Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-192 hingga Ke-194

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-192 hingga Ke-194

555
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-192:

فَإِنِ انتَهَوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu); kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

فَإِنِ انْتَهَوْا
Sekiranya mereka berhenti (berperang);

Jikalau mereka berhenti perang, kita pun kena berhenti juga. Ini memerlukan disiplin untuk tidak terus membunuh.

Amat senang untuk suruh tentera mula perang, tetapi hendak suruh mereka berhenti perang, itu amat susah. Sebab bila sudah mula perang, semangat sudah lain macam.

Ini juga memberi isyarat bahawa kalau mereka berhenti, bermakna mereka telah menerima Islam. Itu adalah berita gembira.

Kalau mereka berhenti dari kufur dan mahu masuk Islam, maka kita kena berhenti daripada memerangi mereka dan membunuh mereka.

Ini tidak mustahil terjadi. Ini akan terjadi bila mereka nampak rugi kalau berperang dengan Muslim dan akan dapat untung kalau masuk Islam.

Memang untung kalau masuk Islam kerana keadaan akan aman dan rakyat akan dapat keadilan. Selalunya yang mementang Islam adalah para pemimpin yang korup sahaja.

فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maka sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Lihatlah betapa pemaafnya Allah ‎ﷻ – walaupun dahulu mereka melakukan syirik, pernah menindas orang Islam dan pernah membunuh orang Islam, tetapi kalau mereka berhenti daripada menyerang dan bermusuh dengan orang Islam, Allah ‎ﷻ boleh maafkan lagi.

Oleh kerana Allah‎ ﷻ pemaaf, maka orang Islam pun kena juga jadi pemaaf. Kalau orang kafir sudah berhenti dan mahu berdamai, maka kita pun kenalah maafkan mereka.

Allah ‎ﷻ tidak kata mereka selamat lagi kerana selamat atau tidak adalah atas amalan mereka. Namun kalau benar hamba-Nya taat dan mahu ikut Islam, Allah ‎ﷻ akan mengampunkan segala dosa-dosa mereka dahulu. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ adalah Maha Pengampun.

Maksud Allah ‎ﷻ itu Raheem adalah kalau Dia sudah maafkan, Allah ‎ﷻ tidak akan mengenakan azab terhadap hamba-Nya lagi di akhirat kelak.

Tafsir Ayat Ke-193

وَقَـٰتِلُوهُم حَتّىٰ لا تَكونَ فِتنَةٌ وَيَكونَ الدّينُ لِلَّهِ ۖ فَإِنِ انتَهَوا فَلا عُدوٰنَ إِلّا عَلَى الظّالِمينَ

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.

وَقَـٰتِلُوهُم

Dan perangilah mereka itu

Jangan berhenti memerangi musuh-musuh Islam. Sampai bila?

حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ

sehingga tidak ada lagi syirik;

‘Fitnah’ dalam ayat ini bermaksud syirik dan jangan kita tafsir yang lain dari itu. Kalau mereka melakukan kezaliman syirik dengan Allah ‎ﷻ, kita kena lawan tanpa henti. Sehingga tidak ada lagi syirik atas muka bumi Allah ‎ﷻ ini. Selagi syirik ada, selagi itu ada arahan jihad dalam dunia ini.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan pula hadith berikut:

“أمرْتُ أنْ أقاتلَ النَّاسَ حَتَّى يَقُولُوا: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، فَإِذَا قَالُوهَا عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّهَا، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ”

Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka mengatakan tidak ada Tuhan selain Allah ‎ﷻ; apabila mereka mahu mengucapkannya, bererti mereka memelihara darah dan harta bendanya dariku, kecuali kerana alasan yang hak, sedangkan perhitungan mereka (yang ada di dalam hati mereka) diserahkan kepada Allah ‎ﷻ.

Namun malangnya kebanyakan dari kita pandang kecil sahaja amalan syirik itu. Berapa ramai orang yang mengaku Muslim tetapi mengamalkan syirik? Amat menyedihkan kita tengok mereka macam tidak ada apa-apa salah kepada mereka.

Contohnya, berapa ramai orang Islam yang berdoa kepada Nabi? Mereka tidak berdoa kepada Allah ‎ﷻ, tetapi kepada Nabi. Adakah Nabi boleh menjawab doa? Tentulah tidak. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh memperkenankan doa kita. Maka, apabila mereka berdoa kepada Nabi, itu adalah perbuatan syirik.

وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ

dan sehingga yang hanya ada agama Allah sahaja atas muka bumi;

Umat Islam diarahkan jihad sehingga hanya ada agama Islam sahaja di dunia ini. Kalimah الدِّينُ itu bermaksud ‘cara hidup’. Oleh itu, cara hidup yang dibenarkan ada hanyalah cara hidup yang Allah ‎ﷻ restu sahaja.

Tetapi sebelum kita serang orang kafir, kita kena tabligh dahulu kepada mereka. Bukan terus serang mereka. Lihatlah bagaimana Nabi ﷺ berdakwah kepada orang kafir dahulu sebelum menyerang mereka. Sebelum jihad perang, kena mulakan dengan jihad mulut terlebih dahulu.

Maka hendaklah kita berdakwah dengan saudara mara kita, sahabat handai kita dan orang di sekeliling kita. Dan kemudian kita kena luaskan dakwah kita sampai kepada orang kafir. Mungkin mereka tidak terima Islam kerana belum lagi ada orang yang dakwah kepada mereka.

Orang kita zaman dahulu pun ada berperang dengan orang kafir. Tetapi umat Melayu dahulu mengamalkan amalan-amalan syirik dalam perang, maka mereka telah kalah. Allah ‎ﷻ telah berikan kekalahan kepada mereka. Kemudian mereka dihina selepas itu dengan dijadikan hamba dan sebagainya. Dan kita sebagai anak cucu mereka, telah dijajah selama beratus-ratus tahun. Itulah balasan Allah ‎ﷻ kepada mereka yang mengamalkan syirik.

Ingatlah bahawa kita memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ dalam berperang pada jalan Allah ‎ﷻ. Kita tidak boleh mengharap bantuan daripada orang kafir. Kita tidak boleh menerima bantuan daripada orang kafir juga. Pernah terjadi semasa zaman Nabi ﷺ, ada orang musyrik hendak menolong Nabi ﷺ berperang pun Nabi ﷺ tidak terima. Nabi ﷺ hanya terima apabila dia mengucap dua kalimah syahadah. Maka untuk mendapat pertolongan Allah ‎ﷻ, hendaklah kita mengamalkan tauhid.

فَإِنِ انْتَهَوْا

Sekiranya mereka berhenti dari buat syirik;

Sama ada mereka telah berhenti daripada membuat syirik atau mereka sudah berhenti berperang dengan kita, dan telah mengadakan perjanjian damai dengan kita, maka berhentilah dari memerangi mereka.

فَلَا عُدوٰنَ

maka tidak ada lagi permusuhan

Apabila sudah berada dalam satu agama, maka kita tidak ada lagi permusuhan. Atau apabila sudah ada perjanjian damai antara kita dan mereka, tidak ada lagi permusuhan.

إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ

melainkan dengan orang yang zalim;

Melainkan kalau mereka melakukan kezaliman, maka kita kena berperang dengan mereka kembali kerana agama Islam amat mementingkan keamanan.

Tafsir Ayat Ke-194

Ini adalah syarat perang lagi.

الشَّهرُ الحَرامُ بِالشَّهرِ الحَرامِ وَٱلحُرُمَـٰتُ قِصاصٌ ۚ فَمَنِ اعتَدىٰ عَلَيكُم فَاعتَدوا عَلَيهِ بِمِثلِ مَا اعتَدىٰ عَلَيكُم ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَعَ المُتَّقينَ

(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.

الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ

Bulan Haram itu ialah dengan Bulan Haram;

Bulan Haram dihormati kerana telah ditetapkan oleh Allah untuk dihormati. Kena berhenti perang sepanjang Bulan Haram itu. Ada empat bulan semuanya. Ia telah disepakati sebagai waktu rehat dari berperang.

Bila ada bulan-bulan ini yang dihormati, bolehlah hendak buat benda lain juga, tidaklah hendak berperang sepanjang tahun. Akan jadi susah kehidupan manusia kalau sepanjang tahun berperang.

Jadi, tidak boleh dicabuli kehormatan bulan-bulan itu. Haram berperang pada bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Tidak boleh mulakan perang dalam bulan-bulan itu. Itu adalah perjanjian dalam masyarakat Arab, kerana bulan-bulan itu adalah bulan-bulan untuk dijalankan ibadat haji dan umrah.

Akan tetapi kalau kita diserang dalam bulan itu, maka kita boleh serang balik.

وَٱلحُرُمَـٰتُ قِصَاصٌ

dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang.

Adab menjaga Bulan Haram ini ada batasan. Kalau Bulan Haram dicabuli oleh orang kafir maka boleh memerangi mereka dalam Bulan Haram itu. Kalau mereka serang kita dahulu dalam Bulan Haram, maka kita boleh lawan balas, tidaklah kita duduk diam sahaja.

Ayat ini hendak memberitahu bahawa kalau mereka serang kita dalam bulan Haram, maka kita boleh balas balik menyerang mereka dalam Bulan Haram kerana mereka yang telah memulakannya dahulu.

Selain dari bulan-bulan Haram itu, tempat-tempat suci agama mereka dan kita juga tidak boleh dicabuli. Seperti Masjidil Haram dan juga kuil-kuil mereka. Tidak boleh kita menyerang tempat ibadat mereka kerana kalau kita buat juga, mereka akan menghina dan menyerang masjid kita pula nanti.

Tetapi ayat ini hendak mengatakan kalau mereka menyerang kita di tempat suci itu, maka kita boleh menyerang balas.

فَمَنِ اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ

Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu

Katakanlah mereka yang serang kita dahulu.

فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ

maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu;

Kalau mereka serang kita dahulu dalam Bulan Haram, maka kita dibenarkan untuk serang balas. Kita boleh balas balik seimbang dengan apa yang mereka telah lakukan. Jangan lebih-lebih pula.

وَاتَّقُوا اللَّهَ

Bertaqwalah kepada Allah

Taqwalah kepada Allahﷻ dengan jaga hukum-hukum yang Allah ﷻ tetapkan. Takutlah kepada Allah. Jangan kita pula yang mulakan perang dalam Bulan Haram itu.

Walaupun kamu sedang berperang itu, kenalah sentiasa ingat kepada Allah ﷻ. Ingatlah bahawa Allah ﷻ sedang memerhatikan kita kerana tujuan berperang juga adalah kerana Allah ﷻ. Maka jangan cabuli ketetapan yang Allah ﷻ dan Rasul-Nya telah tetapkan.

وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

dan ketahuilah yang Allah bersama dengan orang-orang yang bertaqwa;

Kita kena yakin yang Allah ﷻ akan sentiasa bersama dengan orang bertaqwa. Banyak kali Allah ﷻ yang Allah akan tolong orang-orang yang tolong agama. Kalau kita berperang dan kita bertaqwa, maka Allah akan beri bantuan kepada kita.

Tetapi kalau kita sendiri tidak bertaqwa, melakukan syirik dan melakukan larangan Allah ﷻ Allah ﷻ membiarkan sahaja kita tanpa bantuan dari-Nya. Kalau Allah ﷻ tidak tolong kita, maka tidak ada harapanlah kepada kita lagi.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan