutu yang paling tidak memerlukan persekutuan. Sesiapa melakukan suatu amalan untuk-Ku, kemudian ia mempersekutukan diri-Ku padanya dengan yang lain daripada-Ku, maka Aku berlepas diri daripadanya dan ia menjadi milik apa yang ia persekutukan.”
PENGAJARAN
Ada beberapa pengajaran yang dapat disimpulkan daripada hadith ini. Antaranya ialah:
- Manusia asalnya adalah umat yang satu dan berpegang teguh dengan tawhid kepada Allah.
- Permulaan syirik berlaku pada zaman Nabi Nūḥ – ‘alayh al-salām.
- Syirik adalah perbuatan dosa yang tidak diampuni jika pelakunya tidak bertawbat. (4:48).
- Syirik adalah amalan buruk yang menghumban pelakunya ke dalam kesesatan. (4:116)
- Syirik menghapus kesemua pahala bagi amalan kebaikan yang dilakukan. (6:88)
- Syirik menyebabkan pelakukan diharamkan memasuki syurga dan kekal dalam neraka. (5:72)
- Pelaku syirik tidak layak mendapat syafaat Nabi – ṣallalLahu ‘alayhi wa sallam. Daripada ‘Awf bin Mālik al-Ashja‘īy, katanya: Nabi – ṣallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:
«أَتَانِي آتٍ مِنْ عِنْدِ رَبِّي فَخَيَّرَنِي بَيْنَ أَنْ يُدْخِلَ نِصْفَ أُمَّتِي الجَنَّةَ وَبَيْنَ الشَّفَاعَةِ، فَاخْتَرْتُ الشَّفَاعَةَ، وَهِيَ لِمَنْ مَاتَ لَا يُشْرِكُ بِاللهِ شَيْئًا».[6]
“Tawaran telah datang daripada Tuhanku untuk aku memilih di antara memasukkan separuh daripada umatku ke dalam syurga atau syafaat. Aku lalu memilih syafaat, iaitu untuk orang yang meninggal dunia dalam keadaan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.”
________________________
[1] Ṣāḥīḥ al-Bukhārīy [5950].
[2] Ṣāḥīḥ al-Bukhārīy [3445].
[3] Sunan al-Tirmidhīy [2516]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ṣaḥīḥ.
[4] Musnad Ahmad [18534]. Tahqiq Shu‘ayb al-Arna’ut et. al.: Isnadnya Sahih dan Rijalnya Sahih. Tahqiq al-Albaniy: Hadith Sahih. Lihat: Mishkat al-Masabih, 15-[1630].
[5] Sunan Ibn Mājah [4202]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ṣaḥīḥ.
[6] Sunan al-Tirmidhīy [2644]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ṣaḥīḥ.