Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Salat – Bab Azan dan Iqamah (Bahagian 2)

Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Salat – Bab Azan dan Iqamah (Bahagian 2)

1476
0
Iklan

Kitab: Salat
Bab: Azan dan Iqamah
Bahagian:
B. Sebab disyariatkan Azan dan Kewajipannya

Kita masih lagi berbincang tentang kepentingan azan. Lafaz azan dan iqamah mencakupi kandungan aqidah seorang muslim, sehingga

✍🏻Imam Al Qadhi Iyadh رحمه الله berpendapat:

Ketahuilah, bahawa azan adalah kalimat yang berisi aqidah iman yang mencakup jenis-jenisnya.

▪️Yang pertama, menetapkan Dzat dan yang seharusnya dimiliki Dzat Allah ‎ﷻ dari kesempurnaan dan penyucian dari lawan kesempurnaan dan itu terkandung pada ucapan “Allahu Akbar”. Lafaz ini, walaupun sangat ringkas, namun sudah menjelaskan apa yang telah kami sebutkan di atas.

▪️Kemudian (yang kedua), menegaskan keesaan Allah dan penolakan sekutu yang mustahil ada bagi-Nya. Ini merupakan dasar dan tonggak iman, dan tauhid yang didahulukan ada di atas segala tugas agama lainnya.

▪️Kemudian menegaskan penetapan kenabian dan persaksian akan kebenaran risalah (kerasulan) bagi Nabi kita, Muhammad ﷺ. Dan ini merupakan kaedah agung setelah syahadah tentang keesaaan Allah ‎ﷻ.

▪️Kemudian mengajak kepada ibadah yang diperintahkan. Mengajak untuk salat dan menjadikannya setelah penetapan kenabian, kerana kewajipannya diketahui melalui Nabi ﷺ bukan melalui akal.

▪️Kemudian mengajak kepada kemenangan, iaitu kekal di dalam kenikmatan yang abadi. Di sini terdapat isyarat untuk perkara-perkara akhirat dalam hal kebangkitan dan pembalasan yang merupakan akhir masalah aqidah Islam.

Lalu hal itu diulang-ulang dengan iqamat salat untuk memberitahu permulaannya. Hal ini mengandungi penegasan iman dan pengulangan penjelasan iman ketika memulakan suatu ibadah dengan hati dan lisan, dan agar orang yang salat senantiasa berada di atas kejelasan amalannya dan ilmu tentang imannya, serta merasakan keagungan salat dan keagungan Dzat yang disembah serta pahala yang besar”.
(Lihat Majmu’ Syarhu Al Muhadzdzab, Imam Al Nawawi رحمه الله)

📍Maka semoga selepas ini bila kita dengar azan dilaungkan, ia lebih memberi makna kepada kita.

B. Sebab disyariatkan Azan dan Kewajipannya

Mari kita lihat kisah bagaimana azan mula-mula disyariatkan:

✍🏻Daripada Abdullah bin Zaid, beliau berkata: “Pada awalnya Rasulullah ﷺ berkehendakkan cara untuk panggilan salat, dan baginda menyuruh sahabatnya memukul kentongan (batang kayu/tabuh). Lalu aku bermimpi. Aku melihat seseorang mengenakan dua kain hijau membawa kentongan. Lalu aku bertanya: “Wahai hamba Allah, kamu menjual kentongan ini?” Dia bertanya: “Apa perlumu dengan kentongan?” Aku menjawab: “Akan aku pergunakan untuk panggilan salat.” Dia lalu berkata: “Mahukah engkau ku tunjukkan yang lebih baik dari itu?” Aku menjawab: “Apa itu?” Dia menjawab: “Ucapkanlah: ‘Allahu akbar Allahu akbar, Allahu akbar Allahu akbar – Asyhadu an laa ilaaha illallah, Asyhadu an laa ilaaha illallah – Asyahadu anna Muhammadan Rasulullah, Asyahadu anna Muhammadan Rasulullah – Hayya ‘alas solaah, Hayya ‘alas solaah – Hayya ‘alal falaah, Hayya ‘alal falaah – Allahu akbar Allahu akbar – Laa ilaaha illallah’.”

Lalu aku mendatangi Rasulullah ﷺ ‎ dan mengkhabarkan perihal mimpiku kepada baginda. Maka Rasulullah ﷺ pun bersabda: “Sesungguhnya sahabat kalian telah bermimpi, keluarlah ke masjid bersama Bilal, beritahulah kepada Bilal dan hendaklah dia yang menyerukan hal itu, sebab suaranya lebih kuat daripada kamu.”

Maka aku keluar bersama Bilal menuju masjid, aku ceritakan mimpiku hingga beliau menyerukannya. Dan Umar Ibnu Al-Khattab mendengar suara itu sehingga beliau mendatangi Rasulullah ﷺ seraya berkata: “Wahai Rasulullah, Demi Allah, aku juga bermimpi sebagaimana yang beliau mimpikan!”
(Ibnu Majah, no. 698)

✍🏻Daripada Anas bin Malik, beliau berkata: “Ketika manusia sudah banyak (yang masuk Islam), ada yang mengusulkan cara memberitahu masuknya waktu salat dengan sesuatu yang mereka boleh fahami. Maka ada yang mengusulkan dengan menyalakan api dan ada juga yang mengusulkan dengan memukul loceng. Lalu diperintahkan Bilal untuk mengumandangkan kalimah azan dengan genap (dua kali) dan mengganjilkan iqamah (sekali).”
(Sahih Bukhari no. 571, Sahih Muslim no. 570)

✍🏻Daripada Bilal bin Rabah bahawa beliau mendatangi Nabi ﷺ untuk azan salat Subuh, lalu dikatakan kepadanya: “Baginda sedang tidur.” Maka Bilal pun berkata: “As solatu khairun minan naum, as solatu khairun minan naum (salat itu lebih baik daripada tidur, salat itu lebih baik daripada tidur).” Hingga lafaz itu ditetapkan untuk dikumandangkan pada azan Subuh.”
(Sunan Ibnu Majah no. 708, Sunan Ad-Darimi no. 1166)

Sekarang kita bincangkan sama ada azan ini wajib ataupun sunat? Para ulama’ sepakat bahawa mengumandangkan azan itu disyari’atkan. Syari’at yang mulia ini sudah berlangsung semenjak masa Rasulullah ﷺ sehingga saat ini.

Lalu para ulama’ berbeza pandangan dalam hal hukumnya, adakah azan itu wajib ataupun sunnah muakkad? Namun yang sahih, hukum azan adalah fardhu kifayah. Jadi tidak boleh di suatu negeri (atau kampung) tidak ada kumandang azan sama sekali.

Dalil yang menyatakan hukum azan adalah fardhu kifayah adalah:

1- Azan adalah di antara syi’ar Islam yang besar.
Syi’ar ini tidak pernah ditinggalkan dari zaman Rasul ﷺ dan kita tidak pernah mendengar ada satu waktu yang kosong dari azan.

2- Kumandang azan dijadikan tanda aras oleh Rasulullah ﷺ apakah suatu negeri termasuk negeri Islam ataupun tidak.

✍🏻Daripada Anas bin Malik menceritakan bahawa,

كَانَ إِذَا غَزَا بِنَا قَوْمًا لَمْ يَكُنْ يَغْزُو بِنَا حَتَّى يُصْبِحَ وَيَنْظُرَ ، فَإِنْ سَمِعَ أَذَانًا كَفَّ عَنْهُمْ ، وَإِنْ لَمْ يَسْمَعْ أَذَانًا أَغَارَ عَلَيْهِمْ

“Nabi ﷺ dahulu jika akan menyerang satu kaum, baginda tidak memerintahkan kami menyerang pada malam hari hingga menunggu waktu subuh. Apabila azan Subuh terdengar, maka tidak jadi menyerang. Namun bila tidak mendengarnya, maka menyerang mereka.”
(HR. Bukhari no. 610 dan Muslim no. 382).

Syarah:
Maknanya, azan dikumandangkan adalah tanda tempat itu adalah penduduknya Muslim, maka tidak diperangi.

3- Nabi ﷺ telah memerintahkan untuk dikumandangkan azan dan mengangkat salah seorang jadi imam.

✍🏻Baginda bersabda,

فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

“Jika waktu salat telah tiba, salah seorang di antara kalian hendaknya mengumandangkan azan untuk kalian dan yang paling tua di antara kalian menjadi imam. ”
(HR. Bukhari no. 631 dan Muslim no. 674).

Syarah:
Ulama’ mengambil arahan Nabi ﷺ dalam hadis ini sebagai arahan wajib.

4- ✍🏻Daripada Anas bin Malik, beliau berkata,

فَأُمِرَ بِلاَلٌ أَنْ يَشْفَعَ الأَذَانَ وَأَنْ يُوتِرَ الإِقَامَ

“Maka Bilal diperintah untuk mengumandangkan azan dengan menggenapkan dan mengumandangkan iqamah dengan mengganjilkan”
(HR. Bukhari no. 605 dan Muslim no. 378).

5-✍🏻 ‘Utsman bin Al ‘Ash berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda,

وَاتَّخِذْ مُؤَذِّنًا لاَ يَأْخُذُ عَلَى أَذَانِهِ أَجْرًا

“Angkatlah muadzin yang tidak mencari upah dari azannya.”
(HR. Abu Daud no. 531 dan An Nasai no. 673. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahawa sanad hadis ini sahih).

✍🏻Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله menerangkan, “Yang tepat, hukum azan adalah fardhu kifayah. Tidak boleh jika ada di suatu negeri atau kampung yang tidak ada azan sama sekali”.

Demikian juga pendapat yang masyhur dalam mazhab Imam Ahmad dan lainnya. Sebahagian ulama’ ada yang menyatakan bahawa hukum azan adalah sunnah. Namun, mereka selanjutnya mengatakan bahawa jika di suatu negeri meninggalkan azan, maka boleh diperangi.

Akan tetapi sebenarnya yang terjadi adalah perselisihan lafaz sahaja.Ini kerana kebanyakan ulama’ ada yang memaknakan sunnah dengan maksud jika ditinggalkan mendapat celaan. Jadi hakikatnya yang terjadi adalah perbezaan lafzhi saja dengan yang berpendapat wajib.

Adapun yang menyatakan hukum azan adalah sunnah yang ertinya jika ditinggalkan tidak berdosa dan tidak mendapatkan hukuman, pendapat tersebut adalah pendapat yang keliru. Ini kerana azan adalah sebagian dari syi’ar Islam.

Rasulullah ﷺ sehingga akan memerangi suatu negeri yang meninggalkan azan, ini jelas menunjukkan kewajipannya. Jika waktu Subuh tiba, lalu dikumandangkan azan, maka negeri tersebut tidak diperangi. Jika tidak ada azan, negeri tersebut baru diperangi.

✍🏻Juga ada hadith dalam sunan Abi Daud dan An Nasai daripada Abu Ad Darda’, beliau berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda,

مَا مِنْ ثَلاَثَةٍ فِى قَرْيَةٍ وَلاَ بَدْوٍ لاَ تُقَامُ فِيهِمُ الصَّلاَةُ إِلاَّ قَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ

“Tidaklah tiga orang di suatu desa atau lembah yang tidak didirikan salat berjemaah di lingkungan mereka, melainkan syaitan telah menguasai mereka. Kerana itu tetaplah kalian (salat) berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu hanya akan menerkam kambing yang sendirian (jauh dari kawan-kawannya).”
(HR. Abu Daud no. 547, An-Nasai no. 838, dan sanadnya dinyatakan hasan oleh An-Nawawi dalam Riyadh Ash-Shalihin no. 344).

Syarah:
Maka berat sekali kalau sesuatu tempat itu tidak ada azan dikumandangkan.

C. Kaifiat (Cara) Azan Dan Iqamat

1. Kafiat Lafaz Azan:

Lafaz azan yang ada dan digunakan pada zaman Nabi ﷺ dan terkenal dalam mazhab para Ulama’ adalah seperti berikut:

a. Ia ada 15 kalimat semuanya sekali. Mengandungi 4 takbir, 2 syahadah Lailaha illa Allah, 2 syahadah Rasulullah, 2 hayya ‘ala as shalat, 2 hayya ‘alal falah, 2 takbir dan 1 kalimat tauhid. Inilah yang digunakan di negara ini.

✍🏻Yang pertama adalah seperti hadis riwayat Abdullah bin Zaid رضي الله عنه sebelum ini:

Beliau lalu berkata: “Mahukah engkau kutunjukkan yang lebih baik dari itu?” Aku menjawab: “Apa itu?” Beliau menjawab: “Ucapkanlah: ‘Allahu akbar Allahu akbar, Allahu akbar Allahu akbar – Asyhadu an laa ilaaha illallah, Asyhadu an laa ilaaha illallah – Asyahadu anna Muhammadan Rasulullah, Asyahadu anna Muhammadan Rasulullah – Hayya ‘alas solaah, Hayya ‘alas solaah – Hayya ‘alal falaah, Hayya ‘alal falaah – Allahu akbar Allahu akbar – Laa ilaaha illallah’.”

b. Lafaz azan sejumlah 17 kalimat, iaitu 2 takbir, 2 syahadatain diulang dua kali = 8 kalimat, 2 hayya ‘ala as shalat, 2 hayya alal falah, 2 takbir dan 1 kalimat tauhid.

✍🏻Inilah azan menurut Imam Malik رحمه الله, dan dasarnya ialah hadis Abu Mahdzurah:

عَنْ أَبِي مَحْذُورَةَ أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ عَلَّمَهُ هَذَا الْأَذَانَ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ثُمَّ يَعُودُ فَيَقُولُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ مَرَّتَيْنِ حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ مَرَّتَيْنِ زَادَ إِسْحَقُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Daripada Abu Mahdzurah, bahawa Nabi ﷺ mengajarinya azan dengan:

” اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ . أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ”

Kemudian mengulang, lalu membaca:

” أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ . أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ”
” حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ ” (dua kali)

Dan (membaca) حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ dua kali.
Ishaq menambahkan bacaan:

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Fathul Bari Syarah Shahih Al Bukhari, Al Hafidz Ibnu Hajar, Maktabah As Salafiyah.

c. Lafaznya 19 kalimat, iaitu 4 takbir, 2 syahadatain dengan tarji’ (diulang dua kali = 8 kalimat), 2 hayya ‘ala as salah, 2 hayya alal falah, 2 takbir dan 1 kalimat tauhid. Inilah yang dijadikan pedoman dalam mazhab Syafi’iy.

✍🏻Dalilnya ialah hadith Abu Mahdzurah :

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّمَهُ الْأَذَانَ تِسْعَ عَشْرَةَ كَلِمَةً وَالْإِقَامَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ كَلِمَةً

Nabi ﷺ mengajarkan azan 19 kalimat dan iqamah 17 kalimat. Rujukan: Nail Al Authar Min Al Ahadits Sayyid Al Akhyar Syarhu Muntaqa Al Akhbar

✍🏻Hal ini turut dijelaskan dalam riwayat lain daripada Abu Mahdzurah, beliau berkata:

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلِّمْنِي سُنَّةَ الْأَذَانِ فَمَسَحَ مُقَدَّمَ رَأْسِي وَقَالَ تَقُولُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ تَرْفَعُ بِهَا صَوْتَكَ ثُمَّ تَقُولُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ تَخْفِضُ بِهَا صَوْتَكَ ثُمَّ تَرْفَعُ صَوْتَكَ بِالشَّهَادَةِ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ فَإِنْ كَانَ صَلَاةُ الصُّبْحِ قُلْتَ الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Aku berkata: “Wahai Rasulullah ﷺ. Ajarilah aku sunnah azan.” Lalu baginda memegang bahagian hadapan kepalaku dan berkata: “Ucapkanlah dengan suara perlahan

” اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ . أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ”

Kemudian keraskanlah suaramu dalam membaca syahadat:

” أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ .
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ .حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ. حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ ”

Jika salat Subuh, katakanlah :

” الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ ”

Lalu :
” اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه ”

Rujukan: Tamam Al Minnah Fi Ta’liq ‘Ala Fiqhi As Sunnah, Syaikh Muhammad Nashiruddin Al Albani

Syarah:
Tujuan disampaikan ini supaya tahulah kita yang ada lagi cara-cara azan selain yang kita biasa dengar. Jadi kalau pergi ke negara lain, tidaklah terkejut sangat kerana mereka mengamalkan hadith yang lain. Inilah kelebihan ilmu, tidak memandang serong kepada orang lain. Asalkan kita tahu ada dalilnya.

✍🏻Dalam hal ini, Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin رحمه الله memberikan tarjih sebagaimana pernyataan beliau:

Semua yang ada dalam hadis Nabi ﷺ dari lafaz azan, maka diperbolehkan, bahkan semestinya, terkadang menggunakan yang ini dan terkadang yang itu, jika tidak menimbulkan keresahan dan fitnah. Ada kaedah yang menyatakan, ibadah-ibadah yang diajarkan dalam sisi yang berbeza-beza, hendaknya dilakukan atas sisi-sisi tersebut semuanya.

Hal ini memiliki beberapa faedah (manfaat):
a). Menjaga Sunnah dalam berbagai sisinya.
b). Mempermudah para mukallaf.
c). Kehadiran hati (membuat khusyu’) dan tidak bosan.
d). Menjaga dan memelihara syariat.

2. Wajib mengucapkan lafaz azan dengan tertib

Kena laungkan azan sebagaimana yang diajar oleh Nabi ﷺ, mengikut susunannya.

  1. Tastwib muazzin ketika salat Subuh, iaitu ucapan as-solaatu khairun minan naum.

Azan pada dasarnya hanya untuk memberitahu masuknya waktu salat fardhu yang lima. Berdasarkan pada hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

✍🏻Nabi ﷺ bersabda:

فإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ

Ertinya: Apabila sudah tiba waktu salat, maka hendaknya salah seorang daripada kalian mengumandangkan azan.
(Sahih Bukhari No. 595 dan Sahih Muslim No. 1080)

Namun, khusus untuk azan yang dilakukan pada dinihari sebelum azan Subuh, maka hukumnya boleh tujuannya antara lain untuk membangunkan yang hendak salat malam atau hendak makan sahur pada bulan Ramadan. Menurut Al-Buhuti dalam Kasyaful Qina 1/242 tujuan azan pertama ini kerana ketika waktu Subuh akan masuk sebahagian manusia ada yang junub atau tidur. Maka azan ini dapat ingatkan mereka supaya bersiap-siap agar dapat melaksanakan salat Subuh di awal waktu dan tidak disunnahkan azan pertama itu terlalu awal.

Namun, ada atau tidak adanya tujuan ini tetap boleh kerana ada hadithnya secara eksplisit. Berdasarkan pada hadith sahih Riwayat Bukhari dan Muslim.

✍🏻Daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما, Nabi ﷺ bersabda:

ٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ بِلَالًا يُنَادِي بِلَيْلٍ فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ

Ertinya: “Sesungguhnya Bilal mengumandangkan azan saat masih malam. Maka makan dan minumlah sampai ada seruan azan oleh Ibnu Ummi Maktum.”
(Sahih Bukhari No. 585 dan Sahih Muslim No. 1827)

Kalimah at-tatswib pada azan Subuh telah disyariatkan.

✍🏻Dalilnya adalah hadith Abu Mahdzurah, ia berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, ajarkanlah kepadaku sunnah azan.” Kemudian baginda menyebutkannya. Hingga baginda bersabda setelah ucapan “hayya ‘alal falah.”,

«فإن كان صلاة الصبح قلت : الصلاة خير من النوم الصلاة خير من النوم الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله»

“Pada salat Subuh, engkau mengucapkan, “As-Solatu khairum minan naum, as-solatu khairum minan naum, Allahu akbar, Allahu akbar.”
HR Abu Dawud: 500, Ahmad: 15379, Ibnu Hibban: 1682, Al Baihaqy: 1831, Disahihkan Al Albani dalam “Misykat al Mashabih” no. 645

Waktu azan pertama dalam salat fajar dan jaraknya dengan azan yang kedua berlaku khilaf di sisi para fuqaha. Kata Imam Ibn Abd al-Barr رحمه الله: Para ulama berbeza berkenaan dengan waktu azan yang pertama bagi salat fajar.

Sebahagian ulama’ bermazhab Syafi’iy mengatakan bahawa waktunya adalah pada waktu sahur di antara fajar sadiq dengan fajar kazib. Kata beliau lagi: Adalah makruh untuk dilakukan azan sebelum waktu tersebut.

Bagi sesiapa yang meneliti hadith-hadith yang menceritakan berkenaan azan dua kali pada waktu subuh ini, dia akan mendapati bahawa jarak di antara keduanya adalah singkat sahaja iaitu di antara 10 hingga ke 15 minit di antara azan yang pertama dengan azan yang kedua.

✍🏻Ini dapat dilihat berdasarkan kata-kata Abdullah bin Umar رضي الله عنهما:

وَلَمْ يَكُنْ بَيْنَهُمَا إِلاَّ أَنْ يَنْزِلَ هَذَا وَيَرْقَى هَذَا

Maksudnya: Dan tidaklah jarak di antara kedua azan itu melainkan seseorang itu turun (dari menara azan) dan seorang lagi menaikinya.
Riwayat Muslim (1092)

Dalam masalah waktu diucapkan At Tatswib, terdapat dua pendapat di kalangan ulama’. Pertama, diucapkan pada azan awal sebelum waktu Subuh. Kedua, dilakukan pada waktu azan Subuh.

Pendapat pertama menyatakan bahwa At Tatswib dilakukan pada azan pertama sebelum azan masuk waktu Subuh, dengan mendasarkan:

✍🏻Hadith Ibnu Umar رضي الله عنهما yang berbunyi:

كَانَ ابْنُ عُمَرَ فِيْ الأَذَانِ الأَوَلِ بَعْدَ الْفَلاَحِ الصَّلاَةُ خَيْرٌ منَ النَّوْمِ مَرَّتَيْنِ

Ibnu Umar dahulu berkata pada azan awal setelah al falaah (ucapan) : الصَّلاَةُ خَيْرٌ منَ النَّوْمِ dua kali.
Diriwayatkan al Baihaqi (1/423), juga at-Thahâwi رحمه الله dalam Syarhul Ma’âni (1/82) dan sanadnya hasan.

✍🏻Lafaz hadith Abu al Mahdzurah yang berbunyi:

وَإِذَا أَذَّنْتَ بِالْأَوَّلِ مِنْ الصُّبْح فَقُلْ الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِِ

“Dan jika kamu berazan di awal dari Subuh, maka ucapkanlah ”: الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ.
HR Ahmad (3/408-409); Abu Dawud, Bab Kaifa ad Adzan, no. 501; an Nasa-i, Bab al Adzan fis Safar (2/7); Abdurrazaaq dalam al Mushannaf, no.1821; Ibnu Abi Syaibah (1/204); Ibnu Khuzaimah, no. 385; Ibnu Hibban dalam Shahih-nya, no. 1673; ad Daraquthni (1/234) dan al Baihaqi (1/422) diringkas dari takhrij pentahqiq kitab asy Syarhu al Mumti’, lihat 2/56.

Pendapat inilah yang dirajihkan Syaikh al Albani رحمه الله. Beliau menyatakan, At Tatswib disyariatkan hanya di azan awal Subuh yang dikumandangkan sebelum masuk waktu sekitar seperempat jam, dengan dasar hadith:

✍🏻Ibnu Umar yang berbunyi :

كَانَ فِيْ الأَذَانِ الأَوَلِ بَعْدَ الْفَلاَحِ الصَّلاَةُ خَيْرٌ منَ النَّوْمِ مَرَّتَيْنِ

Dahulu berkata pada azan awal setelah al falaah : الصَّلاَةُ خَيْرٌ منَ النَّوْمِ dua kali.
[Diriwayatkan al Baihaqi, 1/423 dan demikian juga ath Thahawi dalam Syarhu al Ma’ani, 1/82 dan sanadnya hasan, sebagaimana disampaikan al Hafizh]

Adapun pendapat kedua, yang menyatakan At Tatswib dilakukan pada azan Subuh, iaitu azan kedua, berdalilkan hadith-hadith yang tidak memberikan batasan pada azan awal dan membawa hadith-hadith yang ada penentuan di azan pertama kepada makna azan pertama untuk menentukan masuknya waktu Subuh, kerana

✍🏻Rasulullah ﷺ menyatakan:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ
Antara dua azan ada salat sunnah.
(Sahih Bukhari No. 591)

Inilah yang dirajihkan Lajnah Daimah lil Buhuts Islamiyah wa al Ifta’ (Saudi Arabia) dan Syaikh Muhammad bin Shalih al ‘Utsaimin.

Syaikh Ibnu ‘Utsaimin رحمه الله berkata: “Sebahagian orang pada zaman sekarang telah salah dalam memahami, bahawa yang diinginkan dengan azan yang ada pelafazan dua kalimat ini ialah azan sebelum fajar. Syubhat mereka dalam hal ini, iaitu adanya sebahagian lafaz hadith yang berbunyi:

✍🏻Hadith:

وَإِذَا أَذَّنْتَ بِالْأَوَّلِ مِنْ الصُّبْح فَقُلْ الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِِ (dan jika kamu berazan di awal dari Subuh, maka katakanlah الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ).

Mereka menganggap bahawa At Tatswib hanyalah ada pada azan yang dikumandangkan di akhir malam; dan menyatakan bahawa At Tatswib dalam azan pada waktu masuk Subuh adalah bid’ah

Mana satu yang rajih? Penulis kitab Shahih Fiqhu as Sunnah menyatakan: “Hadith-hadith yang telah disampaikan terdahulu, di antaranya ada yang menyebutkan At Tatswib tanpa penentuan waktunya, apakah di azan pertama atau kedua; dan di antaranya ada yang menjelaskan bahawa ia di azan pertama. Namun, tidak ada satu pun hadis yang menegaskan jika dilakukan di azan kedua.

Hal ini menunjukkan pensyariatan At Tatswib ada di azan pertama, kerana hendak membangunkan orang yang tidur. Sedangkan azan kedua untuk memberitahu masuknya waktu dan mengajak salat.

Juga sudah dimaklumi, bahawa Nabi ﷺ memiliki dua muazzin untuk salat fajar. Salah satunya ialah Bilal dan At Tatswib juga ada riwayat darinya dan kedua ialah Ibnu Ummi Maktum. Bilallah yang mengumandangkan azan awal, dan tidak ada satu riwayat yang menyatakan Ibnu Ummi Maktum melakukan At Tatswib”.
Sahih Fiqhu as Sunnah (1/284).

4. Tatacara iqamat

Sekarang kita lihat perbezaan di antara azan dan iqamah ialah:

  1. Azan untuk memberitahu masuknya waktu salat agar bersiap-siap menunaikannya, dan iqamah untuk memberitahu masuk dan memulakan salat.
  2. Lafaz (zikir) yang dikumandangkan, dan masing-masing (antara azan dan iqamah) juga berbeza, sebagaimana akan dijelaskan pada perbahasan berikut ini.

Bagaimana pula cara iqamah? Ada riwayat lain yang menjelaskan bahawa azan dilakukan dua-dua, dan iqamah satu-satu, sebagaimana disebutkan dalam;

✍🏻Hadith Ibnu Umar رضي الله عنهما:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ كَانَ الْأَذَانُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثْنَى مَثْنَى وَالْإِقَامَةُ وَاحِدَةً غَيْرَ أَنَّ الْمُؤَذِّنَ كَانَ إِذَا قَالَ قَدْ قَامَتْ الصَّلَاةُ قَالَ قَدْ قَامَتْ الصَّلَاةُ مَرَّتَيْنِ

Daripada Ibnu Umar berkata, “Azan pada masa Rasulullah ﷺ dua (kali) dua kali, sedangkan Iqamah adalah sekali, hanya saja Muazzin ketika mengucapkan, ‘ قَدْ قَامَتِ الصَّلاَةُ ‘ maka dia mengatakan ‘ قَدْ قَامَتِ الصَّلاَةُ ‘ dua kali.”
(Musnad Ahmad No. 5345. Juga terdapat dalam Sunan Abu Daud No. 429, Sunan Nasa’i No.662 dan Sunan Ad-Darimi No. 1167).

Lafaz iqamah ada tiga versi juga, iaitu:

a) Iqamah 11 kalimat, iaitu :

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ قَدْ قَامَتْ الصَّلَاةُ قَدْ قَامَتْ الصَّلَاةُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Inilah iqamah menurut pendapat Syafi’i, Ahmad dan kebanyakan ulama’, dengan dasar hadith Abdullah bin Zaid رضي الله عنه di atas.

b) Iqamah seperti di atas dengan dikurangi قَدْ قَامَتْ الصَّلَاةُ menjadi satu sehingga jumlahnya 10 kalimat. Demikian iqamah menurut mazhab Malikiyah.
Rujukan: Al I’lam Bi Fawaid Umdat Al Ahkam

c) Iqamah berjumlah 17 kalimat, iaitu :

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ قَدْ قَامَتْ الصَّلَاةُ قَدْ قَامَتْ الصَّلَاةُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Inilah iqamah menurut mazhab Abu Hanifah, dengan dasar hadis

✍🏻Abu Mahdzurah yang menyatakan:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّمَهُ الْأَذَانَ تِسْعَ عَشْرَةَ كَلِمَةً وَالْإِقَامَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ كَلِمَةً قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Sesungguhnya Nabi ﷺ mengajarkannya azan 19 kalimat dan iqamah 17 kalimat.
Abu Isa Al Tirmidzi menyatakan : “Ini hadis hasan sahih”.
(HR At Tirmidzi dalam Sunan-nya, kitab Ash Shalat, Bab Ma Ja’a Fit Tarji’, no. 192).

Imam Bukhari رحمه الله juga menulis masalah ini dalam bab Al Iqamatu Wahidah Illa Qaulahu قَدْ قَامَتِ الصَّلاَةُ , yang didukung disepakati Al Hafizh Ibnu Hajar dalam pensyariatannya.

Semua lafaz azan di atas boleh digunakan, dan lebih baik bila digunakan seluruhnya, kecuali jika menimbulkan fitnah di masyarakat. Kalau risau orang kampung melompat, tidak perlulah dibuat. Cara azan dan iqamah sekarang pun sudah baik.

D. Menjawab Azan

Sekarang kita belajar apakah yang perlu kita lakukan apabila sedang mendengar azan.

a. Lafaz seperti yang dilaungkan oleh muazzin.

✍🏻Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr رضي الله عنهما, beliau mendengar Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ

Apabila kalian mendengar muazzin (melaungkan azan), maka sebutlah sebagaimana yang muazzin itu laungkan.

ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Kemudian selawatlah ke atas ku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat sekali kepadaku, Allah akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali.

ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِي إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِيَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ ” .

Kemudian mohonlah kepada Allah agar aku mendapat wasilah. Sesungguhnya ia adalah satu kedudukan di syurga yang hanya layak kepada seorang hamba Allah. Aku berharap agar aku adalah orang tersebut. Sesiapa yang memohon wasilah untuk aku, maka syafaat ku akan diberikan kepadanya.
[Sahih Muslim, Kitab as-Solat, Bab Istihbab al-Qaul Mithl Qaul al-Muazzin…, hadis no: 384]

Maka jawab sama sahaja kecuali pada lafaz حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ dan حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ. Dalilnya:

✍🏻Daripada ‘Umar al-Khattab رضي الله عنه, Nabi ﷺ ‎ bersabda:

ثُمَّ قَالَ حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ . قَالَ.

Kemudian (apabila muazzin) melaungkan: Marilah mendirikan salat. Seseorang itu hendaklah menjawab:

لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ .

Tiada kekuasaan dan kekuatan kecuali dengan Allah.

ثُمَّ قَالَ حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ . قَالَ

Kemudian (apabila muazzin) melaungkan: Marilah menuju kejayaan. Seseorang itu hendaklah menjawab:

لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

Tiada kekuasaan dan kekuatan kecuali dengan Allah.
[Sahih Muslim, Kitab as-Solat, Bab Istihbab al-Qaul Mithl Qaul al-Muazzin…, no: 385]

b. Berselawat ke atas Nabi ﷺ

Selepas selesai azan dan mendoakan wasilah untuk Rasulullah ﷺ. Selepas azan habis, maka berselawatlah untuk Nabi ﷺ sebagaimana dalil di dalam riwayat Muslim.

Kemudian terus bacakan doa supaya Nabi Muhammad ﷺ diberikan dengan kedudukan sebagai wasilah. Doa tersebut adalah seperti di bawah:

✍🏻Daripada Jabir bin ‘Abdillah رضي الله عنهما bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: Sesiapa yang membaca selepas mendengar seruan azan:

اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ،

Ya Allah, Tuhan kepada seruan yang sempurna dan solat yang akan didirikan. Berikan kepada Nabi Muhammad wasilah dan kelebihan daripada Mu. Tempatkan baginda di tempat terpuji yang telah Engkau janjikan.

حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ “

Maka syafaat ku akan diizinkan kepadanya pada hari kiamat.
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, Bab ad-Dua’ ‘Inda an-Nida’, hadis no: 514].

2. Anjuran menjawab azan dan dalil bahawa ia tidak wajib.

Menjawab azan seperti yang diajar di atas adalah sunat sahaja.

✍🏻Terdapat di dalam al-Muwatha’, Imam Malik رحمه الله telah meriwayatkan sebuah athar daripada Tha’labah, beliau berkata:

أَنَّهُمْ كَانُوا فِي زَمَانِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ يُصَلُّونَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ حَتَّى يَخْرُجَ عُمَرُ فَإِذَا خَرَجَ عُمَرُ وَجَلَسَ عَلَى الْمِنْبَرِ وَأَذَّنَ الْمُؤَذِّنُونَ قَالَ ثَعْلَبَةُ جَلَسْنَا نَتَحَدَّثُ فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُونَ وَقَامَ عُمَرُ يَخْطُبُ أَنْصَتْنَا فَلَمْ يَتَكَلَّمْ مِنَّا أَحَدٌ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ فَخُرُوجُ الْإِمَامِ يَقْطَعُ الصَّلَاةَ وَكَلَامُهُ يَقْطَعُ الْكَلَامَ

Maksudnya: Mereka menunaikan salat Jumaat di zaman Umar bin al-Khattab sehingga beliau keluar. Apabila Umar keluar dan duduk di atas mimbar maka azan dilaungkan oleh muazzin. Telah berkata Tha’labah: Kami duduk dan bercakap. Apabila muazzin selesai dan Umar pun berdiri untuk menyampaikan khutbah maka kami pun diam dan tidak ada seorang daripada kami pun yang bercakap. Telah berkata Ibn Syihab: Keluarnya imam menghentikan salat dan khutbah imam menghentikan percakapan.
[Lihat: al-Muwatha’ (215)]

Syarah:
Berdasarkan athar di atas, jelas menunjukkan bahawa para sahabat رضي الله عنهم bercakap ketika azan sedang dilaungkan. Jika benar sebagaimana yang didakwa, maka para sahabat adalah orang yang pertama akan meninggalkan hal tersebut. Tentu Umar رضي الله عنه tidak akan membiarkan mereka buat begitu.

Maka kalau ada yang berkata kalau tidak menjawab azan lidah jadi kelu atau apa-apa sahaja, itu tidak benar kerana tidak ada dalil dan asalnya.

E. Adab-adab Muazzin

1. Mengharap pahala dan wajah Allah ‎ﷻ; tidak berharap kepada upah.

Tidak boleh mengambil upah sebagai muazzin. Dalilnya :

✍🏻Dalam Musnad Imam Ahmad terdapat sebuah hadith daripada Utsman bin Abul Ash Tsaqafi, bahawa ketika Nabi ﷺ mengutuskan dirinya kepada kaumnya -Tsaqif-, baginda bersabda kepadanya,

أَنْتَ إِمَامُهُمْ وَاقْتَدِ بِأَضْعَفِهِمْ وَاتَّخِذْ مُؤَذِّنًا لاَ يَأْخُذُ عَلَى أَذَانِهِ أَجْرًا

“Aku angkat engkau sebagai imam mereka, dan perhatikanlah orang yang paling lemah di antara mereka, dan angkatlah seorang muazzin yang tidak mengambil gaji dari tugasnya.”
(HR. Ahmad 16270, Nasai 680 dan disahihkan al-Arnauth)

✍🏻Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله di dalam menanggapi permasalahan tentang upah azan ini, sebagaimana yang beliau kemukakan didalam kitab al-Umm, adalah sebagai berikut:

واحب ان يكون المؤذنون متطوعين وليس للامام ان يرزقهم ولا واحدا منهم وهو يجد من يؤذن له متطوعا ممن له امانة الا ان يرزقهم من ماله ولا أحسب أحدا ببلد كثير الاهل يعوزه ان يجد مؤذنا أمينا لازما يؤذن متطوعا فان لم يجده فلا بأس ان يرزق مؤذنا

Aku menyukai muazzin dengan tidak mengambil upah dari azannya. Dan pihak berwajib (pemerintah) tidak boleh mengangkat muazzin yang bergaji, jika ada muazzin yang mahu menjalankan tugas berazan secara sukarela, saya berpendapat bahawa dalam suatu kota besar, tentu didapati seorang muazzin yang dapat dipercaya yang tetap mahu berazan dengan sukarela. Apabila tiada diperoleh, maka barulah boleh muazin diangkat dan digaji”.

2. Dalam keadaan suci

✍🏻Pertama, hadis yang melarang orang berhadas melakukan azan memang ada.

لَا يُؤَذِّنُ إِلَّا مُتَوَضِّئٌ

“Tidak boleh azan kecuali orang yang memiliki wudhu’.”

Hadis ini diriwayatkan Turmudzi no. 200 secara marfu, daripada al-Walid bin Muslim, daripada Muawiyah as-Shadafi, daripada az-Zuhri, daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, daripada Nabi ﷺ. Akan tetapi status hadis ini dhaif dan tidak boleh dijadikan sebagai dalil larangan.

Maka suci bukanlah syarat sah melaungkan azan. Namun ia amatlah dianjurkankan. Hujahnya adalah perbuatan Nabi Muhammad ﷺ.

✍🏻Daripada Muhajir bin Qunfudz,

أَنَّهُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَبُولُ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ، فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ حَتَّى تَوَضَّأَ، ثُمَّ اعْتَذَرَ إِلَيْهِ فَقَالَ؛ إِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا عَلَى طُهْرٍ

Bahawa beliau pernah bertemu Nabi ﷺ ketika baginda sedang membuang air kecil. Kemudian Muhajir menyampaikan salam kepada baginda, namun Nabi ﷺ tidak menjawabnya, hingga baginda berwudhu’. Seusai berwudhu’, baginda menjelaskan,

إِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا عَلَى طُهْرٍ

Aku tidak suka mengingat Allah ‎عز وجل kecuali dalam keadaan bersuci.
(HR. Ahmad 19034, Abu Daud 17, dan disahihkan Syuaib al-Arnauth).

Syarah:
Ulama’ berhujah dengan hadith ini, kalau salam pun baginda ambil wudhu’, apatah lagi kalau melaungkan azan. Berdasarkan hadith ini, sebahagian ulama’ menilai makruh azan dalam kondisi berhadas di antaranya adalah ulama’ tabiin, Atha bin Abi Rabah dan Imam asy-Syafi’iy.

✍🏻Imam asy-Syafi’iy رحمه الله mengatakan,

وَأَنَا لِلْأَذَانِ جُنُبًا أَكْرَهُ مِنِّي لِلْأَذَانِ مُحْدِثًا، وَأَنَا لِلإِقَامَةِ مُحْدِثًا أَكْرَهُ مِنِّي لِلْأَذَانِ مُحْدِثًا

Bagi saya, orang yang azan dalam kondisi junub, lebih aku benci dibandingkan orang yang azan dalam kondisi berhadas kecil. Bagi saya, orang yang iqamah dalam kondisi berhadas kecil, lebih aku benci dibandingkan orang yang azan dalam kondisi berhadas kecil.
(Syarah as-Sunah, al-Baghawi, 2/266)

3. Azan sambil berdiri

Dianjurkan berdiri ketika melaungkan azan.

✍🏻Salah satu hadith riwayat Imam Bukhari رحمه الله disebutkan bahawa Bilal bin Rabah رضي الله عنه pernah diperintahkan oleh Rasul ﷺ untuk berdiri dan mengumandangkan azan.

يَا بِلاَلُ، قُمْ فَأَذِّنْ

Ertinya, “Wahai Bilal, berdiri dan kumandangkan azan!”
(Sahih Bukhari no. 560).

Hadith tersebut dijadikan landasan oleh ulama’ terkait kesunahan berdiri ketika mengumandangkan azan.

✍🏻Hal ini disebutkan oleh,Imam Zakariya Al-Anshari dalam Asnal Mathālib fi Syarhi Raudhatit Thalib;

ويستحب القيام في الأذان والإقامة لخبر الصحيحين يا بلال قم فناد بالصلاة ولأنه أبلغ في الإعلام

Ertinya, “Disunnahkan berdiri pada saat mengumandangkan azan dan iqamah berdasarkan hadith sahih, ‘Wahai Bilal, berdirilah dan kumandangkan azan untuk salat.’ Kerana hal itu lebih baik untuk memberikan pemberitahuan,”
(Lihat Zakariya Al-Anshari, Asnal Mathālib fi Syarhi Raudhatit Thalib, [Beirut, Daru Kutub Ilmiyah: 2000 M], juz I, halaman 127).

Walaupun ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum mengumandangkan azan sambil duduk, ada yang berpendapat makruh dan ada yang tidak, alangkah lebih baiknya jika tetap berdiri ketika mengumandangkan azan, jika kita masih mampu untuk melakukan azan sambil berdiri. Wallahu a’lam.

4. Menghadap Kiblat

Dianjurkan mengadap kiblat dalam mengumandangkan azan. Mengapa disunahkan menghadap kiblat? Ini kerana kiblat adalah arah yang paling baik dan juga arah yang paling mulia. Sebagaimana dikatakan oleh ulama’ salaf maupun khalaf.

✍🏻Imam asy-Syafi’iy رحمه الله berkata:
“Saya tidak menyukai apabila muazzin itu tidak menghadap ke arah kiblat ketika sedang azan. Hendaknya kedua hujung kaki dan mukanya senantiasa menghadap ke kiblat, kerana dia sedang memberitahukan kepada manusia tentang masuknya waktu salat, dan dia menghadapkan manusia ke kiblat dengan sebab melaksanakan salat.
Apabila dia menyimpangkan badan atau wajahnya dari arah kiblat, baik sebahagian mahupun seluruhnya, maka saya memandang makruh hal yang demikian itu, namun dia tidak mesti mengulangi azannya.”

Memang ia bukanlah syarat sah azan.

✍🏻Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin رحمه الله ditanya :

السؤال: وردتنا رسالة من الأخ في الله محمد العبد الرحمن الوابل التويجري من بريدة شارع دخيره يقول في رسالته هذه رجل أذن في وقت من الأوقات وهو متجه لغير القبلة فما الحكم في ذلك؟

Telah sampai kepada kami sebuah surat daripada saudara Muhammad Abdurrahman Al Waabil At Tuwaijiri dari daerah Baridah, jalan Dakhirah. Dia berkata ada seorang yang mengumandangkan azan pada salah satu waktu salat namun dia menghadap kepada selain arah kiblat. Bagaimana hukum perbuatan tersebut?

Syaikh رحمه الله menjawab :

الشيخ: الحكم في ذلك أن أذانه صحيح وذلك لأنه ليس من شرط الأذان استقبال القبلة

Hukum dari perbuatan tersebut adalah bahwa azannya sah kerana menghadap ke arah kiblat bukan termasuk syarat azan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan