🗝🗝🗝🗝
La Tahzan 254-1: Seseorang dinilai daripada sifatnya yang Menonjol (المرءُ بصِفاتِهِ الغالِبة)
منْ سعادتِك أنْ تغْلِب صفاتُ الخيرِ فيك صفاتِ الذَّمِّ ، فيُساقُ إليك الثناءُ حتى على شيءٍ ليس فيك ، ولم يقْبَلِ الناسُ فيك ذمّا ولو كان صحيحاً ، لأنَّ الماء إذا بلغ قُلَّتين لم يحملِ الخبث . إنَّ الجبل لا يزيدُ فيه حجرٌ ولا ينقصهُ حَجَرٌ
Antara petanda kebahagiaan anda ialah ketika sifat-sifat baik (mahmudah) pada diri anda lebih menonjol daripada sifat-sifat yang buruk (mazmumah). Masyarakat sekeliling akan memuji kebaikan anda dan menutup keburukan anda. Ia laksana air dua kolah, ia kekal suci walaupun mengandungi najis; begitu juga gunung, ia kekal disebut gunung walaupun bebatunya berkurangan atau bertambah.
🗝🗝🗝🗝
La Tahzan 254-2: Seseorang dinilai daripada sifatnya yang Menonjol (المرءُ بصِفاتِهِ الغالِبة)
طالعتُ هجوماً مقذعاً في قيسِ بن عاصم حليمِ العربِ ، وفي البرامكةِ الكرماء ، وفي قُتيْبة بن مسلمٍ القائدِ الشهيرِ ، ووجدت أنَّ هذا الشتْم والهجْو ، لم يُحفظْ ولم يُنقلْ ولم يُصدِّقْه أحدٌ ، لأنه سقط في بحرِ المحاسنِ فغرق
Aku terbaca kritikan pedas yang ditujukan kepada Qais bin ‘Aashim tetapi dalam kalangan bangsa Arab, dia menonjol sifat sabarnya. Juga celaan kepada keluarga Al Baramikah yang mulia, dan celaan kepada Qutaibah bin Muslim seorang jeneral perang yang terkenal. Namun celaan terhadap mereka (Qais, Al Baramikah dan Qutaibah) tenggelam begitu sahaja laksana ditelan lautan (kerana manusia lebih mengingati jasa-jasa mereka berbanding kecaman ke atas mereka).
✳️ Qais bin Ashim bin Sinan Al Munqari Al Taimi (قيس بن عاصم بن سنان المنقري التميمي) sahabat, memeluk Islam pada tahun ke 9 hijrah. Antara kritikan dan kecaman terhadapnya ialah beliau pernah membunuh kanak-kanak perempuan Bani Tamim ketika jahiliyah.
✳️ Al Baramikah merupakan keluarga farsi yang berpengaruh yang menjadi pentadbir yang cekap kepada kerajaan Abbasiah. Keluarga ini akhirnya dimusnahkan oleh Khalifah Harun Al Rashid.
✳️ Qutaibah bin Muslim, jeneral Bani Umayyah yang terkenal dengan pembukaan Asia Tengah dan China. Beliau wafat 96H.
🗝🗝🗝🗝
La Tahzan 254-3: Seseorang dinilai daripada sifatnya yang Menonjol (المرءُ بصِفاتِهِ الغالِبة)
Pujian tidak dapat menghapuskan kejahatan
ووجدتُ على الضِّدِّ منْ ذلك مدْحاً وثناءً في الحجَّاج ، وفي أبي مسلمٍ الخراساني ، وفي الحاكم بأمر الله العُبيْدِي ، ولكنَّه لم يُحفظْ ولم يُنقلْ ولم يُصدِّقه أحدٌ ، لأنه ضاع في ركامِ زيفِهم وظلمِهم وتهوًّرِهم ، فسبحان العادلِ بين خلْقِهِ
Sebaliknya memang ada pujian dan sanjungan kepada al Hajjaj, Abu Muslim Al Khurasani dan Al Hakim BiamriLlah Al ‘Ubaidi, namun sanjungan itu tidak dipedulikan oleh sejarah. Semua sanjungan itu lenyap dengan tumpuan kepada kekejaman, kejahatan dan kerakusan mereka itu. Maha Suci Allah yang berlaku adil terhadap makhluk-Nya.
✳️ Al Hajjaj bin Yusof Al Thaqafi, wafat 95H adalah panglima dan Gabenor kerajaan Bani Umayyah. Antara kekejamannya ialah membunuh anak saudara Aisyah Ummul Mukminin رضي الله عنها, Abdullah bin Az Zubair dan tokoh tabi’in Said bin Jubair.
✳️ Abu Muslim Al Khurasani, jeneral dan gabenor kerajaan Abbasiah di Khurasan, dia mempunyai peranan dalam menghancurkan kerajaan Ummayah dan pemberontakan yang menentang kerajaan Abbasiah.
✳️ Hakim Biamrillah Al Ubaidi, khalifah ke 6 Dinasti Fatimiyah di Mesir, dia banyak membunuh kaum Sunni dan membawa ajaran syiah Druz.