Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-233 hingga Ke-235

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-233 hingga Ke-235

687
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-233

Ini pula kalau suami isteri sudah bercerai dan ada anak. Selepas kedua-duanya bercerai, mungkin salah seorang sudah berkahwin lain atau dua-dua sudah kahwin lain.

Selalu kalau sudah bercerai, biasanya tidak mahu pun tengok pun muka isteri atau suami. Ini adat kebiasaan yang terjadi. Malangnya, ada kes anak yang menjadi mangsa. Anak itu bukan tahu apa-apa, mereka hendakkan susu sahaja. Maka Islam jaga kepentingan anak.

۞ وَالوٰلِدٰتُ يُرضِعنَ أَولٰدَهُنَّ حَولَينِ كامِلَينِ ۖ لِمَن أَرادَ أَن يُتِمَّ الرَّضاعَةَ ۚ وَعَلَى المَولودِ لَهُ رِزقُهُنَّ وَكِسوَتُهُنَّ بِالمَعروفِ ۚ لا تُكَلَّفُ نَفسٌ إِلّا وُسعَها ۚ لا تُضارَّ وٰلِدَةٌ بِوَلَدِها وَلا مَولودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ ۚ وَعَلَى الوارِثِ مِثلُ ذٰلِكَ ۗ فَإِن أَرادا فِصالًا عَن تَراضٍ مِّنهُما وَتَشاوُرٍ فَلا جُناحَ عَلَيهِما ۗ وَإِن أَرَدتُّم أَن تَستَرضِعوا أَولٰدَكُم فَلا جُناحَ عَلَيكُم إِذا سَلَّمتُم مّا ءآتَيتُم بِالمَعروفِ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

وَالوٰلِدٰتُ يُرضِعنَ أَولٰدَهُنَّ حَولَينِ كامِلَينِ

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap

Ibu-ibulah yang boleh menyusukan anak mereka. Maksud yang hendak disampaikan dalam ayat ini adalah, ibu-ibu digalakkan menyusukan anak-anak mereka walaupun sudah bercerai.

Tempoh terbaik adalah selama dua tahun cukup tetapi tidaklah wajib sampai dua tahun.

لِمَن أَرادَ أَن يُتِمَّ الرَّضاعَةَ

bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu;

Kalau boleh, selama dua tahun, tetapi kalau kurang pun boleh.

وَعَلَى المَولودِ لَهُ رِزقُهُنَّ وَكِسوَتُهُنَّ بِالمَعروفِ

dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

Oleh kerana ibu disuruh menyusukan anak itu, maka bapa hendaklah menyediakan rezeki untuk ibu. Bukan makanan sahaja, tetapi dengan minuman sekali.

‘Makruf’ itu maksudnya nenepati syariat dan yang bersesuaian dengan masyarakat. Yang diterima oleh masyarakat setempat. Maknanya, beri yang sesuai, jangan beri makanan dan pakaian yang buruk. Allah ‎ﷻ tidak berikan butiran kerana perkara ini boleh dinilai sendiri.

لا تُكَلَّفُ نَفسٌ إِلّا وُسعَها

Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.

Berapa banyak bayaran dan keperluan tidak ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Ia ikut kepada kemampuan. Kepada ibu itu pula, kenalah berpada-pada menetapkan bayaran. Jangan minta bayaran banyak sangat atas alasan dia kena susukan anak itu. Sedangkan itu pun anak dia juga.

لا تُضارَّ وٰلِدَةٌ بِوَلَدِها

Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya,

Jangan susahkan ibu itu dalam hal susuan ini. Antaranya, suami itu jangan lari daripada tanggungjawab dia. Dalam hal ini, mahkamah kena tolong. Kena pastikan yang lelaki itu bertanggungjawab dan kalau dia hendak lari, kena ada tindakan terhadap mereka.

وَلا مَولودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ

dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya;

Begitu juga, jangan susahkan bapa itu. Antaranya, jangan tuntut lebih daripada yang sepatutnya. Kalau tidak ada persetujuan antara keduanya, maka mahkamah kena buat keputusan apakah yang patut.

Kita banyak sebut tentang mahkamah terlibat dalam hal antara suami isteri yang bercerai ini. Sebenarnya, kalau sama-sama faham agama dan guna akal yang waras dan hati yang suci, tidak perlu bawa ke mahkamah pun.

وَعَلَى الوارِثِ مِثلُ ذٰلِكَ

dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut

Jangan juga waris disusahkan kerana kadang-kadang waris terlibat dalam hal ini. Contohnya, kalau bapa bayi itu sudah mati. Dalam kes sebegitu, waris suami kenalah tanggung, jangan buat tidak tahu sahaja.

Yang penting, tidak boleh biarkan bayi itu dalam kesusahan. Seorang anak hendaklah dibesarkan dengan baik. Fikirkanlah juga masa depan anak itu.

فَإِن أَرادا فِصالًا عَن تَراضٍ مِّنهُما وَتَشاوُرٍ فَلا جُناحَ عَلَيهِما

jika keduanya mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah

Ini pula jikalau tidak boleh teruskan penyusuan itu. Mungkin ibu itu kena pergi ke tempat yang jauh daripada bapa itu atau sebagainya. Persetujuan boleh dicapai untuk menamatkan penyusuan – dalam Bahasa Melayu dipanggil Sapih.

Kedua-duanya kena rela dengan keputusan itu. Maka kenalah ada perbincangan antara mereka dengan apa hendak dibuat, jangan buat keputusan sebelah pihak sahaja.

Yang penting, jangan anak itu yang menjadi mangsa. Seperti yang kita tahu, susu ibu memang makanan terbaik untuk bayi itu. Maka, mungkin untuk membuat keputusan, kena periksa dan tanya dengan doktor. Setelah dilakukan semua ini, baru tidak berdosa dan tidak melanggar ayat ini.

وَإِن أَرَدتُّم أَن تَستَرضِعوا أَولٰدَكُم فَلا جُناحَ عَلَيكُم

Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu

Penyusu lain pun boleh iaitu beri anak itu menyusu dengan orang lain. Ini nanti akan berkait pula dengan hukum Ibu Susuan pula jadi kena sedar hal ini.

إِذا سَلَّمتُم مّا ءآتَيتُم بِالمَعروفِ

apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut.

Dibenarkan untuk disusukan dengan orang lain, asal sanggup memberi upah kepada penyusu itu. Maknanya, bukan percuma sahaja, kenalah diberi upah kepada ibu susuan itu. Kena tengok pada keadaan bayi itu dan kemampuan masing-masing dalam segala hal.

وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

Allah ‎ﷻ menekankan kepentingan taqwa sekali lagi dalam ayat ini. Segala perkara yang telah disebut ini akan mudah dilakukan dan dicapai jikalau semuanya ada taqwa kepada Allah ‎ﷻ. Perceraian mungkin tidak dapat dielakkan. Namun apa yang terjadi selepas itu, buatlah dengan cara yang baik.

Allah ‎ﷻ sentiasa melihat apa yang kita lakukan dan keputusan yang kita buat. Allah ‎ﷻ tahu niat hati kita dan usaha kita untuk menepati kehendak-Nya.

Tafsir Ayat Ke-234

Kita masih lagi dalam perbincangan ayat-ayat Umur Munazimah tentang masalah perceraian antara suami isteri.

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَربَعَةَ أَشهُرٍ وَعَشرًا ۖ فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ بِالمَعروفِ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa iddahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا

Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri

Kali ini tentang iddah jikalau kematian suami pula. Biasanya dipanggil ‘cerai mati’ dalam bahasa kita dan isteri yang kematian suami itu dipanggil ‘balu’.

يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَربَعَةَ أَشهُرٍ وَعَشرًا

hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.

Iddah kepada isteri yang kematian suami adalah lebih lama daripada iddah yang biasa (tiga kali suci). Hikmahnya adalah, jangkamasa itu bukan sahaja hendak tengok sama ada ada kandungan dalam perut isteri itu, tetapi kerana hendak menjaga perasaan kaum kerabat suami yang baru mati itu.

Kalau bekas isteri itu terus sahaja berkahwin lain, tentu kaum keluarga suami akan sedih kerana sudahlah hilang ahli keluarga mereka, ini hilang lagi seorang. Kalau isteri itu kahwin lain, tentu dia akan bersama dan sibuk dengan keluarga baru. Itulah hikmah iddah itu lebih lama lagi.

فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ بِالمَعروفِ

Kemudian apabila telah habis masa iddahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik

Apabila sudah cukup empat bulan sepuluh hari itu, benarkanlah isteri itu untuk berkahwin lain atau hendak duduk di tempat lain. Wali tidak boleh sekat kalau perempuan itu hendak berkahwin lain atau berpindah.

Empat bulan adalah tempoh biasa yang seorang wanita boleh tahan tanpa suami. Tentera Islam pun kalau berperang lama, paling lama hanyalah selama empat bulan sahaja. Saidina Umar pernah رضي الله عنه perasan adanya perangai yang tidak elok di kalangan isteri-isteri yang ditinggalkan lama oleh suami yang pergi berperang.

Maka Umar رضي الله عنه bertanyakan anaknya Habsah, berapa lama seorang isteri boleh tahan tanpa suaminya. Habsah telah beri isyarat dengan empat jarinya, maksudnya empat bulan. Maka Umar رضي الله عنه telah mengeluarkan arahan supaya suami yang menjadi tentera hanya boleh keluar paling lama empat bulan.

Bila cukup tempoh, kena ganti dengan tentera yang lain kecuali kalau isteri izinkan. Maka kena tanya dahulu kepada isteri kalau boleh lagi lama berpergian.

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

Allah رضي الله عنه maha tahu apakah keperluan manusia maka sebab itulah Allah رضي الله عنه telah memberi hukum-hukum yang kita telah nyatakan selama ini.

Tafsir Ayat Ke-235

Dalam masa iddah, bukan sahaja kahwin, pertunangan pun tidak boleh. Yang boleh ada, hanya sindiran.

وَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما عَرَّضتُم بِهِ مِن خِطبَةِ النِّساءِ أَو أَكنَنتُم في أَنفُسِكُم ۚ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُم سَتَذكُرونَهُنَّ وَلٰكِن لّا تُواعِدوهُنَّ سِرًّا إِلّا أَن تَقولوا قَولًا مَّعروفًا ۚ وَلا تَعزِموا عُقدَةَ النِّكاحِ حَتّىٰ يَبلُغَ الكِتٰبُ أَجَلَهُ ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَعلَمُ ما في أَنفُسِكُم فَاحذَروهُ ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ

Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam iddah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain daripada menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis iddah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaan-Nya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

وَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما عَرَّضتُم بِهِ مِن خِطبَةِ النِّساءِ

Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan

‘Kamu’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah lelaki yang mahu memperisterikan janda. Tidak salah kalau gunakan kata sindiran atau kiasan untuk ajak berkahwin dengan tujuan untuk meminang wanita itu.

Dalam kitab disebut contoh begini : “ramai orang minat dengan kamu”; iaitu dia tidak kata dia yang minat, tetapi dia berkias dengan kata orang lain yang minat.

أَو أَكنَنتُم في أَنفُسِكُم

atau tentang kamu menyimpan dalam hati kamu

Atau sekadar niat sahaja dalam hati. Ini dibenarkan. Allah ‎ﷻ hendak kata tidak salah kalau kamu ada perasaan begitu. Cinta bukan boleh dipaksa-paksa dan ditolak-tolak.

عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُم سَتَذكُرونَهُنَّ

Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka,

Allah ‎ﷻ tahu yang lelaki akan sentiasa teringat kepada wanita yang dia suka dan Allah ‎ﷻ tahu yang suatu hari nanti lelaki itu akan sebut juga kepada mereka. Sebab kalau sudah minat, akan disebut juga sebab takut orang lain kebas. Cuma lafaz jelas tidak boleh digunakan semasa janda itu dalam iddah.

وَلٰكِن لّا تُواعِدوهُنَّ سِرًّا

akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit,

Jangan buat janji dengan janda itu secara senyap tanpa diketahui wali. Jangan kata hendak berkahwin dengan mereka kerana takut kalau kita beritahu kita hendak kahwin dengan mereka, maka ada kemungkinan mereka akan mempercepatkan iddah mereka.

Ini kerana mereka hendak berkahwin dengan kita, maka mereka boleh kata iddah mereka telah habis sedangkan belum lagi. Allah ‎ﷻ menghalang perkara ini daripada berlaku.

إِلّا أَن تَقولوا قَولًا مَّعروفًا

selain daripada menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan

Yang boleh digunakan adalah hanyalah perkataan yang dalam bentuk kiasan sahaja. Sebagai contoh, kita kata: “semoga Allah berikan jodoh yang baik untuk awak nanti.” Jangan kata lebih daripada itu kerana takut mereka letak harapan kita akan berkahwin dengan mereka.

Kata-kata sindiran ini hanya boleh yang bukan dalam talaq raj’i kerana kalau talaq raj’i, mereka itu masih lagi isteri kepada suami dia sebab belum habis iddah. Mereka masih lagi tinggal dengan suami mereka lagi, jadi memang tidak boleh hendak bagi sindiran pun. Tambahan pula mereka masih lagi isteri orang. Jadi jangan buat pasal pula.

وَلا تَعزِموا عُقدَةَ النِّكاحِ

Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah

Jangan tetapkan dengan bersungguh-sungguh.

حَتّىٰ يَبلُغَ الكِتٰبُ أَجَلَهُ

sebelum habis iddah yang ditetapkan itu.

Kena tunggu iddah sudah habis barulah buat penetapan. Barulah hantar rombongan meminang. Jangan kelam kabut dan buat tidak senonoh.

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَعلَمُ ما في أَنفُسِكُم فَاحذَروهُ

Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaan-Nya,

Berwaspadalah. Jangan sampai buat dosa. Allah ‎ﷻ tahu apa yang dalam hati kita semua. Hendak buat apa-apa pun, jangan sampai melanggar hukum yang Allah‎ ﷻ telah tetapkan.

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ

dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Maksud Allah ‎ﷻ itu bersifat حَليمٌ adalah Allah itu tidak gopoh hendak menghukum hamba-Nya yang bersalah dan berdosa. Allah ‎ﷻ beri peluang untuk hamba itu bertaubat.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan