Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-64
قُلِ اللهُ يُنَجّيكُم مِّنها وَمِن كُلِّ كَربٍ ثُمَّ أَنتُم تُشرِكونَ
Katakanlah: “Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain)”.
قُلِ اللهُ يُنَجِّيكُم مِّنْهَا
Katakanlah: “Allah yang menyelamatkan kamu daripada bencana itu
Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ beritahu untuk mengingatkan manusia. Ingatlah bahawa Allah ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan kita. Tidak ada entiti lain yang dapat menyelamatkan kita. Apabila kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya menyelamatkan kita daripada kegelapan darat dan lautan, daripada kesusahan darat dan lautan, maka, Allah ﷻlah sahaja yang dapat menyelamatkan.
وَمِن كُلِّ كَرْبٍ
dan dari segala macam kesusahan,
Kalimah كَرْبٍ bermaksud kesusahan yang amat sangat yang dihadapi oleh manusia. Kesusahan yang amat sangat sampai mereka rasa hendak bernafas pun susah. Maka ini jenis kesusahan sampai rasa sesak nafas sehingga kita kena duduk sekejap dan cuba bernafas dengan baik semula dan tenangkan diri semula.
Allah ﷻ hendak mengingatkan kita yang Dia boleh bebaskan kita dari mana-mana kesukaran pun sama ada kesusahan yang kita alami itu kecil ataupun besar, hanya Allah ﷻ sahaja yang mampu menyelamatkan kita.
Beberapa ayat tentang masalah kehidupan dan penyelesaiannya daripada Allah ﷻ mengandungi pengajaran yang amat penting bagi kita. Kita mungkin tidak minta kepada berhala, wali atau sesiapa sahaja ilah rekaan manusia. Akan tetapi bagaimana cara kita menangani masalah kita? Ya, kita memang melakukan usaha untuk keluar daripada kesusahan kita dengan cara akal, dengan memminta pertolongan daripada manusia lain, usaha keras dan sebagainya. Akan tetapi, adakah kita juga bergantung kepada Allah ﷻ, atau kita lupa terus kepada-Nya? Adakah selain daripada usaha itu, kita duduk sejenak dan mengadu masalah kita kepada Allah ﷻ? Atau kita hanya bergantung kepada usaha kita?
Manusia semakin maju dan kadang-kadang rasa tidak memerlukan Tuhan lagi. Akan tetapi apalah sangat kemajuan kita dapat selesaikan masalah kita? Contohnya, kalau Allahﷻ berikan penyakit dan wabak, ya kita boleh mencipta ubat dan vaksin. Tetapi adakah ia dapat menyelesaikan masalah kita 100%? Tentu tidak. Ada vaksin pun wabak masih ada lagi. Jadi mahu tidak mahu, kita masih lagi berharap kepada Allah ﷻ juga. Maka, jalankan usaha, tetapi dalam masa yang sama, tawakal dan berharap kepada Allah ﷻ jangan dilupakan.
ثُمَّ أَنتُمْ تُشْرِكُونَ
kemudian kamu kembali mensyirikkan-Nya
Allah ﷻ menempelak Musyrikin Mekah yang apabila selamat ke daratan, mereka lupa Tauhid kepada Allah ﷻ dan kembali melakukan syirik. Begitulah juga dengan kebanyakan manusia, walaupun sebelum itu mereka berdoa kepada Allah ﷻ untuk menyelamatkan mereka, tetapi selepas mereka diselamatkan daripada kesusahan itu, mereka membuat syirik pula. Ini seperti yang disebut juga dalam ayat [ Az-Zumar:8 ].
۞ وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسَانَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِنْ قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَنْدَادًا لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ
Dan apabila manusia itu ditimpa kemudaratan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya; kemudian apabila Tuhan memberikan nikmat-Nya kepadanya lupalah dia akan kemudharatan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu, dan dia mengada-adakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya. Katakanlah: “Bersenang-senanglah dengan kekafiranmu itu sementara waktu; sesungguhnya kamu termasuk penghuni neraka”.
Apakah yang dimaksudkan mereka menjadi syirik selepas itu? Selepas mereka selamat daripada kesusahan yang mereka minta doa kepada Allah ﷻ itu, dan mereka diselamatkan, mereka kata mereka selamat sebab pertolongan daripada orang lain (atau alam dan sebagainya). Itulah syiriknya.
Allah ﷻ kata dalam ayat ini bahawa Allahﷻ lah yang menyelamatkan mereka dan menyelesaikan masalah mereka tetapi mereka kata sebab itu dan ini pula yang selamatkan mereka.
Sebagai contoh, semasa Tsunami dahulu, apabila ditemuramah mereka yang selamat, ada yang berkata: “sebab pelampung inilah saya selamat”. Apa yang mereka cakap itu nampak mudah sahaja, tetapi perkataan mereka itu ada masalah akidah.
Syirik bukan sahaja menyembah selain Allah ﷻ. Syirik juga menyamakan kedudukan makhluk lain dengan Allah ﷻ. Apabila kita kata ada entiti lain yang menyelamatkan kita, bermakna kita telah menyamakan kedudukan entiti itu dengan Allah ﷻ. Seperti kita mengatakan entiti itu pula yang menyelamatkan kita. Padahal, hanya Allah ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan kita.
Sebagai contoh, katakan kita sudah kesusahan. Mungkin pernah perniagaan kita jatuh hingga muflis. Waktu itu kita dalam kepayahan sangat. Tidak tahu hendak buat apa lagi kerana kemampuan kita sebagai manusia memang terhad. Kita pun berdoa dan mengharap kepada Allah ﷻ. Mengharap sangat-sangat pada waktu itu dan berdoa dengan sehabis baik. Waktu itulah kita boleh lihat orang yang tiba-tiba jadi baik, sudah mula pergi ke surau dan masjid untuk berjama’ah.
Kemudian, ada yang berjumpa dengan seseorang yang mendengar masalah kita. Dia pun beri cadangan jumpa ‘ustaz’ untuk mendoakan kita. ‘Ustaz’ itu pun buatlah air mandi buang sial kepada kita. Selepas tujuh hari, semangat kita pun pulih. Perniagaan kita kembali bangkit. (Kita kata orang itu jumpa ‘ustaz’, tetapi sebenarnya dia jumpa bomoh. Sebab sekarang bomoh menggunakan nama ustaz).
Semasa dia mula-mula jatuh muflis, dia telah berdoa terus kepada Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ telah mengubah nasibnya. Tetapi oleh kerana dia ada mandi buang sial dengan seorang ‘ustaz/bomoh’ itu, dia pun kata kepada orang lain: “Nasib baik aku jumpa ustaz tu. Dialah yang telah mandikan buang sial aku. Kalau bukan dia, tak tahu lah apa jadi kepada aku sekarang.” Di sinilah maksudnya dia telah melakukan syirik kepada Allah ﷻ.
Kenapa semasa kita susah, kita minta tolong kepada Allah ﷻ tetapi apabila kita selamat daripada kesusahan itu kita kata entiti lain yang tolong kita? Kita memang boleh berterima kasih kepada mereka yang telah menolong kita tetapi janganlah kita lupa bahawa Allah ﷻlah yang sebenarnya yang telah menyelamatkan kita.
Allah ﷻlah yang telah menghantar mereka untuk menyelamatkan kita. Allah ﷻlah yang telah menggerakkan mereka untuk membantu kita. Hakikatnya Allah ﷻlah yang membantu kita. Maka, jangan lupa kepada Allah ﷻ. Jangan lupa mengucapkan syukur kepada Allah ﷻ.
Ayat ini mengajar kepada kita bahawa apabila kita telah selamat daripada kesusahan, maka hendaklah kita berterima kasih dan bersyukur kepada Allah ﷻ. Tetapi selalunya bila masalah kita telah selesai dan kita telah gembira kerana masalah kita selesai, kita terlupa langsung untuk mengucapkan Alhamdulillah. Janganlah begitu, jangan cepat lupa.
Ayat ini juga mengajar kepada kita, apabila kita telah selesai daripada masalah kita, maka hendaklah kita menunaikan apa saja nazar yang kita telah lakukan semasa kita berdoa kepada Allahﷻ sebelum itu kerana, dalam ayat sebelum ini, orang yang berdoa itu telah berjanji untuk menjadi ‘orang yang bersyukur’.
Bermakna, dia ada bernazar/berjanji dengan Allah ﷻ. Sebagai contoh, ada berdoa kalau selesai daripada masalah, mereka akan beri sedekah kepada anak yatim dan sebagainya. Jangan kita lupa akan nazar kita itu kerana Allah ﷻ tahu apa yang kita telah nazarkan.
Cuma sebagai penambahan, kenalah tahu yang nazar bukanlah sesuatu yang molek untuk dilakukan. Ini ada perbincangan yang lain pula.
Tafsir Ayat Ke-65
Ayat jenis Takhwif Duniawi (penakutan azab dunia). Apabila kita telah selesai daripada masalah yang kita hadapi, kadang-kadang kita akan rasa bahawa tidak akan ada masalah lagi yang akan timbul. Namun Allah ﷻ mengingatkan kita dalam ayat ini bahawa Allah ﷻ boleh saja memberikan masalah lain kepada kita. Allah ﷻ Maha Berkuasa untuk buat apa sahaja. Maka jangan kita rasa selamat sangat.
قُل هُوَ القادِرُ عَلىٰ أَن يَبعَثَ عَلَيكُم عَذابًا مِّن فَوقِكُم أَو مِن تَحتِ أَرجُلِكُم أَو يَلبِسَكُم شِيَعًا وَيُذيقَ بَعضَكُم بَأسَ بَعضٍ ۗ انظُر كَيفَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ لَعَلَّهُم يَفقَهونَ
Katakanlah: “Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Dia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Dia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain”. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.
قُلْ هُوَ الْقَادِرُ
Katakanlah: “Dialah yang berkuasa
Allah ﷻ amat berkuasa dan amat mampu untuk memberikan bencana lain kepada kita. Oleh itu kenapa kamu rasa kamu selamat sangat? Maka apabila kita selamat daripada sesuatu bencana, jangan kita sangka bahawa kita akan sentiasa selamat. Jangan bila sudah selamat, kita terus lupa Allah ﷻ.
عَلَىٰ أَن يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عَذَابًا
untuk mengirimkan azab ke atas kamu,
Allah ﷻ boleh mengenakan azab kepada kita semua. Semasa di dunia lagi Allah ﷻ boleh turunkan azab. Azab itu boleh datang dari mana-mana sahaja. Dalam ayat ini disebutkan tiga jenis azab.
Apabila Allah ﷻ memberikan telah senarai, maka ia merupakan sesuatu yang berperingkat dan meningkat naik; iaitu daripada yang susah kepada yang semakin susah., yang teruk kepada yang paling teruk.
مِّن فَوْقِكُمْ
dari atas kamu
Azab yang pertama adalah dari ‘atas’ kita. Ia bermaksud sama ada bencana dari langit seperti hujan batu, taufan, ribut gempita dan sebagainya. Contohnya hujan yang turun kepada kaum Nabi Nuh عليه السلام, taufan kepada Kaum Aad, hujan batu kepada Kaum Nabi Luth عليه السلام, hujan darah dan katak kepada Bani Israel dan hujaman batu kepada tentera Abrahah.
Atau ia boleh juga bermaksud yang Allah ﷻ boleh meletakkan pemimpin-pemimpin di atas kita yang akan menindas kita. Ada antara mereka yang tidak adil dan akan berlaku zalim kepada kita. Mungkin mereka itu terdiri daripada ketua-ketua kita di pejabat, ataupun pemimpin-pemimpin masyarakat, ahli-ahli politik, JKKK kampung, ibu bapa kita, suami kita dan sebagainya.
Para pemimpin zalim diberikan kepada kaum yang zalim juga. Kalau kita tidak endahkan agama, maka salah satu musibah yang Allah ﷻ kenakan kepada kita adalah para pemimpin yang zalim. Seperti pepatah Arab: أعمَالُكم، عُمَّالُكم (amalan kamu, pemimpin kamu).
أَوْ مِن تَحْتِ أَرْجُلِكُمْ
atau dari bawah kakimu
Yang lebih teruk daripada azab yang di atas kita adalah azab dan bala dari ‘bawah’ kita. Sebagai contoh, gempa bumi sampai runtuh bangunan, bumi yang boleh saja menelan manusia. Contoh yang Allah ﷻ telah kenakan adalah naiknya air kepada kaum Nabi Nuh عليه السلام (selain air hujan dari atas), Firaun dan pengikutnya yang ditenggelamkan air laut juga Qarun yang ditelan bumi.
Atau tanah yang rapuh sehingga tanah itu boleh runtuh dan meranapkan rumah dan bangunan kita. Banjir juga boleh dikira sebagai bencana dari bawah kita kerana air yang naik dan semakin naik yang akhirnya akan melemaskan kita.
Boleh juga bermaksud masalah-masalah yang ditimbulkan daripada orang-orang bawahan kita. Sebagai contoh, ada pekerja-pekerja yang menipu kita. Atau anak-anak yang degil, tidak mahu mendengar cakap kita dan memalukan kita. Atau isteri kita yang menyusahkan kita.
Jikalau itu semuanya berlaku kepada kita, maka hendaklah kita bertaubat kepada Allah ﷻ kerana semua ini mungkin terjadi disebabkan oleh kesalahan yang kita telah lakukan. Mungkin kerana kita telah melakukan syirik kepada Allah ﷻ tanpa kita sedari. Jangan kita hanya mencari salah orang sahaja tetapi lupa tentang kesalahan yang kita telah lakukan. Kitan kaji balik apakah perbuatan kita selama ini adakah bertepatan dengan Islam atau tidak.
أَوْ يَلْبِسَكُمْ شِيَعًا
atau Dia mencampurkan kamu dalam golongan-golongan (yang saling bertentangan)
Ini adalah yang paling teruk. Jika sebelum ini menceritakan tentang azab dari atas dan dari bawah, sekarang dari dalam pula.
Kalimah يَلْبِسَكُمْ berasal daripada perkataan لبس yang bermaksud ‘bercampur aduk sampai tidak dikenali antara satu sama lain’. Ini akan menyebabkan kita menjadi keliru.
Kalimah شِيَعًا pula berasal daripada perkataan ش ي ع yang bermaksud kumpulan atau pengikut. Ia adalah jamak bagi kalimah شِيعَةٌ. Ia bermaksud kumpulan manusia yang bersama atas satu sebab dan tujuan.
Ayat ini bermaksud, Allah ﷻ boleh memecahbelahkan kita kepada kumpulan-kumpulan yang bertentangan. Kadang-kadang dalam keluarga kita pun boleh berpecah belah kerana perselisihan pendapat. Sampaikan hendak makan sama-sama pun susah, di masjid hendak salat jama’ah sekali pun susah kerana berlainan pendapat dari segi pegangan mazhab mana yang mahu digunakan. Ada yang sampai tidak balik berhari raya kerana marah sangat kepada ahli keluarga yang lain.
Ini juga adalah satu bentuk hukuman daripada Allah ﷻ. Dari sini tahulah kita bahawa perpecahan adalah satu hukuman atas kesalahan kita. Sebenarnya perpecahan pendapat bukanlah suatu rahmat. Ini kita sebutkan kerana ramai yang kata: ‘Khilaf itu adalah satu rahmat’.
Tidak, khilaf itu bukanlah satu rahmat. Jika mempunyai pendapat yang sama itu adalah lebih baik, maka itulah rahmat kerana kalau kita kata ‘khilaf’ itu rahmat, apa pula harus kita katakan kepada penyatuan pendapat? Adakah kita panggil ia sebagai satu bala pula?
Mungkin ada yang menukilkan sebuah hadith (اختلاف أمتي رحمة) perbezaan umatku adalah rahmah. Malangnya hadith ini adalah palsu dan ia tidak boleh dijadikan sebagai hujah.
Dan memang kita ditakdirkan akan mengalami banyak perbezaan pendapat dalam kalangan kita. Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim bagaimana Nabi ﷺ telah berdoa kepada Allah ﷻ untuk mendapatkan tiga perkara:
أنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ أَقْبَلَ ذَاتَ يَومٍ مِنَ العَالِيَةِ، حتَّى إذَا مَرَّ بمَسْجِدِ بَنِي مُعَاوِيَةَ دَخَلَ فَرَكَعَ فيه رَكْعَتَيْنِ، وَصَلَّيْنَا معهُ، وَدَعَا رَبَّهُ طَوِيلًا، ثُمَّ انْصَرَفَ إلَيْنَا، فَقالَ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ: سَأَلْتُ رَبِّي ثَلَاثًا، فأعْطَانِي ثِنْتَيْنِ وَمَنَعَنِي وَاحِدَةً، سَأَلْتُ رَبِّي: أَنْ لا يُهْلِكَ أُمَّتي بالسَّنَةِ فأعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لا يُهْلِكَ أُمَّتي بالغَرَقِ فأعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لا يَجْعَلَ بَأْسَهُمْ بيْنَهُمْ فَمَنَعَنِيهَا
“Suatu hari Rasulullah telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah sampai di masjid Bani Mu’awiyah lalu Baginda masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah. Kemudian Rasulullah berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah. Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud :
“Aku telah bermohon kepada Allah tiga perkara, dalam tiga perkara itu Allah hanya memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak.
1. Aku telah bermohon kepada Allah supaya Dia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan.
2. Aku telah bermohon kepada Allah supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh a.s).
3. Aku telah bermohon kepada Allah supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam).
(HR. Muslim No. 2890, daripada Sa’ad bin Abi Waqqas رضي الله عنه)
Allah ﷻ tidak memakbulkannya kerana perpecahan itu terjadi disebabkan oleh kesalahan kita. Apabila berbeza pendapat, maka manusia menjadi keliru manakah pendapat yang benar dan manakah yang salah. Jika itu terjadi, maka hendaklah kita berdoa kepada Allah ﷻ untuk menunjukkan yang manakah kebenaran.
Akan tetapi khilaf pendapat itu biasa sahaja. Cuma jangan dijadikan sebagai punca kepada perpecahan pula. Kena pandai menangani perpecahan. Jika tidak dapat menangani perbezaan pendapatlah yang menyebabkan perkelahian yang akan disebut nanti.
Atau, ayat ini boleh juga bermaksud, Allah ﷻ boleh mencampurkan kita dalam golongan yang jahat. Mereka itu semuanya zalim tetapi kita terperangkap dalam kumpulan itu. Sebagai contoh, kita berada dalam negara yang kafir yang menentang Islam. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita seorang sahaja. Allahu a’lam.
وَيُذِيقَ بَعْضَكُم بَأْسَ بَعْضٍ
dan merasakan kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain.
Apabila manusia berbeza pendapat dan berpecah belah, mereka akan berlaku ganas kepada pihak yang lain. Kadang-kadang keganasan itu di dalam bentuk kata-kata yang kasar. Dan kadang-kadang ia boleh sampai kepada bentuk keganasan fizikal sehingga boleh mengakibatkan peperangan, pertumpahan darah dan sebagainya. Inilah sebenarnya yang memusnahkan umat Islam. Bilangan kita sebenarnya ramai dan kuat, namun oleh kerana asyik berperang sesama sendiri yang akhirnya memusnahkan Muslim itu sendiri dari dalam.
Kadang-kadang berlaku juga perselisihan pendapat dalam agama sampai menyebabkan berbunuhan sesama manusia. Ini selalu juga kita lihat dalam sejarah. Manusia yang jahat akan menggunakan nama agama untuk membunuh dan menindas manusia yang lain. Ini amat malang sekali sampaikan pemimpin negara yang Islam pun begitu juga.
Lihatlah apa yang terjadi kepada ulama-ulama salaf kita seperti Ibn Taimiyyah, Imam Ahmad, Imam Bukhari رحمهم الله dan ramai lagi. Mereka cuba menegakkan Islam yang sebenar, tetapi khalifah itu pula mempunyai penasihat-penasihat agama yang sesat. Mereka menggunakan kedudukan mereka untuk menindas pendapat yang benar.
Sekarang pun kita semakin hari dapat dengar bagaimana ada usaha-usaha daripada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membendung ajaran Sunnah. Mereka mengatakan yang ajaran Sunnah adalah ajaran Wahabi dan ia adalah bahaya dan boleh memecahbelahkan masyarakat. Maka ada yang sudah ditangkap dan dipenjarakan. Subhanallah! Kita tidak tahu lagi apa yang mereka akan buat.
Yang mampu kita buat adalah berdoa kepada Allah ﷻ supaya dipermudahkan perkembangan ajaran Sunnah ini. Semoga puak Bid’ah tidak menggunakan kedudukan mereka dalam kepemimpinan agama untuk menindas ajaran agama yang benar. Inilah yang dimaksudkan perpecahan yang boleh terjadi.
Mereka cuba memburukkan ajaran sunnah dengan memberikan gelaran-gelaran jelek kepada kita. Apabila itu tidak berjaya, dan ajaran sunnah semakin berkembang, tidak mustahil mereka akan menggunakan kedudukan mereka dalam negara untuk menindas kita.
Jika sesebuah negara itu membiarkan perbuatan syirik tanpa sekatan, tanpa teguran, maka tunggulah perpecahan yang bakal tiba. Sebagai contoh, lihatlah apa yang terjadi kepada negara Iraq. Mereka sampai sudah buat ‘berhala’ untuk Saddam Hussein dan gambar Saddam Hussein ada merata-rata tempat dan tidak ada yang menegur.
Maka, oleh kerana mereka telah membuat syirik secara terang-terangan, Allah ﷻ telah menurunkan bala kepada mereka. Lihatlah bagaimana Amerika telah memusnahkan negara mereka.
Apabila ini terjadi, maka hendaklah kita ingat kembali kepada Allah ﷻ dan berterima kasih kepada Allah ﷻ di atas segala nikmat yang telah diberikan oleh-Nya kepada kita. Semoga kita tidak jadi seperti mereka.
Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa Allah ﷻ boleh memberi bala kepada kita melalui alam ini ataupun Allah ﷻ menggunakan manusia yang lain untuk menjatuhkan kita. Semua itu dalam genggaman Allah ﷻ, dalam kuasa Allah ﷻ.
انظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الْآيٰتِ
Perhatikanlah, betapa Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti
Allah ﷻ sentiasa mengulang-ulang topik yang sama dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana ia adalah amat penting sekali. Pengulangan ayat yang lebih kurang sama sahaja bunyinya, dengan menyentuh topik yang sama, tetapi dengan berbagai-bagai cara. Ini kerana kalau ayat yang sama sahaja, tentu manusia yang membacanya akan bosan. Oleh itu, Allah ﷻ akan mengulang topik yang sama tetapi dalam berbagai-bagai bentuk.
Sebagai contoh, lihatlah bagaimana Allah ﷻ mengulang-ulang larangan bertawasul dalam banyak ayat. Begitu juga Allah ﷻ menerangkan tentang syafaat dalam berbagai-bagai ayat dan berbagai-bagai cara. Begitu juga tentang doa kepada-Nya. Begitu juga tentang bid’ah. Berulang kali peringatan diberikan kepada manusia yang mahu membaca dan memahami Al-Qur’an.
Pengulangan itu diberikan kerana topik tersebut adalah perkara-perkara yang penting dan manusia selalu keliru. Maka, Allah ﷻ ulang berkali-kali kerana kalau sudah banyak kali dengar, maka patutnya bolehlah faham.
لَعَلَّهُمْ يَفْقَهُونَ
agar mereka memahami(nya)
Supaya manusia memahami bahawa perbuatan syirik itu adalah perbuatan yang ditolak dan dimurkai oleh Allah ﷻ.
Malangnya kebanyakan daripada masyarakat kita tidak tahu bahawa kesusahan yang kita alami itu dan perpecahan yang kita hadapi sekarang adalah kerana kita tidak bersyukur kepada Allah ﷻ dan kerana kita telah mengamalkan amalan syirik dalam masyarakat.
Tafsir Ayat Ke-66
Ini adalah nasihat kepada Nabi ﷺ dan kepada penyeru-penyeru tauhid.
وَكَذَّبَ بِهِ قَومُكَ وَهُوَ الحَقُّ ۚ قُل لَّستُ عَلَيكُم بِوَكيلٍ
Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Qur’an), padahal ia adalah benar. Katakanlah: “Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu, (aku hanya seorang Rasul yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada kamu)
وَكَذَّبَ بِهِ قَوْمُكَ
Dan kaummu mendustakannya
Mendustakan apa? Maksud dusta di sini adalah mendustakan Al-Qur’an. Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an, Musyrikin Mekah tidak mahu terima. Mereka kata itu hanyalah dusta daripada Nabi Muhammad ﷺ sahaja iaitu mereka antara lain mengatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ reka sahaja perkara itu.
Begitu juga yang terjadi kepada masyarakat kita. Apabila diberikan dalil-dalil Al-Qur’an, ramai yang tidak mahu terima. Mereka bagaikan tidak pernah membaca Al-Qur’an. Mereka tolak ayat-ayat Al-Qur’an itu seolah-olah mereka itu bukan orang Islam. Mereka mahu juga menggunakan pendapat yang ada dalam kitab, pendapat guru mereka dan pendapat akal mereka.
Benarlah apa yang Allah ﷻ firmankan ini. Memang benar akan ada dalam kalangan kaum kita yang akan menolak ayat-ayat Al-Qur’an itu. Kalau tidak tolak ayat Al-Qur’an pun, mereka tolak tafsiran ayat-ayat itu. Mereka memang baca Al-Qur’an, tetapi mereka tidak mahu belajar tafsir.
وَهُوَ الْحَقُّ
padahal ia (Al-Qur’an) itu benar.
Mereka berani menolak Al-Qur’an sedangkan ayat-ayat daripada Allah ﷻ adalah benar. Allah ﷻ, Al-Qur’an dan tauhid adalah benar. Sesiapa yang ingkar, azab Allah ﷻ ke atas mereka itu juga benar.
Mereka pun dengan mulut mereka sendiri kata bahawa Al-Qur’an itu daripada Allah ﷻ dan mereka sendiri selalu berkata: “Marilah kita kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan hadith.” Mereka siap tulis pada kain rentang dan letak merata-rata. Mereka juga suka dengan Al-Qur’an. Sebab itu mereka akan baca Al-Qur’an hari-hari, malah sedap juga bacaan mereka. Tajwid yang mereka lagukan mendayu-dayu sekali.
Namun begitu, kalau kita tanya apakah makna ayat yang mereka baca itu, mereka pun tidak tahu. Mereka kata mereka hanya baca sahaja. Atau kalau mereka pandai sedikit, mereka akan bacakan ‘terjemahan’ ayat yang mereka baca itu. Tetapi apa yang hendak disampaikan oleh Allah ﷻ, mereka tidak tahu pun apa yang mereka baca itu. Itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an atau mereka hanya tahu sikit-sikit sahaja (tidak belajar secara menyeluruh).
Dan apabila kita beritahu mereka makna ayat-ayat yang mereka telah baca itu, mereka pula kata kita salah tafsir. Padahal, mereka sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Tetapi, kerana apa yang kita sampaikan itu berlainan dengan apa yang mereka faham, lain dengan apa yang tok nenek dan guru mereka ajar, mereka tolak kita mentah-mentah. Itulah yang disebut dalam ayat ini – mereka menolak Al-Qur’an.
Mereka bukan tolak kita, tetapi tolak ayat Al-Qur’an itu sendiri. Dan apabila tolak ayat Al-Qur’an, mereka tolak Allah ﷻ sebenarnya.
قُل لَّسْتُ عَلَيْكُم بِوَكِيلٍ
Katakanlah: “Aku ini bukanlah orang yang diserahi mengurus urusanmu”.
Perkataan وكل bermaksud ‘penjaga’. Orang yang kita serahkan urusan kita kepada mereka untuk diselesaikan. Sebagaimana perkataan ‘tawakal’ yang bermaksud kita ‘menyerahkan urusan kita kepada Allah ﷻ’ untuk Allah ﷻ selesaikan iaitu orang yang bertanggungjawab dalam hal orang lain.
Ayat ini bermaksud bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh memaksa umatnya untuk beriman kepada Allah ﷻ. Baginda hanya boleh menyampaikan ajakan tauhid sahaja kepada mereka.
Juga bermaksud bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak ada kuasa untuk memberi hidayat atau berkat. Tidak ada kuasa untuk menjadi perantaraan antara mereka kepada Allah ﷻ.
Ayat ini mengajar kita bahawa pendakwah hanya mampu menyampaikan sahaja. Mereka hanya boleh menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyampaikan dan selepas itu menyerahkan kepada Allah ﷻ untuk beri hidayah kepada manusia. Kita tidak akan bertanggungjawab jikalau mereka tidak menerima hidayah.
Allahu a’lam.
#Imu#Prihatin#Amal