Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-40
Ayat ini mengandungi dalil Aqli I’tirafi. Allah ﷻ telah mengiktiraf bahawa ada juga fahaman Musyrikin Mekah itu yang benar. Jangan sangka semua akidah mereka tidak benar, kerana ada lagi saki ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام dalam kalangan mereka.
Allah ﷻ menggunakan fahaman mereka untuk mengajak mereka berfikir. Ia adalah dalil aqli i’tirafi kerana Musyrikin Mekah sudah terima bahawa Allah ﷻ itu Tuhan. Mereka sudah tahu bahawa Allah ﷻ menentukan segalanya.
قُل أَرَءيتَكُم إِن أَتٰكُم عَذابُ اللهِ أَو أَتَتكُمُ السّاعَةُ أَغَيرَ اللهِ تَدعونَ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Khabarkanlah kepadaku, jika datang kepada kamu azab Allah, atau datang kepada kamu hari kiamat, adakah kamu akan menyeru yang lain dari Allah (untuk menolong kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar?”
قُلْ أَرَءيْتَكُمْ
Katakanlah (wahai Muhammad): “tidakkah kamu melihat kepada dirimu,
Bermaksud: tidakkah kamu pernah memikirkan? Ayat ini khitab (disampaikan) kepada Nabi Muhammad ﷺ tetapi baginda disuruh baca kepada umat baginda.
إِنْ أَتٰكُمْ عَذَابُ اللهِ
jika datang kepada kamu azab Allah,
Ada azab di dunia seperti yang telah diberikan kepada kaum terdahulu. Atau ada bala besar yang datang tiba-tiba kepada kamu. Sebagai contoh, kita sudah nampak bas yang akan melanggar kita. Ini biasa sahaja di dalam kehidupan kita yang tidak sunyi daripada musibah.
أَوْ أَتَتْكُمُ السَّاعَةُ
atau datang kepada kamu hari kiamat,
Perkataan السَّاعَةُ bermaksud hari Kiamat. Katakanlah Hari Kiamat itu datang dengan tiba-tiba.
Atau, ia juga boleh bermaksud ‘Kiamat Kecil’ iaitu kematian kita. Ini kerana kematian kita ini adalah penghujung bagi hidup kita, dan kita akan dimasukkan ke dalam kubur. Di dalam kubur itu pula kita akan menerima balasan iaitu balasan sebelum balasan yang sebenar di akhirat.
أَغَيْرَ اللهِ تَدْعُونَ
adakah kamu akan menyeru yang lain daripada Allah (untuk menolong kamu),
Adakah apabila terjadi azab atau sudah datangnya kiamat itu, adakah kamu (wahai golongan Musyrikin Mekah) akan panggil selain daripada Allah ﷻ?
Tentulah tidak. Musyrikin Mekah pun tahu perkara ini. Mereka akan minta tolong kepada Allah ﷻ juga. Kalau perkara hajat yang besar-besar, memang mereka akan doa terus kepada Allah ﷻ. Bab keperluan kecil sahaja mereka meminta kepada ilah-ilah rekaan mereka.
Ini juga fahaman golongan yang mengamalkan syirik walaupun beragama Islam. Walaupun mereka inilah yang menganjurkan tawasul dan macam-macam lagi amalan salah, mereka tetap juga akan seru Allah ﷻ. Memang selalunya mereka akan seru pujaan-pujaan mereka seperti Nabi, wali dan malaikat, tetapi kalau kena bala, mulut mereka akan automatik sebut “Ya Allah!”
Maknanya waktu kena bala itu, mereka tidak sempat untuk buat doa tawasul lagi. Tidak sempat hendak buat salat hajat pun. Tidak sempat hendak berdoa tolak bala pada waktu itu. Tidak sempat hendak pergi ke kubur wali atau kuburan Habib. Waktu itu, yang ada dalam kepala mereka adalah minta tolong kepada Allah ﷻ sahaja.
Ingatlah bahawa doa (istighasah) kepada selain daripada Allah ﷻ adalah kufur. Allah ﷻ mahukan kita berdoa kepada-Nya terus, tanpa melalui perantaraan. Kenapa susah sangat hendak faham perkara ini? Kenapa susah sangat? Bukankah ini cara doa yang lebih mudah? Inilah cara yang diajar Allah ﷻ, Nabi dan golongan mukmin dari dahulu sampai sekarang.
Maka, janganlah seru selain daripada Allah ﷻ. Kalau kita hendak panggil orang, cakap dengan orang, kenalah orang itu ada di situ, bukan? Dan kita pun tahu dia ada di situ. Kita pun nampak dia ada di situ. Barulah betul kalau kita hendak bercakap dengan dia. Yang kita seru tanpa ia ada di hadapan kita, tanpa kita nampak, hanyalah Allah ﷻ sahaja, bukan? Jadi kalau kita seru selain daripada-Nya, maka itu adalah syirik kufur.
Maka, syiriklah mereka yang minta izin daripada penunggu gua, penunggu pokok, penjaga kawasan dan lain-lain lagi itu. Malang sekali, kita semenjak dari kecil lagi kita sudah diajar begini: “Salam tok, tumpang singgah, anak cucu nak lalu…” Ini sebenarnya adalah seru jin kerana mana mungkin tok nenek kita mahu duduk sahaja menunggu pokok-pokok besar dalam hutan, bukan? Begitu mudah dalam kalangan kita yang ramai yang mengamalkan syirik, kerana fikrah syirik sudah menebal dalam diri tok nenek kita semenjak dari dulu lagi. Fahaman itu disampaikan turun temurun zaman berzaman kepada kita.
Minta maaf kalau ada yang rasa apa yang saya katakan ini kasar. Namun tujuan saya bukanlah hendak menjaga hati manusia, tetapi lebih kepada menjaga iman dan akidah. Ini sama sahaja dengan golongan yang seru Nabi, wali atau malaikat. Ada pula golongan sesat yang mengajar seru Rijalul Ghaib, Ahli Naubah dan bermacam-macam lagi rekaan dalam agama.
Maka, bagaimana dengan makcik-makcik dan pakcik-pakcik kita yang suka dan asyik dengan lagu-lagu Marhaban? Apakah maksud ‘Marhaban’ itu? Tidakkah mereka faham maksud lagu yang dinyanyikan? Atau mereka hafal sahaja lirik tanpa mengetahui maknanya?
Baik, secara ringkasnya, maksud qasidah Marhaban itu adalah mengucapkan selamat datang. Namun, ucapan selamat datang itu ditujukan kepada siapa? Yang mereka sebut itu adalah selamat datang kepada Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya. Kononnya Nabi Muhammad ﷺ datang dalam majlis Marhaban itu.
Itulah sebabnya penyanyi-penyanyi Marhaban itu akan bangun berdiri kerana mereka menghormati Nabi Muhammad ﷺ yang datang itu. Ada juga yang meletakkan satu kerusi kosong berhias kerana mereka kata Nabi ﷺ akan duduk menyaksikan majlis itu daripada kerusi itu!
Ajaran sesat manakah yang mengajar masyarakat kita sampai begini sekali? Satu Malaysia mengamalkan Marhaban ini bukan? Bukankah Nabi Muhammad ﷺ sudah lama wafat?
Kita pun tahu terdapat kelas-kelas Marhaban di seluruh negara kita sekarang. Itulah kelas mengajar dan membawa kepada syirik. Tidak ada dalil langsung yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ akan datang ke majlis Marhaban malah mana-mana majlis pun. Ini adalah perkara kepercayaan iaitu akidah, dan perkara akidah kena ada dalil barulah boleh digunapakai. Dan dalil itu kena ada dalil yang sahih.
Kita kena ajar kepada masyarakat supaya mereka meninggalkan perkara yang salah sebegini kerana kalau kita tidak sebut, mereka akan berterusan dalam akidah syirik itu. Mereka itu orang yang baik-baik, tidak minum arak, tidak buat zina. Tetapi kalau dalam masa yang sama mereka ada membuat syirik, mereka akan masuk neraka akhirnya.
إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ
jika betul kamu orang-orang yang benar?
Cakap betul-betul, dari hati kamu sendiri: siapakah yang kamu akan panggil kalau bala datang tiba-tiba kepada kamu? Lihatlah dalam diri kamu, kalau ada bala yang tiba-tiba datang, agaknya siapakah yang kamu seru?
Jawabnya tentulah mereka akan menyeru Allah ﷻ dalam keadaan seperti itu kerana mereka tahu yang Allah ﷻ sahaja yang boleh menyelamatkan mereka. Jika begitu, kalau waktu susah mereka seru Allah ﷻ, kenapa tidak mereka seru Allah ﷻ dalam waktu senang juga? Itulah hujjah yang hendak disampaikan dalam ayat ini.
Musyrikin Mekah memang kenal Allah ﷻ. Mereka terima Allah ﷻ adalah Tuhan tetapi dalam masa yang sama, mereka ada ‘tuhan-tuhan kecil’. Ketika waktu senang, kalau ada keperluan, mereka berdoa kepada tuhan-tuhan mereka seperti Latta, Uzza dan banyak lagi. Tetapi kalau untuk perkara berat, mereka akan doa terus kepada Allah ﷻ.
Dalam hal ini, Musyrikin Mekah lebih baik daripada masyarakat Islam kita yang jahil bab doa. Sebab masyarakat kita terbalik. Dalam keadaan biasa, mereka berdoa kepada Allah ﷻ. Sebagai contoh, selepas salat ramai yang berdoa terus kepada Allah ﷻ. Tetapi kalau ada masalah besar, mereka tidak doa terus kepada Allah ﷻ. Mereka akan cari ustaz, guru dan sebagainya. Golongan ini akan minta mereka buat doa tolak bala, doa selamat, mandi tolak bala, buat salat hajat ramai-ramai dan bermacam-macam lagi amalan bid’ah yang lain. Kemudian ustaz itu pula tawasul kepada Nabi, wali atau malaikat. Memang terbalik keadaan masyarakat kita dengan Musyrikin Mekah.
Orang yang tidak percayakan Allah ﷻ pun kadang-kadang dalam keadaan terdesak akan doa kepada Tuhan (mungkin mereka tidak sebut nama Allah tetapi sebut dalam bentuk umum sahaja). Antaranya mereka akan cakap: “Ya Tuhan, kalau Kamu benar ada, tolong lah aku”. Maka ini adalah perkara normal yang memang telah disematkan dalam sanubari manusia sebenarnya kerana memang manusia kenal Tuhan, bukan?
Kadang-kadang mereka diberi pertolongan dan selepas itu mereka akan beriman. Banyak juga kita terdengar kisah-kisah sebegini. Ini kerana hati mereka tersentuh apabila ada Tuhan yang makbulkan doa mereka.
Tafsir Ayat Ke-41
بَل إِيّاهُ تَدعونَ فَيَكشِفُ ما تَدعونَ إِلَيهِ إِن شاءَ وَتَنسَونَ ما تُشرِكونَ
Bahkan Dia lah (Allah) yang kamu seru lalu Dia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepada-Nya jika Dia kehendaki; dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu).
بَلْ
Bahkan
Allah ﷻ hendak beritahu kepada kita, apakah jawapan mereka. Mereka mungkin tidak jawab dengan mulut mereka, tetapi Allah ﷻ hendak beritahu apakah yang ada dalam hati mereka kerana Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam hati manusia.
إِيَّاهُ تَدْعُونَ
Dia lah (Allah) sahaja yang kamu seru
Apabila ada perkataan إِيَّاهُ, itu bermaksud ‘hanya’ Allah ﷻ sahaja yang mereka akan doa. Memang mereka akan hanya seru Allah ﷻ sahaja, tidak ada yang lain kerana pada waktu itu keadaan amat terdesak.
Oleh itu, kita ingatkan anda semua yang sedang membaca tulisan ini, serulah hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan lagi diseru kepada wali, Nabi atau mana-mana malaikat. Itu adalah perbuatan syirik. Dan memang naluri kemanusiaan kita akan seru Allah ﷻ sahaja sebenarnya. Yang mengajar seru wali, Nabi dan malaikat itu adalah ajaran syaitan, bukan daripada naluri manusia pun.
فَيَكْشِفُ مَا تَدْعُونَ إِلَيْهِ
lalu Dia lah yang menghapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepada-Nya
Allah ﷻ sahaja yang boleh menghilangkan bala itu kerana bala itu daripada Dia juga. Maka Dia lah sahaja yang akan menyelesaikan masalah itu. Yang diminta selain Allah ﷻ (Nabi, wali, malaikat dan jin) itu tidak dapat mengangkat bala itu. Maka, minta doa kepada-Nya untuk menyelesaikan masalah kita.
Bagaimanakah caranya? Doa sendiri-sendiri sahaja tanpa meminta orang lain tolong doakan. Tidak perlu berjumpa bomoh. Tidak perlu berjumpa ‘ustaz’ untuk doakan kita, tidak perlu buat salat hajat untuk kita kerana itu semua pun dipanggil tawasul juga.
Itulah masalah zaman sekarang, iaitu bomoh-bomoh sudah tidak menggunakan gelaran bomoh, tetapi gelaran ‘ustaz’, tetapi sama sahaja apa yang mereka lakukan.
إِن شَاءَ
jika Dia kehendaki
Tidaklah setiap kali Allah ﷻ akan menyelamatkan manusia kalau kita berdoa. Terpulang kepada-Nya sama ada hendak nemakbulkan atau tidak permintaan doa itu. Kita tidak boleh paksa Allah ﷻ. Kita cuma boleh berharap sahaja kepada Allah ﷻ.
Ayat ini memberitahu kepada kita, bahawa kadang-kadang Allah ﷻ akan menolong juga orang kafir walaupun mereka membuat syirik kepada Allah ﷻ. Terpulang kepada Allah ﷻ. Kalau doa orang kafir pun, Allah ﷻ jawab, sudah tentu kita ini lebih lagi Allah ﷻ layan. Jadi sentiasalah kita berdoa kepada Allah ﷻ.
Yang pasti yakinlah dalam doa kita itu bahawa Allah ﷻ sedang mendengar doa kita dan Allah ﷻ akan membuat yang terbaik untuk kita. Allah ﷻ tahu mana yang baik untuk kita.
وَتَنسَوْنَ مَا تُشْرِكُونَ
dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan
Waktu itu, segala tuhan-tuhan lain, ilah-ilah lain, mereka akan lupakan kerana keadaan itu susah sangat sampai mereka tahu yang hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh selamatkan.
Pada waktu itu mereka terdesak dengan emosi yang takut dan risau sangat. Barulah mereka kembali kepada naluri asal iaitu permintaan dan harapan hanya kepada Allah ﷻ.
Ayat ini mengingatkan kita untuk sentiasa meminta doa terus kepada Allah ﷻ dalam semua keadaan. Dalam susah dan senang. Ingatlah Allah ﷻ di kala kita senang, maka Allah ﷻ akan ingat kita di kala susah.
Tafsir Ayat Ke-42
وَلَقَد أَرسَلنا إِلىٰ أُمَمٍ مِّن قَبلِكَ فَأَخَذنٰهُم بِالبَأساءِ وَالضَّرّاءِ لَعَلَّهُم يَتَضَرَّعونَ
Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-Rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَىٰ أُمَمٍ مِّن قَبْلِكَ
Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan kepada umat-umat yang dahulu daripadamu
Allah ﷻ tidak sebut pun ‘apa’ yang diutuskan kerana sudah difahami bahawa ia adalah ‘Rasul’ yang dihantar. Mereka dihantar untuk memberi peringatan kepada manusia.
Dan ia juga boleh bermaksud tidak semestinya Rasul yang dihantar tetapi para ‘pendakwah’, sebagaimana kita di zaman sekarang’ tidak ada Rasul lagi yang diutuskan kepada kita. Kita mendapat ilmu agama dan peringatan melalui pendakwah sahaja, bukanlah Rasul.
Ini adalah sunnatullah. Allah ﷻ akan sentiasa mengutuskan pendakwah kepada manusia untuk mengingatkan mereka. Tidaklah Allah ﷻ membiarkan manusia tanpa didikan dan peringatan. Peringatan dan ajaran akan diberikan supaya nanti manusia tidak ada lagi alasan untuk kata mereka tidak tahu tentang agama sebab Allah ﷻ telah mengutuskan pendakwah kepada mereka.
Ini menunjukkan kepentingan Rasul dan pendakwah. Jika tidak ada Rasul dan pendakwah tauhid, bagaimana kita tahu cara yang benar untuk menjalani kehidupan kita? Bagaimana kita boleh tahu siapa yang boleh disembah? Inilah rahmat daripada Allah ﷻ. Jika Allah tidak mengutuskan Rasul, susah pula untuk kita mencapai maklumat itu sendiri.
فَأَخَذْنٰهُم بِالْبَأْسَاءِ
maka Kami seksakan mereka dengan bencana
Namun, apabila pendakwah dan Rasul dihantar kepada manusia, ramai manusia yang akan menolak Rasul dan pendakwah itu. Maka, Allah ﷻ akan balas dengan menghantar kepada mereka kesusahan dalam bentuk fizikal.
Contohnya, makanan tidak cukup, diserang dengan musuh dan sebagainya. Apa lagi yang Allah ﷻ kenakan kepada mereka?
وَالضَّرَّاءِ
dan kesengsaraan,
Kesusahan dalam diri dan emosi. Kesusahan yang melibatkan mental dan emosi. Ini merangkumi kesedihan kerana kematian yang tersayang, kerendahan diri kerana dijajah dan sebagainya.
Kenapa Allah ﷻ kenakan semua ini? Kerana apabila pendakwah dihantar kepada manusia dan mereka ditolak, Allah ﷻ akan berikan kesusahan kepada mereka untuk merendahkan ego mereka. Kesusahan ini adalah kesusahan yang ringan lagi. Ia bukanlah bala yang akan menghancurkan mereka. Ia adalah sebagai amaran sahaja lagi. Kenapa Allah ﷻ buat begitu?
لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ
supaya mereka merendah diri (serta insaf dan bertaubat).
Supaya mereka kembali mentauhidkan Allah ﷻ. Kesusahan-kesusahan itu sebenarnya adalah rahmat daripada Allah ﷻ kerana tujuan diberikan kesusahan itu adalah untuk memecahkan ego mereka. Mereka akan sedar bahawa mereka memerlukan pertolongan Allah ﷻ. Ini kerana manusia yang tinggi ego sudah hendak terima nasihat orang lain.
Sebagai contoh, peristiwa ketika Firaun menolak Nabi Musa عليه السلام, di mana Firaun dan kaumnya telah dikenakan dengan bala untuk menundukkan ego dan kesombongan mereka. Ketika itu barulah Firaun menghantar wakil untuk minta Musa عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ.
Perkataan يَتَضَرَّعُونَ daripada kata dasar ض و ع bermaksud ‘merendah diri sehingga berasa diri tiada nilai’. Kita pun biasa dengar kalimah tawaduk, bukan? Kita memang kena merendahkan diri di hadapan Allah ﷻ. Merendahkan diri dengan fizikal dan emosi sekali. Oleh itu, menangislah di hadapan Allah ﷻ. Mengakulah dengan kesalahan yang kita sudah buat selama ini dan berjanji untuk tidak melakukannya lagi. Sedarlah yang kita ini amat lemah dan memerlukan Allah ﷻ.
Ayat ini mengingatkan kita untuk merendahkan diri dalam dunia sebelum akhirat. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh kita kalau ada masalah. Bukan dengan membuat salat hajat berjama’ah beramai-ramai atau mengupah pelajar tahfiz untuk mendoakan kita. Bukan dengan meminta ustaz atau tok imam mengadakan majlis doa selamat. Bukan meminta mana-mana syeikh membacakan doa untuk kita. Cara ini tidak ada di dalam sunnah, tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan diamalkan oleh para sahabat. Yang berpegang kepada pendapat kata boleh itu pun, mereka ambil daripada dalil-dalil serpihan sahaja.
Itu semua adalah amalan tawasul yang salah. Kalau kita buat seperti itu, dosa kita akan bertambah pula. Sudahlah masalah yang sedia ada belum selesai, ditambah dosa baru pula, iaitu dosa reka cara berdoa yang Nabi ﷺ tidak pernah ajar.
Surah al-An’am ini diturunkan dalam tahun-tahun terakhir sebelum Nabi ﷺ Hijrah. Jadi ayat ini adalah sebagai amaran kepada Musyrikin Mekah bahawa jika mereka tidak beriman, mereka akan dikenakan dengan bala. Ini adalah amaran yang keras kepada mereka.
Bandingkan dengan negara kita. Dahulu kita ada kerajaan Islam di bawah pemerintahan Sultan Melaka. Kemudian Melaka telah jatuh ke tangan penjajah. Bertukar-tukar penjajah sehinggalah kepada Perjanjian Pangkor pada tahun 1876. Akhirnya kita hanya dapat merdeka pada tahun 1957. Semenjak sebelum jatuhnya Melaka, orang kita telah mengamalkan sihir dalam amalan.
Sebagai contoh, kita ada ‘ilmu tikam tak lut’ dan sebagainya. Semenjak waktu itu, sehinggalah negara kita ini telah bertukar tangan daripada satu penjajah ke penjajah yang lain, selepas merdeka ini pun, masyarakat kita belum lagi meninggalkan sihir yang syirik itu. Dari dulu sampai sekarang, umat Melayu ini tidak habis lagi mengamalkan syirik dan sihir. Masih lagi ada yang kata mereka ada ilmu parang terbang, selempah merah dan itu ini.
Oleh kerana amalan salah yang diamalkan, kita telah dikenakan dengan bala. Maknanya, kita dari dahulu lagi Allah ﷻ sudah biasa memberikan bala dan azab kepada kita. Sampai sekarang pun kita ada sahaja kesempitan hidup. Walaupun kita nampak seolah-olah aman, tetapi kita tidak pernah sunyi daripada masalah dan bala. Ini kerana kita tidak pernah keluar daripada membuat amalan salah. masyarakat kita masih lagi membuat syirik tidak henti. Walaupun terdapat alim ulama’ dan ustaz, mereka tidak berani menegur kerana bimbang ditolak oleh masyarakat.
Ayat ini juga mengingatkan kepada kita bahawa ada kalanya kesusahan dan bala diturunkan kepada kita apabila kita melakukan kesalahan. Namun tidak semestinya sentiasa begitu.
Ada masanya Allah ﷻ berikan bala sebagai rahmat juga kepada kita kerana apabila kita bersabar dengan bala itu, kita akan mendapat pahala. Asalkan kita bersabar dengan dugaan itu, kita akan mendapat pahala.
Akhirnya, ayat ini juga mengingatkan kepada kita kepentingan merendahkan diri. Ia sangat penting hinggakan Allah ﷻ memberikan bala dan kesusahan kepada kita supaya kita mencapai tahap itu. Maka, kalau kita sudah merendahkan diri kita, mungkin tidak perlu Allah ﷻ kenakan bala kepada kita. Mana yang lebih baik? Kita beriman dengan sendiri atau beriman setelah dikenakan dengan bala?
Tafsir Ayat Ke-43
Tetapi bagaimana kalau mereka tidak merendahkan diri?
فَلَولا إِذ جاءَهُم بَأسُنا تَضَرَّعوا وَلٰكِن قَسَت قُلوبُهُم وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ ما كانوا يَعمَلونَ
Tetapi kenapa mereka tidak berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.
فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُم بَأْسُنَا
Tetapi kenapa ketika mereka ditimpa musibah daripada Kami, tidak mereka
Perkataan لَوْلَا ini banyak digunakan dalam Al-Qur’an. Terdapat empat jenis kegunaannya:
1. Bermaksud ‘kalau tidak’. Sebagai contoh, “kalau tidak kerana rahmat Allah, maka …..”
2. Bermaksud permintaan. Sebagai contoh, ada manusia yang di hujung nyawanya meminta supaya dia diberikan masa lagi untuk hidup. Lebih kurang maksudnya begini: “Kenapa tidak diberikan…”
3. Digunakan sebagai teguran. Seperti yang digunakan dalam ayat ini. Sebagai contoh digunakan dalam bentuk begitu: “Kenapakah mereka tidak …. begitu begini”.
4. Digunakan dalam bentuk pertanyaan. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah bertanya “kenapakah tidak diturunkan malaikat?”.
تَضَرَّعُوا
mereka merendah diri?
Tujuan bala itu diberikan adalah untuk kita merendahkan diri kita, tetapi kenapa kita masih lagi tidak merendahkan diri? Begitulah manusia silap memilih tindakan. Allah ﷻ telah menurunkan bala, namun ramai yang tidak memperbaiki keadaan diri sendiri, iaitu kembali kepada ajaran Allah ﷻ. Beginilah terjadi kepada masyarakat kita: apabila bala datang, ramai yang buat salat hajat berjama’ah, membaca doa beramai-ramai tolak bala dan sebagainya. Amalan ini adalah salah kerana buat perkara yang bid’ah.
Sepatutnya kita kena tunduk dengan mengamalkan tauhid dan tinggalkan perkara bid’ah dan mengamalkan ajaran sunnah. Begitulah kebanyakan manusia yang tidak mengakui keesaan Allah ﷻ. Sebaliknya ramai meminta pertolongan kepada selain daripada Allah ﷻ. Kerana itulah Allah ﷻ menegur manusia dalam ayat ini.
وَلَٰكِن قَسَتْ قُلُوبُهُمْ
Akan tetapi yang sebenarnya hati mereka keras,
Mereka jadi begitu kerana hati mereka telah menjadi keras. Mereka tidak mahu menerima kebenaran. Itulah orang yang keras hati, tidak mahu merendah diri di hadapan Allah ﷻ. Maka kebenaran tidak dapat masuk ke dalam hati mereka.
Yang boleh merendahkan diri adalah mereka yang lembut hatinya. Yang boleh memikirkan bahawa mungkin mereka ada buat salah (kerana itulah Allah ﷻ menurunkan bala dan musibah). Mereka yang baik adalah mereka yang tahu kedudukan mereka sebagai hamba. Apabila sedar kita ini hamba, maka senang untuk taat kepada Allah ﷻ.
Perkataan قَسَتْ bermaksud ‘hati mereka telah menjadi keras’. Maksudnya, hati mereka asalnya tidak keras tetapi apabila mereka berterusan menolak hidayah, maka hati mereka lama kelamaan menjadi keras. Ini adalah bahaya sekali. Ini mengajar kita untuk menjaga hati kita. Hendaklah kita melembutkan hati kita dengan kaedah-kaedah yang telah diajar oleh ulama’.
Pertamanya, kita kena baca Al-Qur’an dengan banyak kerana Al-Qur’an adalah Kalam Allah. Kalau kita rapat dengan Al-Qur’an, maka kita akan rapat dengan Allah ﷻ. Semasa baca itu, bukanlah baca sahaja (mengeja) seperti kebanyakan masyarakat kita buat sekarang.
Tetapi, hendaklah kita faham dan memikirkan apakah yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an itu. Jadi, untuk dapat kefahaman itu, kena belajar tafsir Al-Qur’an. Inilah sebabnya kita banyak menganjurkan supaya anda semua belajar tafsir Al-Qur’an ini. Kalau baca kosong sahaja, tidaklah dapat membantu kita untuk melembutkan hati kita.
Keduanya, meningkatkan ingatan kepada Allah ﷻ. Itulah zikir. Zikir itu hendaklah memikirkan tentang Allah ﷻ, bukan hanya mulut sahaja sebut perkataan, tetapi tidak faham apakah yang dibaca.
Ketiganya, bergaul dengan orang-orang soleh. Apabila kita bersama orang yang soleh, kita akan buat perkara yang soleh juga kerana orang yang rapat dengan kita, akan memberi kesan kepada kita. Itulah sebabnya penting kita berjaga-jaga dengan siapa kawan kita.
Keempat, berbuat baik kepada mereka yang rendah daripada kita. ‘Rendah’ dari segi umur, kedudukan, kekayaan, orang yang sakit dan sebagainya. Lawati mereka dan berbuat baik dengan mereka. Ini dapat melembutkan hati.
وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطٰنُ
dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka
Ini adalah sebab kedua kenapa manusia tidak merendahkan diri mereka. Perbuatan syirik itu syaitan bagi nampak elok sahaja kepada manusia dan sebab itulah masih ada lagi yang menyembah selain Allah ﷻ dan mereka tidak rasa bersalah pun.
Ini adalah salah satu daripada senjata talbis Iblis. Syaitan akan menampakkan amalan salah sebagai cantik sahaja pada pandangan orang yang jahil. Senjata ini dinamakan tazyeen.
Sebagai contoh, ada lagi kubur habib Noh yang masih dilawati dan dijadikan sembahan oleh puak syirik di negara kita. Masih lagi masyarakat kita buat maulid sambil berarak di jalanan. Nampak elok sahaja perbuatan itu pada mata mereka. Mereka sangka mereka buat sesuatu yang baik dalam agama. Mereka sangka mereka dapat banyak pahala dan mendekatkan diri dengan Allah ﷻ.
Syaitan jugalah yang memperelokkan perbuatan salat hajat ramai-ramai sampai buat di stadium sekarang. Begitu juga syaitan telah tipu mereka sampai mereka buat selawat dengan lafaz-lafaz yang mengandungi syirik beramai-ramai. Mereka kata itu majlis untuk ‘mencintai Allah dan Rasul’ tetapi mereka tidak sedar bahawa itu adalah majlis yang syirik.
Kita sudah menjadi bahan mainan syaitan sebenarnya. Syaitan boleh ubah pandangan kita. Dia boleh bagi kita nampak yang amalan kita adalah baik padahal ia adalah amat buruk. Oleh kerana kita nampak ia baik, maka kita tidak tinggalkan amalan salah itu. Syaitan juga boleh menampakkan kepada kita, amalan yang baik sebenarnya, tetapi dia menampakkannya sebagai buruk.
Yang penting adalah mendapatkan ilmu wahyu supaya kita sedar permainan syaitan ini. Kena bandingkan apa sahaja amalan dan fahaman dengan Al-Qur’an dan sunnah. Kalau kita rasa kita terkena bisikan syaitan ini, maka hendaklah kita berdoa memohon perlindungan Allah ﷻ.
مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
apa yang mereka telah lakukan.
Ada satu lagi cara syaitan menipu kita. Tentu kita sebagai manusia, ada juga perbuatan baik yang kita sudah buat, bukan? Takkan tiada langsung amalan baik kita. Antara yang syaitan buat adalah meninggikan dan mengembangkan perbuatan baik kita itu sampai kita rasa sudah hebat dengan apa yang kita telah lakukan. Kita rasa kita sebenarnya orang baik.
Padahal, untuk satu perkara baik yang kita buat, tetapi dalam masa yang sama terdapat sepuluh perkara syirik kita sudah amalkan. Namun, syaitan bisikkan kepada kita untuk membesar-besarkan satu amalan baik kita itu sampai kita sudah tidak nampak entah berapa banyak salah kita.
Contohnya, kita ada sedekah sedikit sebanyak kepada rumah anak-anak yatim. Kita pun rasa kita sudah selamat sedangkan ada banyak lagi amalan salah yang kita tidak buat, banyak lagi kewajipan lain yang kita tidak lakukan. Tetapi syaitan bisikkan dan bagi kita kembang dengan amalan sedekah itu sampai kita rasa kita sudah selamat dan tidak hiraukan perkara-perkara lain.
Allahu a’lam.
#Ilmu#Amal#Prihatin