Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-206 hingga Ke-208

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-206 hingga Ke-208

1025
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-206

Ini adalah sambungan kepada sifat orang-orang Munafik itu.

وَإِذا قيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتهُ العِزَّةُ بِالإِثمِ ۚ فَحَسبُهُ جَهَنَّمُ ۚ وَلَبِئسَ المِهادُ

Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah” timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

وَإِذَا قِيلَ لَهُ

Dan apabila dikatakan kepadanya;

Iaitu apabila orang yang teruk perangainya itu dinasihati oleh sahabat-sahabat yang lain. Iaitu apabila ada orang yang berani untuk menegur dia. Kebanyakannya takut hendak tegur sebab sudah tahu bahawa dia adalah seorang yang ganas.

اتَّقِ اللَّهَ

“Takutlah kamu kepada Allah.”

Inilah nasihat daripada para sahabat – mengingatkan mereka kepada Allah, takutlah kepada Allah ‎ﷻ, taqwalah kepada Allah‎ ﷻ, jangan buat kerosakan lagi.

أَخَذَتْهُ الْعِزَّةُ بِالْإِثْمِ

Kesombongannya mendorong dia meneruskan buat dosa;

Apabila dinasihati, dia terus sombong, tidak mahu terima. Dia pula marah kita bila kita nasihat dia.

Dia sombong sampai menyebabkan dosa. Dia sombong tidak mahu terima Allah ‎ﷻ sampaikan dia mengeluarkan perkataan-perkataan yang berdosa. Dia lawan kata-kata orang yang beriman dan dia buat perkara-perkara yang berdosa.

Ini adalah satu masalah yang amat besar dalam kalangan kita iaitu berat atau payah hendak terima nasihat. Kalau ada orang yang nasihat kepada kita, kita pula marah orang itu balik. Ada yang kata: “Apa kau kisah, kubur kan lain-lain?”, atau ada yang kata: “Jangan sibuk hal aku lah, tengok diri kau sahaja…” dan seumpamanya.

Ini adalah sifat yang amat buruk sekali dan ia adalah sifat orang Munafik. Kita diajar untuk senang menerima nasihat kerana dengan nasihat itulah yang dapat memperbaiki keadaan diri kita. Bayangkan kalau tidak ada orang yang nasihat kepada kita, tentulah kita akan terus melakukan kesalahan dan terus di dalam kesesatan, bukan? Kalau orang lain nasihat kita, maka terima sahajalah.

فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ

cukuplah Neraka Jahannam sebagai tempat tinggal

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka disebabkan oleh kelakuan dan perbuatan berdosa mereka itu.

وَلَبِئْسَ الْمِهَادُ

dan ia adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

Tidak ada tempat yang lagi buruk dari neraka. Mereka akan tinggal di sana selama-lamanya. Mereka jadi begitu kerana mereka sudah jadi sombong sampai tidak mahu menerima nasihat lagi. Itulah balasan yang akan diberikan kepada mereka. Atau kepada kita, kalau kita melakukan perkara yang sama.

Tafsir Ayat Ke-207

Ini adalah golongan ke-empat, iaitu mereka yang beriman.

وَمِنَ النّاسِ مَن يَشري نَفسَهُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hamba-Nya.

وَمِنَ النَّاسِ

Dan di antara manusia,

Golongan ke-empat ini sanggup menjual dirinya untuk menjadi hamba Allah ‎ﷻ yang sebenar.

مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ

yang menjual dirinya kerana hendak mencari redha Allah;

Kalimah مَرْضَاتِ اللَّهِ bermaksud hendak menggembirakan Allah ‎ﷻ. Ada kisah seorang sahabat yang namanya Suhayb ar-Rumi, رضي الله عنه kerana beliau berasal dari Rom. Beliau adalah antara yang paling awal masuk Islam. Beliau seorang yang pandai memanah. Semasa beliau hendak berhijrah ke Madinah, orang Musyrikin hendak menghalangnya. Beliau berkata yang beliau boleh memanah mereka, maka akan ramai yang mati sebelum beliau sendiri terbunuh.

Atau beliau kata, kalau mereka mengejarnya, beliau mungkin boleh melarikan diri sampai mereka tidak dapat tangkapnya dan buang masa mereka sahaja. Itulah keberanian sahabat. Musyrikin Mekah tidak mahu beliau meninggalkan mereka kerana beliau telah menjadi kaya. Maka Suhayb رضي الله عنه telah menawarkan mereka untuk mengambil hartanya yang disimpan di sekian-sekian tempat.

Beliau beritahu kepada Musyrikin Mekah, daripada mereka membuang masa mengejarnya, baiklah mereka pergi cari hartanya yang banyak itu dan ambillah harta itu dan tinggalkan sahaja beliau hendak hijrah ke Madinah. Kerana itu, orang Musyrikin Mekah membiarkan sahaja beliau. Sebab yang mereka hendak adalah harta sebenarnya. Dan memang mereka dapat harta Suhayb رضي الله عنه yang banyak itu.

Apabila beliau sampai ke Madinah, Nabi ﷺ telah memberi pujian dan tahniah kepada beliau kerana beliau telah jual dunia untuk membeli akhirat.

وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

Dan Allah taala Amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya.

Kata رَءُوفٌ itu bermaksud Allah ‎ﷻ tahu apakah yang kita lalui. Dia tahu bagaimana kita kena cemuh dan kena tohmah dalam mengamalkan sunnah ini. Dia tahu kepayahan yang sahabat lalui dan juga kita.

Tafsir Ayat Ke-208

Ayat 208 – 213 adalah suruhan untuk masuk Islam secara keseluruhan dan jangan ikut jejak langkah syaitan.

Ada tujuh dorongan atau dipanggil targhib yang perlu diberikan kepada manusia. Kita telah sebutkan empat golongan sebelum ini:

  1. Yang mementingkan dunia sahaja.
  2. Yang mahukan kebaikan dunia dan juga akhirat dan minta diselamatkan dari neraka. Ini adalah golongan yang selamat.

  3. Yang bukan sahaja tidak mahu kepada akhirat tapi mereka juga merosakkan orang lain. Ini golongan yang celaka.

  4. Mereka yang sanggup menjual diri mereka supaya mereka mendapat kebaikan di akhirat. Ini adalah golongan yang terbaik.

Dorongan yang pertama perlu diberikan kepada golongan yang pertama, iaitu orang-orang munafik. Orang-orang munafik yang sebegitu hendaklah diajak mereka untuk pergi berjihad. Semoga dengan berjihad itu, sifat munafik mereka akan hilang. Dengan adanya hukum Jihad, segala resam-resam yang buruk tidak akan ada lagi di dalam masyarakat.

Amalan bid’ah dan khurafat tidak akan ada lagi kerana, apabila jihad disyari’atkan, semua umat Islam akan berjihad untuk Allah ‎ﷻ dan Rasul. Kerana cinta kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul akan timbul apabila adanya Jihad. Setelah itu, mereka akan terus berada dalam iman.

Ajak juga mereka untuk infaq kepada jalan Allah ‎ﷻ kerana jihad dan infaq boleh menghilangkan sifat munafik dalam diri manusia.

Kepada golongan yang kedua dan keempat, iaitu mereka yang sanggup untuk memberikan segalanya untuk agama, maka dibukakan kepada mereka tentang jihad. Beritahu mereka bahawa jihad adalah ‘jalan singkat’ untuk ke syurga dan untuk menjalankan jihad, infaq perlu dijalankan.

Ayat Al-Qur’an telah banyak menyebut tentang targhib Jihad dan Infak. Sekarang dorongan atau targhib yang ketiga di dalam ayat ini. Bila telah timbul perasaan cinta kepada Allah ‎ﷻ, maka hati mereka tidak akan mahu kepada benda-benda yang tidak diajar oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul. Mereka akan sanggup untuk melakukan ketaatan kepada segala arahan Allah ‎ﷻ dan Rasul termasuklah melakukan jihad.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءَامَنُواْ ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ‌ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ

Wahai orang-orang yang beriman,

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Atau yang mengaku beriman. Maka hendaklah kita ikut apa yang disuruh dalam ayat ini kalau kita orang beriman.

ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

Masuklah kamu ke dalam Islam semua sekali;

Kena terima semua perkara tentang agama. Ada seorang sahabat yang asalnya seorang Yahudi telah berjumpa dengan Nabi ﷺ. Dia kata dia tahu bahawa hari yang mulia di dalam Islam adalah hari Juma’at. Dia memang tidak ada masalah menghormati hari Jumaat itu. Tetapi dia masih lagi mahu menghormati hari Sabtu kerana itu adalah kebiasaan yang dilakukannya semasa dalam Yahudi.

Selain daripada dia, ada lagi sahabat-sahabat yang lain juga yang mahu mencampurkan amalan agama Islam dan juga amalan-amalan lain yang mereka telah biasa lakukan. Maka Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini kalau mereka mahu kepada agama Islam, maka mereka kena masuk sepenuhnya ke dalam agama Islam dan jangan mengikut pengaruh syaitan.

Kepada kita sekarang, kenalah terima semua sekali perkara tentang Sunnah, jangan ada tolak mana-mana ayat Al-Qur’an, mana-mana Sunnah. Kena terima Islam semua sekali, jangan campur adukkan antara yang haq dan yang batil.

Antara contoh mencampur adukkan adalah seperti dalam amalan tahnik (belah mulut) – memasukkan manisan ke dalam mulut bayi yang baru lahir. Tahnik itu sunnah, namun telah dicampuradukkan dengan menggunakan cincin emas dan cincin perak yang dimasukkan ke dalam mulut bayi itu. Kononnya, budak itu akan menjadi kaya nanti. Ada juga yang menggunakan garam supaya mulut budak itu jadi masin dan boleh jadi guru. Maka, macam-macam manusia tambah.

Apabila sudah terima agama dengan lengkap dan penuh, maka tinggalkan mana-mana amalan salah, syirik dan khurafat yang pernah dilakukan dahulu. Sebelum hendak buat apa-apa, kenalah periksa dengan nas agama.

Ingatlah bahawa agama ini telah lengkap, maka tidak perlu ditambah dengan amalan-amalan yang bid’ah. Banyak yang tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan bid’ah, maka mereka rasa tidak salah kalau mereka mengamalkan amalan tambahan dalam agama. Ini adalah salah dan perbuatan yang berdosa.

Jangan pilih-pilih mana bahagian agama yang kita hendak pakai sahaja. Kena pakai semua sekali maka kena belajar semua sekali. Dan hendaklah dimulakan dengan belajar tafsir Al-Qur’an.

Kita juga kenalah mengamalkan agama dalam keseluruhan kehidupan kita. Sama ada dalam bentuk ibadat (hubungan dengan Allah ‎ﷻ) dan adat (hubungan dengan makhluk). Jangan hanya pakai hukum agama dalam ibadat dengan Allah ‎ﷻ, tetapi untuk kehidupan seharian, kita tidak pula pakai hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Ketahuilah bahawa agama Islam ini adalah lengkap dan meliputi segenap kehidupan kita. Kerana tidak faham perkara inilah, ada orang yang tidak tinggal sembahyang, tetapi dalam perniagaan mereka, mereka menipu manusia yang lain.

وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ‌

dan jangan kamu ikuti jejak langkah syaitan;

Jangan ikut bisikan syaitan kerana ada yang tergelincir daripada akidah yang benar kerana termakan dengan bisikan syaitan. Ini kerana keinginan mereka untuk campur aduk amalan seperti yang ramai manusia lakukan itu adalah daripada bisikan syaitan. Syaitan mahu kita memasukkan amalan yang bukan daripada agama Islam.

Keduanya, ada yang meninggalkan sunnah dan melakukan bid’ah kerana bisikan syaitan juga. Syaitan akan membisikkan bahawa perkara-perkara yang salah itu boleh dibuat. Mereka akan kata: “takkan guru itu nak masuk neraka”. “Takkan buat amalan itu tak dapat pahala”. Dan bermacam-macam lagi bisikan-bisikan mereka untuk menyesatkan manusia.

Mereka juga akan bisikkan: “Takkan Selawat Syifa’ boleh jadi kufur pula”. Ketahuilah bahawa Selawat Syifa’ itu boleh jadi kufur kerana ia adalah selawat yang mengandungi unsur syirik di dalamnya. Mereka sangka dengan berkat Nabi Muhammad ﷺ boleh menyembuhkan penyakit. Tetapi ketahuilah bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh memberi berkat kepada sesiapa.

Nabi Muhammad ﷺ juga tidak boleh menyembuhkan sesiapa. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menyembuhkan. Oleh itu, bila dikatakan Nabi Muhammad ﷺ boleh menyembuhkan sakit, maka itu sudah syirik kepada Allah ‎ﷻ. Maka kita sepatutnya kena meletakkan pengharapan kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Dan tidak boleh bertawassul dengan berkat Nabi Muhammad ﷺ. Jangan bersandar kepada Nabi Muhammad ﷺ. Cukuplah bersandar sahaja kepada ayat Al-Qur’an dan zikir kepada Allah ‎ﷻ.

Amat bahaya sekali jejak langkah syaitan itu. Ingatlah bahawa syaitan itu pandai menipu kita. Dia tidak suruh kita tinggalkan Islam semua sekali. Dia cuma suruh tinggalkan sikit-sikit sahaja. Hasilnya, kita tidak memenuhi semua sekali arahan agama.

Akhirnya, sedikit demi sedikit syaitan akan mengajak kita tinggalkan Islam keseluruhannya. Mula-mula dia akan suruh tinggalkan sedikit sahaja. Maka kena belajar Talbis Iblis untuk tahu apakah senjata yang Iblis gunakan untuk menipu manusia.

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang jelas nyata.

Mereka adalah musuh yang nyata bagi kita. Selagi kita tidak masuk neraka bersama mereka, mereka tidak akan berpuas hati.

Mereka adalah ‘musuh yang nyata’ kerana mereka telah berjanji dengan Allah ‎ﷻ untuk menyesatkan anak Adam.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan