Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-80
Kaum baginda tidak beraqidah tauhid. Maka ada pertentangan antara dua golongan itu.
وَحاجَّهُ قَومُهُ ۚ قالَ أَتُحٰجّونّي فِي اللَّهِ وَقَد هَدانِ ۚ وَلا أَخافُ ما تُشرِكونَ بِهِ إِلّا أَن يَشاءَ رَبّي شَيئًا ۗ وَسِعَ رَبّي كُلَّ شَيءٍ عِلمًا ۗ أَفَلا تَتَذَكَّرونَ
Dan dia dibantah oleh kaumnya, dia pun berkata: “Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Dia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?
وَحَاجَّهُ قَوْمُهُ
Dan dia dibantah oleh kaumnya.
Setelah diberikan hujah yang amat kuat, kaumnya masih lagi membantah dan berhujah dengan baginda. Begitu degil mereka untuk menerima kebenaran. Ini adalah jenis manusia yang tidak mahu mendengar cakap orang. Jenis yang tidak mahu menggunakan akal yang Allah ﷻ telah kurniakan.
Mereka tidak boleh terima yang Nabi Ibrahim عليه السلام tidak boleh menerima agama mereka. Sama juga seperti kita menegur masyarakat Islam di negara ini yang melakukan kesalahan dalam agama. Jika kita kata amalan-amalan mereka seperti nyanyian Qasidah, salat hajat berjemaah, majlis Tahlil, sambutan Maulid Nabi dan lain-lain amalan bid’ah itu semuanya salah, mereka akan bantah kita. Mereka tidak akan berpuas hati dengan kita.
Mereka hendak juga berhujah bahawa apa yang mereka amalkan itu adalah betul dan disukai oleh Allah ﷻ. Pelbagai hujah mereka akan beri. Tetapi hujah mereka bukanlah daripada dalil yang sahih. Malahan berlawanan dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Namun begitu oleh kerana mereka tidak belajar, mereka tidak tahu pun bahawa apa yang mereka buat itu berlawanan dengan apa yang diajar oleh Allah ﷻ dan Nabi ﷺ.
Kaum Nabi Ibrahim عليه السلام juga menyatakan kepada baginda, jikalau baginda tidak beragama seperti mereka dan sembah sembahan mereka itu, baginda akan dikenakan dengan bala. Mereka kata: tuhan-tuhan itu akan buat sesuatu yang tidak elok kepada baginda. Maknanya, mereka hendak menakutkan Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka hendak kata bahawa berhala dan sembahan mereka itu ada kuasa untuk memberi mudarat.
Masyarakat kita yang sesat ada juga hendak menakut-nakutkan dengan perkara-perkara karut seperti itu. Katakanlah kita hendak merobohkan tempat sembahan mereka seperti kubur yang ada di Pulau Besar sekarang; mereka akan menakutkan kita dengan mengatakan bahawa kita akan dikenakan dengan bala. Padahal sememangnya kubur tempat sembahan masyarakat itu mestilah dirobohkan kerana selagi tidak dirobohkan, selagi itu masyarakat Islam di negara ini dan negara-negara lain akan datang untuk membuat syirik tidak berkesudahan. Dulu dijadikan tempat sembahan puak tarekat, sekarang hendak dijadikan tempat sembahan puak-puak Habib pula. Puak-puak Habib pula mengajar masyarakat kita sembah kubur. Pernah terdapat golongan yang telah membuat pakej ‘pelancongan islamik’ iaitu pergi melawat kubur-kubur ke Pulau Besar itu.
Walau bagaimanapun, alhamdulillah, akhir-akhir ini, masalah ini telah dapat dibendung. Sekarang sudah tiada lagi pemujaan kubur secara terang-terangan dilakukan di tempat-tempat tersebut. Pujian harus diberikan kepada usaha dan kempen pencegahan aktiviti khurafat berterusan yang telah dilakukan kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
قَالَ أَتُحٰجُّونِّي فِي اللَّهِ
Dia berkata: “Apakah kamu hendak membantah dengan aku tentang Allah,
Nabi Ibrahim عليه السلام berhujah kepada kaumnya: Adakah kamu sanggup berbantah dengan aku tentang tauhid kepada Allah ﷻ?
Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام telah menyebut nama Allah ﷻ, bukan digunakan perkataan ربّ dalam bentuk umum lagi. Ini menunjukkan bahawa memang baginda telah kenal Allah ﷻ. Dan sememangnya kaum baginda pun kenal Allah ﷻ sebenarnya.
Baginda telah lama kenal nama Allah ﷻ. Maka, tidak benarlah jika ada yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام lihat bintang, bulan dan matahari itu sebab ingin mencari Tuhan. Sebaliknya Nabi Ibrahim عليه السلام sememangnya sudah kenal Tuhan dan nama-Nya adalah Allah ﷻ.
وَقَدْ هَدَانِ
sedangkan sesungguhnya Dia telah memberi petunjuk kepadaku
Sambung Nabi Ibrahim عليه السلام: “Takkan hendak sembah lain pula sedangkan Allah ﷻ sendiri telah memimpin hatiku mengenali-Nya atas akidah tauhid?”
Ayat ini memberi isyarat kepada kita bahawa Allah ﷻ telah memberi wahyu kepada baginda. Ini kerana Nabi Ibrahim عليه السلام menggunakan perkataan هَدَانِ (memberi hidayah kepadaku). Maknanya, Allah ﷻlah yang telah mengajar baginda cara-cara berdakwah seperti yang telah dilakukannya dalam beberapa ayat sebelum ini. Allah ﷻlah yang mengajar baginda bagaimana untuk bercakap dengan kaumnya itu.
Nabi Ibrahim عليه السلام berkata: Bagaimana kamu boleh lagi membantah aku tentang Allah ﷻ sedangkan aku telah memberi hujah-hujah yang kukuh untuk membuktikan kebenaran-Nya?
Begitulah kaum Nabi Ibrahim عليه السلام. Dan begitu juga dengan puak-puak ahli bid’ah di negara ini. Setelah diberi hujah yang kukuh, masih lagi hendak bantah. Ini kerana hati mereka telah lama condong kepada kesyirikan.
وَلَا أَخَافُ مَا تُشْرِكُونَ بِهِ
Dan aku tidak takut kepada (malapetaka daripada) sembahan-sembahan yang kamu persekutukan dengan Allah,
Kaum Nabi Ibrahim عليه السلام telah mengancam baginda seperti yang telah disebut tadi. Mereka kata kalau baginda kutuk sembahan mereka, baginda akan ditimpa bala daripada tuhan-tuhan mereka itu. Sebagaimana golongan musyrik negara kita yang kata tok wali mereka akan sumpah kita.
Nabi Ibrahim عليه السلام kata baginda tidak takut kepada ancaman mereka kerana tuhan-tuhan sembahan mereka itu tidak boleh mengenakan apa-apa langsung kepada diri baginda.
Begitu juga kita kena ada akidah sebegitu. Jika ada tempat sembahan syirik di negara kita, kita sepatutnya mesti musnahkan tanpa rasa takut. Ini perlu dilakukan kerana penting untuk menjaga akidah umat Islam. Maka, kalau kita musnahkan, maka jangan takut kalau-kalau kita kena penyakit, menjadi gila, busung perut dan sebagainya.
Mereka yang ada perasaan takut seperti itu adalah mereka yang ada kepercayaan khurafat dalam diri mereka. Kita kena yakin yang tidak ada apa-apa entiti yang ada kuasa untuk beri mudarat kepada kita jika Allah ﷻ tidak mengizinkan.
Memang orang beriman selalu ditakut-takutkan oleh mereka yang tidak beriman. Antaranya mereka kata, kalau kita hantar anak kita belajar sekolah agama, belajar Al-Qur’an dan hadith nanti apa mereka hendak kerja nanti, mereka akan susah dapat kerja; kalau pakai tudung tutup aurat, susah dapat suami; kalau tidak amalkan riba, susah kita hendak beli rumah dan macam-macam lagi; jangan kita hiraukan dengan kata-kata mereka.
إِلَّا أَن يَشَاءَ رَبِّي شَيْئًا
kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu (dari malapetaka) itu.
Kecuali kalau Allah ﷻ sendiri yang mahu mengenakan bala ke atas kita, maka kita akan dikenakan bala itu kerana tidak ada kuasa apa-apa pun selain daripada Allah ﷻ yang boleh mengenakan bala kepada kita. Maka, jangan kita percaya kalau kita menyatakan kesyirikan sembahan tuhan orang kafir itu, kita boleh terkena bala. Kita kena takut hanya kepada Allah ﷻ sahaja.
Kalau kita buat benda yang baik, tetapi masih dikenakan dugaan, dikenakan bala, maka hendaklah kita terima itu sebagai ujian daripada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ memang sudah beritahu kita yang Dia akan memberikan ujian kepada kita selagimana kita hidup di dunia ini.
Dan sesuatu perkara itu tidak akan terjadi tanpa kehendak Allah ﷻ dan izin Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ memang sudah tetapkan bahawa kita akan diuji. Memang itulah yang akan kita dapat dari masa ke semasa.
وَسِعَ رَبِّي كُلَّ شَيْءٍ عِلْمًا
Ilmu Tuhanku meliputi segala sesuatu
Ilmu pengetahuan Allah ﷻ meliputi segala sesuatu. Apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita, Allah ﷻ tahu kerana Allah ﷻlah yang melakukannya.
Jangan pula kita percaya daripada ayat ini yang Dzat Allah ﷻ ‘meliputi alam’ ini. Kerana yang dimaksudkan ‘meliputi’ itu adalah ilmu Allah. Oleh kerana salah faham, ada yang kata Allah ﷻ ada di mana-mana. Itu sebenarnya sudah menghina Allah ﷻ – kerana kalau Allah ﷻ ada di mana-mana, tentu Allah ﷻ ada dalam poket kita, dalam rumah kita, dalam tandas kita dan sebagainya. Maka tolaklah fahaman itu.
Apabila seseorang itu ada tauhid, beriman benar dengan Allah ﷻ, maka dia akan menjadi yakin. Dia tahu bahawa tidak ada apa-apa pun yang boleh memudaratkan dirinya tanpa izin Allah ﷻ. Maka dia tidak takut kepada hantu, kepada jin, kepada ancaman manusia dan sebagainya.
Yang kita perlu takut hanyalah kepada Allah ﷻ. Jin dan syaitan memang suka kalau kita takut kepada mereka, kepada hantu dan sebagainya. Apabila kita disuruh takut hanya kepada Allah ﷻ, tetapi jika kita lebih takut hantu daripada Allah ﷻ, maka ada masalah dalam akidah kita.
أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ
Maka kenapakah kamu tidak dapat mengingati?”
Untuk kita ‘ingat’ sesuatu, mulanya hendaklah kita ada benda yang perlu diingati, bukan? Iaitu kita telah tahu sesuatu perkara itu, cuma perlu diingatkan sahaja, bukan? Maka, kenapa perkataan تَتَذَكَّرُونَ digunakan dalam ayat ini?
Ini adalah kerana manusia telah kenal Allah ﷻ semasa dalam alam roh lagi. Fitrah kita sebagai manusia adalah kenal Allah ﷻ. Cuma kita sahaja lupa setelah dilahirkan dalam dunia ini. Maka, ajaran semua Nabi dan Rasul adalah untuk mengingatkan kembali kita kepada fitrah kita itu.
Tafsir Ayat Ke-81
وَكَيفَ أَخافُ ما أَشرَكتُم وَلا تَخافونَ أَنَّكُم أَشرَكتُم بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ عَلَيكُم سُلطٰنًا ۚ فَأَيُّ الفَريقَينِ أَحَقُّ بِالأَمنِ ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ
Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?
وَكَيْفَ أَخَافُ مَا أَشْرَكْتُمْ
Bagaimana aku takut kepada sembahan-sembahan yang kamu persekutukan (dengan Allah),
Kenapa pula kita hendak takut kepada ilah-ilah sembahan mereka? Kita tidak boleh takut kepada selain daripada Allah ﷻ. Jika kita takut kepada selain daripada Allah ﷻ, maka itu adalah syirik kerana kita percaya bahawa ada benda lain selain daripada Allah ﷻ yang boleh memberi mudarat kepada kita.
وَلَا تَخَافُونَ
padahal kamu tidak takut
Takkan kita hendak takut kepada sembahan syirik mereka tetapi mereka tidak takut pula dengan Allah ﷻ yang Maha Kuasa? Ilah mereka tidak boleh membuat apa-apa, tetapi Allah ﷻ memang mampu untuk buat segala-galanya.
أَنَّكُمْ أَشْرَكْتُم بِاللَّهِ
Sesungguhnya kamu mempersekutukan Allah
Sungguh menghairankan bagaimana mereka hendak menakutkan Nabi Ibrahim عليه السلام dengan sembahan mereka tetapi mereka tidak takut pun dengan perbuatan mereka mensyirikkan Allahﷻ .
Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim عليه السلام dengan jelas memberitahu kepada kaumnya yang mereka itu telah melakukan syirik. Maka, kenapa kita takut untuk menegur masyarakat kita tentang amalan syirik mereka? Kita kena berani cakap kepada mereka. Jika kita tidak cakap, mereka tidak tahu dan terus dalam kesesatan. Apabila mereka tidak tahu, mereka akan terus melakukan perbuatan syirik.
مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ عَلَيْكُمْ سُلْطٰنًا
yang Allah sendiri tidak menurunkan hujah kepadamu
Perkataan سُلْطَانًا bermaksud ‘dalil’. Apabila kita buat sesuatu amalan atau kefahaman, kenalah ada dalil yang sah. Tidak boleh kita memandai-mandai reka hal agama. Namun amat malang sekali, ramai masyarakat kita buat amalan tanpa dalil. Sama ada dalil aqli atau dalil naqli.
فَأَيُّ الْفَرِيقَيْنِ أَحَقُّ بِالْأَمْنِ
Maka manakah di antara dua golongan itu yang lebih berhak memperoleh keamanan
Dua golongan yang dimaksudkan itu adalah Nabi Ibrahim عليه السلام dan pihak Musyrikin daripada kaumnya, antara puak syirik dan puak tauhid.
‘Aman’ bermaksud apabila kita rasa tenang daripada sesuatu yang kita tidak nampak dan perkara-perkara ghaib. Bukankah kita selalu takut dengan perkara-perkara yang kita tidak nampak?
Di antara dua golongan ini manakah yang lebih layak mendapat keamanan daripada murka dan azab Allah ﷻ? Bagaimana pihak musyrikin akan dapat berasa aman jika mereka sentiasa takut dengan perkara yang tidak benar?
Orang yang membuat syirik tidak berasa tenang, tidak aman. Aman hanya datang daripada iman. Mereka mungkin duduk senang dan selamat dalam rumah mereka, tetapi hati mereka tidak aman.
إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
jika kamu mengetahui?
Tentulah yang berada di atas jalan tauhid itu lebih aman. Mereka akan tenang sahaja walau apa yang terjadi kepada mereka. Untuk mengetahui, kenalah belajar. Kenalah belajar agama sampai faham.
Tafsir Ayat Ke-82
Ayat ini adalah jawapan kepada ayat sebelum ini tentang siapakah yang lebih layak mendapat aman daripada dua golongan? Allah ﷻ jawab soalan itu dalam ayat ini. Jadi ini adalah ayat jenis idkhal ilahi (Allah ﷻ selit maklumat baru).
الَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يَلبِسوا إيمٰنَهُم بِظُلمٍ أُولٰئِكَ لَهُمُ الأَمنُ وَهُم مُّهتَدونَ
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
الَّذِينَ ءآمَنُوا
Orang-orang yang beriman
Orang yang mendapat keamanan adalah orang yang beriman, iaitu yang ‘beriman sempurna’. Mereka yang ‘beriman sempurna’ itu adalah mereka yang tidak melakukan syirik.
Ini penting kerana ada masyarakat yang memang beriman, di mana mereka memang percaya kepada Allah ﷻ, kepada Nabi dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama, mereka percaya kepada perkara khurafat, tahyul dan sebagainya. Maka, iman yang sebegini bukanlah jenis yang ‘beriman sempurna’. Sia-sia sahaja iman mereka kerana hakikatnya mereka sedang melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Mereka yang sebegini tidak akan selamat di akhirat.
Dan yang masyarakat kita paling kurang tahu adalah tentang doa hanya kepada Allah ﷻ. Oleh kerana tidak tahu tentang perkara ini, maka ramai yang berdoa melalui Nabi, wali dan malaikat untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ. Ini dinamakan tawasul.
وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمٰنَهُم بِظُلْمٍ
dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik),
Makna perkataan ظ ل م adalah ‘tidak memberi hak kepada yang berhak’. Sebagai contoh, jika kita sebagai suami tidak memberikan hak kepada isteri kita, maka kita akan dianggap sebagai zalim. Atau seorang pemimpin tidak memberikan hak kepada rakyatnya, dia pun akan dikira sebagai zalim juga. Namun, apakah maksud yang hendak dibawa dalam ayat ini?
Di sini ia bermaksud orang yang selamat adalah mereka yang tidak mencampur adukkan iman dengan syirik. Ini kerana ada orang Islam yang beriman dengan perkara yang perlu diimani, tetapi dalam masa yang sama, mereka ada membuat syirik juga.
Kita tahu bahawa Allah ﷻlah sahaja yang berhak disembah. Tidak boleh kita sembah dan menghambakan diri kepada selain Allah ﷻ. Namun begitu masih ramai lagi yang menyembah selain Allah ﷻ. Itu bermakna, mereka tidak memberikan hak Allah ﷻ sepenuhnya. Oleh kerana apabila manusia tidak memberikan hak Allah ﷻ, maka mereka sebenarnya telah melakukan ‘kezaliman’.
Oleh itu, kezaliman yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘kesyirikan’. Itulah yang kita katakan sebelum ini, ramai yang beriman, tetapi mereka tidak beriman dengan sempurna kerana mereka mencampur adukkan iman mereka kepada Allah ﷻ dengan iman mereka kepada selain Allah ﷻ.
Perkataan يَلْبِسُوا berasal daripada katadasar ل ب س yang bermaksud ‘mencampur-adukkan’. Orang yang mencampur-adukkan itu percaya kepada Allah ﷻ dan dalam masa yang sama percaya kepada selain Allah ﷻ, maka mereka telah melakukan kezaliman dan kesyirikan. Mereka mencampur adukkan iman kepada Allah ﷻ dan iman kepada selain Allah ﷻ. Banyak contoh telah kita berikan dalam tulisan-tulisan kita sebelum ini.
Sebagai contoh, ada yang percaya yang Nabi Muhammad ﷺ yang telah wafat itu boleh lagi mendengar seruan kita, maka ada dalam kalangan masyarakat kita yang tidak segan silu telah meminta syafaat baginda dan bermacam permintaan lagi. Mereka sangka dan beriktikad yang Nabi Muhammad ﷺ masih hidup lagi (fahaman hayati [Nabi masih ada hayat]). Ini adalah fahaman yang salah dan tidak diterima oleh kita.
Itu adalah satu bentuk ‘mencampur-adukkan’ iman mereka kerana sepatutnya mereka tahu bahawa hanya Allah ﷻ sahaja entiti ghaib yang dapat mendengar kita. Oleh itu, jika kita seru kepada selain Allah ﷻ, maka kita telah menyamakan satu sifat Allah ﷻ kepada makhluk (Maha Hidup dan Maha Mendengar). Itu juga adalah syirik. Lainlah kalau kita seru seseorang yang ada di hadapan kita, itu adalah normal. Oleh sebab itu, ingatlah bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak mendengar seruan kita.
Orang yang zalim dalam dunia ini tidak akan merasa aman di dunia dan juga di akhirat. Jika dalam dunia ini mereka dikenakan dengan masalah-masalah kecil yang mereka tidak suka, dan mereka akan berasa resah gelisah. Mereka akan berasa tidak tenang sahaja semasa di dunia. Allah ﷻ tidak memberikan ketenangan kepada mereka. Tetapi jika masalah yang sama dikenakan kepada orang beriman, mereka akan berasa tenang sahaja. Mereka akan berasa aman sahaja.
Sebagai contoh, selalu sahaja kita mengalami krisis harga barang naik dan subsidi petrol telah dikurangkan. Untuk orang tidak beriman, mereka akan melalak keliling kampung menceritakan tentang ketidakpuasan hati mereka. Tetapi kepada mereka yang beriman, mereka sabar sahaja dan tenang sahaja kerana mereka tahu yang semua ini adalah ujian daripada Allah ﷻ.
Apabila kita ada iman dan aman dalam hati kita, maka ia akan menyebabkan aman di luar. Kita akan jadi ‘duta keamanan’ kepada orang lain juga di mana kita akan bermuamalat (berhubungan) dengan orang lain; kita tidak mengganggu kehidupan orang lain, kita tidak sakitkan hati orang lain dan sebagainya. Maka, keamanan dunia akan dapat dicapai kalau semua orang beriman. Malangnya, tidak ramai yang mahu beriman.
Kezaliman yang paling besar adalah melakukan syirik kepada Allah ﷻ tetapi mereka yang melakukan kezaliman kepada makhluk lain pun akan berasa resah gelisah juga. Contohnya, mereka akan berasa takut sahaja jika mereka akan dibalas dengan kezaliman yang telah mereka lakukan kepada orang lain itu. Allah ﷻ tidak akan memasukkan rasa aman ke dalam hati mereka.
Apabila ayat ini diturunkan kepada Nabi ﷺ dan para sahabat, para sahabat yang mendengarnya merasa amat risau sekali, kerana mereka tahu yang serba sedikit mereka pun ada juga melakukan kezaliman. Jika tidak kezaliman kepada orang lain, tentu mereka ada melakukan kezaliman kepada diri sendiri. Mereka pun sudah menjadi resah gelisah.
Maka Nabi ﷺ memberitahu mereka bahawa kezaliman yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kezaliman kepada Allah iaitu melakukan syirik kepada Allah ﷻ lalu, Nabi ﷺ membacakan sepotong ayat daripada surah [ Luqman:13 ]:
إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar“.
Konteks ayat ini adalah mengenai kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Ibrahim عليه السلام. Oleh itu, ‘zalim’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah zalim kepada Allah ﷻ, iaitu syirik.
Ramai yang tidak tahu bahawa zalim juga membawa maksud syirik. Ini termasuk juga para sahabat pada mulanya seperti yang disebut dalam sebuah hadith:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ} [الْأَنْعَامِ: 82] ، شَقَّ ذَلِكَ عَلَى أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلم، وَقَالُوا: أَيُّنَا لَمْ يَلْبس إِيمَانَهُ بِظُلْمٍ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أنه لَيْسَ بِذَاكَ، أَلَا تَسْمَعَ إِلَى قَوْلِ لُقْمَانَ: {يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ}
Daripada Abdullah yang menceritakan bahawa ketika diturunkan firman-Nya: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik). (Al-An’am: 82) Hal itu terasa berat bagi para sahabat Nabi ﷺ kerana mereka berkata, “Siapakah di antara kita yang tidak mencampuri imannya dengan perbuatan zalim (dosa).” Maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Bukan demikian yang dimaksud dengan zalim. Tidakkah kamu mendengar ucapan Luqman: ‘Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.’ (Luqman: 13) (Riwayat Bukhari no. 4776)
Satu lagi tafsir kepada ‘zalim’ dalam ayat ini adalah zalim dalam bentuk umum iaitu perbuatan zalim kepada orang lain serta perbuatan melanggar hukum Allah ﷻ. Maka, perbuatan itu juga adalah zalim, sama ada zalim kepada orang lain atau kepada diri sendiri. Maka, boleh sahaja kalau kita terjemah ‘zalim’ itu dalam bentuk umum.
Yang paling utama, jangan zalim kepada Allah ﷻ dan kemudian secara umumnya jangan zalim kepada makhluk.
Ayat ini juga mengajar kita yang orang yang beriman pun boleh berbuat syirik juga. Dia sangka dia sudah beriman dan sudah selamat, tetapi sebenarnya imannya tidak sempurna! Dia beriman, namun dalam masa yang sama, dia membuat syirik. Maka, ini adalah masalah besar dalam kalangan masyarakat kita kerana mereka belajar apa yang perlu diimani, tetapi tidak belajar apa yang perlu ditinggalkan, iaitu syirik. Ini menunjukkan betapa tidak kemas pembelajaran agama tentang bab Tauhid di negara kerana telah menyebabkan banyak pemahaman mengenai ajaran Tauhid menjadi tidak sempurna dan bercampur aduk. Sedangkan Tauhid adalah perkara yang paling penting dan asas dalam kesempurnaan iman seseorang agar tidak terjerumus ke dalam neraka yang berkekalan.
أُولَٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ
mereka itulah yang mendapat keamanan
Mereka yang tidak mencampurkan iman dengan syirik akan merasa aman. Apa sahaja yang berlaku pada mereka yang beriman, mereka akan berasa aman. Walau apa sahaja yang terjadi kepada mereka dalam kehidupan dunia ini sama ada kesusahan atau kesenangan, sakit atau sihat, kemiskinan atau kekayaan, atau diduga kehilangan hartabenda atau orang yang tersayang. Hanya nikmat ketenangan dan keamanan Allah ﷻ titipkan ke dalam hati mereka yang beriman sempurna.
Bukankah kita mahukan keamanan dan ketenangan ini? Betapa ramai kita lihat mereka yang diberikan segala kekayaan, kesenangan dan kemewahan hidup namun tidak mendapat ketenangan dan keamanan dalam hati mereka?
وَهُم مُّهْتَدُونَ
dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.
Mereka akan diberikan dengan taufiq dan hidayah. Dengan taufiq dan hidayah itu, mereka akan menjalani kehidupan yang terpimpin.
Mereka yang zalim tidak akan mendapat taufiq dan ini adalah sebesar-besar bala kepada mereka. Amalan dan fahaman mereka akan lebih menjerumuskan mereka ke dalam neraka. Mereka sangka mereka telah tahu tentang hal agama, tetapi sebenarnya tidak. Mereka sangka mereka selamat, tetapi malangnya tidak.
Allahu a’lam.
#Ilmu#Prihatin#Amal