Tafsir Surah Ali Imran
Tafsir Ayat Ke-135
Sambungan penerangan tentang sifat-sifat orang yang bertaqwa:
وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji,
Ini adalah sifat mereka kalau mereka tergelincir melakukan dosa yang kecil. Ini adalah jenis dosa-dosa yang melibatkan kekejian seperti zina atau dosa yang boleh membawa kepada zina.
Ia adalah sesuatu yang memalukan, yang kita malu kalau orang lain tahu. Termasuk kalau suami atau isteri kita pun tahu. Ini termasuklah kalau dosa melihat video lucah. Juga termasuk kalau bercakap perkara yang lucah kerana perbuatan-perbuatan itu boleh membawa kepada perbuatan zina.
أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم
atau menganiaya diri sendiri,
Atau mereka menzalimi diri mereka dengan membuat dosa kecil, mungkin marah kepada orang lain kerana tidak dapat menahan emosi mereka, seperti yang dianjurkan dalam ayat sebelum ini.
Memang semua dosa-dosa itu akan terjadi kerana Allah ﷻ menggunakan lafaz إِذا (apabila) bukan إذ (jika). Maknanya semua manusia akan tergelincir sekali sekala melakukan kesalahan dan dosa, tidak kira sama ada orang bertaqwa ataupun tidak. Bezanya, apa yang mereka buat setelah melakukan kesalahan. Ada yang bertaubat dan ada yang terus menerus melakukan dosa itu.
Kadang-kadang syaitan akan mengambil kesempatan atas kesalahan dan dosa yang kita lakukan itu. Mereka mahu kita terus melakukan dosa itu. Maka, jangan kita tertipu dengan bisikan syaitan. Syaitan menggunakan kesalahan yang kita lakukan itu untuk menjauhkan kita daripada Allah ﷻ.
Contohnya, syaitan akan bisikkan: “Habislah kau, Tuhan takkan sayang kepada kau lagi… Buang masa sahaja kau solat… Itu kau cuma menunjuk sahaja…baik kau tak payah solat langsung.. kalau kau bertaubat pun, nanti kau akan buat lagi dosa itu .”
Itu semua adalah bisikan-bisikan syaitan supaya kita lemah semangat dalam agama dan lupa kepada sifat Rahmah Allah ﷻ dan kesanggupan Allah ﷻ menerima taubat manusia. Ini adalah kerana Syaitan mahu menjauhkan kita daripada Allah ﷻ. Kalau kita rasa Allah ﷻ tidak mengampunkan dosa kita, maka tentulah kita akan putus asa dengan Allah ﷻ dan menjauhkan diri daripada Allah ﷻ. Jadi, syaitan akan menang.
Kita kena ingat yang Allah ﷻ itu Maha Penerima Taubat. Jika kita melakukan kesalahan dengan banyak pun, Allah ﷻ mampu menerima taubat kita, asalkan kita mahu berhenti dan terus memperbaiki diri kita.
Namun begitu, bagaimana kalau kita melakukan kesalahan itu sekali lagi (kesalahan yang sama)? Ketahuilah yang Allah ﷻ masih sanggup menerima taubat kita walaupun kita telah bertaubat atas dosa yang kita sudah buat, tetapi selepas bertaubat buat lagi. Asalkan semasa kita bertaubat dahulu, memang kita benar-benar bertaubat.
Cuma kadang-kadang, walaupun sudah benar-benar bertaubat, tergelincir juga lagi. Kalau jadi begitu, jangan putus harap dengan Allah ﷻ, bertaubat sekali lagi. Tidak ada bilangan terhad yang Allah ﷻ hadkan untuk kita bertaubat. Asalkan kita bersungguh-sungguh bertaubat dan kemudian kita bertaubat dengan ikhlas lagi.
Jadi memang manusia akan tergelincir dari jalan yang benar. Apakah yang dilakukan oleh orang yang bartaqwa?
ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم
mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka
Mereka tidak menunggu lama. Tidaklah mereka terus membuat dosa itu. Bila mereka terlanjur, mereka akan cepat ingat kebesaran Allah ﷻ, maka mereka akan takut dan terus bertaubat. Ini kerana mereka ada ilmu dan mereka tahu apakah kesalahan yang mereka lakukan dan mereka tahu apakah kesan kepada dosa yang mereka lakukan itu. Melainkan orang yang tidak kenal Allah ﷻ sahaja yang tidak akan bertaubat.
Mereka yang tidak kenal Allah ﷻ akan leka dalam melakukan dosa sampai mereka mati. Sedangkan orang yang bertaqwa itu takut kepada Allah ﷻ kerana mereka kenal Allah ﷻ. Mereka tahu Allah ﷻ boleh mengazab mereka bila-bila masa sahaja, termasuk mengambil nyawa mereka semasa mereka sedang melakukan dosa itu.
Jadi, mereka tidak akan berterusan dalam melakukan dosa itu. Mereka akan teringat: “Kalau Allah cabut nyawa aku semasa aku di tempat maksiat ini, bagaimana nasib aku nanti?.. Nauzubillah…”
وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ
dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah
Mereka yang bertaqwa akan terus meminta ampun kepada Allah ﷻ kerana mereka tahu yang mereka tidak ada tempat lain untuk bergantung lagi selain daripada Allah ﷻ. Ke mana lagi mereka hendak mengharap? Ada tuhan lain kah? Ada dunia lain kah yang mereka boleh pergi? Tentu tidak ada.
Ini seperti anak kita, kalau kita marah bagaimana sekalipun, sampai dia menangis meraung, nama kita juga dia sebut sebab dia tahu dia hendak pergi ke mana lagi, bukan? Dia tahu kitalah sahaja tempat dia bergantung, kitalah sahaja emak dan ayah dia, dan dia tidak ada tempat lain untuk lari.
Apabila hamba meminta ampun, ada kemungkinan Allah ﷻ akan memaafkan kerana apabila hamba mendapat taufik untuk meminta ampun, maknanya Allah ﷻ yang menggerakkan hati dia untuk minta ampun. Kalau Allah ﷻ yang gerakkan, maknanya Allah ﷻ sudah hendak ampunkan.
Namun jikalau Allah ﷻ telah taqdirkan untuk tidak mengampunkan dosa orang itu, orang itu tidak ada tergerak hati pun untuk minta ampun. Tanyalah kepada mereka yang sedang melakukan dosa dan tanya mereka kenapa mereka tidak minta ampun? Kerana mereka tidak teringat pun untuk meminta ampun lagi.
وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ
dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui
Orang yang bertaqwa pun kadangkala akan tergelincir, cuma mereka tidak terus menerus dalam membuat dosa. Ini kerana mereka mengetahui itu adalah salah. Mereka tidak terikat dengan dosa itu. Ini bahaya kerana ada orang seperti itu. Mereka itu bagaikan sudah tidak boleh meninggalkan terus dosa itu walaupun akal dan hati mereka tahu yang perbuatan mereka itu berdosa.
Malangnya, mereka bagaikan seperti sudah kena ‘ikat’. Ini kerana mereka dahulunya selalu mengikut bisikan syaitan, sampaikan syaitan sudah ‘ikat’ mereka dan sudah boleh beri arahan kepada mereka.
Tafsir Ayat Ke-136
Ada orang yang baik dari asal lagi dan ada yang jadi baik kemudian. Pada Allah ﷻ itu semua sama sahaja. Yang penting adalah penghujung hidup kita. Adakah kita mati dalam keadaan beriman atau tidak? Adakah kita sempat bertaubat atau tidak? Ini yang penting.
أُولٰئِكَ جَزاؤُهُم مَّغفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِم وَجَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ وَنِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ
Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
أُولٰئِكَ جَزاؤُهُم مَّغفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِم
Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka,
Sebelum ini telah disebut antara sifat-sifat orang yang bertaqwa, dan bagi mereka akan mendapat keampunan daripada Allah ﷻ. Ingatlah yang Allah ﷻ amat suka memberi ampun. Dia cuma mahu kita berpaling kepada-Nya sahaja. Walau berkali-kali kita meminta ampun kepada-Nya, Dia tidak kisah, malah Dia lebih suka.
وَجَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها
dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya;
Sesudah dosa mereka diampunkan, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan sebaik-baik balasan adalah syurga. Kita tidak dapat hendak bayangkan bagaimana rupa syurga itu tetapi Allah ﷻ beri bayangan sungai yang mengalir di bawah syurga itu, kerana manusia memang suka tinggal di kawasan yang ada air.
Kalau nikmat besar mana pun, tetapi kalau kita tahu yang kita tinggal sekejap sahaja, itu bukan nikmat yang besar. Maka Allah ﷻ beritahu yang ahli syurga akan kekal di syurga itu selama-lamanya.
وَنِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ
dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
Lafaz وَنِعمَ membawa maksud ‘takjub’. Allah ﷻ sendiri yang kata, maka ini memberi isyarat bahawa syurga itu adalah nikmat yang menakjubkan ahlinya, tidak terbayang hebatnya. Alangkah nikmatnya!
Kalimah العامِلينَ bermaksud orang yang buat kerja. Maknanya hendak mendapatkan syurga kena ada usaha, bukan dapat dengan percuma. Bukannya boleh masuk syurga dengan goyang kaki sahaja dan tunggu untuk masuk syurga. Memang kita akan masuk syurga dengan amal kita namun hanya dengan rahmat Allah ﷻ. Akan tetapi bagaimana hendak dapat mendapatkan rahmat Allah ﷻ? Tentulah dengan amal yang kita lakukan.
Maka kita kena buat ibadah, jaga diri daripada melakukan dosa dan kena sebarkan agama ini. Kena sebarkan kerana kita bukan hendak selamat seorang diri sahaja, tetapi kena ajak dan ajar kepada orang lain lagi. Terutama sekali kita hendak ahli keluarga kita pun selamat juga, kerana kita hendak duduk bersama mereka di dalam syurga, bukan?
Tafsir Ayat Ke-137
Ini adalah jenis ayat takhwif duniawi. Sebelum ini Allah ﷻ telah mengajar kita untuk meminta ampun di atas dosa-dosa kita. Namun begitu kadang-kadang manusia tidak fikirkan dosa yang mereka sedang lakukan. Mereka lama duduk leka dalam melakukan dosa dan hidup dalam maksiat.
Namun apabila diuji dengan bencana, baru mereka nampak kesalahan yang mereka lakukan kerana apabila manusia diuji dengan bala, mereka akan kurang ego, dan mula memikirkan manakah kesalahan yang mereka lakukan. Itulah antara tujuan bala diberikan kepada manusia.
Allah ﷻ tidak selalu buat begitu kerana Allah ﷻ hendak manusia fikir sendiri. Mereka yang bijak akan dapat fikir sendiri mana yang baik dan mana yang tidak. Sebab itu Allah ﷻ selalu menekankan untuk gunakan fikiran yang waras supaya kita tidak perlu tunggu bala dikenakan kepada kita baru hendak bertaubat, kerana bala itu berat kepada kita.
Maka, Allah ﷻ suruh kita lihat bagaimana keadaan orang-orang terdahulu yang telah ditimpa bala supaya kita beringat dan supaya kita jangan jadi seperti mereka. “A smart person learns from his mistakes; a smarter person learns from other people’s mistake”. (Orang yang cerdik belajar daripada pengalamannya sendiri, orang yang lebih cerdik belajar daripada pengalaman orang lain)
قَد خَلَت مِن قَبلِكُم سُنَنٌ فَسيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ
Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).
قَد خَلَت مِن قَبلِكُم سُنَنٌ
Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu peraturan-peraturan Allah yang tetap;
Sebelum ini telah berlaku azab-azab Allah ﷻ yang diturunkan kepada manusia. Jika manusia zaman sekarang sedang menderhaka, bukan mereka sahaja mula menderhaka, dari dulu lagi, sudah banyak puak yang menderhaka.
فَسيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ
oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan
ِAllah ﷻ suruh mereka yang berdosa itu untuk berjalan mengembara di dunia dan lihat sendiri bagaimana nasib orang-orang yang terdahulu yang hidup dalam dosa. Lihatlah bagaimana kisah kaum Nabi Luth عليه السلام di Laut Mati itu. Para sahabat juga menceritakan bagaimana mereka melalui kawasan Kaum Aad dan Tsamud dan kemusnahan di sana.
Mereka itu semua dikenakan dengan azab yang berat kerana mereka telah mendustakan para Nabi. Maksudnya mereka tidak terima ajaran Nabi malah mengatakan Nabi berdusta dengan membawa ajaran yang baru dan bukan daripada Allah ﷻ.
Kita telah belajar dalam sejarah dan dalam ayat-ayat Al-Qur’an bagaimana mereka telah diazab. Maka janganlah hendak tunggu azab atau bala kena kepada kita baru hendak taat kepada Allah ﷻ dan ajaran Rasulullah. Itu tidak bijak namanya. Kita belajarlah daripada kesilapan orang lain. Janganlah kita sangka yang itu semua adalah kisah-kisah dahulu sahaja dan tidak mungkin kena kepada kita. Itu adalah sangkaan yang amat bahaya.
Allahu a’lam.