Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-33
Kembali kepada tema utama surah ini. Ayat ini adalah sebagai pujuk rayu kepada penyebar tauhid. Jadi ayat ini adalah Ayat Tasliah (pujukan) untuk menghilangkan kesedihan kepada para penyebar tauhid dan pendakwah kepada kebenaran.
قَد نَعلَمُ إِنَّهُ لَيَحزُنُكَ الَّذي يَقولونَ ۖ فَإِنَّهُم لا يُكَذِّبونَكَ وَلٰكِنَّ الظّٰلِمينَ بِئآيٰتِ اللهِ يَجحَدونَ
Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah sebenarnya.
قَدْ نَعْلَمُ
Sesungguhnya Kami mengetahui
Allah ﷻ menenangkan hati Nabi ﷺ dengan memberitahu baginda bahawa Allah ﷻ dengar, Allah ﷻ tahu yang Nabi ﷺ dalam kesedihan. Bukanlah Allah ﷻ tidak tahu apa yang baginda lalui. Kalau seseorang itu tahu yang ada yang mendengar keluhan hatinya, faham apa yang dirasainya, bukankah ada kurang sedikit rasa resahnya itu? Allah ﷻ hendak mengurangkan kesedihan baginda dengan pujukan ini.
إِنَّهُ لَيَحْزُنُكَ الَّذِي يَقُولُونَ
bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau berdukacita;
Nabi Muhammad ﷺ diejek dengan teruk sekali. Berbagai tohmahan dilemparkan oleh Musyrikin Mekah kepada baginda. Mereka menuduh baginda ahli sihirlah, gilalah, pemecah belah masyarakatlah dan macam-macam lagi. Allah ﷻ beritahu kepada Nabi ﷺ bahawa Allah ﷻ tahu apa yang dikatakan kepada baginda dan baginda berasa sedih dengan perkara itu. Bukannya Allah ﷻ tidak tahu. Tetapi itulah ujian buat baginda.
Seperti juga kita sekiranya diejek dengan gelaran ‘Wahabi’. Kita mendapat gelaran ini kerana kita selalu membicarakan tentang syurga dan neraka, Al-Qur’an dan hadith Nabi. Diejek dengan kata “Tiada benda lainkah lagi? Asyik tauhid, syirik, Al-Qur’an, hadith sahaja kamu bawa ni?” Tentu hati kita sedikit sebanyak tersentuh, bukan? Ingatlah bahawa Allah ﷻ tahu apa yang kita lalui, maka bersabarlah.
فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ
kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu,
Allah ﷻ kata para penentang itu sebenarnya bukan mendustakan dan mengejek Nabi Muhammad ﷺ tetapi sebenarnya mendusta dan mengejek Allah ﷻ. Ini kerana Nabi Muhammad ﷺ hanya menyampaikan ayat-ayat daripada Allah ﷻ, bukanlah ayat-ayat rekaan daripada baginda. Oleh itu, Allah ﷻ mengingatkan baginda agar jangan bersedih kerana mereka sebenarnya bukan mengejek dan menentang baginda.
وَلَٰكِنَّ الظّٰلِمِينَ بِئآيٰتِ اللهِ يَجْحَدُونَ
tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah
Yang mereka debat dan lawan adalah ayat-ayat Allah ﷻ. Mereka menentang Allah ﷻ sebenarnya. Mereka sahaja yang tidak sedar yang mereka waktu itu sedang menolak Allah ﷻ.
Perkataan يَجْحَدُونَ daripada katadasar ج ح د yang bermaksud ‘menolak sesuatu selepas tahu’. Musyrikin Mekah memang tahu bahawa Nabi ﷺ itu Rasul dan ayat Al-Qur’an itu memang daripada Allah ﷻ (hati mereka sendiri menerimanya), tetapi mereka masih juga menolak kerana mereka sombong dan degil.
Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ bersabar dengan dugaan ini. Yang sepatutnya marah adalah Allah ﷻ, bukanlah baginda. Sama juga nasihat ini sekarang diberikan kepada kita. Kita pun kena sabar dan buat tidak tahu dengan kata-kata penentang. Kita cuma sampaikan sahaja. Kalau mereka tidak terima, mereka bukan menolak kita, tetapi menolak Allah ﷻ sebenarnya.
Orang yang tidak mahu terima dakwah tauhid bukanlah mereka tidak suka dengan pendakwah itu, tetapi dengan mesej yang dibawa. Sebagai contoh, katakanlah anda telah belajar agama dan kerana anda tahu ia adalah benar, maka anda ceritakan kepada rakan dan keluarga. Ada yang sudah lama kenal dan memang kawan baik. Yang mungkin sama-sama jahil dan nakal dahulu.
Selepas kita dakwah kepadanya, dia akan kata: “Kamu ni dah lain dah. Dulu tak macam ni. Dulu kita boleh duduk lepak sama-sama, sekarang dah susahlah nampaknya. Kau belajar kat mana ni?”
Begitulah yang selalu terjadi. Kalau hendak kata dia tidak suka kepada kita, bukankah dia telah lama kenal dan kawan dengan kita, bukan? Maksudnya, yang dia tidak boleh terima adalah mesej tauhid yang kita sampaikan kepadanya. Maka, jangan kita terasa sangat dengan mereka. Memang dakwah memerlukan kesabaran dan keteguhan hati.
Tafsir Ayat Ke-34
Allah ﷻ beri contoh apa yang berlaku kepada Rasul-rasul terdahulu sebagai sambungan pujukan kepada baginda.
وَلَقَد كُذِّبَت رُّسُلٌ مِن قَبلِكَ فَصَبَروا عَلىٰ ما كُذِّبوا وَأوذوا حَتّىٰ أَتٰهُم نَصرُنا ۚ وَلا مُبَدِّلَ لِكَلِمٰتِ اللهِ ۚ وَلَقَد جاءَكَ مِن نَّبَإِ المُرسَلينَ
Dan demi sesungguhnya, Rasul-Rasul sebelummu pernah juga didustakan maka, mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian daripada khabar berita Rasul-rasul itu.
وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُّسُلٌ مِّن قَبْلِكَ
Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan,
Nabi dan Rasul sebelum ini pun sudah didustakan. Jad,i ini bukan perkara baru. Itulah sebabnya Allah ﷻ ceritakan tentang Nabi-Nabi dahulu kepada Nabi ﷺ dan kepada kita supaya kita tahu apa yang telah terjadi kepada mereka.
Begitu juga ulama’ dan guru-guru agama dahulu kala pun sudah ramai ditolak. Imam Ibn Taimiyyah, Imam Bukhari, Imam Ahmad رحمهم الله malah banyak lagi. Dan yang ditolak itu adalah dalam hal berkenaan tauhid, bukan tentang hal wirid, tentang ibadat. Kalau kita sentuh tentang perkara ibadat, mereka tidak kisah sangat, mereka terima sahaja.
Cuma tentang tauhid yang kalau diberitahu kepada mereka, mereka akan lawan dan tolak bersungguh-sungguh. Mereka tidak tahu, yang sebenarnya tentang tauhidlah yang paling penting sekali. Ibadat memang penting juga, tetapi kalau tauhid bermasalah, buat banyak ibadat pun tidak berguna kerana selagi masih membuat syirik, selagi itu ibadat tidak diterima.
فَصَبَرُوا عَلَىٰ مَا كُذِّبُوا
maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka
Allah ﷻ beritahu yang orang-orang dahulu itu tahan dengan penuh kesabaran. Mereka tidak marah dengan apa yang dikenakan kepada mereka kerana apa yang mereka lakukan adalah kerana Allah ﷻ. Mereka tidak mengharapkan balasan daripada umat yang mereka dakwahkan itu, tetapi mereka hanya mengharapkan balasan daripada Allah ﷻ sahaja. Mereka terus berdakwah dan tidak meninggalkan kaum mereka.
Maka, kalau mereka boleh bersabar, maka kamu pun bersabarlah juga.
وَأُوذُوا
dan menyakiti mereka,
Mereka disakiti dengan kata-kata dan juga dengan fizikal. Apabila umat yang kufur itu tidak dapat melawan dengan kata-kata kerana mereka tidak ada hujah, mereka akan menggunakan keganasan fizikal pula tetapi golongan terdahulu itu tetap bersabar.
حَتَّىٰ أَتٰهُمْ نَصْرُنَا
sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka;
Allah ﷻ memberi pertolongan kepada Rasul-Rasul itu di mana mereka telah diberikan kemenangan dan musuh mereka telah dihancurkan. Allah ﷻmemberi isyarat kepada Nabi ﷺ dalam ayat ini bahawa pertolongan Allah ﷻ akan tiba. Tunggu sahaja kerana kejayaan itu pasti dan Rasulullah ﷺ telah melihat kejayaan itu di dalam hidup baginda.
وَلَا مُبَدِّلَ لِكَلِمٰتِ اللهِ
dan tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah;
Apakah كَلِمَاتِ اللهِ? Banyak sekali maksudnya. Dalam surah Kahfi telah disebut bahawa kalaulah kalimat-kalimat Allah ﷻ ditulis, tidak akan habis walaupun dua kali ganda air lautan di dunia ini dijadikan dakwat untuk menulisnya. Termasuk dalam kalimat-kalimat Allah ﷻ adalah janji-janji-Nya. Janji-Nya untuk Rasul-Nya dan para pendakwah.
Kalimat Allah ﷻ juga termasuk segala puji-pujian untuk-Nya. Amat banyak sekali.
Ia termasuk juga hukum-hukum. Hukum-hukum Allah ﷻ tidak boleh diubah. Kita tidak boleh tukar ikut kehendak kita. Walaupun ayat-ayat itu keras, ramai orang tidak suka, tetapi begitulah ia tetap terpakai dan mesti diikuti. Kena sampaikan seperti itu juga. Jangan kita lihat orang tidak suka, kita ubah tafsir ayat itu untuk ‘sesuaikan’ dengan keadaan semasa.
Atau kita simpan sesetengah ayat, tidak sebarkan ayat-ayat yang kita rasa orang tidak suka dengar. Kita ajar ayat-ayat yang tidak menyebabkan orang sakit hati sahaja. Kita ajar ayat-ayat yang ringan sahaja.
Salah satu janji Allah ﷻ adalah kalau kita dakwah ajaran tauhid, mesti akan jadi begini iaitu memang pendakwah akan ditolak, pasti ada musuh untuk mereka. Masalahnya, ramai yang takut diejek dan ditentang. Oleh itu, mereka tidak berani hendak beritahu kepada orang lain. Oleh itu, kepada kita yang belajar tauhid ini, tidak boleh sembunyikan apa yang kita telah belajar ini. Kena sampaikan kepada masyarakat yang ramai tidak tahu.
Ini kerana kalau kita sembunyikan ajaran sebenar, kita akan dilaknat oleh Allah ﷻ dan mereka yang melaknati (makhluk lain seperti malaikat). Jangan takut dengan mereka yang menentang. Memang kewajipan menyampaikan kepada manusia adalah berat. Tetapi kita tetap kena juga lakukan. Ini kerana walaupun kita tidak membuat bid’ah dan syirik, tetapi oleh sebab kita simpan ilmu itu dan tidak sebarkan, kita akan dilaknat dan akan disumbatkan ke dalam neraka sama seperti orang yang membuat syirik juga.
Maka, kesimpulannya kena sampaikan ilmu tauhid. Jangan hanya cerita perkara ibadah sahaja. Dibimbangi kita menjadi seperti Jemaah Tabligh yang mengajak manusia kepada agama, tetapi tidak melarang orang daripada membuat syirik. Cuma ajak orang pergi salat sahaja. Inilah satu sindrom yang akan menyebabkan manusia makin sesat kerana kesalahan akidah manusia tidak ditegur.
Satu lagi makna: tiada orang yang boleh mengubah pertolongan Allah ﷻ. Apabila pertolongan Allah ﷻ tiba, ia akan tiba. Maka, ini mengajar kita supaya bersabar.
وَلَقَدْ جَاءَكَ مِن نَّبَإِ الْمُرْسَلِينَ
dan sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-Rasul itu.
Ada banyak kisah yang telah disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ namun ada lagi yang tidak diberitahu. Kisah-kisah itu sepatutnya boleh menenangkan Nabi ﷺ. Bagaimana dalam kisah itu telah disebutkan bagaimana Nabi-Nabi dahulu telah diselamatkan dan diberikan kemenangan. Ingatlah yang pertolongan Allah ﷻ pasti datang.
Kisah para Rasul itu juga telah sampai kepada kita melalui Nabi Muhammad ﷺ. Cerita Rasul dan Nabi-nabi, semua orang tahu. Tetapi hal tauhid yang dibawa oleh Rasul-Rasul itu tidak diambil tahu. Mereka cuma ambil tahu tentang kisah-kisah perjalanan hidup mereka sahaja. Padahal, semua kisah Nabi dan Rasul dahulu adalah tentang tauhid. Mereka itu semuanya ditentang kerana membawa ajaran tauhid.
Yang menyedihkan pula, dalam kisah-kisah yang disampaikan kepada masyarakat tentang Nabi-Nabi dulu, ada banyak kisah-kisah tambahan yang melalut-lalut. Yang karut pun ada. Antaranya kisah Nabi Sulaiman عليه السلام yang hendakkan Puteri Balqis, kisah Nabi Yusuf عليه السلام dan Zulaikha berkahwin dan sebagainya.
Kisah itu pula sehingga mencemarkan nama para Nabi. Memang ada dalam kitab tetapi kitab apa? Orang kita, kalau sebut kitab sahaja, terus terima tanpa ilmu. Oleh itu, yang jadi masyhur adalah kisah-kisah yang tidak penting sahaja. Kisah dakwah mereka tentang tauhid tidak diberitahu kepada masyarakat.
Tafsir Ayat Ke-35
Ayat ini tentang Mukjizat. Soalan: Mukjizat itu Nabi boleh buat sendiri atau anugerah Tuhan? Bolehkah Nabi-Nabi buat mukjizat ikut suka mereka?
Jawapannya, tidak. Allah ﷻ yang menentukan bila terjadinya mukjizat itu. Ia dijelaskan di dalam ayat ini di mana Allah ﷻ cabar Nabi ﷺ untuk keluarkan mukjizat kalau baginda boleh. Hal mukjizat pun kita kena faham juga. Kalau tidak, kita akan keliru dengan kebolehan manusia-manusia yang seperti ada kuasa pula.
Oleh kerana kagum dengan kebolehan mereka, orang kita pun ikutlah ajaran sesat mereka. Begitulah yang terjadi dengan pengikut-pengikut Ayah Pin. Mereka lihat Ayah Pin boleh buat itu dan ini, maka mereka telah terima ajaran sesat daripadanya.
Selalunya mukjizat itu dilakukan oleh para Nabi sekali sahaja. Jarang ada mukjizat dibuatkan berkali-kali. Sebagai contoh, pernah beberapa kali Nabi ﷺ diberi mukjizat mengeluarkan air daripada jari-jarinya.
Namun tidaklah kelebihan itu digunakan setiap kali. Tidaklah setiap kali tiada air, para sahabat mencari Nabi ﷺ dengan sebiji baldi mintakan baginda keluarkan air. Mereka tidak buat begitu, kerana mereka tahu, keluar air daripada jari baginda bukanlah dengan kehendaknya. Maknanya, mukjizat adalah anugerah Allah ﷻ, bukan kehendak Nabi ﷺ.
Maka begitulah juga dengan karamah. Ia adalah anugerah Allah ﷻ kepada wali. Ia bukan terjadi dengan kehendak wali. Kalau ia sesuatu yang dipelajari dan boleh dilakukan setiap kali, maka itu bukan karamah tetapi sihir. Contohnya ada guru yang hanya menunding jari ke arah seekor monyet di atas pokok dan monyet itu jatuh. Itu adalah sihir sebenarnya, bukan karamah.
Tetapi anak murid yang jahil memandang tinggi guru itu dan kata itu adalah karamah. Karamah itu diberikan kepada wali, dan untuk menjadi wali mestilah seorang guru yang mengajar. Bukan yang pegang tasbih buat wirid sahaja. Guru pula kenalah mengajar Al-Qur’an dan hadith serta menegur kesalahan yang manusia lakukan.
Bukanlah wali itu seperti yang diceritakan oleh pengikut-pengikut tarekat itu. Mereka keliru sangat dengan takrifan wali sampaikan ada peminta sedekah pun mereka kata wali. Ada orang ajar benda mengarut pun mereka ikut. Itu bukan Wali Allah, tetapi Wali Syaitan. Maaf, jika kedengaran agak kasar, namun itulah hakikatnya. Masyarakat kita perlu disedarkan tentang hal ini dan ini bukanlah masa untuk berlemah-lembut kerana masyarakat kita telah terlalu jauh terpesong.
وَإِن كانَ كَبُرَ عَلَيكَ إِعراضُهُم فَإِنِ استَطَعتَ أَن تَبتَغِيَ نَفَقًا فِي الأَرضِ أَو سُلَّمًا فِي السَّماءِ فَتَأتِيَهُم بِئآيَةٍ ۚ وَلَو شاءَ اللهُ لَجَمَعَهُم عَلَى الهُدىٰ ۚ فَلا تَكونَنَّ مِنَ الجٰهِلينَ
Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.
وَإِن كانَ كَبُرَ عَلَيكَ إِعراضُهُم
Dan jika terasa amat berat kepadamu perbuatan mereka berpaling
Sebelum ini telah disebut bagaimana Nabi ﷺ pun sedih dengan penolakan kaumnya terhadap dakwah baginda sehinggakan baginda hampir rasa tidak tertanggung lagi kerana sudah terlalu lama dan banyak tentangan yang baginda terima. Maka, ini tentunya memberi kesan kepada baginda. Kita kena ingat yang baginda pun adalah seorang manusia juga.
Tambahan pula baginda seorang yang lembut hatinya. Baginda tahu tanggungjawab baginda menyampaikan risalah ini dan baginda sayang kepada umatnya. Baginda merupakan seorang manusia biasa, bukanlah malaikat. Jangan kita terikut dengan fahaman sesat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu bukan manusia biasa. Baginda pun ada emosi sebagaimana manusia biasa juga.
Oleh kerana itu, Nabi ﷺ memang terasa sangat dengan penolakan dan ejekan kaumnya. Baginda dalam masa yang sama, teramat ingin supaya kaumnya selamat daripada neraka. Seperti kita dengan ibu bapa kita, tentu kita tidak mahu mereka masuk neraka atas kesalahan syirik yang mereka lakukan, bukan? Oleh itu, kita sedih sangat kalau kita dakwah kepada ibu bapa kita, tetapi mereka tidak mahu terima.
Nabi ﷺ terkesan sangat apabila kaum baginda sendiri menolak baginda. Apabila Musyrikin Mekah tidak mahu ikut, Jika Nabi ﷺ tunjukkan mukjizat seperti yang mereka minta, mungkin mereka akan beriman sebab nampak keajaiban yang ada pada baginda. Maka Allah ﷻ tegur Nabi Muhammad ﷺ dalam ayat ini.
فَإِنِ اسْتَطَعْتَ
maka sekiranya engkau sanggup
Kalaulah engkau mampu, wahai Nabi Muhammad, engkau buatlah. Buat apa?
أَن تَبْتَغِيَ نَفَقًا فِي الْأَرْضِ
mencari satu lubang yang dalam ke bumi
Lubang dalam yang menembusi bumi kerana perkataan نَفَقًا bermaksud satu lubang yang mesti ada dua bukaan – masuk dan keluar.
Allah ﷻ mencabar Nabi ﷺ untuk mencari lubang itu dan kalau tidak ada, gali sendiri lubang itu. Bolehkah? Tentu tidak, bukan?
أَوْ سُلَّمًا فِي السَّمَاءِ
atau satu tangga untuk naik ke langit,
Atau buatlah tangga yang boleh sampai ke langit. Untuk apa? Untuk mencari mukjizat itu di langit. Ini pun pasti baginda tidak boleh buat.
فَتَأْتِيَهُم بِئآيَةٍ
supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka,
Kalau engkau Muhammad, sudah tidak tahan dengan penolakan mereka dan mahu bawakan mukjizat kepada mereka seperti yang mereka minta, buatlah.
Kalau Allah ﷻ sudah cabar begini, maknanya memang tidak mungkin boleh dicari dan buat sendiri. Kalau kita fikir sendiri pun, kita sudah tahu yang itu tidak mungkin akan berlaku.
Maka, di dalam ayat ini Nabi ﷺ diingatkan untuk tunggu sahaja pertolongan Allah ﷻ. Allah ﷻ yang tentukan bilakah ia akan diberi. Bukan terletak di tangan Nabi Muhammad ﷺ dan ia juga menjadi pengajaran buat kita, bahawa baginda tidak ada kuasa untuk melakukan apa-apa mukjizat.
وَلَوْ شَاءَ اللهُ
Dan sekiranya Allah menghendaki,
Maksudnya Allah ﷻ hendak memberitahu, Dia boleh sahaja lakukan kalau Dia mahu.
لَجَمَعَهُمْ عَلَى الْهُدَىٰ
tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk
Allah ﷻ boleh buat semua kaumnya beriman, sehinggakan Nabi ﷺ tidak perlu berdakwah, tunggu sahaja mereka beriman. Tetapi Allah ﷻ tidak mahukan mereka beriman dengan cara itu. Allah ﷻ memang boleh buat begitu tetapi Allah ﷻ tidak buat. Memang Allah ﷻ mampu kerana lihatlah bagaimana Allah ﷻ menjadikan seluruh para malaikat itu beriman serta taat belaka kepada-Nya.
Allah ﷻ boleh sahaja berikan segala mukjizat yang diminta oleh Musyrikin Mekah itu sehingga mereka beriman. Namun Allah ﷻ tidak mahu begitu. Allah ﷻ hendak manusia beriman dengan perkara yang ghaib. Barulah ada nilai dengan iman itu. Jika kita beriman kerana sudah nampak dengan mata kepala kita, maka ia tidak bernilai sangat.
فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْجٰهِلِينَ
oleh itu janganlah engkau menjadi daripada orang-orang yang jahil.
Jangan jadi bodoh seperti mereka. Jangan kita harap semua orang akan senang untuk beriman. Jika semua orang senang sahaja beriman, maka tiadalah lagi pahala dakwah untuk kita.
‘Jahil’ dalam bahasa Arab bermaksud ‘terikut sangat dengan emosi’ sampaikan berfikir dengan emosi, bukan secara intelek lagi. Oleh kerana perkara inilah yang menyebabkan manusia menjadi jahil. Jangan buat perkara yang kita tidak mampu buat. Jangan ikut emosi kita.
Allah ﷻ hendak beritahu kepada Nabi ﷺ supaya jangan ikut emosi yang inginkan semua umatnya beriman. Dan jangan baginda menjadi jahil dengan berharap supaya segala permintaan mereka dipenuhi. Maka, Allah ﷻ sedang tegur Nabi ﷺ dalam ayat ini. Allah ﷻ boleh sahaja cakap begini kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah hamba-Nya.
Kalau hendak ikutkan emosi kita, kita mahu cepat-cepat sahaja selesai masalah kita. Namun ingatlah bahawa Allah ﷻlah al-Hakeem (Maha Bijaksana). Dia tahu bagaimana untuk selesaikan masalah kita. Kita cuma kena bersabar dan tunggu penyelesaian daripada Allah ﷻ. Orang yang tidak sabar adalah orang yang jahil kerana kalau kita tidak sabar pun, tidak ada apa yang akan berubah.
Sekurang-kurangnya kalau kita bersabar, kita akan dapat pahala. Ini kerana semua dugaan dalam dunia adalah satu ujian kepada kita. Dan apabila kita bersabar, kita akan dikurniakan dengan pahala atas kesabaran kita itu.
Kalau anak kita tidak ikut cakap kita, tidak buat amal ibadat seperti yang kita suruh, itu pun kena sabar juga. Banyak lagi contoh-contoh di mana kesabaran kita amat diperlukan. Memang dunia ini adalah tempat ujian untuk menguji kesabaran kita. Semoga kita menjadi orang yang bersabar.
Allahu a’lam.
#ilmu#amal#prihatin