Utama Fikih Asma'ul Husna ASMAU’L HUSNA – BAB 5: SEMUA NAMA ALLAH ADALAH BAIK (SAMBUNGAN)

ASMAU’L HUSNA – BAB 5: SEMUA NAMA ALLAH ADALAH BAIK (SAMBUNGAN)

221
0
Iklan

Oleh kerana itu, setiap nama Allah menunjukkan akan makna kesempurnaan dan tidak menunjukkan akan nama yang lain. Ar-Rahmaan, menunjukkan akan sifat kasih sayang, Al-Aziz menunjukkan akan sifat kemuliaan, Al-Khaliq menunjukkan sifat penciptaan, Al-Karim menunjukkan sifat kedermawanan, Al-Muhsin menunjukkan sifat kebaikan, dan lain seterusnya. Meskipun semua nama tersebut menunjukkan akan Dzat yang satu iaitu Allah Ta’ala. Ditinjau dari sisi dzat, maka nama-nama tersebut sahih maknanya, tetapi jika ditinjau dari sisi sifat, maka maknanya berbeza-beza sesuai dengan penunjukan setiap nama.

Al-Allamah Ibnu Al-Qayyim Rahimahullah berkata, “Semua nama Allah Ta’ala menunjukkan akan nama-nama yang terpuji. Seandainya hanya menunjukkan akan lafazhnya saja tanpa makna, tidaklah menunjukkan akan pujian.” Allah Ta’ala telah menyifat semuanya dengan kebaikan. Allah Ta’ala berfirman, “Hanya milik Allah asma-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asma-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. ” (QS. Al-A’raaf: 180). Maka nama-nama itu tidak menunjukkan akan kebaikan jika hanya menunjukkan akan lafazh tanpa menunjukkan akan kesempurnaan sifat-sifat-Nya.

Oleh kerana itu, ketika seorang orang Arab Badwi mendengar seseorang membaca,

وَالسّارِقُ وَالسّارِقَةُ فَاقطَعوا أَيدِيَهُما جَزاءً بِما كَسَبا نَكٰلًا مِّنَ اللهِ
“Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan dari apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah.” (QS. Al-Maidah:38) kemudian orang tersebut mengakhirinya dengan “Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” orang Arab itu mengatakan, “Yang terakhir ini bukanlah kalamullah.” Orang yang membaca tersebut mengatakan, “Apakah engkau mendustakan kalamullah?” Dia berkata, “Tidak, tetapi ini bukan kalamullah, orang ini membaca lagi, (وَاللهُ عَزيزٌ حَكيمٌ) Maka orang Arab itu berkata, “Engkau benar (sekarang), Dia Maha Mulia, maka Dia menghukumi dan (memerintahkan) untuk memotong (tangan pencuri), seandainya Dia mengatakan, “Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” tidaklah Dia memerintahkan untuk memotong (tangan pencuri).

Oleh kerana ini, jika ayat tentang rahmat diakhiri dengan nama yang menunjukkan akan azab atau sebaliknya, maka tidaklah tepat pengungkapannya.”

[Nama Allah ‎ﷻ itu sudah sempurna. Mana-mana nama Allah ‎ﷻ tidak boleh hendak ditambahbaik lagi. Tidak ada ruang lagi sebenarnya untuk ditambah baik maka jangan kita hendak reka nama yang baru.

Ia juga tidak ada kekurangan pada nama itu. Berbeza dengan perkara lain ada pro and cons akan tetapi nama Allah ‎ﷻ semuanya baik. Tidak ada sudut buruk pada mana-mana nama Allah ‎ﷻ.

Memang ada nama Allah‎ ﷻ yang menunjukkan sifat keras, akan tetapi itu juga adalah kebaikan. Jangan kita bandingkan dengan benda yang ada sudut baik dan sudut buruk pula. Walaupun sifat Allah ‎ﷻ yang keras seperti sifat keras yang menghukum makhluk-Nya, itu pun sebenarnya adalah baik kerana semua nama Allah ‎ﷻ adalah baik.

Nama Allah‎ ﷻ memang sudah sesuai dan digunakan bersesuaian dengan keadaannya. Ada masa Allah ‎ﷻ menggunakan sifat lembut dan ada masa Allah ‎ﷻ menggunakan sifat yang keras. Maksudnya walaupun ada sifat Allah ‎ﷻ yang lembut dan ada sifat yang kasar, itu memang sifat Dia. Ia berasal daripada Dzat yang sama sahaja.

Akan tetapi mungkin ada bertanya kenapa seperti berlawanan pula dua sifat itu? Jawab: Kerana ia sifat mengikut kepada penerima sifat itu. Jika orangnya baik, maka Allah ‎ﷻ akan bersikap lembut dengannya. Sedangkan bagi orang jahat, maka Allah ‎ﷻnakan bersifat keras dengannya.

Jika kita tidak faham makna nama-nama Allah ‎ﷻ maka ada kemungkinan kita gunakan nama Allah ‎ﷻ dalam doa yang tidak kena seperti dalam contoh yang diberikan di atas. Sebab itu seorang Arab Badwi seperti dalam riwayat di atas boleh tahu yang bacaan qari (orang yang hafal Al-Qur’an) pada ayat Al-Qur’an itu tersilap.

Walaupun dia sendiri tidak hafal Al-Qur’an akan tetapi dia faham bahawa sifat itu tidak kena pada ayat itu.

Ini kerana ayat itu tentang hukuman kepada orang yang mencuri, maka tidak patut kalau sifat Rahmah yang disebut. Apabila melibatkan hukuman, maka sifat kuasa Allah ‎ﷻ yang patut disebut. Kerana Allah ‎ﷻ berkuasa untuk mengenakan hukuman. Jika ayat itu tentang pengampunan Allah ‎ﷻ, barulah sesuai digunakan sifat-Nya yang pemaaf.

Dan sifat kebijaksanaan juga patut disebut dalam ayat yang menyebut tentang hukuman. Kerana Allah ‎ﷻ bijak dalam memilih hukum bagi manusia. Walaupun ada manusia jahil yang tidak setuju dengan hukuman hudud. Mereka rasa ia “barbaric” dan mereka kasihan kepada yang kena hukum. Ini tersilap dalam menilai dan menggunakan nafsu semata-mata. Mereka sibuk hendak fikirkan tentang penjenayah yang dihukum keras, tetapi bagaimana dengan mangsa? Mereka hendak sangat jaga kebajikan penjenayah sampai lupa kepada mangsa pula.

Contohnya pengedar dadah yang dibunuh dengan hukuman mati. Ada yang sibuk kasihan dengan keluarga pengedar dadah itu yang ditinggalkan. Mereka kata jika dia dibunuh nanti mungkin keluarganya tidak keruan. Kesiannya keluarga dia!

Akan tetapi tidakkah difikirkan apa kesan pengedar dadah itu kepada masyarakat? Selama ini berapa ramai keluarga yang porak peranda kerana dadah yang dia edarkan dan berapa banyak manusia dia sudah rosakkan? Hendak selamatkan nyawa dia seorang sampaikan beribu-ribu lagi keluarga menjadi rosak?

Maka jangan persoalkan hukuman yang Allah ‎ﷻ telah tentukan bagi manusia. Itu memang sudah hukuman yang terbaik untuk kita. Maka kena pertahankan dan kena jalankan hukuman Allah ‎ﷻ dalam masyarakat.

Bukan semuanya nama Allah ‎ﷻ lembut-lembut belaka. Ada sahaja nama Allah ‎ﷻ yang keras dan adalah realiti. Kena terima semuanya. Jangan jadi seperti golongan Kristian yang hendak nama Tuhan yang lembut dan pemaaf sahaja. Sedangkan Allah ‎ﷻ juga Dzat yang adil. Tidak patut Tuhan melepaskan orang jahat hanya kerana sifat pemaaf-Nya sahaja. Maka memang kena ada sifat yang keras. ]

Komen dan Soalan