Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-231
Kita masih lagi dalam bab cerai. Kebiasaan masyarakat Arab Jahiliyah, mereka memang ada proses nikah dan cerai tetapi proses itu tidak ada had dan mereka boleh melakukannya berkali-kali sebelum Islam menghadkannya kepada tiga kali sahaja.
Mereka boleh buat begitu kerana mereka tidak ada kitab dan tidak ada pegangan agama yang benar, jadi mereka membuat ikut suka hati mereka sahaja.
Jadi lelaki Arab Jahiliyyah biasa menceraikan isteri mereka jikalau mereka marah dan semasa masih dalam iddah, mereka akan rujuk semula isteri mereka itu dan kemudian mereka ceraikan berkali-kali. Ini adalah satu kezaliman kepada isteri itu kerana mereka dipermainkan begitu.
Lelaki tidak berasa terbeban dengan perkara begitu kerana mereka boleh berkahwin ramai. Kalau mereka ceraikan seorang isteri, mereka ada isteri-isteri yang lain. Jadi Islam telah menjaga hak wanita dalam hal ini.
وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ أَو سَرِّحوهُنَّ بِمَعروفٍ ۚ وَلا تُمسِكوهُنَّ ضِرارًا لِّتَعتَدوا ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ ۚ وَلا تَتَّخِذوا ءَايَـٰتِ اللَّهِ هُزُوًا ۚ وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم وَما أَنزَلَ عَلَيكُم مِّنَ الكِتٰبِ وَالحِكمَةِ يَعِظُكُم بِهِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya
Harus diterjemah ayat ini: ‘hampir sampai tamat tempoh iddah’ dan bukannya ‘telah sampai tempoh iddah’. Kalau baca lafaz asal (secara literal), ia hanya bermaksud apabila telah habis tempoh iddah. Tetapi kalau sudah habis tempoh iddah, sudah tidak boleh rujuk kembali, maka tidak sesuai dengan pemahaman hukum. Maka, kena baca: telah ‘hampir’ tempoh iddah.
فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ
maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik
Maka seorang suami boleh rujuk isteri mereka yang telah diceraikan dan tahan mereka sebagai isteri dengan cara yang makruf. Maksud ‘makruf’ itu, kenalah hidup sebagai suami isteri dengan cara yang biasa. Jangan membahayakan mereka dan berlaku zalim kepada mereka. Jangan seksa emosi mereka.
Kita sudah banyak berjumpa dengan perkataan ‘makruf’ dalam ayat-ayat sebelum ini, tetapi Allah ﷻ tidak sebut pun dengan terperinci apakah yang dimaksudkan dengan maksud ‘makruf’ itu. Ini adalah kerana kita sebagai manusia yang ada akal fikiran ini sudah tahu apakah yang baik dan bagaimanakah cara untuk melayan orang dengan baik.
Tidak perlu jadi orang Islam pun tahu bagaimana berbaik-baik dengan orang lain. Tidak perlu ajar pun kita sudah tahu, jadi Allah ﷻ cuma perlu mengingatkan kita sahaja.
أَو سَرِّحوهُنَّ بِمَعروفٍ
atau lepaskan mereka dengan cara yang baik.
Atau kamu biarkan sampai telah habis iddah dan sempurnalah proses cerai itu. Maksud dengan cara yang ma’ruf itu adalah jangan rujuk setelah kamu ceraikan sebanyak tiga kali. Jangan burukkan mereka, jangan letak syarat yang tidak sepatutnya, jangan berkelahi, jangan cakap tidak elok kepada mereka dan sebagainya.
Apabila isteri itu dilepaskan, maka bolehlah mereka berkahwin dengan lelaki lain. Jangan halang isteri itu daripada menikahi orang lain. Kalau ada anak, maka suami itu tetap kena tanggung anak itu, kerana anak itu adalah anak dia.
وَلا تُمسِكوهُنَّ ضِرارًا لِّتَعتَدوا
Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melampau;
Jangan kamu ulangi perbuatan zaman jahiliyyah di mana seorang lelaki boleh cerai rujuk, cerai rujuk isteri itu berkali-kali sampai bila-bila dan menyusahkan wanita itu, sampai berlaku zalim kepada wanita. Ini di mana wanita itu tidak dilayan sebagai isteri, dan dia tidak boleh pula menikahi lelaki lain kerana dia masih lagi isteri kepada lelaki itu. Maka ini bagaikan gantung tidak bertali.
وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ
dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.
Dikatakan sebagai zalim kerana melanggar hukum Tuhan. Kamu berbuat zalim kepada orang lain, tetapi apabila kamu lakukan begitu, kamu menzalimi diri kamu sendiri sahaja kerana kerana perbuatan kamu itu, kamu akan mendapat murka Allah ﷻ dan akan dimasukkan ke dalam neraka.
وَلا تَتَّخِذوا ءَايَـٰتِ اللَّهِ هُزُوًا
dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan
Dikatakan main-main apabila tidak ikut hukum Tuhan. Apabila kena dengan nafsu kamu, kamu ikut; namun apabila tidak kena dengan nafsu dan rancangan kamu, kamu tolak begitu sahaja seolah-olah hukum Allah ﷻ itu tidak ada nilai langsung.
وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم
Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu,
Ingatlah nikmat Allah ﷻ yang telah ajar hukum berkeluarga yang adil. Apabila menggunakan hukum itu, keluarga menjadi aman dan hidup menjadi mudah dan terjaga. Apabila keluarga aman, maka masyarakat turut terkesan. Apabila masyarakat aman, negara turut aman, bukan?
وَما أَنزَلَ عَلَيكُم مِّنَ الكِتٰبِ وَالحِكمَةِ يَعِظُكُم بِهِ
(dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya.
Kenanglah nikmat Allah ﷻ memberikan wahyu kepada kamu dalam bentuk Al-Qur’an dan hadith Nabi. Lafaz الحِكمَةِ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hadith dan sunnah daripada Nabi ﷺ. Dengan adanya dua sumber hukum itu, hidup kita akan terjaga dan masyarakat akan hidup dengan baik.
Malangnya, kebanyakan masyarakat Islam tidak mengendahkan dua sumber rujukan nas yang dua ini. Mereka tidak belajar pun apakah yang Al-Qur’an dan Sunnah sampaikan. Mereka lebih suka merujuk ajaran-ajaran daripada kata-kata manusia biasa (yang tidak berlandaskan wahyu).
وَاتَّقُوا اللَّهَ
Dan bertaqwalah kepada Allah
Allah ﷻ mengingatkan kita untuk bertaqwa kepada-Nya. Surah Baqarah ini dimulai tentang taqwa dan banyak ayat-ayat di dalamnya yang mengajar kita untuk taqwa. Apakah taqwa itu?
‘Taqwa’ maksudnya menjaga hukum iaitu kita prihatin dengan hukum yang disampaikan oleh Allah ﷻ dan kita taat kepadanya. Namun kalau kita tidak tahu apakah hukum Allah ﷻ, bagaimana kita hendak taat kepada hukum itu? Bagaimana hendak tahu hukum Allah ﷻ kalau tidak belajar wahyu?
وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Apa sahaja yang kita lakukan, Allah ﷻ sedang perhati. Kalau kita langgar hukum-Nya, Dia akan catit dan Dia akan balas kesalahan dosa itu dengan neraka. Maka jangan rasa kuat sangat hendak buli orang lain, kerana nanti akan mendapat balasannya di akhirat kelak. Orang yang tidak beriman sahaja yang berbuat zalim terhadap orang lain kerana mereka lupa tentang balasan di akhirat.
Tafsir Ayat ke-232
Ini pula khitab (titah) kepada wali pula. Ini kerana ada kalanya mungkin pasangan itu sudah molek mahu bersama kembali, tetapi datang pula masalah daripada wali.
Ini boleh terjadi kerana mungkin suami isteri (yang dahulu sudah bercerai) mahu berkahwin kembali tetapi dihalang oleh wali sebab apabila hendak berkahwin semula memerlukan kebenaran wali. Mungkin mereka tidak suka kalau pasangan itu kembali bernikah. Jadi Allah ﷻ menegur mereka dalam ayat ini.
وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَلا تَعضُلوهُنَّ أَن يَنكِحنَ أَزوٰجَهُنَّ إِذا تَرٰضَوا بَينَهُم بِالمَعروفِ ۗ ذٰلِكَ يوعَظُ بِهِ مَن كانَ مِنكُم يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۗ ذٰلِكُم أَزكىٰ لَكُم وَأَطهَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa iddah mereka, maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.
وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa iddah mereka
Ini apabila sudah habis tempoh iddah iaitu kalau masih cuma dua kali cerai sahaja. Ini kerana kalau sudah tiga kali bercerai, kalau sudah habis iddah pun tidak boleh kahwin kembali. Apabila sudah habis iddah, tidak boleh rujuk, tetapi boleh kahwin semula melalui proses nikah seperti mula-mula kahwin dahulu.
فَلا تَعضُلوهُنَّ أَن يَنكِحنَ أَزوٰجَهُنَّ
maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka,
Jangan kamu wahai wali, menghalang mereka untuk berkahwin semula apabila mereka telah bersetuju dengan cara yang baik.
Kepada orang-orang lain yang bukan wali kepada wanita itu juga janganlah menghasut isteri itu untuk tidak berkahwin semula dengan bekas suaminya. Kadang-kadang dalam hal perkahwinan ini, banyak pihak yang terlibat, yang memberi nasihat yang tidak sepatutnya. Mereka sepatutnya memberi nasihat yang baik, tetapi selalunya mereka ikut perasaan sahaja.
إِذا تَرٰضَوا بَينَهُم بِالمَعروفِ
apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik
Pasangan itu mungkin telah sedar kesilapan mereka yang lalu dan mereka sekarang hendak bersatu semula dan hendak mengikut undang-undang Islam.
ذٰلِكَ يوعَظُ بِهِ مَن كانَ مِنكُم يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ
Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Kalau mereka hendak kahwin semula, apa yang patut kita sebagai wali atau ahli keluarga perlu lakukan? – senyap sahaja.
Jika akidah betul, maka akan mudah untuk mengikut hukum Tuhan. Itu sebabnya diulang kata: kalau kamu takut kepada Allah ﷻ dan Hari Akhirat. Itu isyarat kepada akidah.
ذٰلِكُم أَزكىٰ لَكُم وَأَطهَرُ
Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci.
‘Lebih baik untuk kamu’ itu maksudnya kamu bebas daripada orang menuduh kamu benci sebab kalau kamu halang, orang akan kata macam-macam tentang kamu.
Ia lebih suci bagi mereka berdua sebab kalau ditahan juga mereka daripada berkahwin semula, mungkin mereka akan buat benda tidak elok – mereka mungkin berjumpa sesama mereka, naik kenderaan sekali dan boleh jadi macam-macam.
Paling kita takut kalau terjadinya zina. Orang kampung kalau nampak mereka bersama pun mungkin tidak menegur kerana sangka mereka sudah berkahwin. Nanti wali itu juga yang malu kalau jadi sampai begitu.
وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ
Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.
Kamu sangka dengan kamu halang mereka berkahwin semula itu adalah baik; tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu yang tidak semestinya begitu. Allah ﷻ lebih tahu apakah yang baik untuk kamu dan mereka.
Allahu a’lam.