Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-103
Allah ﷻ beritahu tentang perkara yang halal tetapi ada yang diharamkan oleh manusia. Ada manusia yang memandai-mandai sahaja mengharamkan sesuatu jenis makanan sedangkan tidak ada dalil pengharaman pun.
ما جَعَلَ اللَّهُ مِن بَحيرَةٍ وَلا سائِبَةٍ وَلا وَصيلَةٍ وَلا حامٍ ۙ وَلٰكِنَّ الَّذينَ كَفَروا يَفتَرونَ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ ۖ وَأَكثَرُهُم لا يَعقِلونَ
Allah sekali-kali tidak pernah mensyari’atkan adanya bahiirah, saaibah, washiilah dan haam. Akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti.
ما جَعَلَ اللَّهُ مِن بَحيرَةٍ وَلا سائِبَةٍ وَلا وَصيلَةٍ وَلا حامٍ
Allah sekali-kali tidak pernah mensyari’atkan adanya bahiirah, saaibah, washiilah dan haam.
Ada empat jenis binatang yang disebut dalam ayat ini. Allah ﷻ tidak pernah mensyariatkan tentang bahirah, saibah, wasilah dan ham. Allah ﷻ tidak pernah menjadikan jenis-jenis binatang itu sebagai haram. Arab Mekah telah jadikan pantang bagi empat jenis binatang ini.
Apabila sesuatu binatang itu menjadi salah satu daripada empat jenis ini, mereka melepaskan binatang-binatang itu bebas tidak boleh diganggu kerana mereka kata binatang-binatang itu adalah untuk pujaan-pujaan berhala dan ilah mereka. Mereka mengharamkan pemakanan mereka padahal ia adalah halal belaka.
Oleh itu, mereka telah mengharamkan benda yang halal. Apakah jenis empat binatang itu? Ada banyak penafsiran tentangnya dan ini adalah salah satu daripadnya:
bahirah: Unta yang susunya telah ditetapkan untuk berhala sahaja.
saibah: Unta yang telah dipilih dan dibebaskan atas nama sesuatu berhala. Unta-unta itu mempunyai tanda loket di leher.
wasilah: Unta betina yang telah melahirkan beberapa kali. Kononnya telah capai status sebagai wasilah.
ham: Unta yang telah menjadi bapa kepada beberapa unta betina.
Susah untuk dikenalpasti apakah jenis-jenis unta ini kerana masyarakat Arab waktu itu ada prosedur yang terperinci untuk capai status-status tersebut. Jadi maklumat yang kita dapat tidak banyak kerana ia tidak diamalkan lagi. Semuanya mereka reka sendiri.
عَنْ سَعِيدِ بْنِ المسيَّب قَالَ: “الْبَحِيرَةُ”: الَّتِي يُمْنَعُ دَرُّهَا لِلطَّوَاغِيتِ، فَلَا يَحْلبها أَحَدٌ مِنَ النَّاسِ. وَ”السَّائِبَةُ”: كَانُوا يسيبونَها لِآلِهَتِهِمْ، لَا يُحْمَلُ عَلَيْهَا شَيْءٌ -قَالَ: وَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “رَأَيْتُ عمْرَو بْنَ عَامِرٍ الْخُزَاعِيَّ يجُرّ قُصْبَه فِي النَّارِ، كَانَ أَوَّلَ مَنْ سَيَّبَ السَّوَائِبَ”-و”الْوَصِيلَةُ”: النَّاقَةُ الْبِكْرُ، تُبَكّر فِي أَوَّلِ نِتَاجِ الْإِبِلِ، ثُمَّ تُثَنّي بَعْدُ بِأُنْثَى، وَكَانُوا يُسَيِّبُونَهَا لِطَوَاغِيتِهِمْ، إِنْ وَصَلَتْ إحْدَاهما بِالْأُخْرَى لَيْسَ بَيْنَهُمَا ذكَر. و”الْحَامُ”: فَحْلُ الْإِبِلِ يَضربُ الضرّابَ الْمَعْدُودَ، فَإِذَا قَضَى ضِرَابَهُ وَدَعُوه لِلطَّوَاغِيتِ، وَأَعْفَوْهُ عَنِ الحَمْل، فَلَمْ يُحْمَل عَلَيْهِ شَيْءٌ، وسَمّوه الْحَامِيَ.
Daripada Sa’id ibnul Musayyab yang mengatakan bahawa al-bahirah ialah unta betina yang air susunya tidak boleh diperah oleh seorang pun kerana dikhususkan hanya untuk berhala mereka saja. Saibah ialah ternak unta yang dibiarkan bebas demi berhala-berhala mereka, dan tidak boleh ada seorang pun yang mempekerjakannya serta memuatinya dengan sesuatu pun. Abu Hurairah mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda: Aku melihat Amr ibnu Amir Al-Khuza’i menyeret isi perutnya di neraka, dia adalah orang yang mula-mula mengadakan peraturan haiwan saibah. – Kembali ke perkataan Sayid Al-Mussayab; Al-wasilah ialah unta betina yang dilahirkan oleh induknya sebagai anak pertama, kemudian anak keduanya betina pula. Mereka menjadikannya sebagai unta saibah, dibiarkan bebas untuk berhala-berhala mereka, jika antara anak yang pertama dan yang kedua tidak diselingi dengan jenis jantan. Sedangkan ham ialah unta jantan yang berhasil menghamili beberapa ekor unta betina dalam jumlah yang tertentu. Apabila telah mencapai bilangan yang ditargetkan, maka mereka membiarkannya hidup bebas dan membebaskannya daripada semua pekerjaan, tidak lagi dibebani sesuatu pun, dan mereka menamakannya unta Kami.
(Riwayat Imam Muslim dan Imam Nasai melalui hadith Ibrahim ibnu Sa’d dengan lafaz yang sama).
Contoh zaman sekarang, kita boleh lihat bagaimana agama Hindu mendewakan lembu mereka. Lembu di India disediakan surat beranak, tidak dibenarkan dibunuh untuk dimakan. Mereka akan melepaskan lembu itu di jalanan dan tidak ada sesiapa yang boleh ganggu atau halau, sehinggakan jika lembu melintasi landasan keretapi, keretapi kena berhenti.
Dan jika orang Islam hendak memakan daging lembu, kena bela lembu secara senyap-senyap supaya orang Hindu tidak tahu. Inilah kejahilan yang amat teruk. Sedangkan lembu itu adalah makanan kita, sebagai manusia. Ia telah menjadi satu isu yang besar di Malaysia beberapa tahun lepas di mana kita mahu menyembelih lembu untuk Qurban kerana mereka terkesan dengan tindakan kita terhadap lembu yang mereka puja.
وَلٰكِنَّ الَّذينَ كَفَروا يَفتَرونَ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ
Akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah,
Mereka reka dan membuat ajaran mereka sendiri sedangkan Allah ﷻ tidak pernah ajar. Mereka reka tetapi mereka kata Allah ﷻ yang suruh buat begitu. Oleh itu mereka telah mengadakan suatu kedustaan ke atas nama Allah ﷻ. Mereka sanggup kata Allah ﷻ mengharamkannya sedangkan Allah ﷻ tidak pernah suruh pun. Mereka pun tidak ada dalil yang mereka boleh bawa untuk memberikan kepastian tentang perkara itu.
Maka, ini mengajar kita jangan memandai-mandai dalam hal agama. Ramai yang kata ini dan itu ada dalam agama Islam, sedangkan tiada dalil disertakan. Tiada dalil disertakan kerana memang tidak ada dalil!
وَأَكثَرُهُم لا يَعقِلونَ
dan kebanyakan mereka tidak mengerti.
Ini adalah kerana kebanyakan mereka tidak memahami syariat yang sebenar. Mereka pun telah lama tidak ada Nabi dalam kalangan mereka dan tidak ada kitab wahyu yang mereka boleh rujuk. Jadi mereka tidak mengerti tentang agama, dan syaitan mengambil peluang untuk menyesatkan mereka dengan membisikkan mereka cara-cara untuk mereka beragama.
Situasi ini sama sahaja dengan orang kita yang tidak memahami wahyu. Terdapat banyak rekaan dalam amalan yang mereka buat. Amalan-amalan itu pula begitu terperinci sekali, kena buat itu dan ini dahulu dan ada langkah-langkah serta susunan tertentu. Contohnya seperti ketika hendak menurunkan jenazah dari rumah, kena azan, kena langkah tiga kali dengan tiga Fatihah; ada yang reka masa orang hendak pergi Haji, kena azankan; ada kaifiat untuk buat Majlis Tahlilan dan banyak lagi contoh-contoh amalan yang manusia reka sendiri.
Mereka kata ia ada dalam agama, tetapi sebenarnya tidak. Kalau tidak percaya, mintalah dalil daripada mereka, tentu mereka tidak boleh beri. Yang mereka boleh beri adalah hujah itu dan ini, panjang berjela-jela tetapi kalau kita dengar semula: “Eh mana dalilnya?”
Tafsir Ayat Ke-104
Apabila Musyrikin Mekah ditegur dan diajak kepada ajaran tauhid, mereka tidak boleh terima. Jadi, ini adalah ayat Syikayah (Rungutan Allah ﷻ) tentang mereka. Dan ia juga boleh menjadi rungutan Allah ﷻ kepada kita juga jika kita berperangai dan beragama seperti mereka juga (reka amalan dalam agama tanpa dalil).
وَإِذا قيلَ لَهُم تَعالَوا إِلىٰ ما أَنزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسولِ قالوا حَسبُنا ما وَجَدنا عَلَيهِ ءآباءَنا ۚ أَوَلَو كانَ ءآباؤُهُم لا يَعلَمونَ شَيئًا وَلا يَهتَدونَ
Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul”. Mereka menjawab: “Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapak-bapak kami mengerjakannya”. Dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?.
وَإِذا قيلَ لَهُم تَعالَوا إِلىٰ ما أَنزَلَ اللَّهُ
Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah
Lafaz تَعالَوا dari katadasar ع ل و yang bermaksud ‘atas’. Oleh itu, ia memberi isyarat yang mengajak itu dari kedudukan yang tinggi. Ajak kepada orang yang di tempat yang rendah untuk naik ke tempat yang tinggi. Mengajak dari rendah ke kedudukan yang lebih baik. Umpama mengajak dari atas bukit kepada orang yang duduk di kaki bukit. Maksudnya mengajar orang yang berfikiran rendah kepada pemikiran yang tinggi.
Apabila seseorang itu berada di bawah, dia tidak nampak secara keseluruhan. Dia tidak nampak bahaya yang ada di sekelilingnya. Oleh itu, yang mengajak itu adalah mengajak kepada perkara yang lebih baik sebenarnya kerana dia nampak secara keseluruhan. Marilah angkat diri kamu dari tempat yang rendah ke tempat yang tinggi, ke tempat yang lebih baik. Jadilah manusia yang lebih baik.
Ikutlah wahyu yang Allah ﷻ turunkan. Yang paling penting dalam wahyu itu adalah tentang Tauhid, tentang kenal Allah ﷻ. Dan beragama kena ikut dalil. Bahaya kalau bid’ah dibenarkan walau sekecil mana pun kerana ia membuka ruang untuk mengubah agama. Yang sedang buat bid’ah sekarang tidak nampak perkara itu, kerana mereka berada di pemikiran tahap rendah.
وَإِلَى الرَّسولِ
dan mengikuti Rasul”
Bukan sahaja kena ikut wahyu Al-Qur’an tetapi kena juga ikut apa yang Nabi ﷺ huraikan berkenaan wahyu itu. Inilah agama yang perlu kita fahami, bukan payah pun – ikut Al-Qur’an dan ikut Sunnah. Senang sahaja hendak cari rujukan kalau kita hendak rujuk kepada Al-Qur’an dan Sunnah.
Ikutlah Nabi ﷺ kerana baginda sudah tunjuk cara-cara agama yang lurus supaya manusia tidak keliru. Agama ini senang sahaja hendak faham, semua orang boleh faham, yang buta huruf pun boleh faham. Asalkan mahu menerima kebenaran. Lihatlah orang Arab zaman Nabi ﷺ itu buta-buta huruf belaka, tetapi mereka boleh faham agama kerana walaupun mereka buta huruf, mereka celik akal dan celik iman.
Dalil daripada ayat ini menunjukkan kepada kita yang kita kena ikut apa yang Nabi ﷺ sampaikan dalam hal agama. Tidak boleh menggunakan Al-Qur’an sahaja tanpa belajar kerana ditakuti kita salah faham. Maka, kena faham Al-Qur’an sebagaimana Nabi ﷺ faham Al-Qur’an itu. Ini memerlukan pembelajaran yang kita pun tahu, bukan dalam masa yang singkat. Ia memerlukan jihad masa, waktu dan juga kadangkala modal harta.
Namun begitu, ia tetap boleh dilakukan kerana ia tidak susah sangat sebenarnya. Asalkan ada keinginan dalam diri hendak belajar. Dan ia bermula dengan keinginan dalam hati untuk kenal agama, kenal Allah ﷻ dan hendak mengamalkan agama seperti yang Allah ﷻ kehendaki.
Akan tetapi yang degil tetap akan beri dalihan dengan berkata:
قالوا حَسبُنا ما وَجَدنا عَلَيهِ ءآباءَنا
Mereka menjawab: “Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya
Mereka yang tidak mahu menerima tauhid itu berkata: Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati tok nenek kami buat. Mereka hendak mengikut apa yang mereka dapat daripada orang sebelum mereka sahaja. Mereka rasa orang terdahulu tentu sudah benar, tidak perlu lagi hukum yang Allah ﷻ beri dan Nabi ﷺ bawa. Inilah hujah Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad ﷺ dulu.
Orang kita pun ada yang seperti itulah juga, hendak mengamalkan amalan tok nenek. Sama sahaja mereka dengan Musyrikin Mekah sebenarnya. Nampaknya, syaitan memberikan modal hujah yang sama sahaja zaman berzaman. Mereka tidaklah berkata bahawa mereka menolak amalan Nabi ﷺ, tetapi begitulah yang kita boleh faham daripada amalan mereka. Antaranya mereka berhujah: “Eh, dah lama diamalkan dalam masyarakat kita, takkan salah…..? Takkan tok nenek kita semua masuk neraka pulak?!”
Mereka bukannya hendak mendalami apakah hujah dan dalil, tetapi sibuk mempertahankan amalan yang sudah lama ada dalam masyarakat. Kenapa jadi begitu? Salah satunya kerana manusia malas hendak berubah kerana banyak kerja mereka rasa kalau kena ubah. Memang sifat manusia susah untuk berubah.
Senangnya mereka mahu meneruskan semua amalan yang telah lama diamalkan. Ini paling senang sebab tidak perlu difikirkan lagi. Mereka sudah tidak kisah sama ada amalan itu benar atau tidak. Mereka malas hendak fikir, malas hendak belajar, juga malas menentang arus. Sedangkan ada sahaja amalan tok nenek yang salah. Kalau benar dan bertepatan dengan sunnah, tidak mengapalah kita amalkan, tetapi jika berlainan dan bertentangan dengan sunnah, maka kita wajib tinggalkan dan mesti mengamalkan yang benar sahaja daripada agama.
Dan tidak dinafikan ini cakap sahaja senang, tetapi hendak melaksanakannya adalah sukar. Taraf kita ini kiranya terlalu jauhlah jika hendak dibandingkan dengan para sahabat yang berjuang habis-habisan menentang yang lebih hebat lagi daripada apa yang kita hadapi. Kita jika diajak pergi Majlis Tahlilan, diajak ke Majlis Kenduri Selamat pun sudah berpeluh dahi tidak tahu bagaimana hendak menolaknya. Takut kalau ditolak nanti digelar Wahabi atau yang mengajak itu berkecil hati pula. Itu baru diajak sahaja, bukannya ajak jihad untuk berperang lagi.
أَوَلَو كانَ ءآباؤُهُم لا يَعلَمونَ شَيئًا وَلا يَهتَدونَ
Dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?.
Ada jumlah muqaddar: patutkah mereka mengikut tok nenek juga, sedangkan tok nenek mereka dahulu tidak tahu pun tentang agama, mereka ikut nafsu sahaja dan mereka tidak pernah terpimpin dengan mana-mana kitab. Jika mereka ikut amalan yang kena dengan Islam, maka dibolehkan.
Namun, jika mereka yang diikuti itu tidak betul-betul faham agama, kenapa mesti ikut mereka? Maka begitulah dengan golongan tok nenek kita. Kita pun tahu yang ramai antara mereka tidak belajar agama yang tinggi. Terutama pengajian berlandaskan wahyu. Kita jarang mendengar pengajian tafsir dan hadith di negara kita sebelum ini. Hanya sekarang barulah muncul pengajian tafsir dan hadith didedahkan kepada orang awam seperti kita. Dan kita yang telah belajar sedikit sebanyak ini pun tahu yang amal ibadat yang mereka kerjakan itu tidak datang daripada agama, kerana tidak ada dalil.
Sebagai contoh, tidak ada dalil yang sahih untuk amalan Majlis Tahlil itu. Mereka yang mengamalkannya pun mengaku tidak ada dalil. Ia cuma pendapat golongan terdahulu sahaja yang mereka anggap sebagai ‘baik’. Baik pada mereka, tidak semestinya baik di mata Allah ﷻ, bukan?
Maka, janganlah terus menerus mengamalkan amalan tok nenek tanpa diselidik terlebih dahulu adakah ia bertepatan dengan sunnah. Jika diamalkan tanpa dalil yang sahih maka ia sama sahaja dengan hujah alasan daripada Musyrikin Mekah. Dan kita boleh lihat di dalam ayat ini yang Allah ﷻ tidak suka jawapan mereka yang hanya mengikut sahaja amalan tok nenek. Tidak mungkin kita mahu berikan jawapan yang sama dengan Musyrikin Mekah pula, bukan? Kalau hendak ikut pun, kena tengok keadaan. Amalan itu kena ada dalil daripada perbuatan Nabi ﷺ dan sahabat رضي الله عنهم. Dan jika mereka merujuk kitab sebagai hujah, maka kenalah dirujuk kitab yang muktabar daripada sesuatu mazhab sahaja.
Jangan hanya diambil sahaja mana-mana kitab kerana terlalu banyak kitab di dalam dunia ini. Mereka yang tergolong dalam ajaran sesat pun ada kitab juga, jadi kita tidak boleh hanya menerima sahaja semua rujukan kitab yang ada. Janganlah pendek akal sangat, asalkan ada kitab terus sahaja menerimanya dengan alasan: “Eh, ini ada dalam kitab….”. Mesti berhati-hati dalam merujuk mana-mana kitab. Janganlah kitab yang pelik yang penuh dengan khurafat dan ramalan seperti Tajul Muluk itu pun dijadikan rujukan juga.
Oleh itu, hendaklah berhujah dengan kitab muktabar yang digunapakai umum oleh sesuatu mazhab itu. Sebagai contoh, untuk Mazhab Syafi’iy, kitab yang digunakan adalah Al-Umm. Itulah kitab yang digunakan jika mahu membandingkan dengan mazhab-mazhab lain. Ia bermaksud kitab tersebut yang menjadi ‘wakil’ bagi mazhab itu. Barulah kita ini dikatakan orang terpelajar.
Oleh itu, golongan Musyrikin Mekah (dan yang berfikiran seperti mereka) hanya menggunakan jawapan tok nenek kerana mereka jahil tidak belajar dan malas hendak belajar. Mereka menggunakan hujah itu kerana sensitiviti masyarakat yang segan untuk menolak amalan tok nenek kerana pada mereka, jika amalan tok nenek itu salah, maka tok nenek itu masuk neraka. Dan kenapa kita sampai sanggup mengatakan tok nenek masuk neraka pula? Pada mereka, ini tidak patut. Jadi mereka terus sahaja membenarkan amalan tok nenek sebab hendak menjaga kedudukan tok nenek walaupun salah.
Tafsir Ayat Ke-105
Allah ﷻ beritahu masyarakat yang memberikan jawapan sebegitu, tidak boleh dibiarkan. Kita mestilah melaksanakan amar makruf nahi munkar dan oleh itu hendaklah menegur mereka dan ajak mereka belajar.
Selagi kita dan mereka hidup, kita kena beritahu juga perkara yang benar kepada mereka. Kalau mereka tidak terima juga, terpulanglah kepada merekalah, tetapi kita kena sampaikan kerana itu adalah kewajipan kita.
Kita kena ingat yang kita tidak boleh berhenti daripada mengajak manusia kepada wahyu. Yang penting adalah ajak mereka datang belajar. Ajak mereka untuk sama-sama mengaji agama, dan ajak mereka muzakarah supaya sama-sama dapat faham, walaupun orang tidak terima, kita kena sampaikan juga.
Cuma, kalau mereka tidak terima juga, itu tidaklah memudaratkan kita. Mereka kena tanggung kesalahan mereka sendiri. Penolakan mereka itu tidaklah menyebabkan kita jatuh, tidaklah menyebabkan kita susah atau berdosa.
Ingat, kalau mereka tidak terima pun dakwah daripada kita, kita telah dapat pahala kerana kita telah sampaikan. Maknanya, kita tetap untung sama ada mereka terima atau tidak. Namun kalau kita tidak sampaikan, kita yang rugi.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا عَلَيكُم أَنفُسَكُم ۖ لا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهتَدَيتُم ۚ إِلَى اللَّهِ مَرجِعُكُم جَميعًا فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا عَلَيكُم أَنفُسَكُم
Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu;
Ada orang yang salah faham tentang ayat ini. Mereka sangka ayat ini mengajar kita untuk menjaga diri kita sahaja, tidak perlu hiraukan orang lain. Kalau begitu, tidak adalah istilah amar makruf nahi mungkar. Ramai yang menggunakan hujah turun temurun: ‘kubur masing-masing’. Itu adalah salah faham tentang ayat ini.
Kita memang bertanggungjawab ke atas diri kita sendiri, bukan ke atas orang lain. Dan kita kena pastikan bahawa apa yang kita amalkan adalah ajaran yang benar kerana kita tidak boleh salahkan orang lain jika kita salah. Jangan jadi seperti mereka yang mengikut sahaja amalan tok nenek dan nanti di akhirat mereka akan menyalahkan tok nenek yang mengajar mereka ajaran yang salah.
Oleh itu kita kena jaga diri kita supaya sentiasa patuh syariat. Maknanya kita mestilah islah (perbaiki) diri kita. Pertamanya, pastikan diri kita taat kepada Allah ﷻ dalam segala hukum.
Keduanya, kita kena ingat yang ada banyak tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim. Ada ilmu yang mesti diamalkan, manakala ada pula yang mesti disampaikan. Ada sesetengah perkara yang bukannya kita semuanya boleh mengamalkannya, contohnya seperti permasalahan haid yang kaum lelaki tidak perlu mengamalkannya, namun dia perlu sampaikan kepada ahli keluarganya; begitu juga ayat tentang pemerintah, rakyat biasa tidak boleh mengamalkannya, namun begitu dia mestilah sampaikan kepada pemerintah.
Oleh itu, jaga diri kita dan dalam masa yang sama, kena sampaikan kepada orang lain. Ini kerana ada banyak lagi ayat tentang amar makruf nahi munkar. Jadi kita kena sampaikan dan tegur kalau ada orang membuat salah. Amar makruf perlu dijalankan.
Lihatlah apa kata Abu Bakr رضي الله عنه tentang ayat ini:
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ رَحِمَهُ اللَّهُ: حَدَّثَنَا هَاشِمُ بْنُ الْقَاسِمِ، حَدَّثَنَا زُهَيْر -يَعْنِي ابْنَ مُعَاوِيَةَ-حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ أَبِي خَالِدٍ، حَدَّثَنَا قَيْس قَالَ: قَامَ أَبُو بَكْرٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ، وَقَالَ: أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ تَقْرَؤُونَ هَذِهِ الْآيَةَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنْفُسَكُمْ لَا يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ} إِلَى آخَرِ الْآيَةِ، وَإِنَّكُمْ تَضَعُونَهَا عَلَى غَيْرِ مَوْضِعِهَا، وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوُا الْمُنْكَرَ وَلَا يُغَيِّرُونَهُ أَوْشَكَ اللَّهُ، عَزَّ وَجَلَّ، أَنْ يَعُمَّهُمْ بعِقَابه”. قَالَ: وَسَمِعْتُ أَبَا بَكْرٍ يَقُولُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِيَّاكُمْ والكَذِب، فَإِنَّ الْكَذِبَ مُجَانِبُ الْإِيمَانَ.
Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasyim ibnul Qasim, telah menceritakan kepada kami Zuhair (yakni Ibnu Muawiyah), telah menceritakan kepada kami Ismail ibnu Abu Khalid, telah menceritakan kepada kami Qais, bahawa Khalifah Abu Bakar berkhutbah; dia memulainya dengan memanjatkan puja dan puji serta syukur kepada Allah, kemudian menyerukan kepada orang-orang, “Hai manusia, sesungguhnya kalian membaca ayat ini,” iaitu firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman, jagalah diri kalian; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudarat kepada kalian apabila kalian telah mendapat petunjuk (Al-Maidah: 105) Tetapi kalian menempatkan pengertiannya bukan pada tempat yang sebenarnya. Dan sesungguhnya aku (Abu Bakar) pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Sesungguhnya manusia itu apabila melihat perkara mungkar; lalu mereka tidak mencegahnya, maka dalam waktu yang dekat Allah ﷻ akan menurunkan seksa-Nya kepada mereka semua. Qais mengatakan bahawa beliau pernah mendengar Abu Bakar رضي الله عنه berkata, “Hai manusia, hindarilah oleh kalian perbuatan dusta, kerana sesungguhnya dusta itu bertentangan dengan iman.”
Atsar ini telah diriwayatkan oleh Ashabus Sunan yang empat dan Ibnu Hibban di dalam kitab Sahih-nya serta lain-lainnya melalui berbagai jalur yang cukup banyak daripada sejumlah perawi yang banyak melalui Ismail ibnu Abu Khalid dengan lafaz yang sama secara muttasil lagi marfu. Di antara mereka ada yang meriwayatkannya daripada Ismail ibnu Abu Khalid secara mauquf hanya sampai pada Abu Bakar رضي الله عنه.
لا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهتَدَيتُم
tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudarat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk.
Ia tidak membahayakan kamu sedikit pun, jika mereka sesat atau mereka tidak mahu mengikut kamu. Ini apabila selepas kita menyampaikan dakwah kepada mereka atau melakukan teguran kepada mereka di atas kesalahan mereka. Allah ﷻ tidak akan mempertanggungjawabkan kamu tentang hal mereka nanti di akhirat (kerana kamu telah menyampaikan dakwah kepada mereka).
Juga tidak mengurangkan pahala kamu pun kerana Allah ﷻ tetap memberikan pahala kepada kamu setelah menyampaikan dakwah kepada mereka. Allah ﷻ tidak menilai kejayaan kita mengislamkan orang lain, atau sama ada orang itu ikut atau tidak nasihat kita, tetapi Allah ﷻ membalas berdasarkan usaha kita.
Apabila kamu telah terpimpin, apabila kamu telah sempurnakan tuntutan wahyu – buat dan sampaikan, kamu akan selamat. Saidina Abu Bakr رضي الله عنه berkata ramai yang salah faham tentang ayat ini. Beliau berkata ramai yang menyangkakan agama Islam itu untuk menjaga diri sendiri sahaja. Beliau berkata bukan begitu, tetapi Islam mengajar kita untuk pasti menjalankan amar makruf nahi mungkar.
إِلَى اللَّهِ مَرجِعُكُم جَميعًا
Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya,
Allah ﷻ mengingatkan yang semua kita akan kembali kepada-Nya nanti. Berdakwah dan yang tidak terima dakwah akan pulang belaka kepada Allah ﷻ. Jika kita tidak dakwah pun akan dikembalikan juga kepada Allah ﷻ. Dan jika Allah ﷻ tanya kenapa tidak dakwah, apa kita hendak jawab?
فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan
Allah ﷻ bukan panggil kosong sahaja, tetapi Allah ﷻ akan menceritakan semula apa yang kita buat untuk menghukum kita. Sama ada kita dakwah atau tidak, terima dakwah atau tidak, semuanya itu akan dinilai oleh Allah ﷻ.
Allahu a’lam.
#Ilmu#Prihatin#Amal