Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-86 hingga Ke-90

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-86 hingga Ke-90

403
0
Iklan

Tafsir Surah al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-86

Ayat takhwif ukhrawi (penakutan dengan azab di akhirat).

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

Dan orang-orang kafir serta mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka.

وَالَّذينَ كَفَروا

Dan orang-orang kafir

Sebelum ini telah disebut tentang mereka yang menerima kebenaran wahyu; bagaimana pula kalau mereka yang kufur – menutup kebenaran yang sudah sampai kepada mereka?

وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا

serta mendustakan ayat-ayat Kami,

Dan apabila sampai wahyu Allah kepada mereka, mereka kata itu semua dusta belaka, mereka tidak mahu terima. Apa yang akan dibalas kepada mereka?

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

mereka itulah penghuni neraka.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Dan apabila dikatakan mereka ashabun naar, itu maksudnya mereka akan kekal dalam neraka itu, tidak keluar sampai bila-bila.

Tafsir Ayat Ke-87

Ini ayat untuk nafi ‘syirik amali’ (perbuatan syirik), iaitu ada manusia yang mengharamkan perkara yang Allah ‎ﷻ telah halalkan. Dan ada yang halalkan perkara yang Allah‎ ﷻ telah haramkan.

Dan perkara yang selalu berlaku adalah dalam hal pemakanan. Kita kena ingat, mana makanan yang Allah sudah halalkan, tidak boleh diharamkan dengan berpantang. Kalau seseorang itu pernah berpantang, dia kena batalkan pantangnya itu dengan serta merta – wajib dia kena makan sebagai isyarat untuk batalkan pantangnya itu.

Perkara ini perlu disentuh kerana sebelum ini di dalam ayat ke-82, ada disebut tentang rahib. Dalam ayat itu seperti ada pujian terhadap mereka. Dan kita pun tahu kehidupan mereka ini pelik sedikit, iaitu mereka menolak nikmat dunia. Takut ada pula yang ikut cara hidup mereka yang salah itu. Maka, disentuh dalam ayat ini tentang kesalahan menolak nikmat dunia dengan mengharamkan ke atas diri.

Mengharamkan makan jenis-jenis makanan juga ada dalam masyarakat kita. Ia hendaklah ditinggalkan. Contohnya, katakanlah sebelum ini, dia telah diberikan peringatan agar tidak memakan ikan kekacang dan buluh betong hanya kerana dia berketurunan Wan atau Nik (di Kelantan). Maka, dia haruslah membatalkan pantangnya itu dengan memakan ikan kekacang dan buluh betong.

Jadi ayat ini ada kena mengena dengan berpantang. Asalnya tentang pengharaman makanan oleh orang syirik tetapi kita pun tersangkut juga dalam hal ini. Ini kerana orang Melayu kita banyak yang berpantang atas sebab-sebab tertentu – kerana bersalin, kerana mengamalkan ilmu khas, kerana keturunan dan sebagainya. Itu semua adalah perbuatan haram dan salah satu daripada syirik amali.

Kita tidak boleh berpantang kalau tanpa sebab yang haq, melainkan jika doktor sendiri yang mengatakan tidak boleh makan atas sebab kesihatan. Maka, jangan lagi kita berpantang dan ajar masyarakat kita berpantang kerana itu amalan itu boleh menyebabkan syirik amali.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُحَرِّموا طَيِّبٰتِ ما أَحَلَّ اللهُ لَكُم وَلا تَعتَدوا ۚ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُحَرِّموا طَيِّبٰتِ ما أَحَلَّ اللهُ لَكُم

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu,

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita supaya jangan memandai-mandai mengharamkan perkara yang Allah ‎ﷻ telah halalkan kepada kita. Pengharaman telah diletakkan dalam nas Al-Qur’an dan Hadith dan jangan kita berlebihan pula daripada yang telah ditetapkan oleh nas.

Umumnya, sekurang-kurangnya ada tiga cara sesuatu perkara yang halal diharamkan oleh manusia:

1. Kepercayaan. Dia percaya sesuatu benda itu haram.
2. Dengan kata-kata iaitu apabila seseorang mengisytiharkan yang dia tidak akan makan sesuatu jenis makanan yang halal.
3. Secara praktikal. Dia tidak percaya pun makanan itu haram, dan dia tidak cakap apa-apa pun, tetapi dia tidak makan satu jenis makanan yang halal.

Dalam kes pertama itu, kalau dia percaya sesuatu itu haram sedangkan ia halal (setelah diperiksa dengan alim ulama’), maka ini adalah perbuatan kufur kerana menentang hukum Allah ‎ﷻ.

Dalam situasi ke-2, ia juga berdosa. Ini adalah sumpah yang salah dan perlu ditamatkan. Oleh kerana dia telah bersumpah, maka dia kena batalkan sumpah itu dengan membayar kiffarah.

Dalam situasi ke-3, ia bergantung. Jika dia rasa ia adalah sesuatu yang baik bagi agamanya, maka ia berdosa (dosa bid’ah) dan perlu ditinggalkan pantang itu kerana syarak tidak memerintahkannya tetapi dia memandai buat, jadi ini adalah ghuluw dalam hal agama. Ini seperti yang dilakukan oleh sesetengah golongan tarekat. Mungkin tok guru ada suruh jangan makan binatang bernyawa untuk naik maqam. Ini adalah perbuatan mengarut.

Namun begitu, jika kerana berpantang itu atas pilihan dirinya sendiri kerana dia tidak suka rasanya, atau kerana ia tidak baik bagi kesihatannya, maka ia tidak mengapa. Contohnya orang yang ada darah tinggi digalakkan supaya jangan memakan ‘binatang berkaki empat’.

Hukum asal, segala perkara dalam dunia ini adalah halal melainkan ada dalil untuk mengharamkannya. Nas hanya mengharamkan beberapa perkara sahaja. Selain daripada itu, hukum tentangnya adalah harus. Jadi, lebih banyak perkara yang halal daripada yang haram.

Malangnya, ada orang kita yang suka mengharamkan banyak perkara padahal tidak ada nas pun. Senang-senang sahaja mereka mengharamkan sedangkan ia halal. Ingatlah yang Islam bukanlah untuk mengharamkan sahaja. Itu bukanlah mentaliti Islam. Allah ‎ﷻ hendak memudahkan hidup kita di dunia dan ini dan perkara yang diharamkan adalah kerana ia mendatangkan keburukan kepada kita.

Ada yang hendak menolak nikmat dunia atas sebab hendak menjaga hati kononnya. Takut terpedaya dengan nikmat dunia. Namun ini adalah ghuluw. Nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita adalah untuk kita nikmati. Kita boleh menikmati nikmat dunia Allah dan kemudian kita bersyukur. Syukur itu tinggi nilainya, ia lebih bernilai daripada nikmat yang sedang diterima itu. Allah ‎ﷻ suka kita menikmati pemberian-Nya dan kemudian bersyukur.

Yang mana Allah ‎ﷻ telah haramkan, maka haramlah untuk kita, dan mana yang tidak disebut, maka halallah untuk kita. Dan kalau ada perkara yang nampak samar-samar, maka terpulang kepada kita. Kita kena nilai dengan akal yang waras dan lihatlah kepada kebaikan dan keburukan perkara itu. Kalau setelah kita kaji ia adalah buruk untuk kita, maka janganlah kita makan.

وَلا تَعتَدوا

dan janganlah kamu melampaui batas.

Dan jangan melampau batas syariat dengan mengharamkan yang halal dan halalkan yang haram.

Daripada Masruq yang menceritakan, “Ketika kami sedang berada di rumah Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه, dihidangkan kepadanya air susu perahan. Lalu ada seorang lelaki (daripada para hadirin) yang menjauhi. Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata kepadanya, “Datanglah!” Lelaki itu berkata, ‘Sesungguhnya aku telah mengharamkan diriku meminumnya.’ Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata, ‘Datanglah dan minumlah, dan bayarlah kifarat sumpahmu,’ lalu Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه membacakan firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kalian. (Al-Maidah: 87), hingga akhir ayat. Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim. Imam Hakim telah meriwayatkan atsar ini di dalam kitab Mustadraknya melalui jalur Ishaq ibnu Rahawaih, daripada Jarir, daripada Mansur dengan sanad yang sama. Kemudian Imam Hakim mengatakan bahwa atsar ini sahih dengan syarat Syaikhain (Bukhari dan Muslim), tetapi keduanya tidak mengetengahkannya.

Bukan dalam perkara makan sahaja kita tidak boleh melampau, tetapi dalam banyak perkara lain. Ini kita telah sentuh di dalam perbincangan surah ini tentang ‘ghuluw’.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan daripada Siti Aisyah رضي الله عنها bahawa pernah ada segolongan mereka dalam kalangan sahabat Rasulullah ﷺ bertanya kepada isteri-isteri Nabi ﷺ tentang amal perbuatan Nabi ﷺ yang bersifat peribadi. Maka sebahagian daripada para sahabat itu ada yang berkata, “Aku tidak akan makan daging.” Sebahagian yang lain mengatakan, “Aku tidak akan mengahwini wanita.” Dan sebahagian lagi mengatakan, “Aku tidak tidur di atas tilam.”Ketika hal itu sampai kepada Nabi ﷺ, maka baginda bersabda:

“مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَقُولُ أَحَدُهُمْ كَذَا وَكَذَا، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأَنَامُ وَأَقُومُ، وَآكُلُ اللَّحْمَ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي”.

Apakah gerangan yang dialami oleh kaum, seseorang daripada mereka mengatakan anu dan anu, tetapi aku puasa, berbuka, tidur, bangun, makan daging, dan berkahwin dengan wanita. Maka, barang siapa yang tidak suka dengan sunnah (tuntunan)ku, maka dia bukan daripada golonganku Sahih Muslim (1401)

إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

Allah ‎ﷻ tidak suka perbuatan yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Malangnya, ramai yang buat begitu. Dan apa yang selalu terjadi adalah dalam pemakaian ‘pantang’. Ini termasuk di dalam perkara yang melampau batas.

Selalunya selepas bersalin, bidan akan beritahu kepada wanita yang baru bersalin, beberapa jenis makanan yang pantang untuk dimakan. Dan kebanyakan orang kita akan ikut sahaja tanpa usul periksa. Ini juga termasuk dalam pengharaman kepada perkara yang halal.

Mereka kata ia bukanlah ‘haram’, tetapi ‘pantang’ sahaja. Namun, itu cuma penggunaan terma yang berbeza, dari segi hakikatnya, ia tetap pengharaman kepada perkara yang halal. Dan ini termasuk dalam perkara yang melampau.

Jika pantang itu tidak dapat dijelaskan, tetapi hanya cuma mengikut kata-kata orang sahaja, maka ini memerlukan pemerhatian yang lebih. Mungkin ada yang alergik dengan sesuatu pemakanan itu, tetapi tidaklah semestinya semua orang alergik pula. Ini kerana lain badan, lain pula reaksi penerimaan sesuatu pemakanan itu. Kita tidak boleh pukul rata dengan menyenaraikan semua jenis makanan pantang itu sesuai untuk semua.

Contoh nasihat berpantang yang biasa diberikan ialah “Jangan makan telur/ayam/ikan nanti gatal dan luka bentan”. Jika hendak diikutkan, makanan yang disenaraikan itu adalah sumber protein. Maka, jika mahu mengelakkan daripada memakan makanan tersebut adalah kurang logik malah mungkin melambatkan proses luka bersalin kerana badan wanita yang baru lepas bersalin amat memerlukan protein. Seperti juga terdapat larangan untuk ibu-ibu dalam pantang agar tidak minum air dengan kadar yang banyak sebab bimbang akan mengakibatkan urat saraf kembang. Ini juga adalah pantang larang yang tidak berasas kerana ketika dalam pantanglah badan wanita memerlukan air yang lebih terutama badan ibu perlu menghasilkan susu bagi keperluan bayi yang baru dilahirkan.

Jika pantang itu boleh dijelaskan dari sudut akal, maka ia boleh diterima. Mungkin melalui pemerhatian doktor atau pengalaman individu itu sendiri yang mengatakan ia tidak elok untuk kesihatan wanita yang baru bersalin, atau mungkin membawa kesan kepada bayi yang disusukan, maka bolehlah jika kita tidak memakannya. Apa-apa pun, yang penting haruslah menjaga pemakanan yang seimbang. Sedar mana yang baik dan tidak untuk badan kurniaan Allah ‎ﷻ ini. Jangan keterlaluan di dalam berpantang sehingga mengundang murka Allah ‎ﷻ pula nanti.

Tafsir Ayat Ke-88

Sebaliknya Allah ‎ﷻ suruh kita gunakan perkara yang Allah ‎ﷻ telah halalkan kerana Allah ‎ﷻ telah menjadikannya untuk kegunaan kita. Maka, ia adalah nikmat daripada Allah ‎ﷻ dan hendaklah kita gunakan nikmat yang Allah ‎ﷻ sudah berikan kepada kita, bukan?

وَكُلوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللهُ حَلٰلًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي أَنتُم بِهِ مُؤمِنونَ

Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.

وَكُلوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللهُ حَلٰلًا طَيِّبًا

Dan makanlah makanan yang halal lagi baik daripada apa yang Allah telah rezekikan kepadamu,

Kita kena iktikad bahawa semua makanan adalah halal dan boleh dimakan kecuali kalau diharamkan dengan nas. Ia mencakupi apa sahaja yang Allah ‎ﷻ telah halalkan dan baik dari segi pemilikan. Maksudnya, kita memiliki makanan itu dengan cara baik, bukan barang curi. Dan keduanya, hendaklah disembelih dengan cara benar.

Ayat ini tidaklah memberitahu kepada kita yang kita mesti makan semua makanan yang halal, kerana mungkin juga kita tidak sukakan makananan itu. Kadang-kadang ada makanan halal tetapi tidak kena dengan tekak kita, maka kita tidak ada selera untuk memakannya. Mungkin kerana kita tidak biasa makan semenjak kecil lagi. Jika situasi begitu tidak mengapalah kalau kita tidak makan, cuma janganlah kita kata ia tidak boleh dimakan.

Satu lagi hukum yang kita kena tahu, kalau selama hari ini kita pernah berpantang atas sesuatu makanan, maka wajib kena makan walaupun sekali. Itu adalah untuk memutuskan pantang kita itu. Makan sedikit pun tidak mengapa.

Ayat ini juga memberitahu kita bahawa makanan yang halal adalah baik untuk kita. Dalam masa yang sama, ada makanan yang halal, tetapi tidak baik untuk kita iaitu jika kita ada penyakit, maka akan ada jenis-jenis makanan yang kita tidak boleh makan setelah dinasihati oleh doktor.

Ataupun, kalau kita makan makanan itu, terus kita sakit. Maka, tidak mengapalah kalau kita tidak mahu makan. Ia tetap halal, dan orang lain boleh makan makanan itu, cuma kita sahaja yang tidak boleh makan.

وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي أَنتُم بِهِ مُؤمِنونَ

dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.

Bertaqwa itu bermaksud jaga hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan kepada kita. Jangan tambah dan jangan kurang. Itu pun kalau kamu rasa kamu beriman kepada Allah ‎ﷻ. Ini menunjukkan bahawa taqwa dan iman itu tidak sama.

Orang yang beriman, belum tentu lagi dia bertaqwa kerana iman itu setakat percaya sahaja, tetapi taqwa itu maksudnya dia taat sekali kepada hukum yang Allah‎ ﷻ telah tetapkan.

Tafsir Ayat Ke-89

Allah ‎ﷻ yang buat ketetapan sama ada sesuatu perkara itu halal atau haram. Dan kita sebagai hamba tidak ada hak untuk menukar ketetapan Allah ‎ﷻ kerana perbuatan menghalalkan dan mengharamkan adalah hak Allah ‎ﷻ. Jangan kita mengambil tugas Allah ‎ﷻ pula.

Dan kalau kita buat juga, kita telah kufur atas ‘syirik amali’ – kita telah mengamalkan sesuatu yang syirik – kita telah mengambil hak Allah ‎ﷻ, maksudnya kita telah mensyirikkan Allah ‎ﷻ.

Sebelum ini ayat tentang tidak boleh mengharamkan memakan perkara yang halal. Jadi, mungkin ada yang telah bersumpah untuk tidak makan sesuatu makanan. Atau dia telah bersumpah untuk tidak melakukan perkara yang harus. Jika kita telah bersumpah, maka kita mestilah menunaikan sumpah itu. Namun hanyalah dalam perkara yang harus sahaja.

Maknanya tidak boleh kita bersumpah untuk melakukan perkara yang haram. Dan kalau kita sumpah dan langgar sumpah itu, dikenakan membayar kaffarah. Kaffarah adalah denda yang kita bayar untuk menutup dosa. Istilah ini ramai yang agak keliru kerana terkeliru dengan ‘kifarah’.

Kifarah bererti balasan Allah ﷻ ke atas hamba-Nya yang mukmin ketika hidup di dunia akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan. Kaffarah dari sudut bahasa (al-Kafru) bermaksud ‘menutup’. Dinamakan kaffarah kerana ia menutup dosa dan mendapat keringanan daripada Allah ‎ﷻ.

لا يُؤاخِذُكُمُ اللهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما عَقَّدتُمُ الأَيمٰنَ ۖ فَكَفّٰرَتُهُ إِطعامُ عَشَرَةِ مَسٰكينَ مِن أَوسَطِ ما تُطعِمونَ أَهليكُم أَو كِسوَتُهُم أَو تَحريرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ ثَلٰثَةِ أَيّامٍ ۚ ذٰلِكَ كَفّٰرَةُ أَيمٰنِكُم إِذا حَلَفتُم ۚ وَاحفَظوا أَيمٰنَكُم ۚ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُم ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).

لا يُؤاخِذُكُمُ اللهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم

Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud

Allah ‎ﷻ tidak menghukum manusia dengan sumpahan yang tiada niat. Ada orang yang cakap sahaja di mulut tetapi dia tidak berniat dalam hati. Ini adalah kerana kebiasaan orang Arab yang suka bersumpah, tetapi mereka tidak berniat sangat. Itu hanya cakap-cakap kosong sahaja. Ini juga telah disebut dalam [ Baqarah:225 ].

Sebagai contoh, mereka kata begini: “Wallahi, aku takkan bercakap dengan kamu lagi”; “Wallahi aku akan bunuh kamu….”; “Wallahi, aku lapar sangat jadi aku nak makan semua atas meja ini…” dan sebagainya. Ia bergantung kepada niat. Mungkin dia cakap itu semasa dia marah dan tidak berfikir apa yang dia cakap.

Ini tidak sama dengan ‘sumpah palsu’. Sumpah palsu sebagai contoh dia telah melakukan sesuatu, tetapi dia bersumpah dia tidak melakukannya. Tidak ada kaffarah bagi hal ini. Dia kena bertaubat kerana menipu sedangkan dia tahu dia telah menipu.

Dan jika dia tersilap maklumat dan bersumpah atas maklumat itu, pun tidak ada kaffarah. Sebagai contoh, ada yang datang dan beritahu sesuatu kepadanya. Dia sangka ia benar dan dia bersumpah kata ada orang datang dan beritahu aku begini, begini. Kemudian baru dia tahu yang maklumat itu tidak benar. Ini juga tidak ada kaffarah.

وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما عَقَّدتُمُ الأَيمٰنَ

tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja,

Tetapi Allah‎ ﷻ akan menghukum di atas niat manusia yang sengaja. Yang dia cakap dengan mulut, dan dia tekad dalam hati untuk menjalankannya. Antaranya yang orang kita biasa lakukan adalah bernazar.

Nazar itu sebenarnya tidak baik, dan tidak perlu dilakukan kerana ia merupakan sifat kedekut dengan Allah ‎ﷻ (kalau Allah ‎ﷻ beri apa yang dia hendak, baru dia akan buat itu dan ini.) Akan tetapi, kalau dia sudah bernazar, maka dia mesti menunaikannya. Sudah menjadi wajib baginya.

asalahnya, banyak terjadi apabila perkara yang dia minta itu Allah ‎ﷻ berikan. Waktu itu mulalah ada hal yang tidak dapat dilakukan. Masa berjanji dia sedap mulut sahaja, tetapi sekarang mulalah sibuk hendak ‘lari’ daripada membayar janji itu dahulu. Ada perkara yang memang dia tidak mampu buat.

Maka ini adalah jalan penyelesaian bagi nazarnya dahulu. Dia kena bayar kaffarah sumpahnya semasa bernazar dahulu.

فَكَفّٰرَتُهُ إِطعامُ عَشَرَةِ مَسٰكينَ

maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin,

Mungkin selepas dia telah bersumpah, dia menyesal kerana berkata begitu. Maka, dia hendak melanggar sumpahnya itu, tidak mahu meneruskannya lagi.  Jika telah melanggar sumpah, dia dikenakan membayar kaffarah sebagai denda. Salah satu cara adalah memberi makan sepuluh orang miskin. Ada pendapat yang mengatakan dua kali makan.

مِن أَوسَطِ ما تُطعِمونَ أَهليكُم

iaitu daripada makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu,

Iaitu memberi makanan daripada jenis yang biasa diberi makan kepada keluarga sendiri. Kalau nasi, nasi lah, kalau roti, roti lah. Kalau biasa makan dengan lauk, kena beri dengan lauk sekali. Kalau biasa makan beras gred A, maka beri makan beras gred A lah juga. Dia boleh sediakan makanan itu, atau dia boleh memberi wang sebagai ganti kepada makanan itu.

أَو كِسوَتُهُم

atau memberi pakaian kepada mereka

Atau, bagi pakaian kepada mereka yang miskin, sepertimana pakaian yang diberi kepada keluarga sendiri. Walaupun tidak disebut sepertimana pakaian keluarga sendiri, tetapi ia boleh difahami. Berapa orang? Sepuluh orang juga.

Ada juga pendapat yang mengatakan pakaian yang cukup iaitu yang menutup seluruh badan dan kaki (maknanya sepasang pakaian).

أَو تَحريرُ رَقَبَةٍ

atau memerdekakan seorang budak.

Atau dia boleh memerdekakan hamba. Kalau hamba, bukanlah sepuluh orang, tetapi seorang sahaja.

Tiga pilihan di atas itu adalah jika dia mempunyai harta. Maka bolehlah dipilih daripada salah satu pilihan di atas. Bagaimana kalau seorang yang hendak melanggar sumpahnya itu tidak mempunyai harta?

فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ ثَلٰثَةِ أَيّامٍ

Barangsiapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari.

Kalau tidak ada harta, gantinya adalah puasa tiga hari. Tetapi hendaklah cuba membayar dengan harta dahulu. Jika tidak boleh, barulah dengan berpuasa. Pendapat ulama’ seperti Imam Abu Hanifah رحمه الله mengatakan yang ia perlulah dilakukan berturutan.

ذٰلِكَ كَفّٰرَةُ أَيمٰنِكُم إِذا حَلَفتُم

Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah

Itulah empat jenis pilihan penebus kesalahan langgar sumpah. Kalimah حَلَفتُم (sumpah-sumpahmu) bermaksud apabila seseorang itu telah membuat komitmen di atas sumpahnya, iaitu dia benar-benar berniat atas sumpah itu, bukan cakap main-main.

وَاحفَظوا أَيمٰنَكُم

Dan jagalah sumpahmu.

Jangan tinggalkan sumpah itu tanpa membayar kaffarah.

Yang sebaiknya, hendaklah jaga sumpah, jangan langgar. Kalau sudah bersumpah, mestilah menunaikannya. Ia bukanlah perkara main-main.

Seperkara lagi, dari awal lagi jangan suka membuat sumpah yang akan menyusahkan diri sendiri juga nanti. Jangan kerana mulut, badan binasa. Mulut tu kena jagalah sikit. Kalau sudah kena bayar kaffarah itu, jangan marahlah sebab ia datang pun daripada kamu juga.

Jadi jangan senang hendak bernazar. Sebenarnya kita sepatutnya buat ibadah, kemudian baru kita berdoa. Bukannya nazar kalau diberikan sekian dan sekian, baru hendak buat ibadah.

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُم ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur

Kita kena bersyukur kerana Allah ‎ﷻ sudah beri jalan untuk langgar dan untuk keluar daripada sumpah kita. Walaupun kena bayar kaffarah, tetapi itu lebih baik daripada kita tidak membuat apa-apa dan kemudian di akhirat nanti kita dihukum sebab melanggar sumpah kerana jika langgar sumpah, Allah ‎ﷻ akan murka. Sumpah bukan perkara yang boleh dibuat main.

Tafsir Ayat Ke-90

Kalau sebelum ini telah disebut tentang larangan mengharamkan yang halal, sekarang disebut tentang perkara haram yang tidak boleh dilakukan.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّمَا الخَمرُ وَالمَيسِرُ وَالأَنصابُ وَالأَزلٰمُ رِجسٌ مِّن عَمَلِ الشَّيطٰنِ فَاجتَنِبوهُ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perkara buruk termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّمَا الخَمرُ

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar,

Ini adalah hukum pengharaman arak. Ramai yang sudah tahu bahawa ia adalah haram, tetapi masih ada lagi yang mencuba mengelak untuk lari daripada hukum ini. Pelbagai hujah yang mereka gunakan.

Antaranya mereka kata, kalau minum sedikit dan tidak memabukkan, maka ia tidak haram. Atau ada yang kata kalau tidak salat, tidak mengapa kalau mahu diminum arak itu. Dan berbagai-bagai lagi hujah yang pelik yang digunakan oleh manusia. Itu semua kerana tidak mahu taat kepada hukum Allah ‎ﷻ. Sedangkan dalam ayat ini, dengan jelas mengatakan yang arak itu haram. Tidak kira pada masa bila pun, ia adalah haram.

Dari segi bahasa, kalimah الخَمرُ daripada kalimah خمرُ yang bermaksud ‘penutup’. Jadi, dari sini kita boleh tahu sifat arak itu yang menutup minda dan akal manusia. Apabila diminum, boleh menyebabkan mabuk sehingga akal tidak tahu apa yang mereka buat dan apa yang dikatakan oleh mulut mereka.

Khamr asal sebenarnya bermaksud arak perahan anggur. Tetapi bukan itu sahaja yang termasuk dalam ayat ini. Apa sahaja yang memabukkan dikira haram, tidak kira daripada bahan apa ia diperbuat:

وَرَوَى مُسْلِمٌ عَنْ أَبِي الرَّبِيعِ، عَنْ حَمَّادِ بْنِ زَيْدٍ، عَنْ أَيُّوبَ، عَنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “كُلُّ مُسكر خَمْرٌ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ، وَمَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَمَاتَ وَهُوَ يُدْمنها وَلَمْ يَتُبْ مِنْهَا لَمْ يَشْرَبْهَا فِي الْآخِرَةِ”.

Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Abu Rafi’, daripada Hammad ibnu Zaid, daripada Ayyub, daripada Nafi’, daripada Ibnu Umar yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Setiap yang memabukkan adalah khamr, dan setiap yang memabukkan adalah haram. Dan barangsiapa minum khamr, lalu mati dalam keadaan masih kecanduan khamr dan belum bertaubat daripada perbuatannya itu, maka kelak di akhirat dia tidak dapat meminum khamr (di syurga).
(HR. Muslim No. 2003, daripada Ibnu Umar رضي الله عنه)

Terdapat banyak sekali keburukan daripada arak ini yang menyebabkan keluarga, masyarakat dan negara boleh menjadi porak peranda disebabkan olehnya. Allah ‎ﷻ tahu apakah yang buruk untuk diri kita, maka Allah‎ ﷻ telah mengharamkannya supaya kita tidak lagi terjerumus ke dalam masalah-masalah itu.

Kita juga perlu ingat, bahawa arak itu bukan sahaja diharamkan untuk diminum, tetapi ada banyak lagi kesalahan yang melibatkannya. Seperti yang disebut dalam hadith:

عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: لعن رسُول الله صلى الله عليه وسلم في الخمر عشرةً: عاصرها، ومعتصرها، وشاربها، وحاملها، والمحمولة إليه، وساقيها، وبائعها، وآكل ثمنها، والمشتري لها، والمشتراة له. أخرجه الترمذي وابن ماجه

“Rasulullah ﷺ melaknat tentang arak, sepuluh golongan:
(1) yang memerahnya,
(2) yang minta diperahkan untuknya,
(3) yang meminumnya,
(4) yang membawanya,
(5) yang minta dihantarnya,
(6) yang menuangkannya,
(7) yang menjualnya,
(8) yang makan harganya,
(9) yang membelinya,
(10) yang minta dibelikannya.
(HR . Tirmidzi No. 1295, Ibnu Majah No. 3381, daripada Anas رضي الله عنه. Sahih lighairih menurut Syeikh Al-Albani dalam Talhrij Misykatul Masabih No. 2707. Hasan menurut Al-Wadi’ie dalam Sahih Musnad No. 59)

Maka, jangan kita terlibat langsung dengan arak. Sebab itulah dalam ayat ini, lafaz yang digunakan adalah فَاجتَنِبوهُ (maka jauhilah ia), bukan ‘jangan buat’. Bila dikatakan menjauhinya, maka jangan ada kena mengena langsung dengannya.

Perkara yang haram seperti arak juga tidak boleh diperniagakan:

حَدِيثٌ آخَرُ: قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَعْلَى، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ، عَنِ الْقَعْقَاعِ بْنِ حَكِيمٍ؛ أَنَّ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ وَعْلَة قَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ عَنْ بَيْعِ الْخَمْرِ، فَقَالَ: كَانَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدِيقٌ مِنْ ثَقِيفٍ -أَوْ: مِنْ دَوْسٍ-فَلَقِيَهُ يَوْمَ الْفَتْحِ بِرَاوِيَةِ خَمْرٍ يُهْدِيهَا إِلَيْهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا فُلَانُ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ اللَّهَ حَرَّمَهَا؟ ” فَأَقْبَلَ الرَّجُلُ عَلَى غُلَامِهِ فَقَالَ: اذْهَبْ فَبِعْهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا فُلَانُ، بِمَاذَا أَمَرْتَهُ؟ ” فَقَالَ: أَمَرْتُهُ أَنْ يَبِيعَهَا. قَالَ: “إِنَّ الَّذِي حَرَّمَ شُرْبَهَا حَرَّمَ بَيْعَهَا”. فَأَمَرَ بِهَا فَأُفْرِغَتْ فِي الْبَطْحَاءِ.

Hadith diriwayatkan oleh Imam Ahmad, telah menceritakan kepada kami Ya’la, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ishaq, daripada Al-Qa’qa’ ibnu Hakim; Abdur Rahman ibnu Wa’lah mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Ibnu Abbas mengenai masalah menjual khamr. Ibnu Abbas رضي الله عنهما menjawab bahawa dahulu Rasulullah ﷺ mempunyai seorang teman daripada Bani Saqif atau Bani Daus. Rasulullah ﷺ bersua dengannya pada hari kemenangan ke atas kota Mekah, pada waktu itu dia membawa sebalang khamr yang hendak dia hadiahkan kepada Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ bersabda, “Hai Fulan, tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah telah mengharamkannya?” Maka lelaki itu datang kepada pelayannya dan berkata kepadanya, “Pergilah, dan juallah khamr ini.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Hai Fulan, apakah yang kamu perintahkan kepada pelayanmu?”Lelaki itu menjawab, “Saya perintahkan dia untuk menjualnya.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Sesungguhnya sesuatu yang diharamkan meminumnya diharamkan pula memperjual belikannya. Lalu Rasulullah ﷺ memerintahkan agar khamr itu ditumpahkan, kemudian ditumpahkan di Batha.
(HR. Ahmad No. 2824, disahihkan oleh Syeikh al-Arnauth dan Ahmad Syakir)

Nota: Mungkin timbul satu persoalan tentang bolehkan khamr digunakan sebagai ubat? Pendapat yang kuat mengatakan tidak boleh sama sekali kerana daripada hadith Nabi ﷺ sendiri, baginda mengatakan bahawa khamr itu bukanlah ubat, malah ia adalah penyakit.

Dan kalau ada yang mengatakan ia termasuk dalam perkara darurat, ketahuilah pengubatan bukanlah termasuk dalam perkara darurat.

Arak diharamkan kerana ada banyak keburukan padanya. Akal yang sihat pun boleh faham perkara ini dan kerana itulah dalam tahun 1920-an, Kerajaan Amerika pernah mengharamkan arak (Prohibition Act). Akan tetapi ia tidak dapat diteruskan disebabkan mendapat tentangan yang kuat dalam masyarakat. Ini kerana mereka tidak ada iman.

Masyarakat Arab jahiliyah pada masa dahulu pun biasa meminum arak. Namun, Islam mengambil pendekatan mengharamkannya dengan cara berperingkat. Tidaklah terus diharamkan tetapi mendidik mereka untuk menolak sedikit demi sedikit.

Peringkat pertama: Arak itu ada kelebihan, tetapi keburukan lebih banyak. Ini disebut dalam [ Baqarah:219 ].

Peringkat kedua: Tidak boleh minum arak apabila hendak salat. Ini disebut dalam [ Nisa:43 ]

Peringkat ketiga: Larangan terus di dalam ayat [ Maidah:90] ini.

وَالمَيسِرُ

dan berjudi

Apakah maksud judi? Ramai yang keliru dan banyak persoalan tentang perkara ini. Ia adalah satu perlumbaan untuk mendapatkan sesuatu yang menyebabkan kegembiraan bagi satu pihak dan kekecewaan kepada pihak yang lain pula. Maknanya terdapat pertaruhan dan mesti ada yang kalah dan ada yang menang. Satu pihak untung dan satu pihak rugi (zero sum game).

Ia juga boleh dikira hangus duit pertaruhan. Contohnya, ada masuk pertandingan memancing dan dikenakan letak duit dahulu. Itu dikira judi walaupun niatnya hanyalah sebagai permainan, buat untuk suka-suka sahaja. Ia dianggap sebagai judi kerana orang itu akan hilang wang pertaruhannya itu. Dan wang itulah pula yang dijadikan sebagai hadiah kemenangan nanti. Memang orang selalu orang letak nama ‘pertandingan’. Namun begitu, tidak kiralah nama apa yang diletakkan, tetapi kalau mengandungi unsur judi, maka ia dikira sebagai judilah juga.

Ini tidak sama dengan ‘cabutan bertuah’ kerana tidak ada kerugian pada mana-mana pihak. Ini adalah kerana pekedai yang mengeluarkan duit sendiri yang menawarkan hadiah kepada sesiapa yang mendapat hadiah cabutan bertuah itu. Orang yang menang itu pula tidak meletakkan sebarang duit pun sebagai pertaruhan. Oleh itu, ia tidak merugikan sesiapa, malah ada yang untung sahaja.

وَالأَنصابُ

dan berhala

Perkara ketiga yang dilarang dalam ayat ini adalah penyembahan patung berhala atau benda-benda yang dipuja seperti gambar. Ramai manusia yang membuat gambar roh dan Nabi, dan pelbagai gambar atau patung untuk dijadikan sebagai tempat pemujaan.

Asalnya ia dijadikan sebagai peringatan kepada orang yang baik-baik, yang alim, yang warak semasa hidup mereka atau dijadikan sebagai peringatan kepada kejadian yang penting pada zaman dahulu. Namun lama kelamaan, ia telah bertukar sifat sehingga orang yang kemudian menjadikan makam tempat tersebut dan menyembah atau memujanya.

Ini adalah kerana kejahilan manusia dan syaitan akan sentiasa meniupkan kesyirikan dalam hati manusia. Orang yang mula-mula buat patung, gambar atau tugu itu tidaklah menyembah sebagai ilah, tetapi keturunan yang datang kemudian yang menjadikan ia lebih lagi.

Inilah masalah jika manusia memang mempunyai akidah yang lemah. Mereka akan terpesona dengan sesuatu perkara itu dan mula menyembah atau menganggapnya istimewa.

Oleh kerana itu, kita tidak boleh menghormati sesuatu benda itu berlebihan. Sebagai contoh, patung kanak-kanak secara dasar memang dibenarkan, tetapi jangan kita hormat kepada anak patung itu. Kita kenalah baling, pijak ia supaya tidak ada rasa kasih sayang berlebihan kepadanya.

Itulah sebabnya dilarang untuk menggantung gambar sesiapa pun di rumah atau di kedai kerana katakanlah kita menggantung gambar datuk kita, sebagai memperingati dia sahaja tetapi jika rumah kita terbakar, dan kita mendapati gambar datuk kita itu selamat sahaja, apa yang kita rasa? Maka, untuk keselamatan dan menjaga akidah, tidak perlulah digantung gambar di rumah kita. Kalau ada, silalah turunkan dan simpan dalam album sahaja (sebagai kenang-kenangan).

Jika akidah kita molek, tidaklah berasa apa-apa, tetapi kalau akidah ada masalah, tentu dia akan berkata gambar datuk itu ada keramat (atau datuk kita itu ada keramat). Begitu jugalah kalau digantung gambar-gambar pemimpin yang banyak dilakukan sekarang. Kalau tidak jadi apa-apa, memang selamatlah, tetapi katakanlah kalau ada kejadian pelik dan gambar orang itu ada di situ? Entah apalah nanti dikatakan orang.

Ada empat perkara yang diharamkan dalam ayat ini: arak, judi, berhala dan mengundi nasib. Dalam banyak-banyak ini, berhala itu jelas haram hukumnya bukan? Allah ‎ﷻ meletakkannya sekali dengan tiga perkara yang lain itu untuk memberitahu: semua itu adalah perkara yang buruk dan berdosa. Semua itu dosa besar maka jangan diperkecilkan.

حدثنا أبو بكر بن أبي شيبة ومحمد بن الصباح قالا حدثنا محمد بن سليمان بن الأصبهاني عن سهيل عن أبيه عن أبي هريرة قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم مدمن الخمر كعابد وثن

Telah menceritakan kepada kami Abu Bakar bin Abu Syaibah dan Muhammad bin As Shabah keduanya berkata; telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Sulaiman bin Al Ashbahani dari Suhail dari Ayahnya dari Abu Hurairah dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda, “Pecandu khamer seperti penyembah berhala.”
(Sunan Ibn Majah (3366))
Status: sahih

وَالأَزلٰمُ

dan mengundi nasib dengan panah,

Iaitu mencari untung nasib dengan mencampak benda-benda. Asal azlam ialah anak-anak panah (yang tidak diberi bulu keseimbangan dan tidak diberi hujung kerana ia bukan digunakan untuk memanah). Alat ini biasa golongan zaman dahulu digunakan untuk mengundi nasib. Mereka akan menggunakan anak panah itu sebagai cara untuk membuat keputusan pemilihan.

Mengundi nasib dengan anak panah ini berbeza dengan undian perjudian kerana itu telah disebut dalam bab maysir sebelum ini. Perhatikan kata mengundi ‘nasib’, jadi yang diundi itu adalah nasib, bukan menang atau kalah dalam berjudi.

Istilah itu merupakan terjemahan daripada kata bahasa Arab: AZLAM. Azlam adalah bentuk jamak daripada zulam atau zalam. Memang sering diterjemahkan dengan istilah mengundi nasib dengan anak panah. Tetapi yang terjadi sesungguhnya bukan bab perjudian, melainkan mengundi pilihan hidup dengan menggunakan anak panah.

Disebutkan bahawa ketika masa jahiliyyah, apabila seseorang dalam keadaan bingung atas pilihan-pilihan hidup, mereka bukannya melakukan salat istikharah seperti ajaran Rasulullah ﷺ, tetapi mendatangi para dukun untuk meminta nasihat. Lalu dukun akan melakukan pengundian dengan mengocok anak panah. Di tiap-tiap hujung anak panah itu dituliskan: Kerjakan – Jangan Kerjakan – Ulangi (kosong pada anak panah itu).

Anak panah dengan panjang yang sama itu dikumpulkan di dalam satu bekas. Lalu dikeluarkan salah satunya tanpa dilihat. Jika keluar tulisan ‘kerjakan’, maka perkara itu akan dikerjakan. Namun jika tertulis ‘jangan kerjakan’, maka perkara tersebut tidak akan dilakukan. Jika keluar yang tidak bertuliskan apa-apa, undian nasib tadi akan diulang.

Kira-kira kalau di masa kita ini mirip orang menghitung kad ‘ya’ atau ‘tidak’. Jadi, tidak semestinya kena pakai. Perbuatan seperti inilah yang dikatakan mengundi nasib dengan anak panah.

Illat (penyebab) keharamannya adalah percaya kepada tahayul dengan meninggalkan pertimbangan akal yang sihat. Mereka hanya serahkan sahaja kepada nasib dan ini tidak bagus, sedangkan Allah ‎ﷻ telah berikan kita akal untuk menilai sesuatu perkara itu sama ada patut dilakukan ataupun tidak.

Namun begitu, ada juga pengundian yang dibenarkan. Bukanlah semua haram. Katakanlah ada pembahagian harta seperti rumah kepada empat orang. Semua rumah itu sama sahaja, tetapi tidak tahu siapa akan mendapat rumah yang mana. Maka,  dalam hal ini boleh menggunakan cara pengundian.

رِجسٌ مِّن عَمَلِ الشَّيطٰنِ

adalah perkara buruk termasuk perbuatan syaitan.

Semua perkara yang disebut di atas adalah perbuatan yang berdosa di sisi Allah ‎ﷻ. Ia tidak patut dilakukan oleh seorang yang beriman dan ada akal yang waras.

Itu semua adalah daripada ajaran syaitan. Mereka yang mengajar manusia untuk membuat semua perkara itu kerana mereka suruh manusia lawan Tuhan. Jika sudah mula buat, maka akan susah untuk keluar daripada perbuatan itu.

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa rijsun ertinya perbuatan yang dimurkai (Allah ‎ﷻ) dan termasuk perbuatan syaitan. Menurut Sa’id ibnu Jubair, erti rijsun ialah dosa. Sedangkan menurut Zaid ibnu Aslam disebutkan bahawa makna rijsun ialah jahat, termasuk perbuatan syaitan. Kesimpulannya, ia adalah perbuatan berdosa dan hendaklah ditinggalkan.

فَاجتَنِبوهُ

Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu

Setelah kita tahu keburukan semua perkara itu, maka hendaklah kita jauhi dan jangan cebur diri. Jangan ada kena mengena langsung. Bukan sahaja kita tidak buat, malah jangan mendekati langsung kerana jika sudah buat, susah untuk meninggalkannya.

Itu semua perkara yang jelas haram maka tidak boleh menghalalkannya. Nama mungkin berubah dari masa ke semasa, tetapi hukum haram tetap haram. Sebagai contoh, ada yang letak nama arak dengan nama ‘tuak’ dan sebagainya; ada yang letak perjudian sebagai ‘sports toto’, cabutan bertuah, pertandingan memancing dan sebagainya, tetapi jika ia mengandungi unsur judi, ia masih juga dikategorikam sebagai judi dan tetap haram hukumnya.

لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

agar kamu mendapat kejayaan.

Moga-moga dengan kita meninggalkan langsung dan tidak mendekati perkara-perkara yang telah diharamkan itu, dapatlah kita meraih kejayaan di dunia dan akhirat. Maknanya, untuk berjaya dunia dan akhirat mestilah tinggalkan semua perkara di atas.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan