Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-166 hingga Ke-169

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-166 hingga Ke-169

319
0
Iklan

Tafsir Surah Ali Imran 
Tafsir Ayat Ke-166

وَما أَصَٰبَكُمْ يَومَ التَقَى الجَمعانِ فَبِإِذنِ اللَّهِ وَلِيَعلَمَ المُؤمِنينَ

Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera – di medan perang Uhud) itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan tujuan Allah hendak melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang (sebenar-benarnya) beriman.

وَما أَصَٰبَكُمْ يَومَ التَقَى الجَمعانِ فَبِإِذنِ اللَّهِ

Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah,

Apa yang berlaku adalah dengan izin Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang takdirkan ia terjadi sebegitu rupa. Semuanya dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ tidak takdirkan ia jadi begitu, ia tidak akan terjadi.

Ini hanya boleh diterima oleh mereka yang percaya dan redha dengan qadha dan qadar Allah ‎ﷻ. Ini memerlukan perasaan rendah diri, sedar diri ini hamba dan yakin dengan apa sahaja ketentuan daripada Allah ‎ﷻ. Kurangkan perasaan hendak menyoal apa sahaja yang terjadi. Jangan sikit-sikit, soal; sikit-sikit hendak soal kenapa jadi begini dan begitu.

وَلِيَعلَمَ المُؤمِنينَ

dengan tujuan Allah hendak melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang (sebenar-benarnya) beriman.

Satu lagi tujuan Allah ‎ﷻ berbuat begitu adalah supaya Allah ‎ﷻ boleh zahirkan siapakah yang sebenarnya golongan mukmin. Ia bertujuan untuk dibandingkan dengan orang yang munafik.

Ayat ini kita kena terjemah begini; iaitu Allah ‎ﷻ hendak ‘zahirkan’ kepada semua manusia, siapakah yang benar-benar mukmin. Jangan kita salah faham pula – takut ada yang sangka Allah ‎ﷻ tidak tahu siapakah yang mukmin, sampai Allah ‎ﷻ kena uji dahulu, baru Allah ‎ﷻ tahu.

Itu adalah fahaman yang salah kerana Allah ‎ﷻ sudah tahu hati manusia. Tidak mungkin Allah‎ ﷻ tidak tahu isi dalam hati manusia yang Dia sendiri cipta. Namun, manusia yang tidak tahu hati manusia yang lain. Maka, Allah ‎ﷻ hendak tunjukkan. Dengan ujian sebegini, maka akan nampak mana yang mukmin dan mana yang tidak. Maka orang mukmin selepas itu kena berhati-hati dengan orang yang ada sifat-sifat munafik.

Tafsir Ayat Ke-167

Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ kata Dia hendak menzahirkan siapakah yang sebenarnya orang mukmin. Kali ini Allah ‎ﷻ sebut yang Dia jadikan kejadian pada Perang Uhud itu untuk menzahirkan siapakah yang munafik juga. Allah‎ ﷻ hendak bezakan manakah yang mukmin dan mana yang munafik.

وَلِيَعلَمَ الَّذينَ نافَقوا ۚ وَقيلَ لَهُم تَعالَوا قَٰتِلُوا۟ في سَبيلِ اللَّهِ أَوِ ادفَعوا ۖ قالوا لَو نَعلَمُ قِتالًا لَّٱتَّبَعْنَٰكُمْ ۗ هُم لِلكُفرِ يَومَئِذٍ أَقرَبُ مِنهُم لِلْإِيمَٰنِ ۚ يَقولونَ بِأَفْوَٰهِهِم مّا لَيسَ في قُلوبِهِم ۗ وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما يَكتُمونَ

Dan juga dengan tujuan Dia hendak menzahirkan siapakah yang munafik, ketika dikatakan kepada mereka: “Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu)”. Mereka menjawab: “Kalaulah kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut kamu (turut berperang)”. Mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. Mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.

وَلِيَعلَمَ الَّذينَ نافَقوا

Dan dengan tujuan Dia hendak menzahirkan siapakah yang munafik,

Selain daripada hendak menzahirkan siapakah yang beriman, Allah ‎ﷻ juga hendak menzahirkan siapakah munafik yang sebenarnya. Ujian seperti yang terjadi di Perang Uhud itu boleh menzahirkan siapakah mukmin dan siapakah yang munafik.

Penzahiran siapakah mereka yang munafik itu penting kerana mereka tidak boleh dibiarkan begitu saja dalam kemunafikan mereka. Mereka perlu ditarbiyah. Ini kerana umat Islam perlu melakukan banyak perkara lagi untuk menegakkan syiar Islam. Ini baru Perang Badr dan Uhud. Banyak lagi peperangan yang akan dihadapi dan kerja dakwah yang perlu dijalankan.

Islam tidak akan berkembang jikalau ramai munafik dalam kalangan mereka. Zaman sekarang, seorang khalifah pun harus memerhatikan rakyatnya kalau-kalau ada sifat-sifat sebegini, supaya mereka tahu siapakah yang munafik dan kena mulakan proses pentarbiyahan.

Sama juga dengan ayat sebelum ini, bukanlah Allah ‎ﷻ tidak tahu siapakah yang munafik. Cuma Allah ‎ﷻ hendak menzahirkan sahaja kepada orang mukmin yang lain.

وَقيلَ لَهُم تَعالَوا قَٰتِلُوا۟ في سَبيلِ اللَّهِ

ketika dikatakan kepada mereka: “Marilah berperang pada jalan Allah

Ini adalah apabila dikatakan kepada puak munafik, ketika mengajak mereka untuk berjihad di jalan Allah ‎ﷻ. Waktu itu mereka sedang meninggalkan medan perang. Seperti yang telah disebut sebelum ini, ada 300 orang tentera Islam yang meninggalkan medan Perang Uhud sebelum ia bermula. Mereka dipimpin oleh Abdullah bin Ubay.

أَوِ ادفَعوا

atau pertahankanlah

Atau kalau mereka tidak mahu berjihad di jalan Allah ‎ﷻ, sekurang-kurangnya marilah sama-sama mempertahankan tempat tinggal kita daripada musuh. Sebab mereka pun tinggal di kota Madinah juga. Sekarang musuh dari Mekah sudah datang untuk menyerang tempat tinggal mereka. Musuh bukan kira siapa munafik ke mukmin, mereka akan bunuh semua sekali.

قالوا لَو نَعلَمُ قِتالًا لَّٱتَّبَعْنَٰكُمْ

Mereka menjawab: “Kalaulah kami tahu ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut kamu

Mereka sekarang beri alasan pula. Terjemahan pertama: “Kalaulah kami tahu berperang…..” Maknanya mereka beri alasan yang mereka tidak pandai berperang. Mereka hendak tunggu dan lihat sahaja.

Tafsir kedua: Puak munafik itu menggunakan alasan yang pada mereka, tidak ada peperangan pun. Mereka kata yang datang itu dari Mekah, dan orang-orang Islam itu pun dari Mekah juga (Muhajirn). Jadi mereka ingin mengatakan, memang tidak akan berlaku peperangan dan itu semua adalah gimik orang-orang Mekah sahaja.

Mereka kononnya hendak berkata: “Kalau kami tahu memang benar-benar ada perang, tentulah kami ikut serta. Tapi kami tak ikut kerana kami tak sangka akan ada perang.” Itu adalah alasan mereka sahaja.

هُم لِلكُفرِ يَومَئِذٍ أَقرَبُ مِنهُم لِلْإِيمَٰنِ

Mereka ketika itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman.

Mereka dakwa mereka mukmin tetapi apabila mereka cakap begitu mereka menzahirkan kekufuran mereka. Sebelum ini, yang mereka kata mereka beriman itu, hanya cakap-cakap sahaja. Sekarang telah zahir sifat mereka yang sebenarnya. Hati mereka memang cenderung kepada kufur.

يَقولونَ بِأَفْوَٰهِهِم مّا لَيسَ في قُلوبِهِم

Mereka selalu menyebut dengan mulut mereka apa yang tidak ada dalam hati mereka

Mereka selalu sebut yang mereka beriman, tetapi tidak sebenarnya. Hati mereka kufur. Sebab itulah mereka digelar ‘munafik’. Mereka selalu cakap benda yang kononnya nampak baik, tetapi hati mereka tidak percaya pun. Mereka juga kata mereka hendak kebaikan sebenarnya, namun tidak begitu. Sifat-sifat mereka semua disebut-sebut dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang lain.

وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما يَكتُمونَ

Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.

Mereka cuba menipu orang-orang Islam yang lain dengan mengatakan mereka beriman tetapi Allah ‎ﷻ tahu apa yang mereka sembunyikan dalam hati mereka, iaitu kekufuran mereka. Sekarang Allah ‎ﷻ mengajar kita cara-cara untuk kenal mereka. Bukan dalam ayat ini sahaja, tetapi ada disebut dalam ayat-ayat yang lain juga.

Tafsir Ayat Ke-168

Allah ‎ﷻ menjelaskan lagi apakah sifat-sifat orang munafik.

الَّذينَ قالوا لِإِخْوَٰنِهِمْ وَقَعَدوا لَو أَطاعونا ما قُتِلوا ۗ قُل فَادرَءوا عَن أَنفُسِكُمُ المَوتَ إِن كُنتُم صَٰدِقِينَ

Merekalah juga yang mengatakan tentang hal saudara-saudaranya (yang telah terbunuh di medan perang Uhud), sedang mereka sendiri tidak turut berperang: “Kalaulah mereka taatkan kami (turut menarik diri) tentulah mereka tidak terbunuh”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian, hindarkanlah maut daripada diri kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

الَّذينَ قالوا لِإِخْوَٰنِهِمْ وَقَعَدوا لَو أَطاعونا ما قُتِلوا

Mereka yang mengatakan tentang hal saudara-saudaranya, sedang mereka sendiri tidak turut berperang: “Kalaulah mereka taatkan kami (turut menarik diri) tentulah mereka tidak terbunuh”.

Mereka sanggup kata begini tentang saudara seagama mereka – لِإِخوانِهِم – yang lain. Allah‎ ﷻ kata mereka itu ‘ikhwan’ (saudara), tetapi itu dari segi zahir sahaja kerana mereka duduk bersama semasa di dunia. Zahirnya mereka nampak bersaudara namun pada hakikatnya mereka kufur dan tidak sama kedudukan mereka.

Waktu itu mereka duduk-duduk sahaja – وَقَعَدوا – maknaya mereka tidak sertai jihad. Lafaz قَعَد dari segi bahasa bermaksud duduk yang lama. Jadi bukanlah bermaksud duduk lepaskan lelah tetapi duduk tanpa membuat sesuatu.

Mereka kata kalau orang mukmin itu ikut mereka, duduk tidak pergi berperang, tentulah mereka tidak mati. Mereka amat jahil tentang realiti semasa. Apakah mereka sangka mereka boleh mengelakkan mati?

قُل فَادرَءوا عَن أَنفُسِكُمُ المَوتَ إِن كُنتُم صَٰدِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian, hindarkanlah maut dari diri kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ jawab kepada mereka: Kalau begitu, elaklah daripada mati kalau kamu benar. Kalau kamu kata duduk rumah tidak mati, cubalah kamu elak daripada kematian kalau kamu mampu.

Kata-kata mereka itu adalah kata-kata yang tidak beriman. Sedangkan mereka sendiri tahu yang mati itu wajib. Berperang mungkin mati, kalau duduk di rumah pun, kalau maut datang menjemput, akan mati juga. Semua orang akan mati, sama ada di rumah atau di medan perang.

Tafsri Ayat Ke-169

Ini adalah ayat tabshir (berita gembira). Orang munafik hanya memikirkan tentang dunia sahaja dan tidak fikir tentang akhirat. Mereka sangka mati itu adalah penghabisan. Namun Allah ‎ﷻ menjelaskan bahawa orang yang mati pada jalan Allah‎ ﷻ itu tidaklah mati biasa.

وَلا تَحسَبَنَّ الَّذينَ قُتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ أَمْوَٰتًۢا ۚ بَل أَحياءٌ عِندَ رَبِّهِم يُرزَقونَ

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

وَلا تَحسَبَنَّ الَّذينَ قُتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ أَمْوَٰتًۢا

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati,

Jangan sekali-kali kamu sangka begitu. Orang yang mati di jalan Allah ‎ﷻ bukan mati biasa tetapi mereka itu dinamakan ‘mati syahid’. Dalam Baqarah:154, Allah ‎ﷻ telah pun sebut tentang perkara ini dan diulang kembali dalam ayat ini.

Namun kali ini dalam ayat ini ada penekanan iaitu Allah ‎ﷻ beritahu kita, jangan sekali-kali kita sampai berfikir begitu. Maknanya, ada penekanan di situ yang amat kuat. Jangan kita layan perasaan itu, kerana itu adalah perasaan yang salah. Kalau terlintas, kena buang jauh-jauh andaian salah itu. Kadang-kadang syaitan memang akan membisikkan pemahaman yang salah, tetapi kita kena tolak dan tolak itu dengan ilmu.

بَل أَحياءٌ

tidak, bahkan mereka hidup

Mereka yang mati syahid itu sebenarnya ‘hidup’, iaitu mereka hidup dengan cara istimewa di sisi Tuhan. Bukan hidup dengan kita, tetapi dengan Allah ‎ﷻ. Mati sahaja, roh para syuhada’ akan terus dihantar ke syurga. Di sana mereka terus menikmati kehidupan yang penuh nikmat. Ini juga telah diberitahu dalam Surah Baqarah.

Maknanya, sangkaan puak munafik yang mereka yang mati di Jalan Allah ‎ﷻ itu rugi adalah amat jauh sekali daripada kebenaran. Tidak mungkin mendapat balasan syurga itu merupakan sesuatu yang rugi pula, bukan?

عِندَ رَبِّهِم يُرزَقونَ

di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

Ini adalah penambahan daripada ayat 154 surah Baqarah. Allah ‎ﷻ menambah dalam ayat ini bahawa mereka itu diberikan dengan rezeki. Rezeki itu bukanlah rezeki zahir tetapi rezeki hissi. Makna “hissi” adalah, segala keajaiban yang dapat dilihat ataupun dapat dirasakan oleh pancaindera.

Kita pun tidak pasti apakah yang diberikan kepada mereka. Tentunya sesuatu yang amat istimewa. Allah ‎ﷻ tidak sebut sebab otak kita tidak dapat bayangkan. Orang Munafik tidak nampak perkara ini, kerana mereka hanya nampak rezeki yang zahir sahaja, rezeki yang di dunia sahaja. Merekalah yang kerugian yang amat besar sekali kerana tidak mengejar perkara ini.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan