Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-51 hingga Ke-53

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-51 hingga Ke-53

302
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-51

Ayat Takhwif Ukhrawi (Penakutan tentang Akhirat).

وَأَنذِر بِهِ الَّذينَ يَخافونَ أَن يُحشَروا إِلىٰ رَبِّهِم ۙ لَيسَ لَهُم مِّن دونِهِ وَلِيٌّ وَلا شَفيعٌ لَّعَلَّهُم يَتَّقونَ

Dan berilah amaran dengan Al-Qur’an itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi mereka pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah, supaya mereka bertaqwa.

وَأَنذِرْ بِهِ

Dan berilah amaran dengan Al-Qur’an itu

Ayat ini menunjukkan bahawa kita perlu memberi peringatan kepada manusia dengan menggunakan Al-Qur’an. Inilah metode dakwah yang paling utama kerana ia bukan kalam manusia tetapi kalam Allah ‎ﷻ. Apabila ia kalam Allah ‎ﷻ, maka ia mengandungi mukjizat yang dapat membuka hati-hati manusia.

Malangnya ramai manusia yang mereka-reka perkara dalam agama untuk memberi peringatan kepada manusia. Sebagai contoh, apabila mereka mengajar manusia supaya tidak membazir makanan, mereka akan kata bahawa makanan itu kalau dibazirkan akan menangis.

Tujuannya baik namun caranya adalah salah kerana kalau mereka hendak melarang manusia daripada melakukan pembaziran, telah ada hujahnya dalam Al-Qur’an dan hadith. Tetapi, mereka mahu juga menggunakan peringatan dengan cara yang lain.

Sama juga dengan mereka yang menggunakan qasidah dan nasyid untuk memberi dakwah kepada manusia. Itu juga cara yang salah. Tidak pernah Nabi ﷺ menggunakan nyanyian dalam dakwah baginda. Yang menggunakan nyanyian dalam dakwah mereka adalah Kristian.

Oleh kerana sudah ramai tidak datang gereja, maka ketua agama mereka rasa perlu menarik minat manusia dengan memberikan hiburan di gereja. Sekarang persoalannya, adakah kita hendak ikut cara Islam, atau kita hendak ikut cara agama lain?

الَّذِينَ يَخَافُون

kepada orang-orang yang merasa takut

Kepada siapakah yang perlu diingatkan? Kepada orang-orang yang takut kepada Allah ‎ﷻ. Itulah orang-orang yang telah beriman. Mereka inilah yang akan mendapat manfaat daripada peringatan yang diberikan.

Namun, kalau mereka telah beriman, kenapa perlu mereka diberi peringatan? Kerana peringatan itu akan memberi kebaikan kepada mereka kerana orang-orang yang takutlah yang akan mendapat peringatan ini.

Peringatan Al-Qur’an diberikan kepada semua tetapi yang mengambil peringatan adalah mereka yang takut kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Yang tidak takut, mereka akan buat tidak tahu sahaja apabila ayat-ayat ancaman diberikan kepada mereka. Kalau mereka tidak ada rasa takut untuk berdiri di hadapan Allah ‎ﷻ, mereka akan buat tidak kisah sahaja kepada peringatan yang diberikan dalam Al-Qur’an.

Maka kerana itu jangan hairan kalau ada dalam kalangan orang Muslim apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka, mereka tidak terkesan pun. Ini kerana mereka tidak takut dengan Allah ‎ﷻ pun sebenarnya.

Allah ‎ﷻ ajar dalam ayat ini, jika mereka yang menolak itu masih tidak mahu juga mendengar kebenaran, asyik hendak berdebat sahaja, maka tinggalkan mereka. Baik tumpukan perhatian kepada orang yang hendak menerima hidayah yang disampaikan kepada mereka. Jangan layan orang yang degil, teruk sangat, yang menghina, yang mempermain-mainkan agama.

Berkenaan kepercayaan kepada akhirat, umumnya manusia terbahagi kepada tiga golongan:

1. Yang benar-benar percaya;
2. Yang ragu-ragu antara percaya dan tidak;
3. Tidak percaya langsung.

Bagi pendakwah, golongan 1 & 2 itu yang patut lebih diberi keutamaan. Ini supaya kita tidak membuang masa dan tenaga. Sedangkan masa itu patut diperuntukkan kepada yang ada harapan untuk menerima dakwah itu.

أَن يُحْشَرُوا إِلَىٰ رَبِّهِمْ

bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat),

Apakah yang mereka takutkan? Iaitu mereka akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ dan mereka akan dihisab atas segala perbuatan mereka. Mereka itu takut kerana mereka tahu bahawa keadaan itu adalah keadaan yang amat payah. Mereka tahu kerana mereka telah belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith-hadith yang menceritakan keadaan di Mahsyar kelak.

Dan mereka tidak pasti sama ada mereka akan selamat atau tidak. Mereka sentiasa rasa mereka ada kekurangan daripada amalan mereka. Mereka yang sebeginilah yang akan mengikuti ajaran Al-Qur’an.

Kepada mereka yang tidak belajar,mereka sangka perhimpunan di Mahsyar itu biasa-biasa sahaja. Oleh kerana itu, mereka tidak ada rasa takut langsung. Sebagaimana kita, kalau kita tidak tahu seseorang itu garang, tentulah kita tidak takut untuk berjumpa dengan dia kerana kita tidak ada pengetahuan tentang orang itu, bukan? Namun kepada mereka yang sudah tahu kegarangannya, mereka akan takut kerana mereka telah kenal dia.

Begitu jugalah kita yang telah belajar tafsir Al-Qur’an ini – kita telah tahu bahawa perhimpunan di Mahsyar itu adalah perkara yang menyeksakan sekali. Maka kita amat berjaga-jaga.

لَيْسَ لَهُم مِّن دُونِهِ وَلِيٌّ

tiadalah bagi mereka pelindung yang lain daripada Allah,

Apa yang perlu diingatkan kepada manusia? Iaitu di akhirat nanti, tidak ada penolong selain Allah ‎ﷻ. Pada hari akhirat tidak ada sesiapa pun yang boleh menolong sesiapa pun.

Jadi, ayat ini mengingatkan kita untuk berharap pertolongan kepada Allah ‎ﷻ. Untuk mendapatkan pertolongan daripada Allah ‎ﷻ, maka hendaklah kita mengikut suruhan-Nya. Jangan hendak bergantung kepada wali, kepada Nabi, kepada keturunan kita. Itu semua adalah harapan palsu sahaja. Akhirnya, kita kena bergantung kepada amalan kita sendiri.

وَلَا شَفِيعٌ

dan tidak juga pemberi syafaat

Ingatlah bahawa pada hari akhirat nanti, tidak ada sesiapa pun yang boleh memberikan syafa’at ataupun memberi pertolongan kepada sesiapa pun. Oleh itu janganlah mengharap kepada sesiapa melainkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Ramai yang salah faham tentang syafaat ini. Ramai yang minta syafaat kepada Nabi Muhammad ﷺ , padahal tidak boleh minta syafaat dengan Nabi. Walaupun ada hadith yang mengatakan Nabi ﷺ akan beri syafaat di akhirat kelak. Memang Nabi ‘pemberi Syafaat’ tetapi jangan salah faham.

Begini untuk faham: Memang Nabi ﷺ akan beri syafaat. Tetapi bukan baginda yang ‘menentukan’ siapa yang boleh dapat syafaat. Nabi Muhammad ﷺ ‘tukang sampaikan’ sahaja. Kita buat perumpamaan pelajar universiti yang hanya akan dapat sijil graduan kalau dia sudah melepasi ujian-ujian yang ditetapkan di universiti itu.

Memang semasa Hari Graduasi, Chancellor yang akan sampaikan skrol itu. tetapi bukanlah beliau yang menentukan siapakah yang akan dapat skrol itu. Yang menentukan seseorang pelajar itu layak dapat ijazah itu adalah bahagian lain yang bertanggungjawab menentukan berdasarkan daripada keperluan yang telah dipenuhi oleh pelajar itu.

Itu pun kalau dia telah memenuhi segala syarat untuk mendapatnya. Maka begitu juga dengan syafaat. Pertama, hanya Allah ﷺ yang menentukan siapa yang akan dapat syafaat. Keduanya, syafaat itu diberikan kepada mereka yang layak sahaja. Antara kelayakan utama, adalah tidak mengamalkan syirik.

لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

supaya mereka bertaqwa.

Inilah tujuan manusia diingatkan dengan Al-Qur’an – supaya manusia menjadi orang yang bertaqwa. Mereka yang mengambil peringatan daripada wahyu akan mendapat taqwa.

Taqwa adalah meninggalkan dosa sama ada kecil atau besar. Seorang muttaqeen tidak merendahkan dosa-dosa kecil kerana mereka sedar bahawa dosa kecil yang banyak akan membawa kepada dosa besar akhirnya.

Dan mereka itu ibarat orang yang berjalan di jalan yang penuh berduri. Apa yang akan dilakukan kalau jalan penuh berduri? Tentunya mereka akan berhati-hati supaya tidak kena duri itu. Oleh itu, kita kena hidup dalam dunia dengan penuh berhati-hati. Setiap perbuatan kita, kita kena fikirkan sama ada ia dibenarkan oleh Allah ﷺ atau tidak. Untuk tahu sama ada ia dibolehkan atau tidak, kenalah seseorang itu berilmu. Kena belajar apakah hukum Allah ‎ﷻ di dalam setiap perkara.

Tafsir Ayat Ke-52

Zajrun (teguran daripada Allah ‎ﷻ). Nabi ﷺ pernah ditegur oleh pemuka Quraish yang rasa diri mereka bangsawan. Jadi mereka tidak mahu duduk sekali dengan para sahabat yang miskin. Mereka mahu Nabi ﷺ asingkan mereka semasa berbincang kerana mereka rasa mereka tidak layak duduk bersama golongan marhaen.

Ini bermakna Nabi ﷺ kena halau golongan yang kelas rendah itu. Allah ‎ﷻ larang Nabi ﷺ lakukan perkara ini. Jangan layan orang kafir dengan memberi keistimewaan kepada mereka untuk belajar wahyu. Allah‎ ﷻ mahu manusia sama rata. Jangan ajar fahaman kasta dalam masyarakat. Jangan pandang golongan kelas bawahan itu sebagai hina sedangkan mereka itulah sebenarnya yang mulia.

وَلا تَطرُدِ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدوٰةِ وَالعَشِيِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ ما عَلَيكَ مِن حِسابِهِم مِّن شَيءٍ وَما مِن حِسابِكَ عَلَيهِم مِّن شَيءٍ فَتَطرُدَهُم فَتَكونَ مِنَ الظّٰلِمينَ

Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredhaan-Nya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau daripada orang-orang yang zalim.

وَلَا تَطْرُدِ

Dan janganlah engkau usir

Nabi ﷺ disuruh dalam ayat ini supaya jangan buat tidak kisah kepada para sahabat-sahabat baginda. Jangan usir mereka dari sisi baginda. Perkataan تَطْرُدِ daripada perkataan ط ر د yang bermaksud ‘membuang sesuatu yang kita rasa tidak baik, hina dan tidak elok.’

Selalunya, mereka yang mula-mula menerima Islam adalah mereka yang miskin dan lemah dalam masyarakat. Ini adalah kebiasaan zaman berzaman. Akan tetapi, Nabi ﷺ berharap supaya ada kalangan mereka yang kaya dan berpengaruh dalam kalangan bangsa Arab yang akan masuk Islam dan akan menguatkan islam. Ini kerana kalau mereka masuk Islam, maka akan lebih ramai yang akan ikut mereka.

Tetapi mereka itu sangat sombong sampaikan mereka tidak mahu duduk bersama dengan Nabi ﷺ kalau ada golongan mereka yang lemah itu. Mereka anggap mereka kasta tinggi dan tidak layak duduk dengan golongan kasta rendah itu. Maka, mereka suruh Nabiﷺ halau dulu sahabat-sahabat yang telah beriman itu.

Namun Allah ‎ﷻ telah melarang Nabi ﷺ supaya jangan halau dan tinggalkan mereka. Sebaliknya hendaklah baginda jadikan mereka sebagai sahabat rapat baginda kerana mereka itu sebenarnya orang yang mulia.

الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم

orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka

Maksudnya mereka sentiasa berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Mereka meminta kepada Allah ‎ﷻ dalam segala keperluan mereka. Dan juga mereka banyak melakukan ibadat kerana doa itu adalah ibadah. Maknanya, mereka itu rapat dengan Allah ‎ﷻ kerana kalau kita sentiasa berdoa kepada Allah ‎ﷻ, kita rapat dengan Allah ‎ﷻ. Tautan hati kita sentiasa bersama-Nya.

Ayat ini mengajar kita tentang kepentingan berada bersama orang-orang yang soleh. Allah ‎ﷻ menyuruh kita berkawan dengan orang yang baik-baik. Banyak kebaikan kalau kita berkawan dengan orang-orang yang baik.

Ia juga adalah larangan untuk menghalau mereka yang soleh dan benar-benar hendak belajar agama. Jangan kerana mereka miskin dan tidak ada pengaruh, kita pandang rendah kepada mereka. Ini bukan ajaran agama Islam. Islam tidak memandang kedudukan dan kasta.

بِالْغَدَوٰةِ وَالْعَشِيِّ

pagi dan petang,

Para sahabat yang miskin itu sentiasa beribadat siang dan malam. Maknanya mereka sentiasa ingat kepada Allah‎ﷻ . Hidup mereka sentiasa menghubungkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Maka jangan usir mereka.

Ini adalah satu konsep yang penting. Kita kena ingat bahawa dalam Mekah pada waktu itu, ada banyak jenis manusia. Ada yang elit, ada kelas hamba, ada yang pendatang dan sebagainya. Yang mula menerima Islam adalah orang yang susah dan lemah. Nabi ﷺ mengharapkan ada yang beriman dalam kalangan yang kuat dan berkuasa kerana itulah baginda juga berdakwah kepada golongan yang ada kedudukan dalam kalangan Quraisy.

Itu adalah perbuatan yang baik juga, kerana kalau yang berkuasa masuk Islam, pengikut mereka pun akan masuk Islam juga. Maka dengan ini Islam akan lebih cepat berkembang. Jangan kita anggap Nabi ﷺ pilih kasih pula dalam hal ini. Nabi ﷺ sebenarnya memandang kepada kebaikan Islam secara keseluruhan. Namun, dalam masa yang sama Allah ‎ﷻ mengingatkan Nabi ﷺ supaya jangan lupa kepada mereka yang lemah dan yang beribadat siang dan malam.

Walaupun mendapatkan sokongan yang kuat adalah strategi yang bagus, tetapi jangan lupa kepada golongan yang lemah. Mereka itu beriman dengan benar dan banyak beribadat. Tidak kira mereka itu daripada golongan mana pun. Mereka itu yang lebih penting sebenarnya kerana mereka itu ikhlas beragama.

Mereka lebih tinggi sebenarnya kedudukan di sisi Allah ‎ﷻ kerana kedudukan di sisi Allah ‎ﷻ bukanlah berdasarkan berapa banyak harta dan berapa banyak pengikut, tetapi betapa tingginya taqwa mereka.

يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

mereka menghendaki wajah-Nya semata-mata

Kenapa mereka berdoa dan beribadat siang dan malam? Kerana mereka mencari ‘wajah’ Allah ‎ﷻ. ‘Cari wajah Allah ‎ﷻ’ bermaksud ‘mencari redha Allah ‎ﷻ’. Maknanya mereka itu ikhlas dalam ibadah mereka. Ini mengajar kita penting ikhlas dalam beribadah. Tanpa ikhlas, ibadah kita tidak ada nilai.

Juga bermaksud mereka hendak melihat wajah Allah ‎ﷻ di akhirat kelak kerana mereka yang beriman akan dapat melihat wajah Allah ‎ﷻ nanti di akhirat kelak. Ada persamaan ayat ini dengan ayat [ Kahf: 28 ].

مَا عَلَيْكَ مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَيْءٍ

Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka,

Kepada yang selain daripada mereka yang beribadat itu, Nabi Muhammad ﷺ tidak bertanggungjawab ke atas amalan dan pahala mereka. Mereka itulah orang musyrik. Kamu, wahai Muhammad ﷺ tidak akan dipersalahkan kalau mereka tidak beriman.

Saad Abi Waqas رضي الله عنه meriwayatkan hadith bahawa kejadian ini berlaku semasa beliau bersama Nabi ﷺ dan lima orang sahabat yang lain. Musyrik Mekah datang dan berkata kepada Nabi ﷺ, kalau Nabi ﷺ hendak mereka duduk bersama baginda (untuk dengar dakwah baginda), maka hendaklah Nabi ﷺ menghalau dulu sahabat-sahabat yang sedang berada bersama Nabi ﷺ itu. Ini kerana golongan berpengaruh Musyrikin Mekah itu memandang rendah sahabat-sahabat Nabi ﷺ itu kerana mereka itu berkedudukan tinggi dan rasa tidak layak duduk bersama orang-orang yang miskin dan hina itu.

Terdetik di hati Nabi ﷺ yang mungkin baginda boleh menyuruh sahabat-sahabatnya itu untuk pergi sementara supaya baginda boleh berdakwah kepada pemuka-pemuka Quraisy itu. Ada juga riwayat yang mengatakan ini adalah nasihat daripada Saidina Umar رضي الله عنه. Bukan lama pun, sekejap sahaja. Mungkin itu akan memberi peluang untuk mereka mendengar apa yang baginda sampaikan, dan kalau mereka masuk Islam, maka ramailah nanti orang musyrik yang masuk Islam. Niat baginda adalah baik. Baginda hendakkan lebih ramai masuk Islam.

Nabi ﷺ diingatkan bahawa apa yang baginda rasa itu adalah salah. Mereka itu rasa sombong sampai tidak mahu duduk bersama manusia yang mereka pandang hina. Maka, kalau mereka tidak mahu beriman, jangan hiraukan mereka dan Nabi ﷺ tidak akan dipersalahkan kalau mereka tidak mahu beriman. Ini kerana bukan salah Nabi ﷺ jika mereka tidak mahu beriman. Maka, Nabi ﷺ diberitahu supaya jangan rasa bersalah kalau mereka tidak beriman. Setiap orang bertanggungjawab untuk dirinya sendiri.

Ayat ini mengajar kita, bahawa mereka yang meletakkan syarat untuk beriman, tidak akan beriman. Sebagai contoh, kalau ada yang kata kalau mereka sudah berjaya dapat satu projek, mereka akan mula masuk kelas tafsir, itu bukanlah iman yang sebenarnya. Mereka tidak akan datang walaupun mereka telah berjaya.

Mereka yang memandang rendah orang lain kerana kekurangan pada orang juga adalah orang yang tidak beriman. Orang beriman akan menyayangi sesiapa yang beriman juga tanpa mengira latar belakang mereka.

Yang penting adalah iman. Ini yang sepatutnya menjadi nilai pada kita. Oleh itu, apabila seorang lelaki ingin memilih pasangan hidupnya, hendaklah dia mencari seseorang yang beriman. Imanlah yang amat penting. Imanlah yang dipandang tinggi oleh Allah ‎ﷻ. Ia adalah sifat yang paling disayangi oleh Allah ‎ﷻ. Maka jangan hanya melihat kedudukan dunia mereka.

وَمَا مِنْ حِسَابِكَ عَلَيْهِم مِّن شَيْءٍ

dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu.

Setiap orang hanya bertanggungjawab kepada amalan mereka sahaja. Oleh itu, kita tidak boleh sedekah atau pindahkan pahala kepada sesiapa pun. Maka, amalan yang dilakukan oleh ramai masyarakat Islam kita, iaitu Majlis Tahlilan itu adalah perbuatan yang sia-sia sahaja.

Majlis Tahlil itu bertujuan hendak memberi pahala kepada si mati, tetapi ayat ini mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh sedekah atau pindahkah pahala kita kepada orang lain. Sudahlah perbuatan itu adalah satu perbuatan bid’ah kerana tidak pernah dibuat Nabi ﷺ. Tambahan pula entah berapa banyak kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam majlis itu. Sebagai contoh, selalunya sebelum memulakan tahlil, akan ada tawasul kepada Nabi Muhammad ﷺ dahulu (apabila sedekah Fatihah kepada baginda dengan lafaz ila hadratin…)

فَتَطْرُدَهُمْ فَتَكُونَ مِنَ الظّلِمِينَ

Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau daripada orang-orang yang zalim.

Maka, jangan halau orang yang hendak belajar agama. Tidak boleh kita halang sesiapa yang hendak datang belajar. Kalau buat begitu, maka kita adalah zalim, iaitu tidak adil dalam menyampaikan wahyu. Dosa zalim adalah amat besar sekali.

Musyrikin Mekah menghalang Nabi ﷺ daripada berdakwah kepada masyarakat Arab. Kalau kita belajar sirah Nabi, kita akan tahu perkara ini. Mereka juga menghalang manusia daripaa rapat dan mendengar ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tahu, kalau ada yang mendengar bacaan Al-Qur’an daripada Nabi ﷺ, hati mereka akan terkesan dan ramai yang akan masuk Islam.

Ingatlah yang tidak ada sesiapa boleh memberi rahmat melainkan Allah ‎ﷻ sahaja. Allah ‎ﷻ pemberi rahmat dan makhluk penerima rahmat. Salah satu rahmat itu adalah ‘berkat’. Masalahnya sekarang ini ramai yang kononnya hendak ambil ‘berkat’ daripada orang lain sebagaimana Kristian yang mengambil berkat daripada Nabi Isa عليه السلام.

Ini adalah ajaran yang salah. Kalau ada yang kata manusia boleh beri berkat, hendaklah berikan dalil. Sebagai contoh, majlis ilmu ada berkat, dan itu ada dalil. Tetapi mana dalil daripada sumber yang sahih mengatakan yang manusia boleh beri berkat kepada orang lain? Oleh itu, apabila manusia menggunakan berkat Nabi untuk menyempurnakan majlis bid’ah mereka, maka itu adalah syirik.

Ini juga adalah ayat tentang kepimpinan. Itu adalah salah satu daripada tanggungjawab Nabi Muhammad ﷺ. Kita boleh mengambil pengajaran daripada kejadian ini. Apabila pemimpin sedang memimpin, tentulah dia memandang dan mengharapkan sokongan daripada orang yang kuat. Allah ‎ﷻ mengingatkan supaya jangan lupa kepada mereka yang lemah.

Seperti sekarang, kalau kita hendak membina masjid, kita akan cari mereka yang kaya raya. Namun kita lupa kepada mereka yang miskin dan tidak ada pengaruh. Padahal mereka pun ada kelebihan juga. Mereka itulah nanti yang akan memakmurkan masjid itu, bukan mereka yang kaya raya itu. Kadangkala mungkin yang beri duit itu tidak datang pun ke masjid selepas itu.

Allah ‎ﷻ mengingatkan Nabi ﷺ untuk jangan memandang kepada kekayaan manusia. Kekayaan itu bukanlah tanda iman seseorang.

Tafsir Ayat Ke-53

Maka kedudukan tinggi dalam masyarakat menjadi ujian bagi sesetengah manusia untuk menerima kebenaran. Memang dunia ini adalah tempat ujian dan salah satu ujian adalah kedudukan dalam dunia.

وَكَذٰلِكَ فَتَنّا بَعضَهُم بِبَعضٍ لِّيَقولوا أَهٰؤُلاءِ مَنَّ اللهُ عَلَيهِم مِّن بَينِنا ۗ أَلَيسَ اللهُ بِأَعلَمَ بِالشّٰكِرينَ

Dan demikianlah Kami uji sebahagian daripada mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): “Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? ” (Allah berfirman): “Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?”

وَكَذَٰلِكَ فَتَنَّا بَعْضَهُم بِبَعْضٍ

Dan demikianlah Kami uji sebahagian daripada manusia dengan sebahagian yang lain;

Sebahagian manusia menjadi ujian kepada sebahagian yang lain. Dalam ayat sebelum ini, orang Islam yang lemah dan miskin menjadi ujian kepada musyrikin yang kaya. Ujian mereka adalah: mereka tetap kena terima Islam walaupun yang mula-mula beriman adalah golongan miskin dan lemah iaitu, kerana yang miskin telah beriman, menyebabkan musyrikin yang kaya tidak mahu duduk bersama Nabi ﷺ. Mereka rasa kedudukan mereka tinggi sampai mereka tidak layak duduk bersama orang-orang yang lemah dan miskin. Dan Allah mentakdirkan pula, memang orang miskin yang mula-mula terima kebenaran tauhid.

Memang orang miskin tidak ada apa sangat yang mereka hendak fikirkan. Ini kerana mereka tidak akan ada apa kehilangan kalau mereka terima ajaran agama. Mereka sudah terima yang dunia ini sementara sahaja dan mereka berharap kepada akhirat kerana mereka tidak ada kedudukan dan kesenangan di dunia pun.

Kita semua sebenarnya diuji dengan orang lain. Dan kita juga akan menjadi ujian kepada orang lain juga. Mungkin keluarga kita, kawan kita, guru kita, bos kita di tempat kerja dan sebagainya. Kita juga diuji dengan orang-orang yang jahat. Kita juga diuji dengan orang-orang yang tidak berniat jahat pun dengan kita. Sentiasa sahaja ujian di dunia ini berjalan kerana kita memang hidup dalam kalangan manusia, maka antara ujian adalah daripada manusia juga.

Ingatlah kalau kita sedang diuji dengan perbuatan manusia lain, maka kenalah kita ingat ayat ini. Sedarlah bahawa mereka itu adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ. Dan kita kena selesaikan dan tangani segala ujian itu. Pertamanya, kita kena berikan hak mereka. Jangan buat tidak tahu sahaja tentang hak mereka. Kalau kita tidak berikan hak mereka, bermakna kita yang menjadi ujian bagi mereka.

لِّيَقُولُوا أَهَٰؤُلَاءِ

supaya mereka (orang-orang yang kaya) itu berkata: “Inikah orang-orangnya

Yang berkata begini adalah golongan pemuka-pemuka Quraisy. Siapakah yang mereka maksudkan? Mereka maksudkan sahabat-sahabat yang miskin dan lemah kedudukan dalam masyarakat Arab waktu itu.

Daripada ayat ini juga kita dapat tahu bahawa memang selalunya orang yang miskin dan lemah yang mengikut Nabi ﷺ‎. Bukan umat Nabi Muhammad ﷺ sahaja tetapi Nabi-Nabi yang terdahulu pun begitu juga. Pengikut mereka adalah orang-orang yang miskin-miskin belaka. Ini kerana yang kaya selalunya akan sibuk dengan harta mereka dan sombong dengan kedudukan mereka.

Mereka yang kaya susah mahu merendah diri. Maka kerana itulah yang mula-mula mahu menerima iman selalunya adalah orang-orang yang lemah dan miskin.

مَنَّ اللهُ عَلَيْهِم مِّن بَيْنِنَا

yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami?

Mereka rasa mereka lebih layak untuk mendapat iman berbanding orang-orang lemah dan miskin itu kerana mereka sangka mereka lebih pandai dan mereka lebih kaya. Mereka kata sepatutnya mereka dululah yang dapat iman daripada Nabi Muhammad ﷺ sebagaimana mereka dapat harta yang banyak. Mereka kata yang Allah‎ ﷻ silap beri rahmat pula kepada manusia. Maknanya, mereka telah gagal dalam ujian yang Allah ‎ﷻ telah berikan.

Kenapa mereka tidak berpuas hati? Kerana ramai daripada sahabat-sahabat sudah masuk Islam itu tidak pandai membaca dan menulis. Mereka juga miskin dan lemah kedudukan di sisi masyarakat. Jadi puak musyrik yang kaya itu rasa mereka lebih layak untuk mendapat kelebihan jika ada.

Mereka rasa kalau orang orang miskin itu sudah beriman, mereka tidak mahu beriman sebab mereka tidak mahu bercampur dengan orang-orang miskin dalam majlis yang sama. Kalau baru sekarang mereka beriman, bermaksud mereka membenarkan apa yang telah diimani oleh mereka yang lemah itu.

Mereka seolah-olah orang yang terlambat dan telah didahului oleh orang-orang yang lemah pula. Itu yang mereka tidak mahu kerana malu. Mereka rasa malu sebab seolah-olah mereka lambat dapat kebenaran. Begitulah teruknya fikiran mereka, sampaikan mereka sanggup tidak beriman kerana takut mereka akan dikatakan begitu nanti.

Maka, daripada ayat ini tahulah kita bahawa tidaklah semestinya orang-orang yang beriman itu dalam kalangan orang-orang kaya (atau orang-orang miskin pun). Allah ‎ﷻ pilih sesiapa yang Dia hendak pilih. Tidak ada kelebihan sama ada kamu kaya atau berkuasa. Yang penting adalah iman.

أَلَيْسَ اللهُ بِأَعْلَمَ بِالشّٰكِرِينَ

“Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?”

Ayat ini bermaksud Allah ‎ﷻ lebih mengetahui siapakah yang lebih patut diberikan taufiq dan hidayah. Allah ‎ﷻ tidak pernah salah dalam memberi nikmat. Mereka yang telah beriman itu mungkin miskin, lemah dan tidak tahu membaca dan menulis, tetapi mereka yang sebenarnya layak.

Kerana apa? Kerana mereka golongan yang bersyukur. Kerana itulah mereka berhak menerima tauhid dan iman. Orang yang bersyukur akan mendapat kelebihan tambahan daripada Allah ‎ﷻ.

Dengan sebab itulah Allah ‎ﷻ berikan iman kepada mereka dan bukan kepada musyrikin yang kaya dan berkedudukan itu. Kita sebagai manusia tidak layak untuk mempersoalkan keputusan Allah ‎ﷻ. Adakah kita layak untuk mempersoalkan Allah ‎ﷻ? Tentu tidak sama sekali. Mereka yang mempersoalkan keputusan Allah ‎ﷻ seperti yang dikatakan oleh Musyrikin Mekah itu amatlah kurang ajar.

Siapakah orang yang bersyukur? Mereka itu adalah orang-orang yang tidak buat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Mereka juga berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ. Ibadah pula mereka ikut cara ajaran Nabi ﷺ. Bermakna, mereka mengikut semuanya arahan dan pedoman daripada Allah ‎ﷻ dan Nabi. Selepas itu barulah mereka menyebut Alhamdulillah.

Bukanlah hanya menyebut ‘Alhamdulillah’ berkali-kali, tetapi perintah dan arahan-Nya tidak diikuti. Maknanya, orang-orang yang bersyukur ini adalah orang yang taat kepada Allah ‎ﷻ dan taat kepada Rasulullah.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan