Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-176
ذَٲلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ نَزَّلَ ٱلڪِتَـٰبَ بِٱلحَقِّۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱختَلَفُواْ فِى ٱلكِتَـٰبِ لَفِى شِقَاقِۭ بَعِيدٍ
(Segala balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah telah menurunkan Kitab dengan mengandungi kebenaran (tetapi mereka berselisih padanya); dan sesungguhnya orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk hidayah Allah).
ذَٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ نَزَّلَ ٱلڪِتَـٰبَ
Mereka mendapat azab itu kerana Allah telah menurunkan Al-Qur’an
Allah ﷻ marah sebab Dia telah turunkan wahyu untuk disebarkan, bukan untuk disimpan. Maka sesiapa yang Allah ﷻ telah pilih untuk belajar wahyu, maka mereka kena sampaikan apa yang mereka telah belajar.
Maka anda yang sedang membaca tulisan ini, kena sebarkan tulisan ini. Kena sampaikan kepada mereka yang masih tidak tahu. Jangan simpan sendiri tetapi kena disebarkan kepada masyarakat yang kebanyakannya masih jahil tentang ajaran wahyu.
بِالْحَقِّ
dengan bawa kebenaran;
Allah ﷻ berikan wahyu untuk zahirkan kebenaran. Kebenaran apa? iaitu Dia adalah Tuhan dan semua kena puja Dia. Kalau sembunyi fakta ini, Allah ﷻ murka kerana tujuan kebenaran itu adalah hendaklah disampaikan kepada masyarakat. Kalau disimpan sahaja, ia tidak menepati kehendak Allah ﷻ.
وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِي ٱلكِتَـٰبِ
Dan sesungguhnya orang-orang yang berselisih dalam kitab ini;
Manusia memang selalu sahaja ada perselisihan di antara mereka. Dalam hal agama, ada yang beritahu tentang kebenaran, dan ada yang sembunyi kebenaran itu.
Mereka berselisih itu sebab mereka yang menyembunyikan kebenaran itu ada kepentingan peribadi untuk mereka iaitu mereka hendak menjaga periuk nasi mereka. Mereka takut kalau mereka beritahu kebenaran, rezeki mereka akan berkurangan. Apakah kedudukan mereka?
لَفِي شِقَاقٍ بَعِيدٍ
sesungguhnya berada dalam persimpangan yang amat jauh.
Mereka berada amat jauh daripada kebenaran. Kebenaran tidak akan sampai lagi kepada mereka. Mereka akan terus berada dalam kegelapan dan kejahilan. Ini kerana mereka telah berlawanan dengan kebenaran yang sepatutnya disampaikan.
Tafsir Ayat Ke-177
Ayat ini terkenal sebagai ‘Ayatul Birr’ (ayat tentang kebaikan). Ia berkenaan kebajikan, iaitu kebajikan secara keseluruhan.
Ada dua jenis kebajikan sebenarnya – ibadah dan etika (akhlak). Ada Muslim yang amat menjaga kebajikan daripada segi ibadah: jaga salat, puasa, haji dan sebagainya.
Namun ada satu jenis lagi kebajikan iaitu daripada segi etika: jaga hubungan dengan keluarga, sedekah kepada anak yatim dan orang miskin. Dua-dua kena ada sebenarnya tanpa ditinggalkan salah satu.
Malangnya ramai orang Islam yang hanya mengamalkan satu bahagian sahaja. Ramai yang salat tetapi tidak menolong orang miskin. Ada yang tidak pernah tinggal salat tetapi mereka menipu orang lain dalam perniagaan mereka.
Dan ada pula yang baik dari segi etika, tidak kacau orang dan tidak buat jenayah, tetapi mereka tidak jaga agama mereka: sebagai contoh, ada yang kata walaupun mereka tidak pakai tudung menutup aurat, tetapi mereka kata mereka seorang yang baik.
Pernah dengar bukan?: “walaupun aku tak pakai tudung, tapi hati aku baik, tau…..”.
Kedua-dua elemen kebaikan kena ada dalam agama dan akhlak. Oleh kerana itu, Allah ﷻ gabungkan kedua elemen dalam ayat ini (supaya tidak ada alasan bagi manusia untuk kata tidak tahu).
Kebajikan itu mesti buat dua-dua elemen. Ibadah dan etika/akhlak yang baik kerana ianya serangkaian. Tidak boleh tinggalkan salah satu.
Selain dari itu, ada kalangan orang Islam yang hanya memfokuskan ibadat mereka kepada satu-satu perkara sahaja. Mereka suka buat satu perkara ibadat sahaja dan mereka hanya buat yang itu sahaja. Itu pun tidak bagus.
Dalam Islam kita kena tahu manakah yang penting. Jangan kita pandang hanya kepada ibadah dalam bentuk pergerakan sahaja.
Jangan kita lupa kepada apakah mesej Islam yang hendak dibawa. Sebagai contoh, ada yang terlalu menekankan apakah amalan yang dilakukan dalam ibadat Haji sampai mereka terlupa apakah mesej yang hendak dibawa dalam ibadat itu. Ibadat Haji adalah sebagai satu latihan tentang apakah yang akan berlaku di Padang Mahsyar nanti.
Kita akan berkumpul di Padang Arafah, dibangkitkan dengan pakaian ihram. Tetapi kerana tidak faham, maka mereka sibukkan diri mereka menjaga hukum hakam dalam Haji itu sahaja.
Ada orang Islam yang hanya tahu satu-satu perkara sahaja dalam Islam, maka mereka menganggap itulah agama, sampaikan kalau ada orang lain buat lain sikit dari apa yang mereka biasa lakukan, mereka akan marah dan tidak dapat terima.
Pernah ada kisah bagaimana seorang lelaki yang marahkan seorang ustaz kerana ustaz itu mengajar bahawa tidak ada bacaan Qunut dalam solat subuh.
Orang lelaki itu kata: “Kau jangan mengajar benda yang salah di kampung ini. Walaupun aku tak sembahyang, tapi aku hafal Qunut, tau!” Orang itu sangka itulah agama, maka kalau ada yang tidak buat Qunut dalam solat subuh, macam tidak buat solat.
Begitu juga ada jenis yang jahil agama, sampaikan kalau ada imam yang tidak baca doa dengan suara yang kuat, mereka sangka sembahyang tidak sempurna.
Ada orang yang menjadikan kerja mereka menyalahkan cara ibadat orang lain hanya kerana mereka sudah biasa dengan cara-cara tertentu. Mereka dari kecil lagi sudah buat satu cara, jadi mereka lihat kalau orang lain buat cara lain, mereka fikir itu salah.
Ini adalah jenis manusia yang hendak mencari salah orang sahaja. Dan ini telah menampakkan kejahilan mereka dalam agama. Masalahnya, orang jahil pula yang kuat suaranya. Mereka kehadapan mahu kutuk orang.
Bermula dari ayat ini kita akan bertemu dengan istilah Umur Muslihah dan Umur Munazimah. Bila sudah kenal Allah ﷻ maka seseorang itu akan taat kepada Allah ﷻ dalam ibadat dan dalam adat. Satu taat dalam bentuk ibadat dan ini dinamakan umur muslihah.
Dan satu lagi taat dalam adat dan ini adalah umur munazimah. Adat adalah perkara-perkara yang terjadi dalam kehidupan seharian. Ianya termasuk cara hidup dan cara berinteraksi dengan alam sejagat. Itu pun Allah ﷻ sudah tetapkan kepada kita supaya kehidupan kita jadi baik.
Namun untuk perkara adat jadi baik, perkara umur muslihah kena sempurna dahulu. Kalau tidak sempurna, jangan harap kehidupan kita akan jadi baik.
Dalam kita hendak dakwah orang luar kepada Islam, kita kena tunjukkan model yang baik kepada mereka. Kena hidup macam cara Nabi dan sahabat. Manusia sebelum tengok Al-Qur’an, dia akan tengok kita yang mempelajari Al-Qur’an. Sepatutnya cara hidup kita adalah baik sampai boleh menarik mereka masuk Islam.
Begitulah yang terjadi zaman dahulu dengan Nabi dan para sahabat. Manusia melihat bagaimana cara mereka bermuamalah dan hidup bermasyarakat sampaikan mereka teringin untuk masuk Islam dan jadi seperti mereka.
Kalau kehidupan kita sendiri tidak teratur, bagaimana kita mahu ajak manusia lain kepada Islam?
Kadang-kadang orang luar tidak teringin kepada Islam kerana tidak ada tarikan kepada mereka apabila melihat perangai kita.
Kita yang sudah faham Islam ini kena sampaikan kepada manusia lain untuk memperkenalkan Allah ﷻ dan syariat Allah ﷻ kepada mereka dan untuk sampaikan Islam dengan cara jihad dan infaq. Oleh itu dalam surah Al-Baqarah ini banyak disebut tentang dua perkara itu.
Allah ﷻ telah susun dengan susunan yang amat baik sekali sampai kita boleh faham kalau kita belajar. Semua yang akan disebut ini penting untuk disampaikan dan tidak boleh tinggalkan salah satu.
لَّيسَ ٱلبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُم قِبَلَ ٱلمَشرِقِ وَٱلمَغرِبِ وَلَـٰكِنَّ ٱلبِرَّ مَن ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱليَومِ ٱلأَخِرِ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةِ وَٱلكِتَـٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِى ٱلقُربَىٰ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰكِينَ وَٱبنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآٮِٕلِينَ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّڪَوٰةَ وَٱلمُوفُونَ بِعَهدِهِم إِذَا عَـٰهَدُواْۖ وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِى ٱلبَأسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلبَأسِۗ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلمُتَّقُونَ
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.
لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ
Tidaklah kebajikan itu hanya kamu hadapkan muka kamu ke timur atau ke barat;
Ayat ini masih lagi ada kena mengena dengan kiblat. Ayat ini juga adalah teguran kepada puak Yahudi Nasara yang selalu membuat berbagai tuduhan kepada Islam untuk merendahkan agama Islam.
Antaranya, mereka tuduh Islam ini dalam hal kiblat pun tidak tetap – sekejap ke sana dan sekejap ke sini. Allah ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, bukanlah kebaikan itu hanya memandang ke arah kiblat sahaja. Cetek sangat fikiran kalau rasa agama setakat ritual sahaja.
Mengadap ke arah kiblat dalam solat itu memang penting, tetapi bukan itu sahaja yang kita kena jaga. Allah ﷻ jawab bukan kebaikan hanya tempat hadap sahaja ke arah timur dan barat.
Islam bukan itu sahaja tetapi Islam adalah agama yang sempurna yang merangkumi segenap kehidupan manusia.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak terangkan apakah kebajikan itu. Kita kena tahu ada lagi perkara-perkara lain yang perlu dibuat daripada mengadap ke arah kiblat sahaja.
Maknanya, bukan hanya satu cara sahaja untuk kita buat ibadah. Ada lagi perkara-perkara lain yang perlu kita lakukan.
وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ ءَامَنَ بِاللَّهِ
tetapi kebajikan itu adalah orang yang beriman dengan Allah;
Yang pertama, kenalah beriman dengan Allah ﷻ kerana kalau orang itu kafir, dan dia mengadap ke kiblat dalam solat pun tidak sah solat dia. Beriman adalah kebaikan yang paling utama.
Kalimah الْبِرَّ bermaksud kebajikan atau kebaikan. Ia diambil dari perkataan بر yang bermaksud ‘tanah’. Berlawanan dengan perkataan بحر yang bermaksud ‘lautan’ kerana Allah hendak bezakan antara lautan dan daratan.
Orang Arab menggunakan kata الْبِرَّ untuk merujuk kepada kebajikan kerana hendak menekankan yang ianya adalah sesuatu yang stabil.
Kalau lautan, ianya sentiasa bergelora. Jadi, Allah ﷻ telah mengisyaratkan bahawa perbuatan kebajikan ini hendaklah stabil, iaitu berterusan dilakukan. Bukan untuk dilakukan sekejap-sekejap sahaja.
Dari segi bahasa, beriman dengan Allah ﷻ bukanlah satu perbuatan yang tepat dikatakan sebagai ‘kebajikan’ kerana tidak ada sesuatu fizikal yang dilakukan, bukan?
Oleh itu, ayat ini bermaksud, kebajikan itu dikeluarkan oleh orang yang beriman dengan Allah ﷻ.
Ada tiga komponen yang penting dalam iman: Percaya kepada Allah, percaya kepada hari akhir dan percaya kepada wahyu. Al-Quran sentiasa mengulang-ulang ketiga-tiga elemen ini. Potongan ayat di atas telah menyebut komponen yang pertama.
Ayat ini keseluruhannya menceritakan tentang melakukan kebajikan. Kenapakah manusia melakukan kebajikan itu? Kerana Allah ﷻ . Kerana mengharapkan redha Allah ﷻ . Tetapi kadang-kadang manusia buat kebajikan bukan kerana Allah ﷻ semata-mata. Lihat ayat di bawah:
وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
dan beriman kepada hari akhirat
Ini adalah komponen kedua dalam Iman: percaya kepada hari akhirat.
Ada yang buat kebajikan kerana mengharapkan redha Allah ﷻ. Itulah sebab yang terbaik sekali. Tetapi ada juga yang buat kebajikan kerana mereka mengharapkan syurga dan takutkan neraka. Ini juga adalah sebab yang baik tetapi kurang sedikit dari sebab yang pertama: mengharapkan redha Allah ﷻ . Sebab itu Allah menyebut sebab yang pertama dahulu.
Walaupun ianya tidaklah satu sebab yang paling baik, tetapi boleh kalau dimulai melakukan kebajikan dengan sebab takut neraka dan mengharapkan syurga kerana lama-kelamaan apabila manusia sudah semakin tinggi imannya, mereka akan sampai kepada tahap mereka melakukan sesuatu itu hanya kerana mengharapkan redha Allah ﷻ (bukan kerana syurga dan neraka sahaja).
Ini sepertimana para sahabat melakukan sesuatu kerana mengharapkan redha Allah ﷻ. Kerana itulah apabila kita menyebut nama para sahabat, kita tambah dengan perkataan ‘radhiallahu anhu’ – Allah ﷻ kepadanya.
Namun, para peringkat permulaan, tentu susah hendak dapatkan redha yang bersih murni. Permulaan manusia yang beriman adalah kerana takutkan Allah ﷻ, takutkan neraka dan mengharap syurga. Dan ini tidak salah pun kerana memang syurga dan neraka itu dijanjikan oleh Allah ﷻ pun. Maka tidaklah salah kalau kita buat amal kerana mengharap syurga dan kerana takutkan neraka.
Jadi, kalau kita hendak buat baik, bagaimana kita tahu apakah perbuatan baik itu? Kita hanya dapat tahu dengan wahyu yang Allah ﷻ diturunkan kepada kita. Bagaimana caranya? Ayat ini bersambung lagi.
وَٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةِ
dan (beriman kepada) para malaikat
Ini adalah elemen ketiga dalam komponen iman: percaya kepada wahyu. Malaikat adalah pembawa wahyu itu kepada para Rasul. Maka kena percaya kepada kewujudan mereka. Dan kena tahu nama-nama malaikat yang utama.
وَٱلكِتَـٰبِ
dan (beriman kepada) kitab
Wahyu tentang apakah kebajikan itu kita dapat tahu dari ‘Kitab’ yang Allah ﷻ melalui perantaraan malaikat. Perkataan ‘kitab’ ini ada ال، maknanya ia merujuk kepada kitab yang spesifik – Al-Qur’an.
Untuk mengetahui apakah kebaikan yang perlu kita lakukan, kita kena merujuk kepada Al-Qur’an sebagai kitab yang terakhir kerana kitab-kitab yang sebelum Al-Qur’an belum tentu kebenaran di dalamnya kerana telah diubah-ubah.
وَالنَّبِيِّينَ
dan (beriman kepada) para Nabi
Nabi adalah manusia dipilih oleh Allah ﷻ menyampaikan wahyu Allah ﷻ kepada kita. Kalau mereka tidak sampaikan, kita tidak akan tahu apakah yang Allah ﷻ kita buat. Kalau ada perkara yang tidak jelas kepada kita dalam Al-Qur’an, Nabi akan jelaskan.
Nabi juga menambah banyak lagi perkara-perkara kebajikan yang perlu kita lakukan kerana Al-Qur’an hanya menyebut perkara-perkara yang penting dan asas sahaja. Maka kerana itu kena belajar hadith juga untuk melengkapkan pemahaman agama kita. Janganlah jadi golongan Anti-Hadith pula.
Jadi elemen wahyu ada dalam tiga perkataan dalam ayat ini: Malaikat – Al-Qur’an – Rasul. Tiga perkara ini adalah asas untuk seseorang Muslim itu untuk berbuat kebajikan. Macam kalau hendak bina bangunan, kenalah ada asas yang kuat. Kontraktor bangunan itu akan ambil masa yang lama untuk bina asas yang kukuh. Kena ‘piling’ tiang-tiang dalam tanah kerana apabila ada asas yang kuat, barulah bangunan itu dapat tegak berdiri. Begitu juga, apabila sudah ada asas iman, barulah mudah untuk melakukan kebajikan.
Itu semua adalah dasar untuk melakukan kebajikan. Ayat ini telah menyebut tentang Rukun Iman. Tentulah bukan perkara ini sahaja. Tetapi Allah ﷻ perkara-perkara ini untuk merangkumi segala Rukun Iman yang lain. Setelah itu, Allah ﷻ tentang amalan pula. Allah ﷻ mengajar kita apakah yang perlu dilakukan dalam perkara kebajikan itu.
وَءَاتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ
dan infaqkan hartanya yang dia sayangi;
Allah menyebut memberi sesuatu yang kita sayangi, sebab ada yang memang memberi sedekah, tetapi dari barang yang dia memang hendak buang.
Kadang-kadang kita tengah kemas stor kita, ada barang kita tidak pakai lama atau ada baju yang lusuh yang kita pun tidak mahu hendak pakai. Kita beri mana yang ada.
Kadang-kadang sudah rosak-rosak barang yang kita hendak beri itu. Padahal sedekah sepatutnya barang yang ada nilai. Kalau kita beri barang yang tiada nilai, tidak boleh lagi digunakan orang, tidak ada pahala atas kita. Kita kena beri harta yang kita sayang. Itu pemberian yang paling bernilai sekali. Itulah makna عَلَىٰ حُبِّهِ, memberi sedekah walaupun dia sayang kepada harta itu.
Yang paling kurang pahala dari harta sedekah yang kita dapat adalah diberi semasa sudah hendak mati. Sedekah itu memang sah dan ada pahala, tetapi nilainya paling kurang. Kerana daripada tidak beri, elok beri, walaupun kita sudah hendak mati. Tetapi dalam hadith, disebut kita kena beri infaq semasa kita masih sayang dan mahu kepada harta itu.
Daripada Abu Hurairah, dia berkata bahawa ada seseorang yang menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu dia berkata,
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ، تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى، وَلاَ تُمْهِلُ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ قُلْتَ لِفُلاَنٍ كَذَا، وَلِفُلاَنٍ كَذَا، وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنٍ
“Wahai Rasulullah, sedekah yang mana yang lebih besar pahalanya?” Beliau menjawab, “Engkau bersedekah pada saat kamu masih sihat, saat kamu takut menjadi fakir, dan saat kamu berangan-angan menjadi kaya. Dan janganlah engkau menunda-nunda sedekah itu, hingga apabila nyawamu telah sampai di tenggorokan, kamu baru berkata, “Untuk si fulan sekian dan untuk fulan sekian, dan harta itu sudah menjadi hak si fulan” (Muttafaqun ‘alaih. HR. Bukhari no. 1419 dan Muslim no. 1032).
Selepas kita tahu kita perlu infaqkan harta kita, kita perlu tahu kepada siapakah yang kita perlu infaqkan harta itu:
ذَوِي الْقُرْبَىٰ
(kepada) kaum kerabat keluarga;
Yang paling utama kita kena tolong adalah ahli keluarga kita yang terdekat. Untuk kita tahu siapa yang memerlukan, tentulah kita kena ziarah saudara-mara kita yang ada lagi. Barulah kita tahu keadaan mereka. Jarang sekarang orang kita yang buat macam itu. Kita kena mulakan balik. Harta yang utama diberi adalah kepada kaum kerabat kita sendiri.
Selepas itu, kena beri juga kepada jiran tetangga yang tinggal berdekatan dengan kita. Tetapi jangan melangkau, kena cari yang dekat dengan kita dahulu. Jangan kita memberi kepada orang yang jauh, tetapi yang dekat dengan kita, kita tidak beri lagi.
Masalahnya, orang yang paling rapat dengan kitalah yang kita selalu berkelahi dengan mereka. Dengan pakcik dan makcik, dengan sepupu dan sebagainya, malah ramai yang berkelahi dengan adik beradik. Ada sahaja perkara yang tidak kena dengan mereka pada pandangan kita. Maka ramai antara kitayang bermasam muka dengan sanak saudara kita. Tidak bertegur sapa, kata buruk tentang mereka kepada orang lain dan sebagainya.
Tetapi lihatlah dalam ayat ini, Allah ﷻ kita tolong mereka, infaq kepada mereka. Mereka sebenarnya lebih layak terima bantuan daripada kita dahulu sebelum orang lain. Ada sebab mengapa Allah ﷻ mereka saudara mara kita, bukan kita yang tentukan. Bayangkan siapakah bapa saudara Nabi? Abu Lahab. Allah ﷻ yang pilih siapakah yang jadi saudara mara kita. Maka kita kena redha dengan saudara mara kita.
وَٱلۡيَتَـٰمَىٰ
dan (kepada) anak yatim
Allah ﷻ beri anjuran untuk membantu anak-anak yatim. Ini adalah kerana mereka tidak ada penaung lagi dan mereka amat memerlukan bantuan. Banyak sekali pahala kalau bantu mereka. Dan besar sekali dosa kalau tidak memberikan hak-hak mereka.
Tetapi bagaimana kita hendak tolong anak-anak yatim kalau kita sendiri pun tidak kenal siapakah anak yatim dalam kawasan kita tinggal? Oleh itu, kita kena ambil tahu tentang masyarakat kita. Kenalah tanya-tanya siapakah anak-anak yatim dalam kawasan kita.
وَٱلۡمَسَـٰكِينَ
dan (kepada) orang-orang miskin
Allah ﷻ kita duit yang lebih supaya kita dapat bantu orang lain. Kerana itu kita juga kena kenal siapakah orang miskin dalam kawasan kita. Kena campur dengan masyarakat untuk tahu siapakah mereka.
Kadang-kadang mereka tidak meminta-minta kerana mereka malu. Mereka juga tidak mahu menyusahkan orang lain. Jadi kita kena berusaha untuk mencari siapakah yang susah dalam kawasan kita.
وَابْنَ السَّبِيلِ
dan (kepada) orang yang dalam perjalanan
Kita juga kena beri bantuan kepada mereka yang dalam musafir. Termasuk dalam hal ini adalah mereka yang bermusafir kerana menyebarkan agama kerana waktu itu mereka memang putus bekalan dan mereka memang mengharapkan bantuan dari penduduk setempat.
Sunnah dalam Islam adalah menjemput orang yang dalam perjalanan untuk tinggal dengan kita. Untuk itu, kita kenal orang kawasan kita supaya apabila ada yang kita tidak kenal, maka kita tahu yang dia adalah orang luar, orang musafir.
Maka sunnahnya adalah mengajak dia tinggal dengan kita. Sepatutnya kita berebut-rebut dengan orang lain untuk mengajak mereka tinggal dengan kita. Tetapi kita buat yang sebaliknya. Kalau ada saudara mara sendiri pun kalau boleh kita hendak mereka tinggal di hotel. Kita kena ubah perangai kita.
وَالسَّائِلِينَ
dan (kepada) orang yang meminta-minta kerana terdesak;
Kita ingatkan kalau orang yang meminta mestilah Allah ﷻ letak di depan, tetapi tidak. Allah ﷻ di hujung-hujung ayat. Kalau ada yang meminta, kita kena tolong seboleh mungkin. Tidak semestinya yang meminta itu tergolong dalam golongan yang fakir miskin. Maka kerana itu mungkin mereka tidak memerlukan sangat, dan kerana itu Allah ﷻ sebut mereka di awal ayat.
Cuma mungkin masa itu dia tengah ada masalah. Sebagai contohnya, ada yang telefon kita minta bantuan secara tiba-tiba. Sebelum dia hendak telefon kita tu, dia sudah banyak kali fikir, susun ayat macam mana hendak minta tolong dengan kita. Sebab dia malu sangat hendak minta dengan kita.
Maka cubalah kita bantu mereka kalau boleh. Kalau kita tidak boleh bagi, kita kena minta maaf pula kepada dia. Jangan kita hina dia kerana minta kepada kita. Bukan senang untuk dia minta tolong. Itu sebabnya, dalam masyarakat kita, selalu kita tengok orang meminta sedekah di kedai makan, di lalu lalang jalan dan sebagainya.
Kalau kita boleh tolong, kita beri. Tetapi kalau kita tidak boleh beri, atau tidak mahu beri, jangan kita herdik mereka dan halau mereka. Kita kena bermanis muka dengan mereka.
وَفِي الرِّقَابِ
dan orang dalam tawanan hamba abdi;
Zaman sekarang, tidak ada lagi golongan hamba abdi. Tetapi ada juga pembantu rumah atau pekerja asing yang kena tipu dengan majikan mereka, sampai tidak boleh hendak balik negara mereka. Sampaikan ada ejen peras ugut mereka lagi. Ataupun orang yang kena tawan dan dilarikan dari tempat tinggal mereka dan dijual di negara lain.
Ini masih lagi terjadi zaman sekarang. Ini juga termasuk dalam maksud ayat ini. Iaitu mereka hendak bebaskan diri dari tawanan. Nampak mereka macam bebas, tetapi tidak kerana pasport mereka orang lain pegang. Orang tidak nampak pertalian ayat ini dalam keadaan zaman sekarang kalau tidak belajar.
Ada juga orang yang di’tawan’ oleh hutang yang terlalu banyak sampai mereka tidak dapat bayar. Macam pinjaman rumah, pinjaman pelajaran dan sebagainya. Itu bukanlah dalam bentuk perhambaan seperti apa yang kita faham dulu, tetapi ianya masih lagi boleh diterima sebagai satu bentuk perhambaan. Mereka memerlukan bantuan kita, maka kita kena tolong mereka seboleh mungkin.
وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ
dan mendirikan sembahyang;
Sekarang Allah menyebut tentang ibadah-ibadah khusus. Berkenaan solat, seorang lelaki kena solat di masjid. Perempuan pula seeloknya solat di rumah kerana perempuan tidak digalakkan untuk pergi ke masjid. Pahala wanita lebih banyak kalau solat di rumah.
‘Mendirikan sembahyang’ itu termasuklah mandi junub, mandi dari haid dan nifas seperti mana yang Nabi ajar. Dan juga mengambil wudu’ sepertimana Nabi ajar.
Apakah maksud أَقَامَ? Mendirikan solat. Allah ﷻ tidak sebut ‘melakukan solat’ tetapi Allahﷻ menyebut ‘mendirikan solat’. أَقَامَ itu seperti tiang rumah. Kalau kita bina rumah, tentu tiang rumah kita bina dulu sebelum kita buat dinding, atap dan sebagainya. Dan selepas rumah itu telah ada, kita akan letak perabot dalam rumah.
Perabot dan apa sahaja dalam rumah kena disusun dengan mengambil kira tiang rumah yang sudah ada. Tidak boleh kita hendak tukar tiang rumah sebab kita hendak letak perabot di situ. Apabila Allah ﷻ gunakan perkataan أَقَامَ, ia bermaksud perkara-perkara lain dalam kehidupan kita kena ambil kira tentang solat.
Waktu solat tidak boleh diubah lagi seperti juga tiang rumah tidak boleh diubah. Perkara-perkara lain yang kena beri ruang kepada solat – bukan solat yang kena beri ruang kepada perkara lain.
Kenapa Allah ﷻ menyebut tentang solat dalam ayat ini? Lihatlah tentang saranan daripada Allah ﷻ sebelum disebut tentang solat ini: memberi harta kepada sanak saudara, anak yatim, orang miskin dan sebagainya itu boleh dilakukan oleh orang yang tidak beragama pun. Contohnya, orang kafir pun boleh juga buat macam itu. Dan memang ada orang kafir yang baik pun, suka menolong orang malah lebih baik dari kebanyakan orang Islam pun.
Tetapi Allah ﷻ tambah dalam ayat ini tentang mendirikan solat dan membayar zakat. Ini adalah ibadat-ibadat khusus. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak tekankan bahawa kena ada dua elemen: menjaga ibadat agama dan berbuat kebajikan. Tidak boleh kita jaga ibadat agama tetapi tidak berbuat kebajikan. Dan tidak boleh kita kata kita ada banyak tolong orang tetapi bab solat dan zakat, kita tidak jaga. Dua-dua elemen kena ada.
وَءَاتَى ٱلزَّڪَوٰةَ
dan mengeluarkan zakat;
Ini adalah ayat Madaniyyah. Jadi, ianya adalah berkenaan dengan zakat harta. Kita kena mengeluarkan 1/40 (2.5%) dari hasil pendapatan perniagaan kita. Tanah pun kita kena bayar zakat juga. Keuntungan dari penjualan tanah kena dikeluarkan zakat sebanyak 10%. Kalau kita usahakan tanah itu, tolak kos dulu baru bagi 10%.
Rumah sewa pun kena zakat juga. Tanah yang disewa juga kena zakat. Orang Islam kena belajar lagi tentang zakat. Banyak lagi yang hendak kena tahu. Malangnya ramai yang tidak tahu tentang zakat ini. Maka ramai tidak keluarkan zakat. Kena kira dengan baik, sebab kalau kita tidak bayar zakat, seluruh harta kita jadi haram belaka. Kalau tidak cermat, boleh kena azab dalam neraka.
Dan berapa banyak yang kena bayar hendaklah dikira dengan baik. Bukan boleh agak-agak dengan jumlah yang kita hendak bayar itu. Sebab ada orang yang sangka mereka telah beri sedekah kepada orang lain, maka mereka kata itu sudah termasuk dalam zakat mereka. Tidak boleh begitu.
Kena kira dengan tepat, kalau hendak bayar lebih tidak mengapa. Tetapi bagaimana kalau sedekah yang kita beri itu tidak mencukupi? Kita sangka cukup, tetapi sebenarnya tidak. Ingatlah bahawa zakat yang tidak dikeluarkan adalah harta haram. Kalau kita tidak keluarkan zakat, seperti kita makan harta fakir miskin. Kerana duit itu adalah hak mereka.
Zakat adalah untuk menghalalkan harta. Zakat adalah duit yang punah dari harta yang halal. Contoh, kita suruh pekerja kita buat air untuk pelanggan, tetapi dia buat air terlupa hendak letak gula. Ada pelanggan yang tidak minum, tetapi dia bayar juga. Maknanya, kita dapat duit yang tidak sepatutnya kita dapat.
Atau ada pekerja kita yang buat kiraan salah sampaikan mereka terlebih ambil daripada pelanggan. Yang terlebih ambil itu adalah haram sebenarnya, tetapi kita tidak perasan sebab sudah termasuk dengan duit-duit yang lain. Atau kita pergi kerja, tetapi dalam masa kerja kita itu, kita tidak sepenuhnya bekerja seperti yang sepatutnya. Kita kerja kurang masa atau kita curi tulang.
Zakat adalah untuk membersihkan pendapatan-pendapatan yang haram itu. Sebab itulah zakat tidak boleh digunakan untuk buat masjid. Zakat itu adalah untuk digunakan manusia sahaja. Buat masjid mesti guna duit sedekah, bukan duit zakat. Ini ramai yang salah buat sebab ada yang bagi duit zakat dia untuk dibina masjid. Zakat juga bukan untuk dibuat sekolah atau rumah fakir miskin. Tidak boleh begitu. Kena beri ikut asnaf.
Duit zakat itu kena beri kepada fakir miskin. Ikut dia hendak buat apa dengan duit itu. Kalau dia hendak buat rumah, ikut dialah. Cuma yang kita kena beri adalah dalam bentuk duit. Kalau dia orang yang tidak baik, kita bolehlah nasihat dia supaya dia menggunakan duit itu untuk kebaikan. Dan dia pun akan dengar nasihat kita masa itu kerana kita tengah hendak bagi duit kepada dia.
Tetapi jangan kerana dia tidak sembahyang, kita tidak beri zakat pada dia. Itu adalah dosa dia, bukan masalah kita. Jangan kita hanya memilih orang yang baik sahaja untuk kita beri duit zakat itu. Memang kalau orang sudah miskin, mungkin ada yang ada masalah, macam boros, berjudi dan sebagainya. Tetapi bukan urusan kita untuk periksa.
Tetapi malangnya cara kita menguruskan zakat banyak masalah sekarang. Ada yang sanggup berhutang dengan duit zakat, padahal perkara itu tidak dibenarkan. Kadang-kadang kita dengar ada duit zakat yang tidak dituntut. Mungkin orang yang jaga duit zakat itu tidak faham bahawa harta zakat itu mesti dikeluarkan dalam masa satu tahun. Harta zakat itu bukan untuk dihimpun dan dikumpul. Duit zakat itu perlu diberi, dan kalau tidak ada yang datang tuntut, mereka yang terlibat kena mencari mereka yang layak terima.
Duit cukai boleh kalau hendak simpan, tetapi zakat kena diberikan kepada manusia. Dan ada kita dengar bagaimana walaupun duit zakat itu memang diberi kepada orang susah, macam-macam pihak zakat hendak tetapkan syarat. Padahal itu adalah hak dia untuk dia hendak gunakan macam mana yang dia pakai.
Itulah yang sedihnya, duit zakat banyak tetapi tidak digunakan dengan yang sepatutnya. Kita sampai ada dengar kisah bagaimana orang-orang yang susah itu terpaksa pergi meminta pertolongan kepada gereja Kristian sebab mereka terdesak sangat. Dan gereja-gereja itu memang menolong mereka. Itulah sebabnya kita dengar banyak orang Melayu yang masuk Kristian kerana mereka nampak orang Kristian lagi mudah menolong orang lain daripada orang Islam sendiri.
Zakat itu juga tidak boleh diberikan dalam bentuk sedikit, pecah-pecah bagi sorang sedikit. Sampai tidak bernilai apa yang mereka dapat itu. Tidak boleh beri dalam bentuk lain selain dari duit. Contohnya, ada yang beri dalam bentuk kain. Tidak boleh kita beri dalam bentuk kain, melainkan kalau kita penjual kain, baru boleh. Belanja makan pun tidak boleh. Kena beri supaya orang yang kita beri itu, dia boleh guna duit itu, ikut apa yang dia mahu gunakan dengan duit zakat itu.
وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَـٰهَدُواْۖ
Dan hendaklah kamu sempurnakan janji-janji apabila berjanji;
Sekarang Allah ﷻ sebut tentang akhlak pula. Ingatlah bahawa ini adalah ayat perintah supaya kita buat. Allah ﷻ menyebut tentang orang yang sentiasa memenuhi janji mereka apabila mereka berjanji. Itulah maksud perkataan الْمُوفُونَ itu.
Sebagai contoh, kalau kita sudah tandatangan kontrak untuk buat sesuatu, itu adalah juga perjanjian kita dengan orang lain. Maka kita kena penuhi kontrak itu.
Inilah satu ungkapan yang merangkumkan ‘Islam’ di dalamnya. Kerana Islam itu adalah berkenaan ‘perjanjian’. Kita ada banyak perjanjian sebenarnya. Perjanjian dengan Allah ﷻ , perjanjian dengan Rasulullah dan perjanjian dengan Al-Qur’an. Kita telah berjanji dan kita kena penuhi janji itu. Semua perjanjian yang halal mesti dipenuhi.
وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ
dan bersabar terhadap kesempitan hidup;
Ada masa kita ada masalah dengan kewangan dan kesempitan hidup. Ada masa kita bukan tidak ada duit, tetapi kita merasakan hidup kita sempit kerana hidup kita tertekan dengan berbagai-bagai masalah. Kita kena bersabar dalam waktu-waktu sebegitu.
Ada pertukaran nahu (grammar) dalam perkataan الصَّابِرِينَ ini. Sebelum ini, penggunaan perkataan dalam bentuk ون, tetapi kali ini dalam bentuk ين pula. Ini adalah kerana ada penekanan yang hendak disampaikan di sini. Semua yang telah disebut di atas adalah penting tetapi yang paling penting adalah kita kena sabar. Tetapi sabar apa?
Iaitu sabar untuk berterusan melakukan kebajikan itu. Kerana kalau tidak ada sabar/berterusan, perkara-perkara kebajikan yang telah disebut di atas tadi itu hanya dilakukan ikut musim sahaja. Kita buat sekejap sahaja. Sebab memang perlukan orang yang sabar untuk terus melakukan perkara kebaikan itu.
Kita perlukan kesabaran di dalam waktu yang susah dan perlukan kesabaran untuk terus melakukan kebajikan. Kita juga perlu sabar untuk terus beramal kerana syaitan akan sentiasa mengganggu kita dan membisikkan kepada kita untuk berhenti. Syaitan akan terus hasut kita sampai kita jadi bosan melakukannya.
وَالضَّرَّاءِ
dan musibah;
Maksudnya kena bersabar walaupun dalam kesakitan dan sebagainya. Ini tidak terjadi kepada orang miskin sahaja. Orang kaya pun boleh jatuh sakit dan ada masalah-masalah lain. Maka apabila terjadi kepada kita, maka kena redha dan terima sahaja apa yang Allah ﷻ telah tentukan kepada kita. Mungkin kita bersedih dan ini tidak mengapa; tetapi jangan persoal keputusan Allah ﷻ untuk mengenakannya kepada kita.
وَحِينَ الْبَأْسِ
dan ketika musibah dalam peperangan;
Dalam peperangan, kadang-kadang rumah kena bom, makanan tiada dan macam-macam lagi. Ini tentang bersabar dalam peperangan. Maka ini adalah saranan untuk pejuang agama dan mereka yang terlibat dengan keluarga yang berperang itu.
Ini penting kerana pejuang agama dan pendakwah akan sentiasa ditentang. Tahap tertinggi pertentangan itu sampai boleh mati. Itu adalah kemuncak kepada penentangan kepada pendakwah dan Allah ﷻ sebut yang kemuncak sahaja dalam ayat ini. Kerana yang kena tentang cara lain itu biasa sahaja. Ramai yang kena tuduh, kena ejek dan sebagainya, itu semua adalah adalah asam garam kehidupan.
Oleh itu, telah disebut tiga perkara yang biasa manusia hadapi dan ujian kepada mereka untuk sabar dalam tiga perkara itu.
Tidak sama antara sabar seorang dengan seorang yang lain. Tahap antara seseorang tidak sama. Mereka mungkin berada dalam barisan yang sama dalam barisan peperangan, tetapi belum tentu mereka mempunyai tahap sabar yang sama. Maka kita kena bina kesabaran diri kita dan Allah ﷻ akan uji sedikit demi sedikit.
أُولَٰئِكَ
Orang-orang yang bersifat seperti ini
Yang telah melakukan setiap perkara yang disebut di atas
الَّذِينَ صَدَقُوا
adalah orang yang betul-betul benar
Orang yang benar dalam agama mereka. Benar dalam dakwaan mereka yang mereka beriman dan beragama. Tidaklah mereka cakap sahaja, tetapi mereka lakukan juga apa yang disuruh kepada mereka. Mereka membenarkan apa yang mereka katakan iaitu percakapan dan perbuatan mereka sama (tidaklah cakap tidak serupa bikin).
وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ
dan mereka ini adalah sebenarnya orang yang bertaqwa;
Mereka itulah juga orang yang menjaga hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Jadi untuk tahu sama ada kita beriman sempurna atau tidak, ialah kita tidak syirik dan sentiasa bimbang tentang akhirat. Bimbang takut-takut kita masuk neraka dan berharap sangat untuk masuk syurga.
Di awal surah ada disebutkan tentang orang-orang bertaqwa. Maka dalam ayat ini Allah ﷻ menjelaskan lagi siapakah orang yang bertaqwa itu. Inilah sifat-sifat yang kena ada pada orang yang bertaqwa.
Allahu a’lam.