Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-61
Takhwif Ukhrawi.
وَهُوَ القاهِرُ فَوقَ عِبادِهِ ۖ وَيُرسِلُ عَلَيكُم حَفَظَةً حَتّىٰ إِذا جاءَ أَحَدَكُمُ المَوتُ تَوَفَّتهُ رُسُلُنا وَهُم لا يُفَرِّطونَ
Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hamba-Nya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).
وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ
Dan Dialah yang mempunyai kekuasaan mutlak di atas semua hamba-Nya,
Ini kali kedua perkataan الْقَاهِرُ digunakan dalam surah ini. Mungkin pada kali pertama ia disebut dalam ayat ke-18, kita tidak nampak kekuasaan Allah ﷻ itu. Maka dalam ayat-ayat selepas ayat ke-18 itu, Allah ﷻ telah memberikan berbagai-bagai dalil tentang kekuasaan-Nya berkali-kali dan dengan berbagai jenis contoh. Dan sekarang Allah ﷻ mengulang lagi perkataan الْقَاهِرُ dan kali ini kita sepatutnya semakin faham dan semakin yakin.
Allah ﷻ boleh buat apa sahaja dengan makhluk-Nya kerana Allah ﷻ ada hak ke atas kita. Kekuasaan Allah ﷻ ke atas kita adalah mutlak tidak ada pengecualian. Apa yang Allah ﷻ kehendaki tidak boleh dikalahkan tidak boleh dihalang. Kita pun ada kuasa ke atas sesuatu, tetapi kekuasaan kita tidak mutlak.
Contohnya, kita ada hak kuasa ke atas anak-anak kita, tetapi kita tidak boleh suruh mereka buat apa yang mereka tidak mahu buat. Atau kita tidak ada kuasa untuk suruh mereka lakukan perkara yang maksiat.
Dan kita tidak boleh kawal perasaan mereka. Sebagai contoh, kalau kita suruh jadi sedih, jadi gembira, mereka tidak boleh terus dapatkan perasaan itu. Tetapi, kekuasaan Allah ﷻ ke atas kita adalah mutlak. Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada kita.
وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً
dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga,
Allah ﷻ menugaskan kepada kita malaikat-malaikat untuk menjaga kita. Ada beberapa makna yang kita boleh ambil daripada maksud ‘malaikat penjaga’ itu.
Pertamanya, ia bermaksud kita sentiasa diawasi. Seperti yang disebut dalam Ayat [ Infithar:10-11 ].
وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَافِظِينَ
Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu),
كِرَامًا كَاتِبِينَ
yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu),
Ini bermakna, ada malaikat Hafazah yang ditugaskan untuk menulis setiap perbuatan kita. Lihat pula ayat [ Qaf: 17-18 ].
إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ
(iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri.
مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.
Ayat daripada Surah Qaf itu memberitahu kepada kita bahawa malaikat-malaikat itu bukan hanya menulis apa yang kita buat tetapi apa yang kita cakapkan juga. Mereka duduk di kiri dan kanan kita.
Ini mengingatkan kita untuk berhati-hati dalam perbuatan dan percakapan kita. Kadang-kadang kita membuang masa dengan bercakap dan melakukan perkara yang lalai sahaja. Masa yang telah diberikan kepada kita hilang begitu sahaja. Alangkah malunya nanti apabila setiap percakapan kita dan tulisan kita di Facebook dan di Twitter dibentangkan kepada semua manusia untuk dilihat. Apa yang ada hanyalah perkara sia-sia sahaja.
Ada hadith dalam Sahih Bukhari yang menceritakan bagaimana ada malaikat yang berada bersama kita bergilir-gilir. Mereka berkumpul pada waktu Fajar dan Asar. Mereka kemudian akan naik bertemu Allah ﷻ. Allah ﷻ bertanya kepada mereka bagaimana mereka meninggalkan kita.
عن أبي هريرة، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ” يتعاقبون فيكم ملائكة بالليل وملائكة بالنهار، ويجتمعون في صلاة الفجر وصلاة العصر، ثم يَعرج الذين باتوا فيكم، فيسألهم وهو أعلم بهم كيف تركتم عبادي فيقولون تركناهم وهم يُصلون، وأتيناهم وهم يُصلون ”.
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Para Malaikat malam dan Malaikat siang silih berganti mendatangi kalian. Dan mereka berkumpul pada waktu salat Fajar (Subuh) dan ‘Asar. Kemudian Malaikat yang bermalam dalam kalangan kamu naik. Lalu Allah ﷻ bertanya kepada mereka, dan Allah ﷻ lebih mengetahui keadaan mereka itu. ‘Dalam keadaan bagaimana kalian tinggalkan hamba-hambaKu?‘ Para Malaikat menjawab, ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang mendirikan salat. Begitu juga saat kami mendatangi mereka, mereka sedang mendirikan salat’.”
Bayangkan kalau waktu Asar itu kita hanya sibuk dengan kerja-kerja kita tanpa melakukan salat Asar? Bayangkan kalau waktu Subuh itu kita sedang tidur? Tidak malukah kita kalau malaikat-malaikat itu melaporkan kepada Allah ﷻ tentang keadaan diri kita yang leka dalam beribadah kepadanya?
Selain daripada mengawasi apa yang kita lakukan, malaikat Hafazah itu ditugaskan juga untuk menjaga kita. Antaranya, mereka menjaga orang beriman daripada dirasuk jin. Jin tidak boleh mengganggu kita kerana ada malaikat yang mengawal kita. Jin tidak boleh masuk ke dalam badan kita dan mengawal minda kita. Kalau tidak ada malaikat yang jaga kita, sudah lama jin akan mengganggu kita.
Namun begitu, jika sering melakukan perbuatan syirik sahaja, maka, tiada lagi penjagaan daripada para malaikat. Mereka akan tinggalkan kita. Apabila kembali kepada tauhid, jin dan syaitan tidak boleh ganggu kita. Sebab itu, banyak kisah bagaimana orang yang selalu diganggu hantu, boleh nampak hantu dan sebagainya, tidak lagi akan diganggu apabila mereka kembali belajar tauhid. Itu adalah kerana hantu sudah tidak boleh mengganggu mereka lagi.
Dalil penjagaan ini boleh dilihat dalam ayat [ Rad:11 ].
لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ
Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.
Dalam ayat ini diberitahu yang para malaikat akan sentiasa menjaga kita, tetapi apabila kita mengubah akidah kita, maka malaikat akan tinggalkan kita.
Selain menjaga kita daripada gangguan jin dan syaitan, malaikat-malaikat itu juga menjaga kita daripada perkara-perkara lain seperti kemalangan. Kadang-kadang kita boleh dengar bagaimana orang yang mengalami kemalangan yang besar tetapi dia selamat sahaja. Kereta remuk, dan kita terfikir macam manalah orang yang di dalamnya boleh terselamat.
Begitulah caranya Allah ﷻ melindungi kita dengan menugaskan malaikat untuk menjaga kita. Selagi belum tiba ajal kita, maka selagi itu kita akan diselamatkan daripada kematian.
Lihat juga ayat [ at-Tariq: 4 ].
إِنْ كُلُّ نَفْسٍ لَمَّا عَلَيْهَا حَافِظٌ
tidak ada suatu jiwa pun (diri) melainkan ada penjaganya.
Jadi malaikat itu ada dua tugas: untuk mengawasi apa yang kita lakukan dan untuk menjaga kita.
Sebenarnya Allah ﷻ yang menjaga kita tetapi Allah ﷻ telah memberikan tugas itu kepada para malaikat. Ini menunjukkan betapa sayangnya Allah ﷻ kepada kita sampai Allah ﷻ menghantarkan para malaikat untuk menjaga kita. Bukan seorang malaikat saja diberikan kepada seorang manusia tetapi banyak malaikat diberikan kepada manusia itu.
حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ
sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu,
Malaikat itu bukan berterusan menjaga kita. Mereka ada masa yang terhad. Mereka akan menjaga kita selama hayat kita masih ada lagi. Apabila telah habis hayat kita, tugas malaikat itu pun selesai. Waktu itulah kalau kemalangan berlaku, maka itulah sebab kematian kita.
تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا
dia diwafatkan oleh Rasul-rasul (malaikat-malaikat) Kami,
Kemudian, ada pula Malaikat yang diwakilkan untuk mengambil nyawa kita. Lihat Ayat [ Sajdah:11 ].
۞ قُلْ يَتَوَفَّاكُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ
Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikanmu, kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan”.
Malaikat-malaikat itu hanya mengikut arahan Allah ﷻ sahaja. Dan daripada Hadith kita dapat tahu bahawa bukan satu malaikat saja yang terlibat dalam proses kematian kita tetapi ramai malaikat. Ada ramai malaikat yang akan menyambut kita jika kita adalah roh yang baik. Begitu juga, akan ramai malaikat yang menarik kita dengan ganas kalau kita roh yang jahat.
Ada juga pendapat yang mengatakan malaikat yang sama menjaga kita, malaikat itulah juga yang mengambil nyawa kita nanti.
Daripada ayat ini juga, kita tahu bahawa para malaikat itu juga Rasul utusan Allah ﷻ. Maka Rasul ﷻ ada dalam kalangan manusia dan ada dalam kalangan malaikat.
وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ
dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajipannya.
Malaikat yang telah ditugaskan itu tidak boleh mempercepat atau melewatkan apa-apa arahan kepada mereka. Mereka hanya menurut perintah Allah ﷻ sahaja. Mereka tidak akan gagal dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Mereka taat dan tidak akan terima rasuah daripada manusia.
Malaikat-malaikat itu tidak akan memberi belas kasihan sedikit pun kepada mereka yang tidak layak. Walau bagaimana kuat dan bagaimana cara pun kita merayu kepada malaikat-malaikat itu untuk memberi belas kasihan kepada kita. Malaikat-malaikat itu langsung tidak akan menangguhkan tugas mereka yang telah diberikan oleh Allahﷻ .
Ayat ini mengingatkan kepada kita supaya tidak leka dan lalai dalam menjalankan tugas dan ibadat kita. Jangan kita tunggu-tunggu untuk membuat benda-benda yang baik. Jadilah kita seperti malaikat itu yang tidak lalai dalam menjalankan perintah Allah ﷻ. Jangan kita kata hendak buat esok, nak buat minggu depan, hendak buat bulan depan, hendak buat tahun depan dan sebagainya, kerana kita tidak tahu bila ajal kita akan habis.
Kalau benda itu baik, hendaklah kita lakukan segera. Kalau salat, hendaklah kita dirikan salat itu dalam waktunya kerana kita pun sebenarnya tidak tahu sama ada kita akan masih hidup menjelang petang ataupun malam nanti. Lalu bagaimana kita akan yakin yang kita ada masa untuk membuat perkara-perkara yang kita sepatutnya lakukan itu? Oleh itu, jangan tangguh.
Tafisr Ayat Ke-62
Selepas mereka dimatikan, nasib manusia itu tidak selesai lagi. Apa yang akan berlaku kepada mereka?
ثُمَّ رُدّوا إِلَى اللهِ مَولٰهُمُ الحَقِّ ۚ أَلا لَهُ الحُكمُ وَهُوَ أَسرَعُ الحٰسِبينَ
Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira – Penghitung.
ثُمَّ رُدُّوا إِلَى اللهِ
Kemudian mereka (hamba Allah) dikembalikan kepada Allah,
Ayat ini memberi peringatan kepada kita bahawa semua makhluk akan dikembalikan kepada Allah ﷻ satu demi satu. Tidak ada sesiapa pun yang akan tinggal di dunia ini selama-lamanya. Moyang kita mati, datuk kita mati, kemudian ayah kita mati dan kita pula akan mati – satu persatu kita semua akan mati.
Oleh, apabila kita lihat orang yang kita kenal mati, sama ada sahabat kita atau kawan-kawan kita, maka ketahuilah bahawa masa kita mungkin tidak lama lagi.
Apabila kita telah mati, kita akan dibawa ke hadapan Allah ﷻ untuk dipertimbangkan hisab amalan kita. Bukanlah kita akan berjalan-jalan keliling dunia ataupun dikembalikan ke dalam tubuh badan yang lain, bukan. Itu adalah fahaman sesat agama agama lain seperti agama Buddha yang ada fahaman reinkarnasi. Kita akan dikembalikan kepada Allah ﷻ sebenarnya. Dan akan ditanya apakah yang kita telah lakukan semasa di dunia dahulu.
مَوْلٰهُمُ الْحَقِّ
Pemelihara, penjamin, penjaga mereka yang sebenarnya.
Allah ﷻlah pelindung kita sebenarnya. Wali yang selain Allah ﷻ bukanlah pelindung yang sebenarnya. Sebelum ini telah disebut tentang malaikat yang menjaga keselamatan kita. Dalam ayat ini Allah ﷻ menekankan bahawa sebenarnya Allah ﷻlah yang menjaga kita, bukannya para malaikat itu. Allah ﷻ cuma mewakilkan sahaja kepada malaikat-malaikat itu.
‘Maula’ juga bermaksud ‘tuan punya’. Allahﷻ lah tuan punya kita yang sebenarnya. Malangnya, di dunia ini ramai antara kita menjadi hamba kepada harta benda, perempuan, pangkat dan sebagainya. Sepatutnya Allah ﷻlah maula kita yang sebenarnya yang perlu kita penuhi tuntutan-Nya.
Maula juga bermaksud Allah ﷻ akan membantu hamba-Nya yang meminta pertolongan kepada-Nya pada hari itu. Sesiapa yang layak, akan diberi bantuan dan syafa’ah.
أَلَا لَهُ الْحُكْمُ
Ketahuilah! bahwa segala hukum kepunyaan-Nya.
Allah ﷻ beritahu kepada kita bahawa pada hari akhirat nanti hanya Allah ﷻ sahaja yang akan menjadi hakim dan menjatuhkan hukuman kepada kita. Tidak ada yang lain kerana keputusan sepenuhnya di dalam tangan Allah ﷻ.
Sesiapa yang taat kepada Allah ﷻ, mereka akan berjaya. Sesiapa yang tidak taat kepada Allah ﷻ, maka mereka akan mendapat nasib buruk.
وَهُوَ أَسْرَعُ الْحٰسِبِينَ
Dan Dialah Pembuat Perhitungan yang paling cepat.
Apabila Allah ﷻ mula melakukan penghisaban amal manusia, Allah ﷻ akan mengambil masa separuh hari sahaja untuk menyelesaikan perhitungan hisab amal manusia. Ini disebut dalam hadith walaupun begitu ramai makhluk pada waktu itu, iaitu setelah Allah ﷻ memulakan hisab amal. Ini kerana sebelum perhitungan hisab amal itu dijalankan, semua makhluk akan menunggu lama di Mahsyar nanti. Tetapi apabila sudah dimulakan, masa yang diambil sekejap sahaja iaitu separuh hari sahaja atau sekadar waktu tidur qailullah di siang hari.
Imam Al-Muzani رحمه الله berkata,
وَبَعْدَ البِلَى مَنْشُوْرُوْنَ وَيَوْمَ القِيَامَةِ إِلَى رَبِّهِمْ مَحْشُوْرُوْنَ وَلَدَى العَرْضِ عَلَيْهِ مُحَاسَبُوْنَ بِحَضْرَةِ الموَازِيْنِ وَنَشْرِ صُحُفِ الدَّوَاوِيْنَ وَنَسُوْهُ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِيْنَ أَلْفَ سَنَةٍ لَوْ كَانَ غَيْرُ اللهِ الحَاكِمَ بَيْنَ خَلْقِهِ لَكِنَّهُ اللهُ يَلِي الحُكْمَ بَيْنَهُمْ بِعَدْلِهِ بِمِقْدَارِ القَائِلَةِ فِي الدُّنْيَا “وَهُوَ أَسْرَعُ الْحَاسِبِينَ”[الأنعام:٦٢] كَمَا بَدَأَهُ لَهُمْ مِنْ شَقَاوَةٍ وَسَعَادَةٍ يَوْمَئِذٍ يَعُوْدُوْنَ “فَرِيْقٌ فِي الجَنَّةِ وَفَرِيْقٌ فِي السَّعِيْرِ” [الشورى:٧]
“Setelah hancur, manusia dibangkitkan. Dan pada hari kiamat, manusia dikumpulkan di hadapan Rabb-Nya. Di masa penampakan amal manusia dihisab. Dengan dihadirkannya timbangan-timbangan dan ditebarkannya lembaran-lembaran (catatan amal). Allah ﷻ menghitung dengan teliti, sedangkan manusia melupakannya. Hal itu terjadi pada hari yang kadarnya di dunia adalah 50 ribu tahun. Kalaulah seandainya bukan Allah ﷻ sebagai hakimnya nescaya tidak akan boleh terjadi, akan tetapi Allah ﷻlah yang menetapkan hukum di antara mereka secara adil. Sehingga lama waktunya (bagi orang beriman) adalah sekadar masa istirahat siang di dunia, dan Allah ﷻ Yang Paling Cepat Perhitungan Hisabnya. Sebagaimana Allah ﷻ memulakan menciptakan mereka, sama ada yang sengsara atau bahagia, pada hari itu mereka dikembalikan. Sebahagian masuk syurga, sebahagian masuk neraka.”
Itu bermakna Allah ﷻ cepat sekali menjalankan hisab amal itu. Kalau dalam dunia ini kita mengambil masa yang lama untuk audit sesuatu syarikat sampaikan berhari-hari. Dalam dunia ini banyak orang tugasnya menghitung kira-kira seperti akauntan contohnya. Juga ada banyak perisian yang membuat kira-kira dalam syarikat.
Tetapi apabila Allah ﷻ telah mula mengambil ‘akaun’ kita, ia tidak mengambil masa yang lama. Cuba bayangkan semua makhluk dari yang mula kejadian sehingga ke hari Kiamat, akan bangun serentak. Tidak dapat dibayangkan betapa ramainya makhluk waktu itu. Tetapi Allah akan selesaikan perhitungan hisab amal semua sekali dalam masa segera.
Kalau di dunia, mahkamah kadangkala ambil masa bertahun-tahun untuk membuat keputusan ke atas satu-satu kes. Tetapi Allah ﷻ apabila membuat penghakiman-Nya akan mengambil masa sekejap sahaja.
Perhitungan itu juga bermula dengan cepat. Ada dua jenis perhitungan: satu semasa di Mahsyar dan satu lagi apabila kita masuk sahaja ke dalam kubur. Bila kita masuk dalam kubur sahaja, kita telah disoal jawab oleh malaikat. Malaikat yang dua itu akan datang dengan tiba-tiba dan akan terus tanya kepada kita. Mereka tidak beri peluang untuk tinggal lama dalam kubur.
Soalan-soalan yang akan ditanya pun kita sudah tahu sebenarnya. Kalau kita beriman, maka kita akan senang untuk menjawab soalan-soalan daripada malaikat-malaikat itu. Tetapi kalau kita bukan Muslim sejati, iaitu kalau kita seorang munafik, kita akan ada masalah untuk menjawab soalan-soalan itu.
Begitu juga kepada orang-orang kafir dan musyrik, langsung tidak boleh menjawab. Kalau hafal soalan dan jawapan pun tidak ada guna, kerana bukan otak kita yang jawabnya, tetapi amalan kita; begitu juga kalau selepas mati baru hendak diajar jawapan itu (dalam Talqin yang selalu dilakukan) pun tidak ada gunanya kerana sudah terlambat untuk ahli kubur itu belajar.
Tafsir Ayat Ke-63
Dalil Aqli Iktirafi. Allah ﷻ mengiktiraf fahaman Musyrikin Mekah kerana Orang Mekah pun menerima akidah yang akan disebut ini. Mereka juga percaya yang hanya Allah ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan mereka.
قُل مَن يُنَجّيكُم مِّن ظُلُمٰتِ البَرِّ وَالبَحرِ تَدعونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفيَةً لَّئِن أَنجٰنا مِن هٰذِهِ لَنَكونَنَّ مِنَ الشّٰكِرينَ
Katakanlah: “Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): “Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur”.
قُلْ مَن يُنَجِّيكُم
Katakanlah: “Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu
Allah ﷻ tanya siapa lagi yang boleh selamatkan kita? Ini adalah soalan dalam bentuk retorik. Tidak ada sesiapa lagi yang boleh menyelamatkan kita melainkan Allah ﷻ.
مِّن ظُلُمٰتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ
daripada kegelapan di darat dan di laut,
Kadang kala kita berada di dalam keadaan gelap, siapakah yang dapat menyelamatkan kita apabila tiada cahaya untuk membantu kita? Contohnya dalam kegelapan malam yang kita tidak nampak apa-apa jalan di hadapan kita. Atau kalau tiba-tiba ada orang yang serang kita. Siapakah lagi yang dapat membantu kita pada waktu itu?
Atau kita berada dalam kegelapan gua. Tiba-tiba gua itu bergegar dan runtuh. Siapakah yang dapat menyelamatkan kita pada waktu itu? Begitu juga dalam kegelapan di lautan dan kita waktu itu berada dalam kapal di laut lepas. Laut bergelombang, suasana gelap, tidak nampak daratan atau kapal-kapal yang lain – siapa yang dapat selamatkan kita waktu itu?
Ada yang mengatakan bahawa makna ‘kegelapan’ dalam ayat ini adalah sebagai isyarat iaitu kesusahan yang dialami oleh manusia semasa di darat dan lautan. Kalau begitu, ia boleh bermaksud apa-apa sahaja kesusahan. Sebagai contoh, dalam keadaan bumi sedang bergegar, hujan turun yang tidak berhenti-henti, diserang belalang yang memakan tanaman kita dan sebagainya.
Dan kalau di lautan, berbagai-bagai kesusahan yang lebih teruk lagi – seperti ombak yang memukul kapal kita, “iceberg” yang besar, taufan, tsunami dan lain-lain lagi.
تَدْعُونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً
kamu berdoa kepada-Nya sahaja dengan rendah diri dengan suara yang lembut
Waktu kita sedang dalam kesusahan itu, kebanyakan daripada kita hanya sebut Allah ﷻ sahaja. Sama ada kafir atau Islam, sama-sama akan memohon pertolongan kepada ‘Tuhan yang satu’. Malah Musyrikin Mekah pun akan berdoa kepada Allah ﷻ. Mereka akan berdoa pula dengan suara yang perlahan dan berharap sangat kerana mereka sedar waktu itu, Tuhan yang sebenar sahaja yang dapat menolong.
Kepada yang kafir, mereka akan terus kata ‘Oh My God’. Tidak sempat lagi sebut tuhan lain – tidak sempat nak sebut Jesus, Siva, Guru Nanak, Buddha dan sebagainya.
Kepada puak Islam yang membuat tawasul, mereka tentu sudah tidak sempat seru wali, malaikat, Nabi mana-mana lagi. Waktu itu mereka tidak sempat membuat tawasul lagi. Mereka tidak sempat sebut ‘ila hadratin’ lagi. Waktu itu baru mereka terus berdoa kepada Allah ﷻ secara terus sahaja.
Kalimah تَضَرُّعًا bermaksud mereka akan merendahkan diri mereka di hadapan Allah. Mereka waktu itu amat sedar tentang kerdilnya diri mereka. Mereka sudah sedar yang mereka tidak ada kuasa lagi. Dan waktu itu mereka mengharap sangat kepada Allah ﷻ. Waktu berdoa itu, mereka sungguh-sungguh berdoa. Mereka amat khusyuk dalam doa mereka.
Kalimah تَضَرُّعًا juga bermaksud mereka menyebut nama Allah ﷻ dalam doa itu dengan suara yang jelas kerana dibandingkan dengan perkataan خُفْيَةً yang bermaksud mereka berdoa dalam hati mereka. Maksudnya mereka berdoa dengan suara yang jahr (ada suara) dan dalam hati dan minda mereka juga.
Ini mengajar kita bahawa kalau kita berdoa kepada Allah ﷻ dengan merendahkan diri kepada-Nya, maka Allah ﷻ akan bantu kita. Inilah cara doa yang sebenarnya dan bukanlah dikuatkan suara kita dengan lantang.
Walaupun yang berdoa itu seorang kafir tetapi kalau dia merendahkan diri, Allah ﷻ akan membantunya juga. Ini kerana mungkin pengharapan mereka kepada Tuhan pada waktu itu amat tinggi.
Kalimah خُفْيَةً bermaksud mereka berdoa dengan amat ikhlas sekali – kerana mereka berdoa tanpa keluar suara atau suara yang amat lembut sekali sampai orang di sebelah pun tidak dengar. Itu adalah tanda doa yang ikhlas. Ini kerana kalau kita berdoa dengan suara yang orang boleh dengar, ada kemungkinan kita hendak menunjuk, riak sahaja (supaya orang nampak kita pandai doa panjang-panjang). Tetapi apabila خُفْيَةً digunakan, bermaksud mereka memang doa dengan tulus ikhlas.
Ada orang yang malu hendak berdoa kepada Allah ﷻ kerana mereka tidak biasa baca doa. Jadi mereka malu hendak berdoa dengan suara yang orang lain boleh dengar. Maka, mereka akan berdoa dalam keadaan خُفْيَةً, dengan lemah lembut, tanpa suara.
Ayat ini mengajar kepada kita bahawa kita dibolehkan untuk berdoa kepada Allah ﷻ sama ada dengan suara yang kuat dan juga suara yang lembut. Kita memang tidak perlu berdoa dengan suara yang kuat kerana Allah ﷻ memang mampu mendengar suara kita.
Tetapi kita dibenarkan juga untuk berdoa dengan suara yang boleh didengari. Namun begitu, bukanlah dengan suara yang menjerit-jerit. Sebagai contoh, ada masanya kita doa beramai-ramai. Waktu itu, kita kena jelaskan suara kita supaya orang lain boleh dengar apa yang kita sedang sebut. Sebab kalau tidak didengari, tidak tahu apakah doa yang dibaca. Ini penting kerana seseorang yang berdoa mewakili orang lain perlulah menguatkan suaranya supaya didengari oleh orang lain.
Kita yang meng’amin’kan doa itu pun kena dengar juga apa yang dibaca supaya kita dapat pastikan yang doa itu tidak dalam bentuk doa yang syirik atau yang melibatkan perbuatan tawasul.
Kadang-kadang kita dengar doa yang dibaca oleh imam pun memusykilkan. Mereka baca dalam bahasa Arab, jadi ramai yang tidak faham. Maka, ada yang baca doa dimulakan dengan tawasul. Itu sudah salah. Dan ada yang memulakan doa mereka dengan Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah – itu adalah dua jenis selawat yang syirik kepada Allah ﷻ. Maka, kalau ada orang yang berdoa seperti itu, maka jangan kita aminkan sekali.
Kalau doa ruqyah, memang kena dengar apa yang disebut dalam doa itu oleh peruqyah. Takut mereka berdoa dengan cara yang salah (mungkin tawasul, mungkin minta kepada jin). Maka peruqyah kena lafazkan doa mereka dengan jelas.
لَّئِنْ أَنجٰنَا مِنْ هَٰذِهِ
(dengan mengatakan: “Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami daripada (bencana) ini,
Mereka amat berhadap semoga Allah ﷻ menyelamatkan mereka. Mereka membuat perjanjian dengan Allah ﷻ pada waktu itu.
لَنَكُونَنَّ مِنَ الشّٰكِرِينَ
tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur””.
Mereka berjanji: kalau mereka diselamatkan, barulah mereka hendak menjadi orang yang baik, mulalah hendak sembahyang, barulah rasa hendak buat baik, rasa hendak belajar agama dan macam-macam lagi perkara yang baik-baik. Itulah maksudnya mereka hendak menjadi ‘orang yang bersyukur’. Kalau yang buat syirik, waktu itu mereka berjanji tidak mahu berbuat syirik lagi.
Mereka akan bersyukur kepada Allah ﷻ atas segala nikmat yang telah diberikan. Mereka hendak menghargai apa yang Allah ﷻ telah berikan. Kalau sebelum ini, mereka buat tidak kisah sahaja. Mereka tidak jaga salat, mereka tidak pergi haji walaupun mereka mampu dan sebagainya. Mereka dulu lalai dalam menjalankan perintah agama.
Kalau Musyrikin Mekah yang sebut, maksud ‘syukur’ dalam ayat ini adalah bermaksud ‘tauhid’. Jika mereka diselamatkan, mereka berjanji yang mereka akan mengamalkan tauhid sahaja tidak sembah selain Allah ﷻ. Mereka akan seru Allah ﷻ sahaja.
Allahu a’lam.
#Ilm#Prihatin#Amal