Tafsir Ayat Ke-226
Setelah menyebut tentang sumpah dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ sekarang menyebut tentang salah satu kebiasaan orang Arab dalam bersumpah.
لِّلَّذينَ يُؤلونَ مِن نِّسائِهِم تَرَبُّصُ أَربَعَةِ أَشهُرٍ ۖ فَإِن فاءوا فَإِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
لِّلَّذينَ يُؤلونَ مِن نِّسائِهِم
Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka,
Iaitu mereka biasa bersumpah atas nama Allah ﷻ untuk tidak menyetubuhi isterinya. Sumpah ini dinamakan Sumpah ila’. Lelaki Arab pada waktu itu melakukan begitu apabila mereka marah terhadap isteri mereka.
Isteri itu secara efektif terpisah daripadanya (tetapi tidak diceraikan)
Mereka pula ada banyak isteri maka tidak ada masalah kepada mereka kalau mereka menahan diri daripada bersetubuh dengan isterinya yang satu itu, kerana mereka ada isteri kedua, ketiga dan seterusnya.
Tetapi isteri-isteri mereka yang merana kerana dibiarkan begitu sahaja dan mereka tidak boleh berkahwin dengan lelaki lain kerana mereka masih lagi berstatus isteri kepada suaminya.
Mereka seolah-olah seperti ‘tergantung tanpa tali’ sampai mati. Ini adalah perbuatan zalim kepada wanita maka Allah ﷻ menurunkan ayat ini untuk memperbetulkan kezaliman ini.
تَرَبُّصُ أَربَعَةِ أَشهُرٍ
diberikan tempoh empat bulan
Masalah dengan sumpah ila’ ini adalah tidak ada cara untuk membatalkannya di dalam fahaman dan undang-undang Arab Jahiliyyah. Apabila tidak ada, maka ia menjadi satu kezaliman kepada kaum isteri. Maka Islam tidak membatalkan perbuatan sumpah itu tetapi yang diubah adalah sistem tersebut.
Agama Islam meletakkan had masa. Masa yang ditetapkan di dalam Islam adalah empat bulan. Jadi sudah ada had yang ditetapkan, tidaklah sampai bila-bila.
Maknanya, seorang isteri itu tahulah yang ada masa maksima yang dia perlu tunggu dan tidak lebih daripada itu. Jikalau dia bersetubuh dengan isterinya sebelum empat bulan, maka dia dikira sudah membatalkan sumpahnya itu dan dia kena bayar dam kerana telah membatalkan sumpah.
Oleh itu, si suami boleh ila’ isterinya hanya beberapa lama sahaja, tetapi tidak boleh lebih daripada empat bulan. Itu adalah had maksima.
Suami itu akan berkata: “Aku ila’ engkau selama sebulan”, atau “Aku ila’ engkau selama empat bulan”, dan sebagainya. Apabila dia telah bersumpah dan menetapkan masa, dia kena tunggu masa itu sampai habis.
Jikalau telah cukup empat bulan dan dia tidak melakukan apa-apa, isterinya boleh pergi mengadu hal ini ke mahkamah dan qadhi boleh mengeluarkan keputusan untuk menceraikan mereka. Ia akan menjadi talaq bain (talaq yang tidak boleh dirujuk).
Dalam Mazhab Syafi’iy, perempuan itu kena mengadu ke mahkamah, tetapi dalam Mazhab Hanafi, pasangan itu telah bercerai secara automatik apabila telah cukup empat bulan.
Cerai Bain tidak boleh rujuk dan kalau hendak bersama kembali, pasangan itu dikehendaki menikah semula, bayar mahar semula dan sebagainya. Maka wanita itu ada pilihan sama ada hendak bersama kembali dengan bekas suaminya atau tidak.
فَإِن فاءوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Suami boleh rujuk semula dengan menyetubuhi isterinya itu. Allah ﷻ akan mengampunkan kesalahan mereka sebelum itu dan kalau Allah sudah ampunkan, Dia tidak akan mengazab hamba-Nya itu.
Tafsir Ayat Ke-227
وَإِن عَزَمُوا الطَّلٰقَ فَإِنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
وَإِن عَزَمُوا الطَّلٰقَ
Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak
Ini kalau suami itu berazam juga untuk bercerai. Apabila sudah melepasi tempoh empat bulan pun tetapi masih lagi marah dan tidak dapat hendak berbaik kembali.
Dalam keadaan ini, kena biarkan wanita itu bebas supaya dia boleh berkahwin lain. Jangan lagi gantung mereka tanpa tali. Berlapang dadalah dan biarlah dia menjalani kehidupannya yang baru.
Ayat ini menguatkan pendapat yang mengatakan bahawa selepas empat bulan, perhubungan suami isteri itu tidak terus terputus. Keputusan kena dilakukan sama ada untuk bercerai atau tidak.
فَإِنَّ اللهَ سَميعٌ عَليمٌ
maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
Allah ﷻ mendengar apa isi hati kita. Allah ﷻ mengetahui apa yang kita mahu dan apa yang kita lakukan
Oleh itu, berkenaan perkara ila’ ini ada empat jenis keadaan:
1 ila’ tanpa masa yang ditetapkan
2 ila’ empat bulan telah dilafazkan oleh suami
3 ila’ lebih daripada empat bulan telah dilafazkan
4 ila’ kurang daripada empat bulan telah dilafazkan
Kalau si suami mendatangi isteri (menjimak) sebelum masa yang ditetapkan, maka secara automatik, ila’ itu terputus.
Tetapi suami itu kenalah bayar kaffarah sumpah kerana dia telah melanggar sumpahnya. Situasi ke-3 itu tidak dibenarkan kerana lebih daripada empat bulan.
Dalam situasi lain, tidaklah terus cerai kalau berpisah empat bulan. Kalau suami dan isteri terpisah lebih daripada empat bulan, itu tidaklah termasuk dalam ila’ lagi. Ini kerana mungkin mereka terpisah buat sementara waktu kerana tinggal berjauhan disebabkan tuntutan kerja dan sebagainya.
Ataupun ada suami isteri yang tidak berjimak lebih daripada empat bulan kerana keadaan kesihatan salah seorang daripada mereka. Ini tidak termasuk ila’.
Kita sebutkan kerana ada fahaman salah dalam kalangan masyarakat, kalau tidak berhubungan lebih daripada empat bulan, terus terbatal perkahwinan itu. Ini tidak benar.
Allahu a’lam.