Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-249
Kita masih lagi berkisar kepada kisah Talut dan Jalut. Talut diberikan kepandaian dan kemahiran untuk melatih tenteranya. Memang tentera itu kena dilatih supaya seorang ketua itu tahu yang dia sedang bawa tentera yang terlatih.
فَلَمّا فَصَلَ طالوتُ بِالجُنودِ قالَ إِنَّ اللَّهَ مُبتَليكُم بِنَهَرٍ فَمَن شَرِبَ مِنهُ فَلَيسَ مِنّي وَمَن لَّم يَطعَمهُ فَإِنَّهُ مِنّي إِلّا مَنِ اغتَرَفَ غُرفَةً بِيَدِهِ ۚ فَشَرِبوا مِنهُ إِلّا قَليلًا مِّنهُم ۚ فَلَمّا جاوَزَهُ هُوَ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ قالوا لا طاقَةَ لَنَا اليَومَ بِجالوتَ وَجُنودِهِ ۚ قالَ الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُواْ اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثيرَةً بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ
Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah dia: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah dia daripada pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya dia daripada pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.
فَلَمّا فَصَلَ طالوتُ بِالجُنودِ
Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya,
Salah satu perkara yang dia uji tenteranya adalah ketaatan kepada ketua kerana ketaatan adalah amat penting dalam peperangan. Kalau tidak ada ketaatan, tentera itu akan lemah, tidak kira sama ada mereka dalam bilangan yang sedikit atau banyak.
Dalilnya kita boleh lihat dalam kisah peperangan Uhud. Waktu itu, kemenangan yang hampir dapat boleh berubah menjadi kekalahan kerana ketaatan telah hilang (apabila para pemanah meninggalkan tempat mereka). Maka Allah ﷻ menceritakan bagaimana Talut melatih tenteranya menjadi taat.
Talut membawa tenteranya untuk berperang dengan golongan Amaliqah yang berada di Baitul Maqdis waktu itu.
قالَ إِنَّ اللَّهَ مُبتَليكُم بِنَهَرٍ
berkatalah dia: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai,
Allah ﷻ mengilhamkan Talut untuk menguji tentera itu dengan sungai. Mereka akan melalui sungai itu tetapi arahan yang dikeluarkan, tidak boleh minum walau dahaga macam mana pun.
Bayangkan mereka waktu itu sudah berjalan jauh, dalam kepenatan dan dahaga yang amat sangat, tetapi tidak boleh minum air yang ada di dalam sungai depan mata. Jiwa tentunya bergelora hendak minum tetapi arahan yang diberikan jangan minum. Ini adalah ujian yang berat untuk lihat siapa yang taat.
فَمَن شَرِبَ مِنهُ فَلَيسَ مِنّي
oleh itu sesiapa yang meminum airnya maka bukanlah dia daripada pengikutku,
Sesiapa yang minum juga, maka tidak boleh lagi menjadi tentera Talut. Maknanya, mereka yang minum telah tidak mengikut arahan dan tidak taat kepada ketua. Mereka dikira gagal dalam ujian itu. Mereka akan digugurkan daripada tentera itu. Bahaya kalau bawa mereka juga kerana mereka lemah dan tidak taat.
وَمَن لَّم يَطعَمهُ فَإِنَّهُ مِنّي
dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya dia daripada pengikutku
Sesiapa yang boleh menahan diri daripada meminum air dari sungai itu, maka mereka boleh terus ikut menjadi tentera. Mereka boleh terus menjadi tentera Talut kalau taat kepada beliau.
إِلّا مَنِ اغتَرَفَ غُرفَةً بِيَدِهِ
kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya
Yang tidak minum langsung adalah jenis komando tetapi kalau jenis askar yang biasa, bolehlah kalau hendak minum sekadar seraup tapak tangan sahaja. Tidak boleh lebih daripada itu. Masih lagi dikira sebagai tentera Talut juga. Namun darjatnya sudah turun sedikit.
فَشَرِبوا مِنهُ إِلّا قَليلًا مِّنهُم
mereka meminum juga daripada sungai itu, kecuali sebahagian kecil daripada mereka.
Ramai yang minum dengan banyak, kecuali sedikit sahaja yang mengikut arahan. Bahasa yang digunakan menunjukkan sedikit sangat yang tidak minum. Mereka tidak tahan melawan nafsu yang amat dahaga, maka mereka terus minum.
فَلَمّا جاوَزَهُ هُوَ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ
Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu,
Kisah ini terus melompat ke bahagian mereka sudah berada di lapangan peperangan setelah menyeberangi sungai itu.
قالوا لا طاقَةَ لَنَا اليَومَ بِجالوتَ وَجُنودِهِ
berkatalah mereka: “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya.”
Mereka yang minum dengan banyak itu berkata yang mereka tidak ada kemampuan untuk berperang dengan tentera Jalut. Apabila mereka melihat banyaknya bilangan tentera Jalut, mereka sudah takut.
Dalam riwayat, dikatakan yang tentera Jalut sebanyak 90,000 dan ada riwayat lain kata sebanyak 300,000. Sedangkan tentera Talut itu seramai 313 orang sahaja. Asalnya lebih ramai.
Tentera mereka yang asalnya 80,000 jadi sedikit kerana sudah kena tapis sehingga tinggal 313 orang sahaja. Kalau kita ambil bilangan tentera Jalut sebanyak 90,000, tentunya bukan senang untuk dilawan berbanding dengan bilangan tentera talut yang hanya sebanyak 313 orang itu. Begitulah Allah ﷻ hendak tunjukkan bagaimana selalunya kisah tentera Islam selalunya melawan tentera yang lebih ramai tetapi menang.
Ini kerana Allah ﷻ hendak tunjuk bagaimana Dia menolong hamba-Nya yang taat. Bukannya bergantung kepada ramainya bilangan tentera. Allah ﷻ hendak kita mula pergi perang sahaja, dan apabila kita taat, Dia akan beri kemenangan. Memang kalau fikirkan dengan akal yang logik, tidak nampak macam mana cara boleh menang, tetapi Allah ﷻ hendak menunjukkan Qudrat-Nya.
Satu lagi tafsir, yang berkata itu adalah mereka yang minum sekadar seraup tangan itu. Yang sudah minum banyak itu memang sudah tiada lagi sebab sudah kena balik kampung. Maka yang berkata itu adalah yang minum seraup tangan itu, iaitu mereka yang lemah sedikit daripada mereka yang tidak minum langsung. Bila mengadap tentera Jalut sahaja, mereka sudah takut kerana mereka agak lemah.
قالَ الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُواْ اللَّهِ
Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah:
Yang berkata itu adalah mereka yang benar-benar yakin akan bantuan daripada Allah ﷻ. Mereka yakin kerana mereka sedar yang mereka akan bertemu dengan Allah ﷻ. Mereka tahu yang mereka akhirnya akan menemui Allah ﷻ juga akhirnya, tetapi mati dalam jihad lebih mulia.
Allah ﷻ sudah menjanjikan kemenangan kepada mereka, maka mereka yakin akan kemenangan itu dan kalau mereka mati di medan pertempuran, mereka akan mati syahid. Jadi, apa-apa pun, mereka akan menang. Mereka sudah tidak takut dan kita boleh lihat mereka berkata-kata dengan berani sekali.
Allah ﷻ membawakan kisah ini kepada para sahabat yang tidak lama lagi akan berdepan dengan tentera Musyrikin Mekah yang lebih ramai daripada mereka dalam Perang Badr. Allah ﷻ hendak memberikan semangat kepada mereka bahawa walaupun nanti mereka berhadapan dengan musuh yang lebih ramai, mereka tetap boleh menang walaupun mereka sedikit kerana mereka akan dibantu oleh Allah ﷻ.
كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثيرَةً بِإِذنِ اللَّهِ
Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah
Mereka yang berani itu berkata kemenangan yang itu adalah dengan keizinan Allah ﷻ. Bukan dengan ramainya tentera. Hanya mereka yang benar-benar yakin sahaja akan kata begini. Namun kalau yang berkata itu tidak yakin, tiada makna. Kalau kita saja-saja hendak cakap, tidak ada makna kerana keyakinan itu datangnya dari hati.
Kita cakap ini sebab ada manusia yang menggunakan ayat ini sebagai azimat. Mereka hendak mula berperang, atau mula hendak bertumbuk, mereka akan baca ayat ini sebagai penguat semangat dan sebagai azimat. Itu adalah cara salah. Tidak ada maknanya kalau mereka cakap tetapi hati mereka tidak yakin.
Manusia yang jahil, memang suka baca ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat. Baca pada air, pada barang, pada rumah dan macam-macam lagi. Apa yang mereka baca pun mereka tidak faham kerana mereka bukannya belajar tafsir Al-Qur’an pun. Mereka pakai baca sahaja.
Ingatlah yang ayat Al-Qur’an bukan untuk dijadikan sebagai azimat supaya dibaca supaya dapat kuasa atau sebagainya. Namun sebab ramai dalam kalangan umat Islam ini jahil dan bodoh, maka senang sangat mereka ditipu. Maka banyaklah dalam pasaran sekarang ada air jampi, air yang telah dibaca Al-Qur’an 30 juzuk, Air Anugerah, air itu ini, baju sudah kena jampi, biskut, coklat sudah kena jampi, ayam jampi, baju raya pun dijampi juga dan macam-macam jampi lagi.
Apabila dibacakan ayat Al-Qur’an kerana niat tertentu, berkehendakkan sesuatu, maka pembacaan itu menjadi sihir iaitu sihir dengan ayat Al-Qur’an. Manusia yang jahil menyangka kalau menggunakan ayat Al-Qur’an, tidak salah. Namun ia adalah salah sebenarnya.
وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ
dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.
Mereka yang berani itu sambung lagi kata-kata mereka: Allah ﷻ bersama dengan orang yang sabar. ‘Bersama’ maksudnya Dia akan beri bantuan. Lihatlah nanti bagaimana dalam Perang Talut dan Jalut ini, tentera Islam mendapat kemenangan dan dalam Perang Bad pula, tentera Islam juga telah mendapat kemenangan.
Sabar itu antara lain, sabar dalam menjaga hukum. Walaupun kita rasa arahan Allah ﷻ itu susah, namun oleh kerana kita taat kepada Allah ﷻ, kita ikut juga. Maka kalau kita berani, kita tidak takut menegakkan kebenaran. Walaupun orang hendak kata kita Wahabi atau apa-apa sahaja tuduhan palsu.
Tafsir Ayat ke-250
وَلَمّا بَرَزوا لِجالوتَ وَجُنودِهِ قالوا رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا وَثَبِّت أَقدامَنا وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ
Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”
وَلَمّا بَرَزوا لِجالوتَ وَجُنودِهِ
Dan apabila mereka keluar menentang Jalut dan tenteranya,
Ini adalah semasa tentera Talut itu sudah mengadap tentera Jalut dan hampir hendak berlawan di medan pertempuran. Mereka sudah nampak tentera Jalut di hadapan mereka.
قالوا رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا
mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami,
Ini adalah doa mereka apabila berhadapan dengan musuh. Tugas kita adalah minta kepada Allah ﷻ. Kalau takut, maka serahkan diri kita kepada Allah ﷻ. Apa-apa sahaja kita bergantung kepada Allah ﷻ.
Mereka minta supaya dilimpahkan sabar kepada mereka. Doa minta sabar ini hanya boleh dibaca depan musuh sahaja. Tidak boleh dibaca semasa kita senang lenang. Nabi ﷺ tidak membenarkan kerana pernah Nabi Muhammad ﷺ mendengar seorang sahabat berdoa minta sabar. Nabi ﷺ menegur perbuatan sahabat itu.
رواه الترمذي 3527 من طريق أَبِي الْوَرْدِ عَنْ اللَّجْلَاجِ عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ : ” سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الصَّبْرَ ، فَقَالَ : سَأَلْتَ اللَّهَ الْبَلَاءَ فَسَلْهُ الْعَافِيَةَ
Nabi ﷺ mendengar seorang lelaki berdoa: ya Allah aku memohon kepada-Mu sabar. Baginda bersabda: kamu meminta bala. Maka mintalah afiah. (Riwayat Tirmidzi)
Ini kerana kalau minta sabar semasa senang, itu meminta bala sebenarnya kerana sabar tidak akan jelas dan zahir tanpa bala. Maka kalau minta sabar, Allah ﷻ akan beri bala supaya orang itu diberi ujian sabar. Oleh itu, hanya apabila kita perlu berada dalam keadaan sabar, barulah minta.
وَثَبِّت أَقدامَنا
dan teguhkanlah tapak pendirian kami
Hati kena teguh dengan sabar, dan kaki kena teguh juga supaya tidak lari. Kaki kita akan ikut hati sebenarnya. Kalau hati berani, kaki pun akan berani. Kalau hati sudah takut, kaki pun akan takut juga. Sebab itu bila kita takut, kaki kita lembik sahaja, bukan?
وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ
serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”
Mereka meminta kemenangan diberikan kepada mereka kerana mereka menentang orang kafir. Indah sekali doa mereka ini dan Allah ﷻ memasukkan doa mereka ke dalam Al-Qur’an yang akan kekal sepanjang zaman sampai kiamat.
Namun harus diingatkan, jangan amalkan doa ini kalau keadaan tidak memerlukan.
Allahu a’lam.