Tafsir Surah Al-Maidah
Maidah Ayat Ke-91
Sebelum ini telah disebut bagaimana perbuatan yang diharamkan di atas adalah daripada perbuatan syaitan. Kita kena sedar yang syaitan tidak ada kebaikan yang mereka akan bawa kepada kita.
Tidak akan ada keberkatan pada benda yang mereka ajar dan tidak ada jaminan kebaikan di akhirat. Maka hendaklah kita menjauhkan diri kita sejauh-jauhnya. Maka kenalah tahu cara-cara syaitan menipu kita. Kena belajar ‘talbis Iblis’ (belitan Iblis).
إِنَّما يُريدُ الشَّيطٰنُ أَن يوقِعَ بَينَكُمُ العَدٰوَةَ وَالبَغضاءَ فِي الخَمرِ وَالمَيسِرِ وَيَصُدَّكُم عَن ذِكرِ اللهِ وَعَنِ الصَّلوةِ ۖ فَهَل أَنتُم مُنتَهونَ
Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka adakah kamu hendak berhenti?
إِنَّما يُريدُ الشَّيطٰنُ أَن يوقِعَ بَينَكُمُ العَدٰوَةَ وَالبَغضاءَ
Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu
Syaitan sangat ingin menjerumuskan manusia ke dalam perbalahan dan kebencian. Mereka menggunakan arak dan perjudian untuk mencapainya. Mereka lakukan itu kerana mereka tidak puas hati dengan umat manusia.
Maka mereka akan hasut manusia untuk berbalah dan benci sesama sendiri sampai boleh jadi perbunuhan. Jika dilihat daripada statistik, tempat yang ada dijual arak, akan ada masalah di tempat itu. Kalau dibandingkan sebelum ada penjualan arak dan selepas arak, memang ada bezanya.
فِي الخَمرِ وَالمَيسِرِ
lantaran khamar dan berjudi itu,
Senjata yang mereka banyak gunakan adalah pada arak dan judi. Apabila manusia melibatkan diri dengan arak dan judi, manusia akan berkata sesuatu perkara yang boleh menyebabkan perkelahian. Ini kerana apabila minum arak sampai mabuk, akal yang sihat sudah tiada lagi waktu itu. Mulut akan lepas cakap sahaja dan ini bahaya dan boleh menyebabkan pergaduhan sehingga boleh mengakibatkan terjadinya pembunuhan.
Begitu juga dengan perjudian. Apabila berjudi, pasti akan ada seseorang yang akan mengalami kerugian, mungkin kehilangan harta serta duit yang banyak. Ini akan menyebabkan dia sanggup melakukan apa-apa sahaja yang akan merosakkan diri sendiri dan masyarakat. Ibn Qatadah رحمه الله mengatakan, orang Arab Jahiliyah jika berjudi, ada yang bertaruh dengan segala hartanya, termasuk anak isteri sekali.
Oleh itu, di sini jelas sekali menunjukkan arak dan judi akan menyebabkan terjadinya masyarakat yang ganas. Jika kerajaan yang pandai, mereka akan mengharamkan dua perkara ini. Namun apakan daya, hasil cukai daripada keduanya juga tinggi.
وَيَصُدَّكُم عَن ذِكرِ اللهِ وَعَنِ الصَّلَوٰةِ
dan menghalangi kamu daripada mengingat Allah dan sembahyang;
Bukan itu sahaja, perbuatan arak dan judi juga akan menghalang manusia daripada mengingati Allah ﷻ. Apabila sudah meminum arak dan bermain judi, tidaklah mereka akan ingat kepada Allah ﷻ lagi.
Lebih-lebih lagi syaitan hendak menjauhkan manusia daripada salat. Salat adalah perbuatan minimum mengingati Allah ﷻ. Jika kita tidak ingat Allah ﷻ sepanjang masa pun, tentu kita akan ingat Allah ﷻ semasa salat, bukan? Tetapi kalau asyik sibuk minum arak dan main judi, tidaklah mereka itu akan salat.
Syaitan juga akan menghalang manusia daripada melakukan salat. Ini adalah antara pertama kali mereka akan menghasut manusia. Kita lihatlah agama terdahulu sebelum kita seperti Yahudi dan Nasara. Dua agama itu sebenarnya ada ibadah salat juga. Akan tetapi kita pun lihat mereka tidak salat sekarang.
Bagaimana dengan masyarakat Islam kita sendiri? Ramai yang salat, tetapi ramai juga yang tidak salat. Dan amat menyedihkan apabila mereka boleh selamba sahaja bila tidak salat. Langsung tidak mempunyai rasa malu atau bersalah. Orang yang di sekeliling mereka pun seolah-olah boleh terima kalau ada yang tidak salat. Ia sudah jadi perkara yang biasa sahaja. Adakah anda kenal dalam kalangan anda yang tidak salat? Rasa dapat agak, tentu sekali ada, bukan?
فَهَل أَنتُم مُنتَهونَ
maka adakah kamu hendak berhenti?
Setelah diberitahu segala hujah-hujah itu, Allah ﷻ tanya, adakah kamu mahu berhenti daripada arak dan judi? Ini soalan retorik sahaja, kerana memang kena berhenti pun. Allah ﷻ telah memberikan amaran, kalau buat juga, maka akan menyebabkan perkara-perkara yang telah disebut tadi terjadi.
Sepatutnya kerajaan di negara Islam tidak ada dua perkara ini. Patutnya ia diharamkan sudah lama lagi. Kalau terdapat mereka yang daripada agama lain pun, mereka sepatutnya tidak dibenarkan minum arak dan berjudi. Perbuatan ini sebenarnya memang diharamkan dalam agama mereka juga.
Saya teringat satu perdebatan di Parlimen. Ada Ahli Parlimen Melayu yang mempertahankan arak dan judi. Hujahnya, ia budaya bagi orang yang bukan Islam, maka kenalah dibenarkan. Seorang Ahli Parlimen Non-Muslim bangun dan membalas: ia bukan budaya agama mereka, tetapi perbuatan orang jahat dalam kalangan mereka!
Tafsir Ayat Ke-92
Arak dan judi wajib ditinggalkan kerana ia adalah larangan Allah ﷻ dan Rasul.
وَأَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ وَاحذَروا ۚ فَإِن تَوَلَّيتُم فَاعلَموا أَنَّما عَلىٰ رَسولِنَا البَلٰغُ المُبينُ
Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul-(Nya) dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya kewajiban Rasul Kami, hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.
وَأَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ
Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul
Segala hukum yang telah disebut adalah daripada Allah ﷻ yang disampaikan oleh Rasul-Nya. Kena taat pada semua hukum yang melibatkan semua perkara dalam kehidupan.
وَاحذَروا
dan berhati-hatilah kamu semua
Hendaklah kita berwaspada dalam kehidupan supaya jangan ada perkara yang boleh bercanggah dengan hukum. Jangan derhaka kepada Allah ﷻ dengan menolak hukum-Nya. Dalam setiap perkara yang kita lakukan, ada hukum halal dan haramnya. Maka, hendaklah kita belajar supaya kita tahu apakah hukum sesuatu perbuatan itu.
فَإِن تَوَلَّيتُم فَاعلَموا أَنَّما عَلىٰ رَسولِنَا البَلٰغُ المُبينُ
Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami, hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.
Tetapi jika berpaling juga daripada peringatan ini, kena tahulah yang tugas Rasul itu tidaklah memaksa sebaliknya tugas baginda adalah untuk menyampaikan sahaja sejelas mungkin.
Rasulullah ﷺ sudah menjalankan tugas baginda menyampaikan agama kepada manusia. Baginda tidak terkesan kalau kita tidak mengikut nasihat baginda. Yang terkesan adalah kita sendiri.
Tafsir Ayat Ke-93
Walaupun telah dilarang memakan makanan yang haram, tetapi jika perkara itu dilakukan dahulu sewaktu tidak tahu, maka tidaklah berdosa. Atau, kalau dilakukan semasa zaman kita jahil dan sekarang sudah bertaubat, maka dimaafkan.
لَيسَ عَلَى الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ جُناحٌ فيما طَعِموا إِذا مَا اتَّقَوا وَّءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ ثُمَّ اتَّقَوا وَءآمَنوا ثُمَّ اتَّقَوا وَأَحسَنوا ۗ وَاللهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan yang soleh kerana memakan makanan yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa serta beriman, dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka (tetap juga) bertaqwa dan berbuat kebajikan. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.
لَيسَ عَلَى الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ جُناحٌ فيما طَعِموا
Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan yang soleh kerana memakan makanan yang telah mereka makan dahulu,
Tidak ada kesalahan ke atas mereka yang telah beriman dan beramal soleh, pada sumber makanan haram semasa mereka dalam jahiliyyah. Ini kerana pada waktu itu mereka belum beriman lagi, belum tahu hukum lagi. Maka, Allah ﷻ memaafkan mereka. Para sahabat dahulu ramai yang asalnya jahiliyyah. Begitu juga, banyak orang yang baru masuk Islam.
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا سُرَيج حَدَّثَنَا أَبُو مَعْشَر، عَنْ أَبِي وَهْب مَوْلَى أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: حُرِّمَتِ الْخَمْرُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ، وَهُمْ يَشْرَبُونَ الْخَمْرَ وَيَأْكُلُونَ الْمَيْسِرَ، فَسَأَلُوا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْهُمَا، فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ} إِلَى آخَرَ الْآيَةِ [الْبَقَرَةِ:219] . فَقَالَ النَّاسُ: مَا حَرُمَ عَلَيْنَا، إِنَّمَا قَالَ: {فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ} وَكَانُوا يَشْرَبُونَ الْخَمْرَ، حَتَّى كَانَ يَوْمًا مِنَ الْأَيَّامِ صَلَّى رَجُلٌ مِنَ المهاجرين، أمَّ أصحابه في الْمَغْرِبِ، خَلَطَ فِي قِرَاءَتِهِ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ [عَزَّ وَجَلَّ] آيَةً أَغْلَظَ مِنْهَا: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ} [النِّسَاءِ: 43] وَكَانَ النَّاسُ يَشْرَبُونَ، حَتَّى يَأْتِيَ أَحَدُهُمُ الصَّلَاةَ وَهُوَ مُفِيقٌ. ثُمَّ أُنْزِلَتْ آيَةٌ أَغْلَظُ مِنْ ذَلِكَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأنْصَابُ وَالأزْلامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ} قَالُوا: انْتَهَيْنَا رَبَّنَا. وَقَالَ النَّاسُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، نَاسٌ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، [وَنَاسٌ] مَاتُوا عَلَى سَرَفِهِمْ كَانُوا يَشْرَبُونَ الْخَمْرَ وَيَأْكُلُونَ الْمُيْسِرَ، وَقَدْ جَعَلَهُ اللَّهُ رِجْسًا مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ؟ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: {لَيْسَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جُنَاحٌ فِيمَا طَعِمُوا} إِلَى آخِرِ الْآيَةِ، وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَوْ حَرُمَ عَلَيْهِمْ لَتَرَكُوهُ كَمَا تَرَكْتُمْ”.
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Syuraih, telah menceritakan kepada kami Abu Ma’syar, daripada Abu Wahb maula Abu Hurairah, daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , yang mengatakan bahawa khamr diharamkan sebanyak tiga kali. Pertama, ketika Rasulullah ﷺ tiba di Madinah, sedangkan mereka dalam keadaan masih minum khamr dan makan daripada hasil judi, lalu mereka menanyakan kedua perbuatan itu kepada Rasulullah ﷺ. Maka. Allah ﷻ menurunkan firman-Nya: Mereka bertanya kepadamu tentang khamr dan judi. Katakanlah, “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia” [Al-Baqarah: 219], hingga akhir ayat. Maka, orang-orang mengatakan bahawa Allah tidak mengharamkannya kepada kita, kerana sesungguhnya yang disebutkan oleh-Nya hanyalah: Pada keduanya itu terdapat dosa besar [Al-Baqarah: 219]. Kebiasaan minum khamr terus berlanjut dalam kalangan mereka, hingga pada suatu hari seorang lelaki dalam kalangan Muhajirin salat sebagai imam teman-temannya, iaitu salat Maghrib. Lalu dalam qiraahnya ia melantur (menyimpang jauh), maka Allah ﷻ menurunkan ayat yang lebih keras daripada ayat pertama, iaitu firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian salat, sedangkan kalian dalam keadaan mabuk, sehingga kalian mengerti apa yang kalian ucapkan [An-Nisa: 43]. Tetapi orang-orang masih tetap minum khamr, hingga seseorang daripada mereka mengerjakan salat dalam keadaan mabuk. Kemudian turunlah ayat yang lebih keras daripada ayat sebelumnya, iaitu firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamr, berjudi (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji, termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kalian mendapat keberuntungan [Al-Maidah: 90]. Maka, barulah mereka mengatakan, “Wahai Tuhan kami, kini kami berhenti.” Orang-orang bertanya, “Wahai Rasulullah, ada sejumlah orang yang telah gugur di jalan Allah, dan mereka mati dengan kepadatannya, dahulu mereka gemar minum khamr dan makan daripada hasil judi, padahal Allah telah menjadikannya sebagai perbuatan yang keji dan termasuk perbuatan syaitan.” Maka Allah ﷻ menurunkan firman-Nya: Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh kerana memakan makanan yang telah mereka makan dahulu. [Al-Maidah: 93], hingga akhir ayat.
Maka, Nabi ﷺ bersabda: Seandainya diharamkan atas mereka, nescaya mereka meninggalkan perbuatan itu sebagaimana kalian meninggalkannya. (HR. Ahmad No. 8620, daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, hasan lighairih menurut Syeikh al-Arnauth)
إِذا مَا اتَّقَوا وَءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ
apabila mereka bertaqwa serta beriman, dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh,
Itu semua perkara yang terjadi dahulu, sekarang ini mungkin dia sudah bertaqwa dan menjaga hukum. Dan alamat tanda dia sudah bertaqwa itu adalah dia menjaga serta dia beriman bersungguh-sungguh dan beramal soleh. Segala perbuatan buruk yang dahulu dilakukan sudah ditinggalkan.
ثُمَّ اتَّقَوا وَءآمَنوا
kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman,
Kemudian dia tidaklah hangat-hangat tahi ayam sahaja tetapi dia tetap teguh menjaga hukum dan berusaha untuk menambah keimanannya. Dia terus tetap meninggalkan perkara haram. Memang akan ada dugaan pada peringkat awal. Contohnya, Non-Muslim yang masuk Islam tentu susah untuk tidak memakan khinzir dan meminum arak kerana sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan dirinya. Namun, lama kelamaan dia akan menjadi biasa.
ثُمَّ اتَّقَوا وَأَحسَنوا
kemudian mereka (tetap juga) bertaqwa dan memperbaiki diri.
Kemudian, dia tetap menjaga segala hukum hingga perkara yang hukumnya harus pun dia tinggalkan kerana takut ia boleh jatuh haram. Inilah yang dinamakan kedudukan ‘ihsan’, iaitu tahap seorang mukmin seseorang itu boleh naik lagi ke tahap ‘ihsan’ apabila dia terus memperbaiki dirinya.
Mereka dapat memperbaiki hubungan dengan Allah ﷻ. Lafaz ‘ihsan’ dalam ayat ini sebagaimana dalam hadith Jibril yang terkenal di mana Jibril عليه السلام telah bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang ‘ihsan’. Hadith itu panjang, tetapi kita ringkaskan sahaja di sini:
قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِحْسَانِ, قَالَ : أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ.
Dia bertanya lagi: “Beritahu kepadaku tentang ihsan”.
Nabi ﷺ menjawab, ”Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Kalaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.” (HR Muslim No. 8)
Untuk mengamalkan ihsan ini, apabila kita menunaikan ibadat, kita kena merasakan yang Allah ﷻ sedang melihat kita. Jadi, boleh berlatih semasa salat. Hadirkan diri betul-betul dalam salat itu. Kena rasakan yang kita sedang mengadap Allah ﷻ dan Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Kalau fikiran menerawang, ‘tarik’ ia kembali.
Apabila sudah dapat mencapai perasaan hadir ini dalam salat, maka cuba untuk bawa ke luar salat pula. Kalau kita dapat hadirkan, maka kita akan takut untuk membuat dosa. Kita akan berhati-hati di dalam segenap perbuatan kita.
Jadi, ini adalah tingkatan yang tinggi tetapi tidaklah mustahil untuk dicapai. Oleh itu, ayat ini menceritakan tentang darjat-darjat manusia dalam kehidupan.
وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.
Dan Allah ﷻ memberitahu yang Allah ﷻ suka kalau manusia itu memperbaiki dirinya dengan meningkatkan ketaqwaan. Kita dilahirkan bukanlah semua sudah pandai. Maka, kita kenalah berusaha sedikit demi sedikit.
Tafsir Ayat Ke-94
Ini pula menceritakan bagaimana perkara yang halal tetapi dalam keadaan yang tertentu, ia boleh menjadi haram. Maka, hendaklah dilihat juga kepada keadaannya, bukan sesuatu itu sentiasa halal, atau sentiasa haram.
Sebagai contoh, binatang sememangnya halal untuk diburu, tetapi jika semasa dalam ihram, ia menjadi haram pula untuk berburu. Ini pun kena jaga juga, kerana manusia lain tidak tahu (kalau dia memburu juga), tetapi hanya antara dia dan Allah ﷻ sahaja. Mereka yang taat kerana Allah ﷻ sahaja yang akan patuh.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لَيَبلُوَنَّكُمُ اللهُ بِشَيءٍ مِّنَ الصَّيدِ تَنالُهُ أَيديكُم وَرِماحُكُم لِيَعلَمَ اللهُ مَن يَخافُهُ بِالغَيبِ ۚ فَمَنِ اعتَدىٰ بَعدَ ذٰلِكَ فَلَهُ عَذابٌ أَليمٌ
Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sesuatu dari binatang buruan yang mudah didapat oleh tangan dan tombakmu supaya Allah mengetahui orang yang takut kepada-Nya, biarpun dia tidak dapat melihat-Nya. Barang siapa yang melanggar batas sesudah itu, maka baginya azab yang pedih.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لَيَبلُوَنَّكُمُ اللهُ بِشَيءٍ مِّنَ الصَّيدِ
Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sesuatu daripada binatang buruan
Allah ﷻ akan pasti menguji mereka yang sedang dalam umrah dengan ujian binatang berburu. Hukum waktu semasa Ihram (semasa berada di Tanah Haram), antara lain adalah tidak boleh berburu. Namun, ada masanya Allah ﷻ akan uji hamba-Nya ketika waktu itu di mana mereka dalam keadaan memerlukan makanan. Maka, ini adalah ujian bagi muhrim (orang yang dalam ihram) – biasanya orang kita keliru dengan istilah mahram (orang yang haram dinikahi).
Menghalalkan dan mengharamkan adalah urusan Allah ﷻ dan antaranya ia menjadi ujian bagi kita. Adakah kita boleh taat kepada arahan Allah ﷻ dan lulus ujian? Iaitu apabila Allah ﷻ kata ia haram, kita terima ia sebagai haram dan tidaklah kita melanggarnya. Tidaklah kita kata: “Ish dah kenapa haram pulak ni….? Aku tak nampak apa salahnya pun…..”. Kata-kata sebegitu adalah kata-kata orang yang gagal ujian. Tidak semestinya kita kena faham kenapa Allah ﷻ haramkan. Asalkan Allah ﷻ sudah kata ia haram, maka haramlah bagi kita.
Jadi, yang diharamkan adalah binatang buruan untuk dimakan. Ini lain daripada jenis binatang belaan seperti lembu dan kambing. Hukum ini juga tidak termasuk untuk binatang yang mengancam keselamatan seperti serigala dan ular. Maka, dibenarkan jika ingin bunuh haiwan berbahaya yang mengancam nyawa seperti serigala apabila berada dalam perjalanan itu.
Bagi muhrim, haram baginya untuk berburu. Namun begitu dia boleh makan jika ia diburu oleh orang yang lain yang bukan muhrim. Asalkan dia tidak terlibat dalam proses pemburuan itu (contohnya memberi nasihat dan pandangan cara bagaimana hendak berburu). Ini kerana arahan dalam ayat ini adalah ‘jangan berburu’, bukannya ‘jangan makan’.
Oleh itu, ini adalah merupakan larangan bagi muhrim. Kita mungkin susah untuk faham tentang hal ini, kerana kita bukannya kena berburu jika hendak makan daging, di zaman sekarang. Kita hanya perlu ‘berburu’ di supermarket sahaja. Yang dinyatakan di sini adalah keadaan pada zaman dahulu.
تَنالُهُ أَيديكُم وَرِماحُكُم
yang mudah didapat oleh tangan dan tombakmu
Ujian bertambah berat kerana binatang buruan pada waktu itu mudah sangat untuk ditangkap, sehinggakan boleh ditangkap dengan tangan atau boleh dilempar dengan senjata. Allah ﷻ menguji mereka dengan keadaan begitu. Waktu itu, kena ingat hukum yang orang dalam ihram tidak boleh memburu.
Yang mudah didapati dengan tangan itu adalah binatang jenis kecil yang senang ditangkap; dan binatang yang boleh dilempar dengan tombak atau senjata itu adalah binatang yang besar.
Muqatil ibnu Hayyan mengatakan bahawa ayat ini diturunkan dalam peristiwa umrah Hudaibiyyah. Tersebutlah bahawa ketika itu binatang liar, burung-burung, dan binatang buruan lainnya banyak mereka dapati dalam perjalanan mereka; hal seperti itu belum pernah mereka lihat sebelumnya. Lalu Allah ﷻ melarang mereka membunuh binatang-binatang buruan, sedang mereka dalam keadaan ihram.
Begitu pun, ada jenis-jenis binatang yang boleh dibunuh walaupun dalam ihram.
قَالَ مَالِكٌ، عَنْ نَافِعٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “خَمْسٌ مِنَ الدَّوَابِّ لَيْسَ عَلَى الْمُحْرِمِ فِي قَتْلِهِنَّ جُنَاح: الْغُرَابُ، وَالْحِدَأَةُ، وَالْعَقْرَبُ، وَالْفَأْرَةُ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ”.
Imam Malik telah meriwayatkan daripada Nafi’, daripada Ibnu Umar, bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda: Ada lima macam haiwan yang tiada dosa bagi orang yang sedang ihram membunuhnya, iaitu burung gagak, burung helang, kalajengking, tikus dan anjing gila.
HR Bukhari (Sahih 3315); Muslim (Sahih 1199); Nasai’iy (Sunan 2833); Ibnu Majah (Sunan 3088); Ahmad (Musnad 5476); dll.
Imam Syafii رحمه الله mengatakan, orang yang sedang ihram diperbolehkan membunuh semua haiwan yang tidak boleh dimakan dagingnya. Dalam hal ini tidak ada bezanya antara yang masih kecil dan yang sudah besar. Dan Imam Syafii رحمه الله menilai bahawa ‘illat jami’ah yang membolehkannya diperlakukan demikian kerana dagingnya tidak boleh dimakan.
لِيَعلَمَ اللهُ مَن يَخافُهُ بِالغَيبِ
supaya Allah mengetahui orang yang takut kepada-Nya, biarpun dia tidak dapat melihat-Nya.
Allah ﷻ beritahu tujuan ujian itu – supaya Allah ﷻ boleh zahirkan dan bezakan hamba yang benar-benar takut tanpa dia sendiri dapat melihat Allah ﷻ secara zahir. Bukanlah Allah ﷻ tidak tahu bagaimana iman hamba itu, tetapi Allah ﷻ berkehendak menzahirkannya sahaja.
Ini adalah ujian kerana orang lain tidak tahu apa yang dia buat. Namun bagi orang yang takut dengan Allah ﷻ, maka, mereka tidak akan melakukannya walaupun tidak ada orang yang nampak. Ini kerana dia yakin yang Allah ﷻ melihatnya. Maka, ini merupakan ujian iman.
فَمَنِ اعتَدىٰ بَعدَ ذٰلِكَ فَلَهُ عَذابٌ أَليمٌ
Barang siapa yang melanggar batas sesudah itu, maka baginya azab yang pedih.
Allah ﷻ beritahu yang sesiapa yang melanggar selepas tahu hukum ini, baginya azab yang pedih.
#Ilmu#Prihatin#Amal