Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-181 hingga Ke-185

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-181 hingga Ke-185

279
0
Iklan

Tafsir Surah Ali Imran
Tafsir Ayat Ke-181

Ini adalah syikayah (rungutan) kepada golongan Ahli Kitab yang degil tentang hal infaq.

لَّقَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ فَقِيرٌ وَنَحْنُ أَغْنِيَاءُ سَنَكْتُبُ مَا قَالُوا وَقَتْلَهُمُ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَنَقُولُ ذُوقُوا عَذَابَ الْحَرِيقِ

Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada mereka: “Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar”

لَّقَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّذِينَ قَالُوا

Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang yang mengatakan

Yang dimaksudkan berkata dalam ayat ini adalah Ahli Kitab. Mereka kata begitu untuk mempersenda dan mengejek-ngejek apabila mereka diminta untuk infaq. Orang Munafik turut mengikut cakap-cakap sebegitu juga. Jadi sekarang Allah ‎ﷻ beritahu apa yang terjadi dahulu (supaya ambil pengajaran jangan jadi seperti mereka).

Apakah kata-kata mereka?

إِنَّ اللَّهَ فَقِيرٌ وَنَحْنُ أَغْنِيَاءُ

Bahawasanya Allah miskin dan kami ialah orang-orang kaya.

Alangkah kurang ajarnya mereka dengan kata-kata sebegitu! Mereka kata Allah ‎ﷻ fakir tidak ada duit sehingga harus meminta zakat dan meminta sedekah. Sedangkan apa yang mereka ada itu adalah daripada Allah ‎ﷻ, bukan? Maka layak sekali azab yang akan dikenakan kepada mereka itu.

سَنَكْتُبُ مَا قَالُوا

Kami akan menuliskan perkataan mereka itu

Segala apa yang mereka katakan itu akan ditulis dan akan dibalas dengan azab oleh Allah ‎ﷻ. Apakah mereka sangka mereka cakap apa-apa sahaja dan tidak dipertanggungjawabkan? Tentu tidak! Semua kata-kata kita ini direkodkan dan dinilai.

وَقَتْلَهُمُ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ

dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang membenarkannya,

Bukan itu sahaja kesalahan mereka. Malah mereka telah membuat banyak lagi perkara yang lebih teruk iaitu mereka pernah membunuh nabi-nabi mereka tanpa sebab yang benar.

وَنَقُولُ ذُوقُوا عَذَابَ الْحَرِيقِ

dan Kami akan katakan kepada mereka: “Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar –

Allah ‎ﷻ akan cakap sendiri kepada mereka untuk merasakan seksa yang pedih itu. Kebiasaannya Allah ‎ﷻ tidak berbuat begitu namun di sini Allah ‎ﷻ kata Dia akan kata sendiri kepada mereka begitu, kerana mereka telah mempersenda Allah ‎ﷻ. Apabila Allah ‎ﷻ kata sendiri kepada mereka, itu menambahkan berat azab itu.

Kalimah الْحَرِيقِ adalah jenis pembakaran sehingga selesai, sampai tiada kesan langsung. Namun itu semasa mereka di dunia, sedangkan di akhirat kelak, mereka yang diazab tidak akan mati-mati. Maka itu adalah azab yang amat teruk sekali. Azab yang tiada penghujungnya, tidak berkesudahan sampai bila-bila.

Tafsir Ayat ke-182

Kenapa mereka dikenakan dengan azab yang teruk itu?

ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ

(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan perbuatan yang – telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambanya.”

ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ

yang demikian itu ialah disebabkan perbuatan yang – telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri.

Mereka dikenakan dengan azab yang teruk itu kerana salah mereka sendiri, bukan orang lain. Memang layak mereka dikenakan dengan segala azab itu.

وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ

Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambanya.”

Allah‎ ﷻ tidak zalim kerana Allah ‎ﷻ balas dengan azab itu semua berpunca daripada perbuatan mereka sendiri. Allah ‎ﷻ sekali-kali tidak pernah dan tidak akan berlaku zalim kepada makhluk-Nya.

Tafsir Ayat ke-183

Ini adalah alasan yang diberikan oleh mereka kenapa mereka tidak boleh ikut dan percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka menggunakan alasan yang karut.

الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ عَهِدَ إِلَيْنَا أَلَّا نُؤْمِنَ لِرَسُولٍ حَتَّىٰ يَأْتِيَنَا بِقُرْبَانٍ تَأْكُلُهُ النَّارُ قُلْ قَدْ جَاءَكُمْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِي بِٱلْبَيِّنَٰتِ وَبِالَّذِي قُلْتُمْ فَلِمَ قَتَلْتُمُوهُمْ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ

Orang-orang (Yahudi itulah) yang berkata: “Sebenarnya Allah telah perintahkan kami, supaya kami jangan beriman kepada seseorang Rasul sehingga dia membawa kepada kami korban yang dimakan api. “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu beberapa Rasul dahulu daripadaku dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang kamu katakan itu. Jadi kenapa kamu membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (seperti apa yang kamu dakwakan itu)?

الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ عَهِدَ إِلَيْنَا

Orang-orang yang berkata: “Sebenarnya Allah telah mengadakan perjanjian dengan kami,

Orang-orang yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang Yahudi. Sekarang mereka menggunakan satu alasan yang kononnya mengapa mereka tidak dapat menerima untuk percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka menggunakan hujah kononnya ada perjanjian mereka dengan Allah ‎ﷻ. Apakah perjanjian yang mereka katakan itu?

نُؤْمِنَ لِرَسُولٍ حَتَّىٰ يَأْتِيَنَا بِقُرْبَانٍ تَأْكُلُهُ النَّارُ

supaya kami jangan beriman kepada seseorang Rasul sehingga dia membawa kepada kami korban yang dimakan api.

Perjanjian yang mereka katakan itu adalah rekaan mereka sahaja. Kononnya mereka kena lihat korban yang dipersembahkan oleh Nabi dan korban itu dibakar dengan api yang turun dari langit. Kata mereka, itulah tanda yang Nabi itu adalah seorang Nabi yang benar. Kalau yang mengaku Nabi tidak boleh buat itu, bukanlah dia seorang Nabi yang boleh diikuti.

Mereka kata Nabi Muhammad ﷺ tidak buat lagi perkara itu dan kerana itu mereka tidak dapat menerima Nabi Muhammad ﷺ. Mereka menggunakan kisah Qabil dan Habil. Dalam kisah itu, korban Habil telah diterima oleh Allah ‎ﷻ (dengan disambar api dari langit sebagai tanda ia diterima) tetapi korban Qabil tidak diterima.

Lafaz قُرْبَانٍ datang daripada perkataan قرب yang bermaksud ‘dekat’. Maknanya ‘kurban’ adalah binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah ‎ﷻ.

قُلْ قَدْ جَاءَكُمْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِي بِٱلْبَيِّنَٰتِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu beberapa Rasul dahulu daripadaku dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata

Allah ‎ﷻ mengajar Nabi ﷺ bagaimana menjawab hujah yang mereka bawa ini. Beritahu mereka bahawa sudah ramai Rasul yang datang sebelum baginda dengan membawa berbagai-bagai mukjizat. Mereka sudah telah membawa bukti dan mukjizat tetapi masih ramai dalam kalangan mereka yang tidak percaya.

وَبِالَّذِي قُلْتُمْ

dan dengan (korban) yang kamu katakan itu.

Yang kamu minta korban disambar api pun sudah ada diberikan kepada kamu. Namun masih juga golongan kamu menolak Rasul itu.

Pada waktu dahulu mukjizat dengan perkara-perkara ajaib amat banyak sekali. Tujuan diberikan mukjizat dengan perkara yang di luar kebiasaan adalah untuk menunjukkan kebenaran Nabi kerana pada waktu itu mukjizat sebegitu yang sesuai. Namun untuk zaman sekarang, mukjizat bukan dalam bentuk yang boleh dilihat dengan mata.

Kita pun perlukan mukjizat juga dan mukjizat yang masih kekal dalam tangan kita dan kita boleh lihat dan baca sentiasa adalah Al-Qur’an ini yang di tangan kita. Mukjizat yang hebat-hebat dahulu tidak boleh kita lihat pun sekarang, bukan? Namun Al-Qur’an ini sentiasa kita boleh pegang dan lihat, sampai ke hari Kiamat.

فَلِمَ قَتَلْتُمُوهُمْ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ

Jadi kenapa kamu membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar?

Kalau kamu benar-benar mahu beriman, kenapa bunuh juga para Nabi dan Rasul itu? Ini menunjukkan bahawa apa yang mereka katakan itu adalah tidak ikhlas. Mereka cakap itu sebagai alasan untuk menolak sahaja. Ini kerana mereka memang kaum yang amat degil.

Kalaulah Nabi Muhammad ﷺ tunjuk mukjizat disambar api pun, mereka tidak akan beriman juga. Mereka akan memberikan alasan lain pula. Allah ‎ﷻ sudah tahu apa yang ada dalam hati mereka dan apa yang mereka akan buat.

Tafsir Ayat Ke-184

Ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ayat sebelum ini adalah mengenai hujah puak Bani Israel kenapa kononnya mereka tidak boleh beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ. Sekarang Allah ‎ﷻ memujuk baginda supaya jangan bersedih dengan hal itu. Memang ini adalah perkara biasa. Para Nabi yang sebelum baginda pun telah melalui perkara yang sama.

فَإِن كَذَّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَ رُسُلٌ مِّن قَبْلِكَ جَاءُوا بِٱلْبَيِّنَٰتِ وَالزُّبُرِ وَٱلْكِتَٰبِ الْمُنِيرِ

Oleh itu, jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita), kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan juga; mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran), serta Kitab (Syariat) yang terang jelas.

فَإِن كَذَّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَ رُسُلٌ مِّن قَبْلِكَ

Oleh itu, jika mereka mendustakanmu, sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan juga;

Allah ‎ﷻ memujuk dan menasihati Nabi Muhammad ﷺ supaya jangan berdukacita dengan penolakan daripada mereka. Memang sekarang Nabi Muhammad ﷺ dikatakan berdusta, tetapi ini bukanlah benda yang baru. Para Nabi semenjak dari dahulu lagi zaman berzaman telah melalui perkara yang sama.

Kenapa Allah ‎ﷻ banyak menceritakan kisah penolakan kaum terdahulu? Kepentingan menceritakan perkara ini kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat adalah bertujuan supaya sejuk sedikit hati mereka dan supaya mereka tahu orang lain sebelum mereka pun telah melaluinya juga. Kalau kita tahu orang lain pun melalui perkara yang sama juga, memang kita akan ada rasa lega sedikit sebenarnya.

جَاءُوا بِٱلْبَيِّنَٰتِ وَالزُّبُرِ

mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab

Nabi dan Rasul-Rasul yang sebelum baginda pun sudah membawa pelbagai tanda dan mukjizat untuk ditunjukkan kepada umat mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga ada membawakan kitab-kitab kecil berupa wahyu daripada Allah ‎ﷻ.

وَٱلْكِتَٰبِ الْمُنِيرِ

serta Kitab yang terang jelas.

Bukan sahaja kitab kecil, tetapi kitab-kitab besar yang mengandungi syari’at juga diberikan kepada umat-umat mereka. Sifat kitab-kitab itu adalah mencerahkan yang di sekelilingnya. Membawa keluar manusia daripada kegelapan syirik kepada nur tauhid.

Kalimah ‘al-munir’ datang daripada lafaz nur (cahaya).

Tafsir Ayat Ke-185

Ayat tentang jihad. Semua orang akan mati, maka jangan takut melakukan jihad dan mati atas jalan agama.

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَٰعُ الْغُرُورِ

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati,

Setiap yang pernah bernyawa pasti akan mengecapi rasa mati. Yang menarik dalam ayat ini, tidak ada lafaz ‘akan mengecapi kematian’ kerana lafaz ذَائِقَةُ adalah dalam bentuk fa’il – pembuat. Maknanya ia lebih kekal, ia pasti akan berlaku.

Oleh kerana semua kita akan mati, maka semasa hiduplah kena buat keputusan dan beramal sebagai bekalan untuk akhirat. Ambillah peluang yang ada semasa hidup ini untuk beramal. Jangan buang masa sahaja. Antara perkara yang penting adalah belajar agama, luangkan masa untuk belajar di kuliah-kuliah yang banyak diadakan.

Kita bertuah kerana dalam negara kita ini, sangat banyak kelas pengajian yang diadakan di seluruh negara. Kebanyakannya percuma sahaja. Lebih-lebih lagi kalau pengajian itu adalah pengajian sunnah, ia pasti percuma. Pastikan anda mencari kelas pengajian yang berteraskan Al-Qur’an dan Sunnah. Itu yang lebih selamat.

وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ

dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.

Segala amal perbuatan kita, sama ada baik atau buruk, akan dibalas dengan sepenuhnya di akhirat kelak, bukan di dunia. Ini kerana dunia adalah tempat ujian, bukan tempat pembalasan.

Walaupun begitu, ada juga yang Allah ‎ﷻ sudah memberikan sedikit balasan semasa di dunia lagi, seperti rezeki yang bertambah, dapat ketenangan hati, dapat kemenangan dalam perang dan banyak lagi. Namun itu semua sebenarnya adalah sedikit sahaja kalau dibandingkan dengan pembalasan di akhirat nanti.

Ini kerana Allah‎ ﷻ akan balas dengan sepenuhnya di akhirat nanti. Jadi, kalau kita sudah banyak beramal, sudah berusaha menjadi mukmin, tetapi kehidupan biasa sahaja, maka, jangan bersedih. Kalau kebaikan tidak dibalas semuanya di dunia, akan dibalas di akhirat kelak dengan penuh nanti.

فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ

Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya.

Lafaz زُحْزِحَ adalah daripada lafaz yang bermaksud ‘jauh’ – maksudnya akan ada yang dijauhkan dari neraka. Ada yang terus tidak berasa neraka dan ada yang masuk neraka terlebih dahulu. Kita tidak mahu langsung masuk neraka kerana kita hendak jauh sangat dari neraka. Memandangnya pun kita tidak mahu. Tidak sanggup mendengar bunyi neraka dan tidak mahu merasa walau sedikit pun bahang api neraka itu.

Lafaz أُدْخِلَ bermaksud akan ‘dimasukkan’ ke dalam syurga. Maknanya Allah ‎ﷻ yang memasukkan kita. Bukan kita boleh dapat jalan masuk sendiri. Seperti yang kita sepatutnya tahu, kita tidak dapat masuk ke dalam syurga dengan hanya amal ibadat kita, tetapi dengan rahmat Allah ‎ﷻ. Oleh itu, kita amat berharap kepada rahmat Allah ‎ﷻ untuk memasukkan kita ke dalam syurga.

Lafaz فَازَ adalah jenis kejayaan yang diselamatkan daripada kegagalan yang besar, kemudian berjaya. Jadi dari segi maksud, ia lagi besar daripada آفلح.

وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَٰعُ الْغُرُورِ

Dan kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan sementara yang memperdayakan.

Dunia adalah kesenangan yang sangat menipu manusia. Syaitan menggunakan nikmat dunia untuk menipu manusia. Maka, terdapat banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang menjelaskan hakikat dunia ini, iaitu ia adalah sementara, menipu, tidak kekal dan sebagainya.

Lafaz الْغُرُورِ bermaksud apabila seseorang mengambil kesempatan ke atas orang lain semasa orang itu sedang lalai. Begitulah sifat dunia. Kita ini semuanya tahu yang kita akan meninggalkan dunia ini juga akhirnya, bukannya tidak tahu, tetapi kita selalu lalai kerana sudah terpesona dengan dunia. Ini kerana dunia ada di depan mata kita dan akhirat itu langsung tidak dapat dilihat dengan mata ini.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan