Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-41

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-41

248
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah

Tafsir Ayat Ke-41

Ayat Zajrun (teguran) kepada golongan munafik dan ahli kitab serta tasliah (pujukan) kepada Nabi ﷺ. Nabi ﷺ dinasihatkan supaya jangan bersedih dengan kedegilan ahli kitab itu.

Sekarang perbincangan kembali kepada topik Ahli Kitab. Asbabun Nuzul ayat ini adalah kejadian yang berlaku dalam kalangan golongan Yahudi yang tinggal di Madinah pada zaman itu. Terdapat dua kes yang dibincangkan iaitu satu kes tentang pembunuhan dan satu lagi tentang zina.

۞ يٰأَيُّهَا الرَّسولُ لا يَحزُنكَ الَّذينَ يُسٰرِعونَ فِي الكُفرِ مِنَ الَّذينَ قالوا ءآمَنّا بِأَفوٰهِهِم وَلَم تُؤمِن قُلوبُهُم ۛ وَمِنَ الَّذينَ هادوا ۛ سَمّٰعونَ لِلكَذِبِ سَمّٰعونَ لِقَومٍ ءآخَرينَ لَم يَأتوكَ ۖ يُحَرِّفونَ الكَلِمَ مِن بَعدِ مَواضِعِهِ ۖ يَقولونَ إِن أوتيتُم هٰذا فَخُذوهُ وَإِن لَّم تُؤتَوهُ فَاحذَروا ۚ وَمَن يُرِدِ اللهُ فِتنَتَهُ فَلَن تَملِكَ لَهُ مِنَ اللهِ شَيئًا ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ لَم يُرِدِ اللهُ أَن يُطَهِّرَ قُلوبَهُم ۚ لَهُم فِي الدُّنيا خِزيٌ ۖ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

Hai Rasul, janganlah hendaknya kamu disedihkan oleh orang-orang yang bersegera (memperlihatkan) kekafirannya, iaitu orang-orang yang mengatakan dengan mulut mereka: “Kami telah beriman”, padahal hati mereka belum beriman; dan (juga) di antara orang-orang Yahudi. (Orang-orang Yahudi itu) amat suka mendengar (berita-berita) bohong dan amat suka mendengar perkataan-perkataan orang lain yang belum pernah datang kepadamu; mereka merubah perkataan-perkataan (Taurat) dari tempat-tempatnya. Mereka mengatakan: “Jika diberikan ini (yang sudah diubah oleh mereka) kepada kamu, maka terimalah, dan jika kamu diberi yang bukan ini maka hati-hatilah”. Barangsiapa yang Allah menghendaki kesesatannya, maka sekali-kali kamu tidak akan mampu menolak sesuatupun (yang datang) daripada Allah. Mereka itu adalah orang-orang yang Allah tidak hendak mensucikan hati mereka. Mereka beroleh kehinaan di dunia dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar.

يٰأَيُّهَا الرَّسولُ لا يَحزُنكَ الَّذينَ يُسٰرِعونَ فِي الكُفرِ

Hai Rasul, janganlah hendaknya kamu disedihkan oleh orang-orang yang bersegera (memperlihatkan) kekafirannya,

Allah ‎ﷻ beritahu Nabi ﷺ supaya jangan bersedih apabila melihat sifat mereka yang bersegera ke arah kekufuran. Setelah berkali-kali didakwah dan diajak kepada tauhid, mereka masih lagi mengamalkan kufur. Tentunya Nabi ﷺ berasa sedih kerana baginda mahu umatnya selamat dunia dan akhirat.

Allah ‎ﷻ tahu yang Nabi ﷺ sedih, oleh itu Allah ‎ﷻ mengingatkan baginda supaya jangan begitu, jangan hiraukan sangat mereka itu. Ini kerana kalau tidak, baginda sendiri akan susah hati dan membahayakan diri baginda. Baginda diingatkan supaya tidak perlu menyusahkan diri baginda dengan memikirkan kedegilan mereka sangat.

Siapakah mereka itu? Ada dua golongan yang akan disebut:

مِنَ الَّذينَ قالوا ءآمَنّا بِأَفوٰهِهِم

iaitu orang-orang yang mengatakan dengan mulut mereka: “Kami telah beriman”,

Golongan pertama adalah mereka yang berkata mereka Muslim dengan mulut mereka sendiri. Mereka mengakui mereka Muslim dan mereka pun bercampur gaul dengan orang Islam yang lain.

وَلَم تُؤمِن قُلوبُهُم

padahal hati mereka belum beriman;

Mereka berkata mereka Muslim itu dengan lidah sahaja tetapi tidak dengan hati mereka. Mereka sebenarnya tidak beriman pun. Jadi ini adalah ayat tentang orang munafik. Dari segi luaran, mereka itu nampak seperti orang Muslim tetapi dalam hati, mereka tidak beriman sebenarnya dan mereka itu amat berminat kepada kekufuran.

Mereka itu mudah minat kepada orang kafir. Kalau kita ajak mereka ke masjid dan belajar agama, susah sungguh; tetapi kalau ikut orang kafir ke sana sini senang sangat. Di zaman Nabi ﷺ juga sudah ada masalah ini, iaitu golongan munafik itu rapat sangat dengan golongan Yahudi. Keadaan ini amat menyedihkan Nabi ﷺ.

وَمِنَ الَّذينَ هادوا

dan (juga) di antara orang-orang Yahudi.

Golongan yang kedua yang disebut dalam ayat ini adalah golongan Yahudi yang datang belajar dengan Nabi ﷺ. Memang ada orang Yahudi yang datang ke majlis Nabi ﷺ sambil mendengar apa yang Nabi ﷺ ajar.

Ini adalah jenis orang Yahudi bawahan yang kadangkala duduk dengan Yahudi dan kadangkala duduk dengan Nabi ﷺ. Mereka yang dalam kalangan pendita mereka tidak akan datang, tetapi golongan bawahan ada juga yang datang kerana hendak dengar-dengar apa yang disampaikan oleh baginda.

Ini pun golongan munafik juga. Mereka nampak sudah berjinak dengan Islam tetapi dalam hati mereka tidak beriman. Bila mereka datang, seperti tunjuk mereka sudah jinak kepada Islam, namun hati mereka tidak beriman sebenarnya.

سَمّٰعونَ لِلكَذِبِ

mereka amat suka mendengar (berita-berita) bohong

Mereka suka mendengar kepada perkara yang di dalamnya ada pendustaan tentang agama. Cerita yang tidak benar yang mereka suka dengar. Apabila mereka dengar, mereka senang pula untuk percaya. Orang munafik itu masih suka mendengar lagi kisah-kisah yang disampaikan daripada Yahudi.

Kita kena ingat kembali bahawa sebelum Nabi Muhammad ﷺ datang ke Madinah, puak Arab di situ sudah lama berkawan dengan orang-orang Yahudi. Mereka berkawan, bekerja, menjadi kuli orang Yahudi, malah mereka merujuk hal agama dengan orang-orang Yahudi itu kerana mereka rasa orang Yahudi itu pandai tentang agama kerana mereka ada kitab.

Berita-berita bohong ini amat bahaya. Kalau zaman sekarang, mereka itu adalah jenis yang suka mendengar hadith-hadith yang palsu atau kisah-kisah yang karut daripada mulut penceramah. Hadith yang sahih mereka tidak mahu dengar, tidak mahu belajar. Yang hadith belum tentu punca juga yang mereka baca dan sampaikan kepada orang lain.

Lagi satu, mereka itu suka mendengar kisah-kisah khurafat. Kisah khurafat adalah kisah-kisah yang tidak ada dalil. Banyak berlegar dalam kalangan kita sekarang. Kisah seperti virus Covid berhubung dengan Habib, kisah ada Nabi yang turun di Gunung Jerai, kisah Habib mengislamkan orang yang sudah mati dan macam-macam kisah kartun yang sampai kepada kita.

Malangnya ramai pula yang percaya. Itulah sifat munafik dari dulu sampailah sekarang memang telah ada dalam masyarakat kita. Mereka inilah yang percaya kepada perkara yang tidak tsabit daripada wahyu tetapi dikatakan daripada wahyu pula. Ini kerana senang sangat percaya kepada orang yang nampak seolah-olah bijak pandai, bawa perawakan lembut, ada janggut dan memakai serban. Ramai yang kalah dengan penampilan manusia.

سَمّٰعونَ لِقَومٍ ءآخَرينَ لَم يَأتوكَ

dan amat suka mendengar perkataan-perkataan orang lain yang belum pernah datang kepadamu;

Golongan munafik itu suka mendengar kata-kata daripada golongan sesat Yahudi itu. Yahudi itu pula tidak datang pun bertemu dengan Nabi ﷺ dan duduk dalam majlis Nabi ﷺ. Mereka juga suka menyampaikan berita kepada ulama’ mereka yang dalam kalangan Yahudi yang tidak datang kepada Nabi ﷺ.

Mereka membawakan berita dari Madinah kepada ulama’ mereka. Golongan yang tidak datang kepada Nabi ﷺ itu kerana terlalu tinggi ego mereka. Mereka mempunyai kedudukan dalam masyarakat mereka, mungkin sebagai pendita, dan sebagainya. Dahulu mereka yang menjadi tempat rujukan puak-puak Arab ini, jadi mereka rasa mereka merendahkan diri mereka pula kalau duduk belajar dengan Nabi Muhammad ﷺ.

Begitulah juga yang terjadi dalam masyarakat kita. Banyak ustaz-ustaz yang telah lama belajar dengan cara ajaran yang salah yang tidak mengikut sunnah. Mereka itu sudah lama menjadi imam, tok siak, mengetuai bacaan di Majlis Tahlil, doa selamat dan sebagainya. Mereka yang menjadi tempat rujukan masyarakat sebelum ini.

Mereka dahulu tidaklah belajar tinggi mana sangat, mungkin belajar di pondok-pondok dan kelas agama yang ada di masjid-masjid. Dengan modal sedikit itu, mereka sudah dipandang tinggi dalam masyarakat (kerana masyarakat lagi lah tidak tahu apa-apa). Namun sekarang, apabila pembelajaran sunnah sudah bercambah di negara kita, mereka rasa malu hendak datang belajar dengan ustaz-ustaz yang sunnah.

Mereka lebih rela terus duduk dalam kejahilan dan kesesatan daripada duduk mengadap guru sunnah yang mengajar tafsir Al-Qur’an dan Sunnah. Dan mereka menakut-nakutkan anak murid mereka daripada datang belajar dengan guru yang Sunnah. Mereka kata: “jaga-jaga, dengan ustaz itu dan ini…. itu Wahabi belaka tu!” Kesannya, masyarakat terus jahil dan terus menuduh orang lain sebagai Wahabi.

يُحَرِّفونَ الكَلِمَ مِن بَعدِ مَواضِعِهِ

mereka merubah perkataan-perkataan (Taurat) dari tempat-tempatnya.

Puak Yahudi daripada golongan ulama’ itu telah mengubahsuai kalimah dalam kitab Taurat daripada maknanya yang sebenar. Ada bahagian daripada Kitab Taurat yang mereka sorok daripada masyarakat dan mereka tidak menyampaikannya kepada mereka. Mereka akan tafsir ikut apa yang mereka kehendaki, sesuai mengikut nafsu mereka sahaja.

Sebagai contoh, dalam Taurat memang ada ayat rejam kepada penzina yang telah berkahwin. Namun kalau orang yang kaya datang kepada mereka meminta hukum, mereka telah menukar daripada maknanya yang asal, dan mereka kata hukuman kepada penzina itu adalah dihitamkan muka mereka dan dimalukan di khalayak sahaja.

Namun begitu apabila puak yang miskin pula yang membuat zina, mereka kata hukuman rejam pula mesti dikenakan. Oleh kerana ada “double standard” ini, maka puak miskin telah memberontak. Akhirnya, mereka mengubah semua sekali daripada Taurat itu sampai mereka kata, ayat rejam memang tidak ada.

Kalau golongan agamawan negara ini yang bukan Sunnah dan tidak mahir tentang agama pula, mereka ubah fahaman agama daripada yang sepatutnya. Mereka tafsir maksud ayat-ayat Al-Qur’an mengikut fahaman syirik dan bid’ah mereka. Ini banyak sekali terjadi dan menyebabkan masyarakat menjadi keliru dan pecah belah.

Asbabun Nuzul tentang perkara ini adalah tentang kejadian yang berlaku di antara Bani Nadhir dan Bani Quraizah. Ini seperti yang dapat dilihat di dalam Musnah Ahmad dan juga Sunan Abu Dawud.

Bani Nadhir lebih kaya dan lebih kuat daripada Bani Quraizah. Dan kerana itu mereka menekan Bani Quraizah sehingga ada perjanjian berat sebelah di antara mereka. Mereka tidak mengamalkan hukum qisas seperti yang sepatutnya ada di dalam Taurat. Jika seseorang daripada Bani Quraizah membunuh salah seorang daripada Bani Nadhir, mereka tidak boleh mendapat qisas, sebaliknya hanya mendapat 70 wasaq kurma sahaja dalam bentuk diyat. Sebaliknya jika daripada Bani Quraizah yang membunuh seseorang daripada Bani Nadhir, hukum qisas (balas bunuh) akan dijalankan dan diyat pun mereka kena bayar juga. Malah kena bayar dua kali ganda.

Jika wanita Bani Nadhir yang dibunuh, lelaki daripada Bani Quraizah yang menjadi galang gantinya.
Jika lelaki Bani Nadhir yang dibunuh, dua lelaki daripada Bani Quraizah yang akan dibunuh balik.
Jika hamba Bani Nadhir yang dibunuh, orang merdeka daripada Bani Quraizah yang akan dibunuh balik.
Dan ada beberapa lagi perkara yang tidak adil di dalam perjanjian itu.

يَقولونَ إِن أوتيتُم هٰذا فَخُذوهُ

Mereka mengatakan: “Jika diberikan ini kepada kamu, maka terimalah,

Ada satu kes di mana seorang lelaki daripada Bani Quraizah telah membunuh seorang lelaki daripada Bani Nadhir. Maka mereka mahukan balasan nyawa dan dua diyat dua kali ganda seperti yang telah disebut di atas. Oleh kerana Nabi Muhammad ﷺ dianggap sebagai ketua di Madinah, Bani Quraizah berniat untuk mendapatkan keputusan daripada baginda. Tambahan pula mereka pun sebenarnya sudah tahu yang baginda sebenarnya adalah benar seorang Nabi dan tentunya baginda akan berlaku adil.

Bani Nadhir pun terpaksa turut mengikut serta, walaupun mereka amat marah sehingga hendak menyerang Bani Quraizah. Akan tetapi mereka telah menghantar wakil mereka terlebih dahulu untuk berjumpa Nabi ﷺ. Wakil mereka itu kononnya telah masuk Islam tetapi sebenarnya munafik. Mereka telah berpesan kepada wakil itu, kalau keputusan Nabi Muhammad ﷺ itu sama seperti kehendak mereka, maka ikut; kalau tidak sama, jangan bersetuju.

Juga ada dikatakan bahawa ini adalah berkenaan orang-orang Yahudi yang meminta hukum kepada Nabi ﷺ tentang penzinaan. Telah berlaku zina akan tetapi yang berzina itu adalah orang yang berpengaruh, maka seperti biasa mereka hendak mengubah hukum untuk memberikan keringanan kepada pelaku zina itu.

Maka, mereka pergi mendapatkan keputusan hukum daripada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka pun berharap semoga baginda akan memberikan hukum yang ringan juga kerana pada mereka, tentu Islam lebih ringan lagi hukumnya. Namun mereka telah berkata wakil mereka, kalau Nabi ﷺ memberi hukuman seperti yang mereka mahu, iaitu diconteng muka dan dimalukan di khalayak ramai, maka terimalah.

Jibril عليه السلام telah turun menemui Nabi ﷺ dan memberitahu bahawa hukuman rejam hingga mati yang mesti dijalankan. Mereka terkejut dan tidak mahu menerima hukuman itu. Maka, Jibril عليه السلام suruh dipanggil seorang yang dihormati dalam kalangan mereka yang mahir tentang Taurat.

Daripada Imam Bukhari رحمه الله, disebutkan bahawa Nabi ﷺ bertanya kepada orang-orang Yahudi:

فَقَالَ لِلْيَهُودِ: مَا تَصْنَعُونَ بِهِمَا؟ ” قَالُوا: نُسخّم وُجُوهَهُمَا ونُخْزِيهما. قَالَ: {فَأْتُوا بِالتَّوْرَاةِ فَاتْلُوهَا إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ} [آلِ عِمْرَانَ:93] فَجَاءُوا، فَقَالُوا لِرَجُلٍ مِنْهُمْ مِمَّنْ يَرْضَوْنَ أعورَ: اقْرَأْ، فَقَرَأَ حَتَّى انْتَهَى إِلَى مَوْضِعٍ مِنْهَا فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَيْهِ، قَالَ: ارْفَعْ يَدَكَ. فَرَفَعَ، فَإِذَا آيَةُ الرَّجْمِ تَلُوحُ، قَالَ: يَا مُحَمَّدُ، إِنَّ فِيهَا آيَةَ الرَّجْمِ، وَلَكِنَّا نَتَكَاتَمَهُ بَيْنَنَا. فَأَمَرَ بِهِمَا فَرُجما.

Apakah yang akan kalian lakukan terhadap keduanya? Mereka menjawab, “Kami akan mencoreng muka mereka dengan arang dan mencaci makinya.” Nabi ﷺ bersabda membacakan firman-Nya: Maka bawalah Taurat itu, lalu bacalah dia jika kalian orang-orang yang benar. [ Ali Imran: 93 ]. Lalu mereka mendatangkannya dan berkata kepada seorang lelaki di antara mereka yang mereka percayai, tetapi dia bermata juling, “Bacalah!” Lalu lelaki itu membacanya hingga sampai pada suatu bahagian, lalu dia meletakkan tangannya pada bahagian itu. Maka Nabi ﷺ bersabda, “Angkatlah tanganmu!” Lalu lelaki itu mengangkat tangan­nya, dan ternyata tampak jelas adanya ayat hukum rejam. Kemudian lelaki itu berkata, “Hai Muhammad, sesungguhnya di dalam kitab Taurat memang ada hukum rejam, tetapi kami menyembunyikannya di antara kami.” Maka Nabi ﷺ memerintahkan agar keduanya dihukum rejam, lalu keduanya direjam.

Jadi mereka itu sanggup mengubah hukum daripada Allah ‎ﷻ dengan selamba sahaja. Agama menjadi mainan bagi mereka. Mereka tidak kisah pun apa yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ, malah mereka sanggup menukar hukum untuk kepentingan mereka. Maka, ini adalah sifat Yahudi yang kita kena jaga supaya jangan terjadi kepada diri kita.

Oleh itu, dari segi umum pula, ini adalah tentang pemuka agama yang menyembunyikan kebenaran daripada orang bawahan mereka. Mereka berkata kepada orang bawahan mereka: “Kalau kamu dapat ilmu sebegini, kamu kena terima.” Padahal itu adalah versi agama yang mereka telah ubah. Mereka suruh ikut versi mereka sahaja.

Malangnya ada golongan agamawan negara ini pun begitu jugalah, seperti ulama’ Yahudi juga. Mereka pesan kepada masyarakat, kalau ada guru yang ajar seperti yang mereka ajar, bolehlah digunakan dan boleh belajar. Padahal yang benar adalah yang bertepatan dengan Al-Qur’an dan Sunnah, bukannya mengikut ajaran mereka sahaja. Dan kalau tidak sama dengan apa yang mereka ajar, jangan ikut kerana itu adalah ‘wahabi’.

Begitulah keadaan sekarang. Kalau belajar tafsir Al-Qur’an, akan tahu bahawa apa yang mereka ajar itu tidak sama dengan apa yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ. Namun, malangnya masyarakat kita ramai yang tidak tahu tentang tafsir Al-Qur’an jadi mereka tidak tahu apakah kayu ukur yang benar. Oleh itu mereka senang ditipu oleh guru-guru yang juga jahil dengan wahyu.

Oleh kerana masyarakat pun jahil juga, dan telah diberi pesan sebegitu oleh guru mereka, mereka cuma mengikut guru mereka sahaja dan mereka tidak dapat membandingkan dengan apa yang ada dalam Al-Qur’an. Mereka hanya mengambil sahaja bulat-bulat fahaman yang diberitahu oleh guru mereka, Syeikh mereka.

Sedangkan ini bukan cara mengambil ilmu agama dalam Islam. Kita kena pastikan dari mana kita mengambil fahaman agama kita kerana perkara ini amat penting – menentukan syurga atau neraka. Mereka yang jahil itu hanya ambil sahaja entah dari mana ilmu mereka. Kalau ada dalam kitab pula, banyak yang tidak ada bibliografi, jadi tidak tahu datang dari mana maklumat itu.

Sebagaimana berlegar dalam masyarakat kita sekarang, kalau ada mesej Whatsapp atau Facebook, mereka cuma tulis ‘Hadith Nabi’ sedangkan belum pasti adakah hadith tersebut sahih ataupun tidak. Kalau ia adalah sahih, kenalah diberitahu daripada Kitab mana diambil hadith itu, supaya boleh diperiksa sama ada benar ataupun tidak. Namun malangnya, perkara ini amat berleluasa sekali di luar sana dan kerana itu banyak amalan-amalan pelik yang diamalkan oleh manusia.

وَإِن لَم تُؤتَوهُ فَاحذَروا

dan jika kamu diberi yang bukan ini maka hati-hatilah

Berbalik kepada masalah golongan Yahudi ini. Dan ini ada kaitan dengan ayat-ayat hukum sebelum ini. Golongan Yahudi sudah mula perasan yang hukum yang dibawa oleh Al-Qur’an itu lebih lembut daripada hukum yang di dalam Taurat. Jadi mereka nampak peluang untuk memudahkan hidup mereka. Kalau dahulu, mereka ubah sendiri hukum Taurat, tetapi sekarang mereka nampak ada peluang cerah.

Mereka ada peluang untuk berhukum dengan hukuman yang lebih ringan dengan menggunakan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad ‎ﷻ. Tetapi masalahnya, mereka hendak tunggu dan lihat. Kalau hukum yang Nabi ‎ﷻ beri itu kena dengan kehendak mereka, mereka akan menggunakannya; tetapi kalau tidak, mereka akan menolaknya.

Demikian itu adalah perangai Yahudi: hanya mengamalkan hukum yang boleh diterima oleh tekak sendiri sahaja. Kalau tidak sesuai, jangan amal.

Dan ini lagi satu fahaman bahaya golongan agama. Mereka hanya memberikan anak murid mereka menggunakan ajaran agama, yang sesuai dengan apa yang mereka ajar. Kalau ada guru agama memberikan ajaran lain, walaupun ajaran itu daripada Al-Qur’an dan Sunnah, jangan diamalkan. Mereka tetap hendak mempertahankan ajaran agama mereka, padahal ajaran mereka itu tidak benar. Dengan beri nasihat buruk ini, mereka menutup jalan daripada anak murid mereka belajar benda yang benar.

Seperti zaman sekarang, ramai yang mengajar menggunakan hadith palsu dan dhaif. Kemudian mereka ajar anak murid menggunakan ajaran mereka sahaja, jangan gunakan ajaran orang lain. Mereka kata, “Entah-entah wahabi dari mana tak tahu…” Inilah fahaman Yahudi yang sampai kepada kita.

Suka benar menggunakan benda yang tidak tsabit daripada nas dan tidak jelas. Dapat pula anak murid yang tidak berapa pandai, jadi mereka mengikut sahaja apa kata ustaz dan guru mereka. Maka teruslah mereka duduk dalam kesalahan agama, dalam kejahilan. Mereka pula terlalu hormat kepada para ustaz, sampai tidak berani untuk mempersoalkan apa sahaja yang diajar oleh para ustaz. Jangan begitu… janganlah taksub dengan guru dan ustaz. Kita kena taksub dengan Sunnah, dengan Nabi, bukannya dengan ustaz. Ustaz itu hanya menyampaikan ajaran agama sahaja, dan kalau ajaran itu salah, janganlah diamalkan.

وَمَن يُرِدِ اللهُ فِتنَتَهُ فَلَن تَملِكَ لَهُ مِنَ اللهِ شَيئًا

Barangsiapa yang Allah menghendaki kesesatannya, maka sekali-kali kamu tidak akan mampu menolak sesuatu pun (yang datang) daripada Allah.

Ini adalah ayat jenis idkhal illahi (pencelahan daripada Tuhan). Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita kenapa mereka boleh jadi sampai teruk begini. Ini adalah kerana hati mereka telah rosak. Dan kerana itu Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan untuk mengunci mati hati mereka daripada menerima hidayah langsung. Dan sesiapa yang Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan untuk sesatkan, maka tidak ada kuasa langsung untuk sesiapa memberikan hidayah kepada mereka.

Allah ‎ﷻ menafikan Nabi Muhammad ﷺ mempunyai kuasa untuk mengubah mereka. Kalau Nabi ﷺ pun tidak ada kuasa, kita lagilah tidak akan mampu, sekali-kali tidak akan mampu.

أُولٰئِكَ الَّذينَ لَم يُرِدِ اللَهُ أَن يُطَهِّرَ قُلوبَهُم

Mereka itu adalah orang-orang yang Allah tidak hendak mensucikan hati mereka.

Mereka yang disebut dalam ayat ini: golongan munafik dan ahli kitab itu adalah jenis yang Allah ‎ﷻ tidak ingin bersihkan hati mereka dengan hidayat. Maka mereka akan terus bersikap begitu. Semoga kita terselamat daripada menjadi seperti mereka. Semoga ahli keluarga kita dan orang-orang yang rapat dengan kita pun tidak begitu. Kita kena berusaha untuk menyampaikan ajaran yang sunnah kepada mereka.

لَهُم فِي الدُّنيا خِزيٌ

Mereka beroleh kehinaan di dunia

Di dunia lagi mereka mendapat kehinaan kerana tidak ada agama. Orang yang munafik itu tidak ada yang percaya kepada mereka, sama ada yang Islam ataupun yang Yahudi kerana tidak tetap pendirian mereka, jadi tidak ada sesiapa yang percayakan mereka sepenuhnya.

Memang kadang-kadang nampak kedudukan mereka di dunia ini tinggi, tetapi mereka hanya faham tentang kepentingan dunia dan kerana itu mereka merasakan mereka mulia. Namun dari segi agama mereka tidak dapat taufiq dan kerana itu mereka tidak ada pegangan agama.

وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar.

Bila tidak menghayati agama, ada dunia sahaja, maka di akhirat mereka akan mendapat azab yang besar. Ini kerana mereka membuat kesalahan di dunia ini, dan tidak membuat persediaan untuk menghadapi akhirat. Maka mereka akan menerima nasib yang amat malang nanti. Seksaan yang akan dikenakan kepada mereka amat hebat dan tidak tertanggung.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan