Tahqiq Kitab at Tazkirah lil Qurthubi
Kod/Bab 27: Bab Membentang Kain di atas Kubur Ketika Penguburan Jenazah
(باب بسط الثوب على القبر عند الدفن)
27-1 Hadith Anas رضي الله عنه (Palsu)
أبو هدبة إبراهيم بن هدبة قال : حدثنا أنس بن مالك أن رسول الله صلى الله عليه و سلم تبع جنازة ، فلما صلى عليها دعا بثوب فبسط على القبر و هو يقول : لا تتطلعوا في القبر فإنها أمانة فلعسى يحل العقدة فيرى حية سوداء متطوقة في عنقه فإنها أمانة و لعله يؤمر به فيستمع صوت السلسلة
Abu Hadbah Ibrahim bin Hadbah (Ibn Jauzi berkata ia perawi yang dituduh pendusta) berkata, telah menceritakan kepada kami, Anas bin Malik رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ pernah mengikuti jenazah. Setelah melakukan salat atasnya, beliau meminta untuk diambilkan sebidang kain lalu beliau membentangkannya di atas kuburnya seraya bersabda:
“Janganlah kamu sekalian melihat-lihat ke dalam kubur. Sesungguhnya jenazah itu amanat. Barangkali tali [kafan] terlepas, lalu seseorang melihat seekor ular hitam yang melilit leher mayit. Sesungguhnya jenazah itu amanah. Barangkali mayit itu diperintah [diseksa] lalu terdengarlah suara rantai.”
Takhrij/Tahqiq:
(Maudhu’: Abu Hadbah adalah pendusta, dikeluarkan oleh Ibnul Jauzi dalam Al-Maudhuuat, 3/547)
27-2 Hadith Sa’ad bin Malik (Dhaif)
و ذكر عبد الرزاق عن ابن جريج عن الشعبي عن رجل أن سعد بن مالك ، قال : أمر النبي صلى الله عليه و سلم بثوب فستر على القبر حين دفن سعد بن معاذ ، قال : و قال سعد : إن النبي صلى الله عليه و سلم نزل في قبر سعد بن معاذ و ستر على القبر بثوب فكنت فيمن أمسك الثوب
Abdur Razzaq (Abdul Razzaq bin Humam Al Syun’ani, w.211H, muhaddith Yaman) telah menyebutkan daripada Ibnu Juraij (tabi’ tabi’in Mekah, w.150H), daripada Asy-Sya’bi (tabiin kufah, w.103H), daripada seseorang, bahawa Sa’ad bin Malik berkata, “Nabi ﷺ pernah menyuruh ambilkan kain, lalu beliau menutupi [lubang] kubur ketika mengubur Sa’ad bin Mu’adz (sahabat Ansar Madinah).”
Perawi berkata, “Kata Sa’ad, ‘Sesungguhnya Nabi ﷺ itu turun ke kubur Sa’ad bin Mu’adz dan menutupi [lubang] kubur dengan kain, dan aku termasuk orang yang memegang kain itu.”
Takhrij:
Musyannaf Abdul Razzaq, 3/500; Ibn Sa’ad, Tabaqat Al Kubra, 6/169
Muhaqqiq At Tazkirah, Dr Sadiq Ibrahim berkata, dhaif, kerana dua isu, ada perawi majhul dalam sanad Abdul Razzaq dan Ibn Juraij adalah mudallis.
27-3 Hukum membentang kain di atas kuburan untuk melindungi jenazah daripada dilihat orang ramai.
فصل : اختلف العلماء في هذا الباب ، فكان عبد الله بن يزيد و شريح و أحمد بن حنبل يكرهون مد الثوب على الرجل ، و كان أحمد و إسحاق يختاران أن يفعل ذلك بقبر المرأة ، و كذلك قال أصحاب الرأي ، و لا يضر عندهم أن يفعلوا ذلك بقبر الرجل
Para ulama berselisih pendapat dalam masalah ini.
1. Makruh mayat lelaki, sunnah mayat perempuan.
Ini pendapat Abdullah bin Yazid (sahabat ansar, memeluk Islam pada bai’ah ridwan, w.70H) , Syuraih bin Al Harith bin Qis Al Jahm Al Kindi, muslim di zaman Nabi ﷺ tetapi tidak pernah berjumpa dengan baginda, wafat tahun 78H(شريح بن الحارث بن قيس بن الجهم الكندي) dan Ahmad bin Hanbal (pendiri mazhab Hanbali, w.241H), bahawa membentangkan kain di atas kubur oleh lelaki adalah makruh.
2. Sunnah untuk mayat perempuan, harus mayat lelaki.
Sedang untuk mayat perempuan, Imam Ahmad dan Ishaq (Imam Abu Ya’acob Ishaq bin Rahawaih, fuqaha Khurasan, w. 238H) memilih membentangkan kain padanya. Dan demikian pula kata para ulama Ahlu ra’yi (mazhab Hanafi). Bahkan menurut mereka, tidak membahayakan (tidak mengapa) apabila hal itu dilakukan terhadap kubur lelaki.
و قال أبو ثور : لا بأس بذلك في قبر الرجل و المرأة . و كذلك قال الإمام الشافعي و ستر المرأة عند ذلك آكد من ستر الرجل . ذكره ابن المنذر
3, (Mazhab) Abu Tsaur (fuqaha Iraqi, murid Sufyan Athauri dan Al Syafi’iy, w.240H) berkata, “Tidak apa-apa hal itu dilakukan terhadap kubur lelaki mahupun perempuan.”
4. Mayat perempuan lebih utama daripada mayat lelaki. Dan demikian pula menurut Imam Asy-Syafi’i (w.204H, Cairo), menutupi kain pada kubur perempuan adalah lebih kuat daripada menutupkannya pada kubur lelaki. (Al Umm, 1/462) )(demikian disebutkan oleh Ibn Mundzir, ulama Naisabur, wafat 318H dalam kitabnya Al Awsath, 5/457).
Rumusan Al Qurthubi:
قال الشيخ المؤلف رحمه الله : و يستر الرجل و المرأة للعلة التي جاءت في حديث أنس اقتداء بفعله عليه السلام في ستر سعد بن معاذ و الله أعلم
“Menutupkan kain pada kubur lelaki mahupun perempuan adalah kerana adanya suatu alasan yang terdapat dalam hadith riwayat Anas رضي الله عنه , iaitu mengikuti apa yang telah dilakukan oleh Nabi ﷺ . ketika menutupi Sa’ad bin Mu’adz.
27-4 Athar Al Qushairi (riwayat sufi, tiada asalnya)
و لقد أخبرني بعض أصحابنا : أنه سمع صوت جو السلسلة في قبر . و أخبرني صاحبنا الفقيه العالم شيخ الطريقة أبو عبد الله محمد بن أحمد القصري رحمه الله أنه توفي بعض الولاة بقسطنطينة فحفر له ، فلما فرغوا من الحفر و أرادوا أن يدخلوا الميت القبر إذا بحية سوداء داخل القبر ، فهابوا أن يدخلوه فيه فحفروا له قبراً آخراً ، فلما أرادوا أن يدخلوه إذ بتلك الحية فيه فحفروا له قبرا آخر فإذا بتلك الحية فلم يزالوا يحفرون له نحواً من ثلاثين قبراً و إذا بتلك الحية تتعرض لهم في القبر الذي يريدون أن يدفنوه فيه ، فلما أعياهم ذلك سألوا ما يصنعون ؟ فقيل لهم : ادفنوه معها . نسـأل الله السلامة و الستر في الدنيا و الآخرة
Salah seorang sahabat kami telah menceritakan kepada saya, bahawa dia pernah mendengar suara rantai ditarik di dalam kubur. Begitu pula berita yang disampaikan kepada saya oleh sahabat kami, Al-Faqih Al-Alim Syaikh Ath-Thariqah Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad Al-Qushairi رحمه الله (ahli sufi Baghdad,w.439H) bahawa ada seorang penjawat awam meninggal di Konstantinopel. Maka digalilah kubur untuknya. Ketika orang-orang selesai menggali dan mayat akan dimasukkan ke dalam kubur, tiba-tiba ada seekor ular hitam di dalam kubur. Tentu saja mereka takut untuk memasukkan mayit itu ke dalamnya. Lalu mereka menggali kubur yang lain untuknya. Dan ketika mereka akan memasukkan mayit tadi ke dalam lubang kubur yang kedua itu, ternyata ular pun sudah ada di sana. Begitulah seterusnya sampai 30 kubur yang mereka gali, namun ular tetap menghadang mereka pada setiap kubur yang akan dipakai untuk mayit. Tatkala mereka sudah kelelahan, mereka bertanya-tanya apa yang mesti mereka perbuat. Maka terdengarlah jawapan: “Kuburlah ia bersama ular itu.” Kita mohon kepada Allah ﷻ atas keselamatan dan agar ditutupi cela kita di dunia dan akhirat.
Muhaqqiq, Dr Sadiq Ibrahim, tidak wujud biodata Syaikh tareqat Abu Abdillah Muhammad bin Al Qushairi ini, majhul.