Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-20
Allah ﷻ menyebut tentang arahan yang diberikan kepada Bani Israel pada zaman Nabi Musa عليه السلام. Mereka telah diarahkan untuk memasuki BaitulMaqdis di Palestin. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut yang Bani Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Allah ﷻ. Sekarang disebut salah satu dari perlanggaran itu.
Allah ﷻ telah memberikan contoh apa yang terjadi apabila manusia meninggalkan amar makruf nahi mungkar. Kesannya akan ada golongan yang degil. Hati mereka akan menjadi keras dengan tidak patuh kepada arahan Allah ﷻ. Dan inilah yang telah berlaku kepada golongan Yahudi.
Di dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi contoh kepada kita apa yang terjadi kepada Bani Israel ketika kenabian Nabi Musa عليه السلام. Zaman Nabi Musa عليه السلام sendiri mereka sudah degil. Sebelum mengajak mereka berjihad, Nabi Musa عليه السلام telah mengingatkan mereka tentang banyak nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Inilah disebut dalam ayat ke-20 ini.
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يٰقَوْمِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنبِيَاءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكًا وَءآتَٰكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِّنَ الْعٰلَمِينَ
Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia mengangkat nabi-nabi di antaramu, dan dijadikan-Nya kamu sebagai pemerintah, dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun di antara umat-umat yang lain”.
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يَٰقَوْمِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ
Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu
Ini adalah kata-kata dakwah daripada Nabi Musa عليه السلام, di mana baginda mengingatkan kepada umatnya dengan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada Bani Israel. Memang banyak nikmat yang mereka dapat.
إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنبِيَاءَ
ketika Dia mengangkat nabi-nabi di antaramu,
Kemudian baginda menyenaraikan beberapa nikmat yang penting. Pertamanya, baginda mengingatkan mereka dengan betapa banyaknya Nabi yang diangkat dalam kalangan Bani Israel. Telah disebut sebelum ini, seribu Nabi telah diutuskan kepada mereka sahaja.
وَجَعَلَكُم مُّلُوكًا
dan dijadikan-Nya kamu sebagai pemerintah,
Sebelum ini telah disebut nikmat dari segi spiritual dan sekarang disebut nikmat keduniaan pula (material). Dalam kalangan mereka juga ada pemerintah yang ramai, iaitu mereka memerintah dalam hal dunia dan juga hal agama. Ini memang pernah berlaku suatu masa dahulu. Mereka telah diberikan kuasa pemerintahan. Tidaklah mereka menjadi raja tetapi mereka jenis yang ada kuasa seperti Nabi Yusuf عليه السلام. Baginda bukan raja tetapi menteri.
Waktu itu mereka memang berkuasa sebab mereka ada Nabi Yusuf عليه السلام dan selepas itu pun mereka menjadi kaum elit di Mesir. Itulah sebabnya mereka ramai di Mesir, sehinggalah kaum Qibti telah menakluki Mesir dan menjadikan Bani Israel sebagai hamba mereka. Oleh itu, apabila Nabi Musa عليه السلام diutuskan kepada mereka, ketika di mana pada waktu itu mereka adalah hamba kepada bangsa Qibti yang diketuai oleh Firaun.
Perbincangan penggunaan bahasa: Semasa menyebut tentang Nabi, Allah ﷻ menggunakan kalimah فيكم (dalam kalangan kamu). Ini memang tepat kerana tentulah Nabi itu dalam kalangan mereka dan Nabi sedikit sedangkan pengikutnya yang ramai. Akan tetapi apabila menyebut kerajaan, digunakan kalimah جعلكم (menjadikan kamu) seolah-olah mereka semua dijadikan sebagai raja, sedangkan kita pun tahu yang raja selalunya seorang sahaja, bukannya kesemua mereka.
Penjelasan: Digunakan kalimah secara kolektif kerana satu-satu kerajaan itu dinisbahkan kepada keseluruhan negeri itu. Contohnya kalau kerajaan Abbasiyah, disebut keseluruhan nama pemerintahan itu, bukannya disebut nama seorang Khalifah, bukan? Kerana memang yang terlibat dalam memerintah bukannya seorang, tetapi ramai.
Ada satu lagi penjelasan daripada kitab tafsir seperti Ibnu Kathir. Disebut ‘malik’ tetapi tidaklah khusus tentang raja sesuatu negeri. Namun ia digunaka secara umum. Bermaksud setiap orang adalah ‘raja’ bagi rumahnya. Maknanya mereka telah diberikan dengan rahmat yang banyak termasuk kesenangan material mereka di rumah mereka.
وَءآتَٰكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِّنَ الْعٰلَمِينَ
dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun di antara umat-umat yang lain
Dan sekarang Nabi Musa عليه السلام menyebut nikmat ketiga dan disebut secara umum sahaja. Ada banyak lagi perkara yang mereka dapat yang tidak diberikan kepada orang lain pada zaman mereka. Ia merangkumi nikmat spiritual dan nikmat material yang lain.
Bukanlah mereka sentiasa mendapat kelebihan itu. Ayat ini hanya menyebut umat yang hidup di zaman Nabi Musa عليه السلام sahaja. Untuk keadaan sekarang, mereka telah ditarik daripada menikmati kelebihan itu. Ini kerana sekarang umat Islamlah yang mendapat kelebihan dan terpilih sebagai umat akhir zaman. Ini seperti yang telah disebut dalam ayat seperti [ Ali Imran:110 ].
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia
Tafsir Ayat Ke-21
Setelah diingatkan dengan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada mereka, sekarang mereka diberi arahan untuk berjihad. Untuk memasuki kota Palestin, mereka mesti menjalankan jihad. Dan tentunya jihad memerlukan keberanian dan kekuatan hati.
يٰقَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خٰسِرِينَ
Hai kaumku, masuklah ke ‘tanah suci’ yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang merugi.
يٰقَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ
Hai kaumku, masuklah ke tanah suci
Ini adalah waktu Nabi Musa عليه السلام diarahkan oleh Allah ﷻ untuk mengarahkan Bani Israel supaya masuk ke dalam ‘Kota Suci’. Ini adalah selepas mereka telah menyeberangi Laut setelah mereka diselamatkan daripada Firaun.
Ulama’ tafsir khilaf tentang Kota Suci yang disebut dalam ayat ini. Pendapat yang selalu disebut adalah ia merujuk kepada BaitulMaqdis yang berada di Palestin. Ia adalah Jurusalem.
Ada juga yang kata ia adalah Jericho, iaitu di Syam ketika itu. Di situlah tempat Nabi Ya’kub عليه السلام tinggal sebelum baginda pergi ke Mesir mengikut Nabi Yusuf عليه السلام.
Dan ada lagi beberapa pendapat tentang apakah Kota Suci yang dimaksudkan. Mereka disuruh masuk dan menjadikan tempat itu sebagai ibukota Islam. Waktu itu kota itu ditawan dan didiami oleh puak Amaliqah yang ganas.
الَّتِي كَتَبَ اللهُ لَكُمْ
yang telah ditentukan Allah bagimu,
Allah ﷻ telah menetapkan daerah itu untuk mereka kerana itu adalah tempat asal mereka. Kalau mereka masuk sahaja, mereka akan mendapat kemenangan. Inilah maksud كَتَبَ (telah Dia tuliskan) dalam ayat ini. Allah ﷻ minta mereka masuk sahaja dan mereka pasti akan dapat menewaskan puak Amaliqah itu walaupun mereka itu kuat dan ganas.
وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ
dan janganlah kamu lari ke belakang
Waktu itu sudah nampak mereka takut untuk masuk ke dalam kota itu. Mereka lemah semangat dan takut untuk berperang dengan puak Amaliqah yang sedang berada di kota itu. Maka Nabi Musa عليه السلام telah mengingatkan mereka supaya jangan berpusing balik ke belakang dengan tidak melakukan jihad.
فَتَنقَلِبُوا خٰسِرِينَ
maka kamu menjadi orang-orang yang merugi.
Kalau kamu berpatah balik, kamu akan rugi dunia akhirat. Rugi dunia kerana daerah yang sepatutnya menjadi hak kamu, kamu lepaskan. Dan rugi akhirat kerana kamu melawan arahan Allah ﷻ dan akan diazab kerana perbuatan itu.
Maka kesalahan besar mereka pada waktu itu adalah kerana tidak menyahut seruan jihad. Mereka degil untuk mengikut arahan.
Tafsir Ayat Ke-22
Inilah kata-kata mereka apabila mendengar seruan jihad daripada Nabi Musa عليه السلام.
قَالُوا يٰمُوسَىٰ إِنَّ فِيهَا قَوْمًا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا حَتَّىٰ يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِن يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِنَّا دٰخِلُونَ
Mereka berkata: “Hai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar daripadanya. Jika mereka keluar daripadanya, pasti kami akan memasukinya”.
قَالُوا يٰمُوسَىٰ إِنَّ فِيهَا قَوْمًا جَبَّارِينَ
Mereka berkata: “Hai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa,
Mereka berkata di dalam kota itu pada waktu itu terdapat puak Amaliqah yang gagah perkasa dan ganas. Mereka adalah keturunan salur galur Kaum Aad maka tubuh badan mereka besar.
Umat Nabi Musa عليه السلام itu lemah semangat dan tidak percaya dan yakin dengan janji Allah ﷻ untuk memberi kejayaan kepada mereka. Maka mereka telah menolak untuk memasuki kota itu.
وَإِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا حَتَّىٰ يَخْرُجُوا مِنْهَا
sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar darinya.
Mereka kata mereka tidak mahu masuk selagi puak Amaliqah itu ada di dalamnya. Inilah alasan yang mereka berikan.
فَإِن يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِنَّا دٰخِلُونَ
Jika mereka keluar darinya, pasti kami akan memasukinya
Mereka kata: Kalau puak Amaliqah itu sudah keluar, barulah mereka hendak masuk. Sedangkan Allah ﷻ sudah berjanji, kalau masuk sahaja akan diberikan kemenangan kepada mereka. Dalam kes ini, telah bertemu perintah Allah ﷻ dan suasana. Mereka terkesan dengan suasana waktu itu, hingga mereka sanggup menolak arahan Allah ﷻ dan buang ke tepi sahaja janji Allah ﷻ itu.
Mereka sudah menjadi puak yang sudah naik lemak dan keras kepala kerana sebelum itu mereka sudah mendapat pelbagai nikmat sampai mereka berasa mereka itu orang yang istimewa. Bayangkan, mereka pernah diselamatkan dengan dapat menyeberangi laut yang terbelah, memperolehi air yang keluar dari batu, dan terlalu banyak nikmat lagi. Jadi mereka berkehendakkan pemberian yang istimewa lagi. Mereka hendak kaum Amaliqah itu keluar sendiri.
Tafsir Ayat Ke-23
قَالَ رَجُلَانِ مِنَ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ اللهُ عَلَيْهِمَا ادْخُلُوا عَلَيْهِمُ الْبَابَ فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غٰلِبُونَ وَعَلَى اللهِ فَتَوَكَّلُوا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya: “Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman”.
قَالَ رَجُلَانِ مِنَ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ اللهُ عَلَيْهِمَا
Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat ke atas keduanya:
Ada dua orang yang beriman dalam kalangan Bani Israel itu yang berani bercakap. Seorangnya bernama Yusya’ ibnu Nun dan seorang lagi bernama Kalib ibnu Yufana.
Mereka takut dengan Allah ﷻ, iaitu takut untuk tidak mengikut perintah Allah ﷻ apabila Allah ﷻ telah mengeluarkan perintah untuk memasuki ke dalam Kota dan berperang.
Allah ﷻ telah memberikan kepada kedua-duanya nikmat kenabian kerana Yusya’ itu akan menjadi Nabi selepas ketiadaan Nabi Musa عليه السلام. Ini juga boleh membawa maksud nikmat tidak membuat dosa.
ادْخُلُوا عَلَيْهِمُ الْبَابَ
Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu,
Mereka mengajak umat Bani Israel untuk menyerang melalui pintu kota. Mereka pun tahu terdapat puak ganas di dalam kota itu tetapi mereka lebih percaya dan yakin dengan janji Allah ﷻ.
فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غٰلِبُونَ
maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang.
Kerana mereka yakin dengan janji Allah ﷻ yang kalau mereka masuk terus dan menyerang, mereka akan mendapat kemenangan. Sedikit sahaja akan berlakunya pertempuran kalau ada pun. Dari segi logik ia memang masuk akal kerana bilangan mereka amat ramai sekali pada waktu itu sehingga mencecah beratus ribu menurut riwayat.
وَعَلَى اللهِ فَتَوَكَّلُوا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman
Mereka mengingatkan orang lain untuk bertawakal kepada Allah ﷻ jika mereka mengaku mereka orang beriman. Tawakal itu maksudnya ikut perintah Allah ﷻ, maka hendaklah ikut sahaja perintah Allah ﷻ dan apa yang akan jadi selepas itu serah sahaja kepada Allah ﷻ.
TAfsir Ayat Ke-24
Inilah jawapan kaum Bani Israel apabila mereka disuruh untuk memasuki Kota BaitulMaqdis.
قَالُوا يٰمُوسَىٰ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا أَبَدًا مَّا دَامُوا فِيهَا فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقٰتِلَا إِنَّا هٰهُنَا قٰعِدُونَ
Mereka berkata: “Hai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja”.
قَالُوا يٰمُوسَىٰ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا أَبَدًا مَّا دَامُوا فِيهَا
Mereka berkata: “Hai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya,
Mereka berkata yang mereka tidak akan memasuki kota itu sampai bila-bila. Mereka kata tidak perlu beri kata semangat lagi, buang masa sahaja kerana mereka tetap tidak akan masuk, selagi kaum Amaliqah itu berada dalam kota.
Lihatlah bagaimana mereka menyebut nama baginda Nabi Musa عليه السلام sahaja sedangkan sebelum ini mereka telah diberi motivasi oleh dua orang lain. Namun mereka tidak mengendahkan pendapat yang telah diberikan sebelum ini oleh dua orang lelaki itu.
Mereka bangkang hukum Allah ﷻ yang memerintahkan mereka berjihad dan dalam masa yang sama, menolak arahan daripada Rasul mereka.
Sehubungan dengan hal ini, alangkah baiknya apa yang dikatakan oleh para sahabat رضي الله عنهم pada hari Perang Badar kepada Rasulullah ﷺ, iaitu ketika Rasulullah ﷺ meminta pendapat mereka untuk berangkat memerangi pasukan kaum musyrik yang datang untuk melindungi kafilah yang dipimpin oleh Abu Sufyan.
Ketika kafilah itu terlepas daripada pandangan mereka, dan pasukan kaum musyrik yang terdiri daripada sembilan ratus sampai seribu orang lelaki bersama semua perbekalan dan persenjataannya mendekati pasukan kaum muslim, maka Abu Bakar رضي الله عنه mengemukakan pendapatnya, dan ternyata pendapatnya itu baik. Kemudian sebahagian daripada sahabat yang terdiri dalam kalangan kaum Muhajirin mengemukakan pula pendapatnya, sedangkan Rasulullah ﷺ sendiri bersabda:
“أَشِيرُوا عليَّ أَيُّهَا الْمُسْلِمُونَ”.
Berikanlah saranan kalian kepadaku, hai kaum muslim!
Rasulullah ﷺ tidak sekali-kali tidak berkata demikian kecuali untuk memberitahu kepada para sahabat dalam kalangan Ansar, kerana hari itu mereka yang majoriti. Maka Sa’d ibnu Mu’az رضي الله عنه (pemimpin mereka) berkata:
Wahai Rasulullah, seakan-akan engkau menyindir kami. Demi Tuhan yang telah mengutusmu dengan membawa kebenaran, seandainya engkau hadapkan kami ke laut ini, lalu engkau memasukinya, nescaya kami pun akan memasukinya pula bersamamu, tanpa ada seorang pun yang tertinggal daripada kami. Kami sama sekali tidak segan untuk menghadapi musuh kami esok hari, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang teguh dalam perang dan pantang undur dalam medan perang. Mudah-mudahan Allah ﷻ menampakkan kepadamu sikap kami yang akan membuat engkau senang hati, maka bawalah kami dengan berkah daripada Allah ﷻ.
Mendengar perkataan Sa’d رضي الله عنه dan semangatnya yang berkobar-kobar untuk menghadapi medan perang, maka hati Rasulullah ﷺ menjadi gembira.
Imam Bukhari رحمه الله telah meriwayatkannya di dalam kitab Al-Magazi dan kitab Tafsir melalui berbagai jalur daripada Mukhariq. Lafaz yang diketengahkannya di dalam kitab Tafsir daripada Abdullah adalah seperti berikut:
Pada hari Perang Badar, Al-Miqdad berkata, “Wahai Rasulullah, kami (orang-orang Ansar) tidak akan mengatakan kepadamu seperti yang pernah dikatakan oleh Bani Israel kepada Musa عليه السلام, iaitu: ‘kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja’ [ Al-Maidah: 24 ]. Tetapi berangkatlah engkau, dan kami akan bersama denganmu.” Maka seakan-akan Al-Miqdad membuat Rasulullah ﷺ sangat gembira.
فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقٰتِلَا إِنَّا هٰهُنَا قٰعِدُونَ
pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja”.
Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka. Mereka dengan berani dan sombongnya berkata Nabi Musa عليه السلامlah sahaja yang pergi sendiri dengan ‘Tuhan kamu’. Seolah-olah Allah ﷻ itu bukan tuhan mereka juga. Lihatlah betapa bongkak dan angkuhnya mereka itu.
Mereka sanggup berkata yang mereka hendak duduk tunggu kemenangan sahaja. Lafaz yang digunakan adalah قَاعِدُ iaitu bukan duduk jenis جلس kerana duduk قَاعِدُ itu bermaksud duduk dengan jangkamasa yang lama.
Allahu a’lam.
#Ilmu#Prihatin#Amal