Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-113
لَيْسُوا سَوَاءً مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ يَتْلُونَ ءآيٰتِ اللَّهِ ءآنَاءَ اللَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ
Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).
لَيْسُوا سَوَاءً
Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama semuanya
Tidak sama mereka semuanya. Oleh itu, jangan kita pukul rata mereka semuanya dengan kata mereka semua jahat belaka. Ada yang masuk Islam dan menjadi umat yang baik.
Ada yang memang menanti Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Nabi kerana mereka tahu dari kitab-kitab mereka yang mengatakan Nabi akhir zaman akan datang ke Madinah. Antara mereka itu, macam Waraqah bin Naufal, Salman al Farisi, Abdullah bin Salam dan banyak lagi.
Zaman sekarang pun masih ada orang Yahudi yang masuk Islam dan selalunya, kalau mereka masuk Islam, mereka akan jadi umat Islam yang baik, kerana mereka memang jenis manusia yang bijak dan pandai. Malah mereka lebih baik lagi daripada kita.
Begitulah, yang dikutuk dalam ayat-ayat Al-Qur’an ini adalah sifat-sifat Yahudi itu, bukan mereka sendiri. Kalau ada orang yang sifat seperti sifat-sifat Yahudi itu, mereka pun dikutuk juga, bukanlah kerana bangsa mereka itu. Ini kena tahu bezakan. Jangan kita tengok Bani Israel sahaja, terus kita kutuk mereka. Kerana ada antara mereka yang memang baik. Dan ingatlah, ada isteri Nabi yang dari Bani Israel itu. Tidaklah kita hendak kutuk ummul mukminin pula?
Dan jangan kutuk Bani Israel sedangkan entah kita ada sifat mereka pula. Sebab itu kena belajar sifat mereka dan bandingkan dengan kita. Allah SWT ajar sifat mereka dalam Al-Qur’an supaya kita boleh elak daripada sifat mereka.
مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ
Di antaranya ada golongan yang tetap tegak dalam taat
Ada antara mereka yang menegakkan kebenaran. Mereka masuk Islam dan menjadi insan yang baik.
يَتْلُونَ ءآيٰتِ اللَّهِ ءآنَاءَ اللَّيْلِ
mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam,
Lihatlah bagaimana mereka membaca ayat-ayat Allah di malam hari. Mereka itu jika masuk Islam, memang menjadi insan yang taat. Mereka baca dan faham dan mereka amalkan. Tetapi orang kita, baca Al-Qur’an namun tidak faham-faham. Bila orang luar kutuk Al-Qur’an, melenting habis satu kampung, tetapi apa yang dalam Al-Qur’an pun mereka tidak tahu.
وَهُمْ يَسْجُدُونَ
dan mereka sujud
Maksudnya, mereka mendirikan Solat. Sebenarnya, dalam syariat mereka pun ada sujud juga kerana mereka juga asalnya mendirikan solat. Cuma zaman sekarang sahaja mereka sudah tidak solat kerana mereka telah tukar agama mereka.
Cuma cara solat mereka dahulu pun memang lain sedikit dari syariat Islam. Antaranya, dikatakan yang mereka akan sujud dulu, baru rukuk sedangkan dalam syariat kita, akan rukuk dulu. Atau pun, dalam syariat mereka, tidak ada rukuk pun.
Tafsir Ayat Ke-114
Apakah lagi sifat-sifat mereka?
يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُسٰرِعُونَ فِي الْخَيْرٰتِ وَأُولَٰئِكَ مِنَ الصّٰلِحِينَ
Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah daripada orang-orang yang soleh.
يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat,
Ada juga dalam kalangan mereka dahulu yang tidak berbuat syirik walaupun Nabi Muhammad ﷺ belum diangkat menjadi Nabi. Mereka terdiri daripada yang meneruskan amalan agama mereka tanpa ditokok tambah. Contohnya, ada antara mereka yang tidak menyembah Isa عليه السلام sebagai ilah dan tidak menganggap Nabi Isa عليه السلام sebagai ‘Anak Tuhan’.
Apabila mereka memeluk Islam, mereka benar-benar beriman dengan Allah ﷻ dan juga dengan Hari Akhirat – Ini adalah kerana maklumat tentang hari akhirat telah diberi kepada semua Nabi. Umat mereka sepatutnya tahu. Sampai sekarang pun, kita boleh lihat bagaimana dalam agama mereka masih tahu tentang perkara kehidupan selepas mati.
Maklumat yang ada pada mereka sekarang tidaklah banyak. Mereka tidak tahu bagaimana keadaan di akhirat kelak sampaikan mereka mengagak-agak sahaja. Lihatlah bagaimana dalam filem-filem mereka tentang syurga dan neraka, pelbagai cara mereka persembahkan. Antaranya, mereka membayangkan bagaimana di syurga nanti, semuanya akan memakai baju putih, jalan-jalan dengan gembira dan sebagainya. Lain filem, lain cara mereka persembahkan.
Oleh kerana tidak ada maklumat, maka setiap orang daripada mereka akan membayangkan cara syurga dan neraka yang berlainan. Ini semua kerana maklumat tentang akhirat telah tidak ditekankan lagi dalam agama mereka.
وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ
dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah
Malah, ada yang hebat di antara mereka yang menjalankan amar makruf nahi mungkar. Semenjak dahulu lagi sudah ada puak yang menjalankan amar makruf nahi mungkar dalam kalangan mereka.
Ini memang satu kerja yang amat sukar sebenarnya. Kita kadangkala mudah untuk beramal dan menjadi orang baik, namun bab menegur orang memang susah. Tambahan pula manusia memang tidak suka ditegur. Habis melenting kalau perbuatan atau amalan mereka ditegur.
Kerana itulah ajaran Sunnah di negara kita ini amat dibenci sampai dituduh-tuduh ajaran Wahabi. Padahal kita hendak mengamalkan sunnah sahaja. Dalam sunnah memang ada perbuatan menegur kerana manusia kalau tidak ditegur, memang akan ke laut jadinya.
Oleh kerana manusia tidak suka ditegur, maka ramai dalam kalangan kita senyapkan sahaja amalan salah masyarakat. Ini kerana kalau kita tegur, nanti mereka bermasam muka dengan kita. Kita pun malas hendak melayan perangai sebegitu.
Masalah dengan para ustaz pun tidak berani hendak menegur kerana kalau ditegur, nanti anak murid tidak suka, sudah tidak panggil mereka untuk datang ke kelas pengajian, majlis makan-makan dan sebagainya. Buatlah apa sahaja, asalkan jangan ditegur. Pernah seorang ustaz yang agak popular dalam masyarakat kerana beliau datang dari negara luar namun fasih berbahasa Melayu. Pada mulanya ramai suka, tetapi sejak dia mula menegur amalan bid’ah masyarakat, teruk dia dikutuk. Sampai ada yang membuat laporan polis terhadap beliau.
Kerana itulah juga ajaran salah senang bercambah di negara ini. Ini kerana ajaran-ajaran sesat itu tidak menegur amalan masyarakat. Mereka hanya ‘tambah’ amalan baru sahaja. Ini tidak mengapa bagi masyarakat kerana kalau tambah, masih ok lagi. Jangan tegur sahaja.
Maka janganlah kita segan dan takut untuk menegur. Biarlah manusia tidak suka, asalkan Allah ﷻ suka. Kita bukan hendak mencari redha manusia, tetapi mencari redha Allah ﷻ. Dengan manusia, akan ada sahaja masalah yang akan membezakan kita. Kalau tidak kerana politik, kerana beza pasukan bola sahaja. Jadi biarlah kita berbeza dan menegur bab agama.
وَيُسٰرِعُونَ فِي الْخَيْرٰتِ
dan mereka pula bersegera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan.
Ini adalah tambahan yang ada pada golongan mereka: mereka bersegera kepada melakukan kebajikan. Mereka sentiasa mencari peluang untuk melakukan kebaikan. Ini mengajar kita juga supaya jangan menjadi malas. Kita hendaklah mencari peluang juga. Niatkan setiap hari selepas bangun tidur: “Apa kebaikan aku nak buat hari ini? Siapa yang aku nak tolong? Siapa yang aku nak ajar? Apa yang aku boleh baiki kehidupan manusia lain hari ini?”
وَأُولَٰئِكَ مِنَ الصّٰلِحِينَ
Mereka (yang demikian sifatnya), adalah daripada orang-orang yang soleh.
Mereka itulah orang-orang yang soleh. Malangnya, banyak daripada ajaran yang benar dalam agama mereka telah ditukar dan kerana itu agama mereka telah rosak. Mereka kemudian tidak lagi menjalankan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar, maka mereka telah ditukar dengan umat Islam yang lain.
Kita kena jadikan mereka sebagai peringatan untuk kita. Kalau kita pun meninggalkan tanggungjawab kita sebagai umat Islam, maka Allah ﷻ boleh menukar kita dengan puak yang lain yang akan menjalankan tugas itu. Tidak sukar untuk Allah ﷻ untuk menukarkan kita dengan umat yang lain. Jangan perasan kita ini istimewa sangat.
Agama Islam sedang berkembang pesat di negara barat seperti di Eropah. Mereka itu lebih hebat daripada kita kerana apabila mereka memeluk Islam, mereka belajar dengan betul. Kita kebanyakannya agama warisan sahaja, tidak faham pun tentang agama Islam sebenarnya. Jadi mereka yang baru masuk Islam yang lebih hebat daripada kita sebenarnya.
Tafsir Ayat Ke-115
Sebelum ini ada disebut tentang ahli kitab yang beriman dan beramal soleh. Kepada mereka itu, tidak perlu bimbang, kerana tidak hilang penghargaan daripada Allah ﷻ. Tidak sia-sia amalan mereka itu. Asalkan baik, mereka akan dibalas oleh Allah ﷻ di akhirat kelak.
وَمَا يَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَلَن يُكْفَرُوهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.
وَمَا يَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَلَن يُكْفَرُوهُ
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari
Maksudnya, amalan ahli-ahli kitab itu diterima oleh Allah ﷻ. Ini adalah tentang mereka yang mengamalkan ajaran agama mereka dengan benar, walaupun Nabi Muhammad ﷺ telah diangkat menjadi Nabi. Ini kerana mereka tidak mengamalkan syirik, cuma mereka tidak dapat bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, maklumat tidak sampai kepada mereka, maka mereka tidak masuk Islam lagi pada waktu itu.
Ini adalah munasabah kerana maklumat ketika zaman itu tidaklah selaju zaman sekarang. Ayat ini memberitahu, bahawa amalan mereka diterima asalkan mereka tidak bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah syarat, kerana kalau mereka telah tahu tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ telah sampai, mereka tidak ada pilihan lain selain daripada beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ.
وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ
Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.
Selalu ada persoalan, bagaimana dengan mereka yang tidak sampai kepada mereka ajaran Nabi Muhammad ﷺ? Mungkin mereka tinggal di kawasan pedalaman yang tidak memungkinkan mereka tahu tentang Islam? Pertamanya, ini bukan perkara yang patut kita bimbangkan, kerana yang kita kena bimbangkan adalah hal diri kita, bukan diri orang lain.
Keduanya, kita kena yakin yang Allah ﷻ itu adil. Apa-apa sahaja yang Allah ﷻ buat, Allah ﷻ tidak akan sesekali berlaku zalim.
Ada satu riwayat hadith, bagaimana ada manusia yang tidak berpeluang sampai kepada mereka dakwah Islam. Di akhirat nanti, mereka pun kata bahawa kalaulah sampai dakwah kepada mereka, mereka tentunya akan masuk Islam. Maka Allah ﷻ arahkan mereka lompat ke dalam neraka. Ada yang lompat dan ada yang berhujah lagi dengan Allah ﷻ.
Maka, kepada mereka yang berhujah itu, Allah ﷻ akan kata bagaimana mereka kata mereka akan percaya kepada Dia, sedangkan arahan Dia pun mereka tidak ikut? Maksud daripada riwayat ini, itu adalah ujian daripada Allah ﷻ. Mereka yang taat kepada Allah ﷻ dengan melompat ke dalam neraka sebenarnya melompat masuk ke dalam syurga. Mereka yang tetap berhujah itu, mereka itu telah gagal dalam ujian itu. Maksudnya, Allah ﷻ tetap akan uji dan Allah ﷻ tidak zalim, percayalah.
Tafsir Ayat Ke-116
Ini adalah ayat takhwif ukhrawi
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَن تُغْنِيَ عَنْهُمْ أَمْوٰلُهُمْ وَلَا أَوْلٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيْئًا وَأُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikit pun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَن تُغْنِيَ عَنْهُمْ أَمْوٰلُهُمْ وَلَا أَوْلٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيْئًا
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka daripada (azab) Allah sedikit pun,
Oleh kerana tamakkan harta dan pengaruhlah yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kufur. Sedangkan harta dan anak pinak mereka itu tidak dapat menolong mereka pun. Di dunia lagi pun sudah tidak dapat tolong mereka, apatah lagi di akhirat.
وَأُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ النَّارِ
dan mereka itu ialah ahli neraka;
Di akhirat nanti akan masuk neraka. Mereka pegang geran Neraka. Itulah maksud ‘sahabat neraka’ iaitu kekal dalam neraka. Tidak sama dengan golongan yang masuk neraka tetapi tidak kekal. Mereka ini dinamakan ‘jahannamiyyun’.
هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ
mereka kekal di dalamnya
Mereka bukan duduk tinggal di neraka sekejap sahaja, tetapi mereka akan kekal selama-lamanya di sana kerana mereka pemegang geran Neraka. Kalau orang mukmin, tetapi ada dosa, dia akan masuk neraka dahulu dan kemudian akan masuk ke syurga akhirnya, kerana dia pemegang geran Syurga. Dia cuma duduk di neraka untuk cuci dosa sahaja.
Allahu a’lam.