Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-34
إِلَّا الَّذينَ تابوا مِن قَبلِ أَن تَقدِروا عَلَيهِم ۖ فَاعلَموا أَنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
kecuali orang-orang yang taubat (di antara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka; maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
إِلَّا الَّذينَ تابوا مِن قَبلِ أَن تَقدِروا عَلَيهِم
kecuali orang-orang yang taubat (di antara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka;
Hukuman kesalahan-kesalahan samun dan rompak itu akan dikenakan kepada mereka yang telah melakukannya, kecuali yang sempat bertaubat sebelum ditangkap. Kalau sudah ditangkap, tidak ada pengecualian kepada mereka, mereka tetap akan dikenakan dengan hukuman.
Dan bukan cukup dengan mereka bertaubat sahaja, mereka kena hantar balik barang yang mereka samun dan rompak itu. Kalau pernah bunuh orang, maka hukum hudud, qisas atau ta’zir (yang mana berkenaan) akan dikenakan kepada mereka.
Allah ﷻ sedang memberi motivasi kepada golongan penyamun untuk bertaubat kerana mereka itu sedang melakukan kerosakan yang besar kepada masyakat, menakutkan masyarakat dan menyusahkan kerajaan. Maka kalau mereka berhenti daripada kerja-kerja mereka itu, ramai yang akan senang.
Dalam sejarah umat Islam, ada kisah golongan penyamun yang bertaubat kerana mendengar ayat ini. Ali Asadi yang menyamun di Madinah telah dimaafkan oleh Khalifah Marwan; manakala Haritha ibn Badr telah diampunkan oleh Saidina Ali رضي الله عنه .
فَاعلَموا أَنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Ingatlah yang Allah ﷻ Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Kalau berkenaan kesalahan kepada Allah ﷻ, maka boleh bertaubat sahaja, tetapi tidak lepas kalau kesalahan itu berkenaan dengan manusia. Itu sebab mereka yang bertaubat itu kena pulangkan barang yang mereka ambil dan kena minta maaf. Kena bezakan antara hak Allah ﷻ dan hak manusia.
Tafsir Ayat Ke-35
Allah ﷻ mengingatkan kita supaya jangan duduk sahaja kerana kalau duduk sahaja tanpa berusaha, iman kita akan dirosakkan oleh orang lain. Ini kerana tentu sekali ada usaha untuk menyesatkan manusia (sama ada dari luar atau dalaman kita), maka kita kena berusaha juga untuk membawa manusia kepada tauhid, dan salah satunya dengan menjalankan jihad perang.
Sebelum ini telah disebut hukum rompak samun dan tidak lama lagi akan disebut tentang hukum mencuri pula. Di antara ayat-ayat hukum jenayah itu, sekarang Allah ﷻ sebut tentang taqwa dan jihad. Allah ﷻ bukan hendak sebut tentang hukuman sahaja, tetapi Allah ﷻ hendak dakwah untuk mengajak kepada apa sebenarnya yang kita perlu buat sebagai manusia.
Dalam ayat ini juga, Allah ﷻ mengingatkan kita kenapa kita berperang. Kita kena ingat bahawa semua yang kita lakukan adalah untuk Allah ﷻ. Jihad itu dilakukan supaya manusia kenal dan sembah Allah ﷻ sahaja.
Ayat ini juga adalah anjuran untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Kita kena cari jalan bagaimana untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ sepanjang masa.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابتَغوا إِلَيهِ الوَسيلَةَ وَجٰهِدوا في سَبيلِهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ
Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah
Pertamanya, Allah ﷻ mengingatkan kita untuk bertaqwa kepada-Nya. Ini memang selalu diulang-ulang di dalam Al-Qur’an. Oleh itu kena taqwa dan kena tinggalkan segala larangan. Kita kena ingat, kalau sudah beriman, kena taqwa pula.
Maksudnya, iman tidak sama dengan taqwa. Ada orang beriman, tetapi tidak bertaqwa. Taqwa maksudnya kena jaga hukum dan taat kepada Allah ﷻ dalam setiap sudut dan masa, iaitu dengan membuat apa yang Allah ﷻ suruh dan meninggalkan apa yang Allah ﷻ telah larang.
Maka ajakan ini disebut di antara ayat-ayat tentang samun dan curi. Maka orang-orang yang sebenarnya takut dan taqwa kepada Allah ﷻ sahaja yang boleh meninggalkan amalan salah itu. Bagi mereka, kalau tidak ada hukuman dunia pun, mereka tidak akan melakukan perbuatan yang teruk itu. Hukuman-hukuman keduniaan itu sebenarnya untuk mengawal manusia yang tidak ada taqwa sahaja.
وَابتَغوا إِلَيهِ الوَسيلَةَ
dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya,
Dan kedua, carilah ‘wasilah’ untuk hampir kepada Allah ﷻ iaitu, carilah jalan yang membolehkan kita menghampiri Allah ﷻ. Ayat inilah yang menyebabkan ramai orang Islam keliru. Ketahuilah, semua kitab tafsir muktabar berkata maksud ayat ini: meninggalkan yang haram dan membuat yang makruf, iaitu jalan yang Allah ﷻ telah tetapkan.
Janganlah ditafsir mengikut fahaman yang karut. Malangnya, ramai yang tafsir dengan cara karut kerana mereka tidak belajar tafsir. Mereka kata yang dimaksudkan dengan wasilah itu adalah ‘perantara’ seperti tok wali lah, Nabi lah dan sebagainya. Oleh kerana itu mereka mengatakan yang ini adalah dalil yang Allah ﷻ menyuruh kita mengamalkan tawaduk dalam ibadah dan doa.
Ini adalah tafsiran orang yang jahil tentang Al-Qur’an dan kita jangan mengikut orang jahil. Memang kalau kita baca sendiri ayat ini dan cuba faham sendiri tanpa belajar tafsir, nampak memang seperti ada suruhan supaya menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai wasilah kita dalam ibadat dan doa dan memang ramai yang menggunakan ayat ini sebagai dalil mereka bagi mengamalkan tawasul. Namun itu hanyalah kepada mereka yang jahil sahaja.
Apakah maksud ‘wasilah’? Ia adalah cara untuk mendapatkan sesuatu iaitu membuat sesuatu untuk mendekatkan diri dengan seseorang. Dalam ayat ini, ia tentang mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Namun kerana salah faham, ramai yang menggunakan orang alim sebagai wasilah mereka sampai ada yang menggunakan ‘berkat’ ahli kubur dan sebagainya.
Ini sedang banyak diperkenalkan oleh golongan yang menggelarkan diri mereka ‘Habib’ di Malaysia. Mereka memang mengamalkan melawat kubur di tempat asal mereka dan meminta tolong kepada orang dalam kubur (yang mereka dakwa sebagai ‘wali’) dan kerana orang kita ‘import’ mereka datang ke sini, sedikit demi sedikit mereka telah memperkenalkan amalan syirik itu. Ramai yang tertipu dengan perawakan golongan Habib ini.
Wasilah juga bermaksud kedudukan yang tinggi. Oleh itu, ayat ini menganjurkan kita berbuat sesuatu untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi dan dekat dengan Allah ﷻ. Di dalam kitab Sahih Bukhari telah disebutkan melalui jalur Muhammad ibnul Munkadir, daripada Jabir ibnu Abdullah, yang telah menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ: اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ، وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ، آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ، وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ، إلا حَلَّتْ له الشفاعة يوم القيامة”.
Barang siapa ketika mendengar suara azan (yakni sesudahnya) mengucapkan doa berikut: “Ya Allah, Tuhan pemilik seruan yang sempurna ini dan (Tuhan) salat yang didirikan, berikanlah (kedudukan) al-wasilah dan keutamaan, dan tempatkanlah dia pada kedudukan yang terpuji seperti apa yang telah Engkau janjikan kepadanya, “nescaya syafaat akan diperolehnya pada hari kiamat.
Kedudukan al-wasilah dalam hadith ini adalah khusus kepada Nabi Muhammad ﷺ. Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan melalui hadis Ka’b ibnu Alqamah, daripada Abdur Rahman ibnu Jubair, daripada Abdullah ibnu Amr ibnul As, bahawa dia pernah mendengar Nabi ﷺ bersabda:
“إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ، ثُمَّ صلُّوا عَليّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَليّ صَلَاةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ، فَإِنَّهَا منزلة فِي الْجَنَّةِ، لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ، فَمَنْ سَأَلَ لِيَ الْوَسِيلَةَ حَلًّتْ عَلَيْهِ الشَّفَاعَةُ.”
Apabila kalian mendengar suara muazin, maka ucapkanlah seperti apa yang diucapkannya, kemudian bacalah selawat untukku, kerana sesungguhnya barang siapa yang membaca selawat sekali untukku, Allah ﷻ membalas sepuluh kali selawat untuknya. Kemudian mohonkanlah al-wasilah untukku, kerana sesungguhnya al-wasilah adalah suatu kedudukan di dalam syurga yang tidak layak kecuali bagi seseorang hamba Allah ﷻ saja, dan aku berharap semoga aku adalah hamba yang dimaksudkan itu. Dan barang siapa yang memohonkan al-wasilah buatku, nescaya akan mendapat syafaat (dariku).
Daripada hadith ini, kita dapat tahu bahawa inilah satu cara untuk mendapatkan syafaat daripada Nabi ﷺ, tidak ada lagi cara lain seperti yang banyak diajar oleh guru-guru yang salah. Tidak perlu dan tidak boleh meminta syafaat kepada Nabi ﷺ, kerana Nabiﷺ tidak boleh beri syafaat itu kepada kita. Kena faham yang bagi hanya ‘menyampaikan’ sahaja syafaat itu, bukannya buat keputusan siapa boleh dapat syafaat itu.
Baginda telah ajar kita bagaimana cara untuk mendapatkan syafaat itu, antaranya hadith tentang doa selepas wudhu’ itu. Jadi, amalkanlah cara ini sahaja (dan cara-cara lain yang sahih). Kenapa perlu amalkan cara lain yang tidak diajar oleh Nabi ﷺ? Janganlah ikut puak Habib yang sesat itu yang meminta-minta syafaat daripada Nabi ﷺ dalam lagu Ya Hanana mereka, sampai penuh satu stadium dengan orang-orang yang jahil, melambai-lambai kepada Nabi ﷺ? Mereka memang golongan yang suka mereka amalan-amalan baru dalam agama (amalan bid’ah).
Oleh itu, secara ringkasnya, ayat ini suruh kita bertaqwa kepada Allah ﷻ. Dan cara-cara itu telah banyak diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Kita pun tahu bahawa banyak sekali amalan-amalan sunnah yang telah diajar oleh baginda. Maka, amalkanlah segala yang diajar itu. Tidak perlu menggunakan cara yang tidak pernah diajar dan diamalkan oleh Nabi ﷺ. Siapa kita untuk memperbaharui agama ini yang telah disampaikan oleh Nabi kita Muhammad ﷺ?
وَجٰهِدوا في سَبيلِهِ
dan berjihadlah pada jalan-Nya,
Dan antara wasilah yang paling hebat adalah jihad di jalan Allah ﷻ. Selepas disebut tentang wasilah, Allah ﷻ terus sebut tentang jihad menunjukkan keutamaan jihad. Ia adalah salah satu daripada wasilah. Inilah jalan wasilah yang paling hebat.
Sebenarnya kalau tidak disebut pun, jihad fi sabilillah sudah termasuk dalam salah satu wasilah, tetapi Allah ﷻ takhsis (sebutkan secara khusus) lagi kerana hendak menunjukkan kelebihan jihad. Sekurang-kurangnya berjihad itu adalah menyampaikan wahyu kepada orang lain supaya mereka boleh menghampirkan diri kepada Allah ﷻ. Inilah yang dinamakan ‘jihad lisan’.
Maka kita hendaklah memperkenalkan Allah ﷻ kepada manusia dan ajak mereka mendekati Allah ﷻ. Itulah pentingnya belajar, mengajar dan menyampaikan akidah tauhid dan ajar fahaman Al-Qur’an. Kita kena sampaikan kepada mereka dan ini adalah perkara besar dalam jihad. Inilah asal jihad, iaitu menggunakaan Al-Qur’an dalam dakwah dan menyampaikan Al-Qur’an kepada manusia.
Oleh itu susunan saranan dalam ayat ini: taqwa – wasilah – jihad.
لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.
Mudah-mudahan, kalau kita melakukan semua itu, kita akan berjaya. Kalimah فلح adalah jenis kejayaan yang didapati setelah berusaha bersungguh-sungguh. Maknanya, bukannya dengan goyang kaki boleh dapat kejayaan itu, tetapi kena berusaha bersungguh-sungguh.
Usaha yang pertama adalah belajar wahyu Allah ﷻ. Ini pun ramai yang sudah tidak sanggup kerana ia memerlukan masa, kekuatan minda dan kadang-kadang belanja. Ramai yang tidak sanggup mengharungi perkara ini kerana ramai lebih suka tengok cerekarama sahaja. Budaya melazimi ilmu masih lagi jauh daripada kebanyakan masyarakat kita. Yang rajin belajar itu masih tidak ramai lagi.
Tafsir Ayat Ke-36
Ayat takhwif ukhrawi.
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَو أَنَّ لَهُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لِيَفتَدوا بِهِ مِن عَذابِ يَومِ القِيٰمَةِ ما تُقُبِّلَ مِنهُم ۖ وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang kafir sekiranya mereka mempunyai apa yang di bumi ini seluruhnya dan mempunyai yang sebanyak itu (pula) untuk menebusi diri mereka dengan itu dari azab hari kiamat, nescaya (tebusan itu) tidak akan diterima dari mereka, dan mereka beroleh azab yang pedih.
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا
Sesungguhnya orang-orang yang kafir
Iaitu mereka yang mati dalam kafir dan tidak sempat bertaubat. Tentunya mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.
لَو أَنَّ لَهُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا
sekiranya mereka mempunyai apa yang di bumi ini seluruhnya
Kalaulah mereka ada segala harta yang ada dalam dunia ini seluruhnya. Tentulah tidak ada sesiapa pun yang mempunyai harta seluas bumi. Orang kafir sememangnya ramai di antara mereka yang mempunyai harta, tetapi tidaklah harta mereka memenuhi seluruh bumi ini. Jadi ini adalah bidalan sahaja.
وَمِثلَهُ مَعَهُ
dan mempunyai yang sebanyak itu
Atau mereka mempunyai sekali ganda daripada harta sebanyak seluas bumi. Memang lagi tidak masuk akal kalau ada manusia yang ada harta sekali ganda bumi. Allah ﷻ menggunakan bahasa yang ekstrem di sini untuk menyampaikan maksud yang hendak diberitahu kepada kita.
لِيَفتَدوا بِهِ مِن عَذابِ يَومِ القِيٰمَةِ
untuk menebusi diri mereka dengan itu dari azab hari kiamat,
Kalaulah mereka ada harta sebanyak itu, mereka pasti akan menggunakan harta itu semuanya sekali untuk menebus diri mereka supaya mereka diselamatkan daripada azab neraka. Mereka itu memang sayang sangat kepada harta dan kerana itulah mereka terus kufur, tetapi mereka sanggup memberikan kesemuanya sekali, kerana mereka akan berusaha dengan segala cara untuk menyelamatkan diri kerana mereka sudah dapat lihat betapa dahsyat sangat azab yang menanti mereka.
ما تُقُبِّلَ مِنهُم
nescaya (tebusan itu) tidak akan diterima daripada mereka,
Allah ﷻ memberitahu jika mereka menebus diri mereka dengan harta dua kali ganda luas bumi, tebusan itu tidak akan diterima pun. Harta dunia pada waktu itu tidak bernilai lagi. Kalau mereka beriman dan menginfaqkan harta semasa di dunia, maka itu barulah ada nilainya.
Dan memang tidak ada sesiapa yang ada harta sebanyak itu, jadi maksudnya tidak usahlah bermimpi. Oleh itu, kita hendaklah beringat semasa di dunia ini kerana apa sahaja tebusan pada waktu itu tidak akan diterima. Hanya amal dan iman sahaja yang bermakna ketika itu. Allah ﷻ tidak memerlukan harta kita langsung. Harta yang kita ada pun, datang daripada Dia juga, jadi apa perlunya Dia kepada harta itu?
وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ
dan mereka beroleh azab yang pedih.
Mereka yang mati dalam kufur itu tetap akan dikenakan azab akhirat yang amat pedih kerana perbuatan mereka semasa di dunia. Harta yang banyak tidak akan menyelamatkan mereka sedikit pun. Allah ﷻ tidak memerlukan harta benda mereka.
Maka ini adalah berita yang penting untuk disampaikan. Allah ﷻ hendak memberitahu yang harta yang banyak, tidak ada gunanya kalau akidah dan iman itu lemah. Manusia sahaja yang mementingkan harta dunia, sampaikan boleh menyebabkan mereka menjadi kufur kalau tidak berhati-hati dengannya. Ini kerana harta yang banyak itu tidak mampu untuk menyelamatkan mereka.
Allahu a’lam.
#Ilmu#Prihatin#Amal