Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-142 dan Ayat Ke-143

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-142 dan Ayat Ke-143

1975
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-142

Alhamdulillah, kita sudah mula masuk dalam Juzuk Kedua. Dari ayat ini sehingga ke ayat 283 adalah Perenggan Makro Ketiga surah ini. Tetapi boleh dipecahkan lagi: Ayat 142 – 152 adalah Perenggan Makro tentang Perlantikan Umat Wasato (Umat Pertengahan). Ia akan menceritakan tentang penukaran Kiblat. Dan kita akan belajar bagaimana Kiblat akan dibebaskan daripada berhala dan amalan syirik.

Manusia hendaklah menerima Islam keseluruhannya. Kita kena mengambil syariat Rasul terakhir untuk menjadi umat terpilih dan menjadi contoh kepada manusia seluruh dunia. Ini termasuk cara berekonomi, politik dan bernegara.

Bahagian ini banyak mengandungi hukum-hakam syariat terakhir yang diturunkan kepada umat baru yang terpilih. Bukan lagi kepada Bani Israil tetapi kepada sekarang kepada Bani Ismail. Kaum Arab menjadi khalifah kepimpinan umat manusia menggantikan kaum Yahudi.

Antara mesej penting juga ialah kepentingan infaq dan jihad. Untuk menyebarkan tauhid, menegakkan hukum-hakam dan syariat Islam hanya boleh dilaksanakan dengan adanya kekuasaan Islam. Itulah kena ada Negara Islam. Maka ada banyak seruan yang menyatakan umat Islam kena infaq, korban masa, tenaga, jihad perang untuk menegakkan Negara Islam.

Kita mulakan dengan berbincang berkenaan dengan kiblat. Ini adalah perkara yang penting, kerana ada yang jatuh syirik berkenaan kiblat. Ini kerana ada yang kata kita sembah hajarul aswad. Kalau kita tidak faham tentang perkara ini, ada kemungkinan kita pun boleh terkeliru dan tertipu dengan dakyah daripada agama-agama lain.

Sebenarnya tidak ada apa dengan batu itu. Kalau kita sangka kita mengadap kiblat sama seperti mengadap berhala, maka kita boleh kufur. Sebab itu ada orang kafir yang berkata kita sembah batu dan kalau kita mengiyakan kata mereka itu, maka kita akan jatuh kafir.

Ada enam ayat Al-Qur’an tentang kiblat telah diturunkan kepada kita. Allah ‎ﷻ menurunkan banyak ayat berkenaan dengannya kerana ini adalah perkara besar. Ia adalah sangat penting, maka ia perlu dijelaskan dengan betul. Sebab kalau tidak dijelaskan, manusia akan nampak seolah-olah kita semua sembahyang mengadap Hajarul Aswad pula.

Agama lain tidak ada wahyu turun atau arahan daripada Tuhan untuk mereka mengadap mana-mana arah dalam ibadat mereka kecuali apa yang dikatakan oleh guru-guru mereka. Tetapi lain dengan kita kerana kita menghadap kiblat Kaabah kerana ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Kita menghadap Kiblat di Kaabah itu kerana itu adalah arahan Allah ‎ﷻ. Kita menghadap ‘arah’, bukannya kita menghadap batu itu.

Ayat ini juga adalah sebagai isyarat bahawa Nabi Muhammad ﷺ sudah kena memisahkan diri baginda daripada Bani Israil. Mereka telah diberi peluang untuk mengikut baginda dan masuk Islam serta berjuang bersama-sama baginda dalam menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Tetapi mereka tidak mengambil peluang itu. Sebelum ini ada persamaan antara Bani Israil dan orang Islam kerana mereka menghadap kiblat yang sama (BaitulMaqdis). Tetapi apabila ditukar nanti, bermakna telah ada pemisahan antara mereka dan kita.

Allah ‎ﷻ suruh ubah kiblat ke Mekah kerana ia adalah kiblat asal Nabi Ibrahim عليه السلام. Dan Mekah pula memang pusat dunia. Oleh itu, ia amat sesuai menjadi kiblat sepanjang zaman.

سَيَقولُ السُّفَهاءُ مِنَ النّاسِ ما وَلّاهُم عَن قِبلَتِهِمُ الَّتي كانوا عَلَيها ۚ قُل لِلَّهِ المَشرِقُ وَالمَغرِبُ ۚ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِراطٍ مُستَقيمٍ

Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”.

سَيَقُولُ السُّفَهَاءُ مِنَ النَّاسِ

Akan berkata orang-orang yang bodoh daripada kalangan manusia;

Ayat ini turun sebelum ditukarkan lagi kiblat itu. Sebab itu dikatakan ‘akan berkata’ orang-orang yang bodoh. Sebelum mereka cakap lagi Allah ‎ﷻ sudah beritahu apa yang mereka akan kata. Orang-orang bodoh yang berkata begitu adalah orang Yahudi dan orang Munafik yang berada di Madinah semasa itu.

Akan berkata golongan bodoh daripada golongan Yahudi, Munafik dan Musyrikin. Allah ‎ﷻ panggil mereka golongan ‘yang bodoh’. Ini kerana mereka berkata itu dalam nada mengejek: “Kenapa tukar-tukar?” Mereka kata Islam adalah agama yang tidak tetap. “Agama apa ini, boleh tukar-tukar pula?” Begitulah lebih kurang kata-kata mereka.

مَا وَلَّاهُمْ عَنْ قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا

“Apakah yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat mereka yang dulu hadap?”

Dulu Nabi ﷺ menghadap kiblat di Baitulmaqdis dalam salat, tetapi selepas itu Nabi ﷺ diperintahkan Allah ‎ﷻ untuk menghadap ke Mekah. Jadi, orang-orang yang bodoh mengatakan kenapakah Nabi ﷺ dan sahabat-sahabat berpindah kiblat?

Kiblat BaitulMaqdis juga adalah kiblat Yahudi. Selepas Nabi ﷺ dan para sahabat berpindah ke Madinah, kiblat dalam salat waktu itu adalah ke BaitulMaqdis selama 16 atau 17 bulan sebelum ditukar ke Mekah. Sepanjang waktu itu, Nabi ﷺ sentiasa berharap supaya kiblat ditukar ke Mekah.

Apabila kiblat diubah dari kiblat yang digunakan juga oleh puak Yahudi, itu menunjukkan status mereka akan dijatuhkan daripada menjadi umat pilihan. Sebelum ini, mereka adalah umat pilihan, namun tidak lagi. Ini kerana mereka tidak mengambil peluang yang ada untuk menerima Nabi Muhammad ﷺ.

Baitul Maqdis adalah ibu negara kepada Bani Israil. Ibu negara adalah sesuatu yang amat penting kepada sesuatu tamadun. Mereka bangga apabila orang Islam juga menghadap kepada kiblat mereka. Tetapi apabila kiblat itu diubah nanti, mereka akan marah. Sepatutnya, kalau difikirkan, mereka tidak patut rasa apa-apa, sebab kepada mereka, kita adalah agama yang sesat juga, tetapi yang jelas mereka akan marah.

Ini adalah kerana mereka sebenarnya tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul yang benar, cuma mereka tidak mahu terima sahaja kerana degil. Mereka jadi marah kerana apabila Nabi ﷺ berpindah kepada menghadap Kaabah, yang juga bermakna umat Islam waktu itu membelakangi Masjidil Aqsa kerana perubahan kiblat itu adalah 180%.

Nabi-Nabi dalam kalangan Yahudi memang menghadap ke BaitulMaqdis dalam ibadat mereka, ini tidak dinafikan. Maka oleh itu, mereka kata kalau Islam ini agama yang benar, mestinya umat Islam menghadap ke Baitul Maqdis jugalah sepertimana Nabi-nabi terdahulu. Namun tidak begitu kehendak Allah ‎ﷻ.

Ayat ini masih lagi terpakai kerana memang sampai sekarang ada lagi yang mempersoalkan kenapa kiblat ditukar. Contohnya di universiti-universiti ada lagi Professor-professor yang kata patutnya Islam tidak menukar kiblat. Patutnya pakai sahaja kiblat ke Jurusalem.

Atas pertanyaan dan ejekan mereka ini, Allah ‎ﷻ jawab dengan dua cara. Satu tegas dan satu dengan penuh kesempurnaan.

قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

Katakanlah: milik Allahlah timur dan barat;

Allah ‎ﷻ memiliki segala-galanya. Barat Dia punya, timur pun Dia punya, mana-mana arah Dia juga yang punya. Maka terpulang kepada Allah ‎ﷻlah hendak suruh kita menghadap ke mana-mana pun. Semua arah adalah kepunyaan-Nya. Yang penting adalah arahan itu dan arah ke mana tidak penting. Ini kerana jalan yang lurus adalah dengan mengikut arahan Allah ‎ﷻ bukan arah yang mana. Mereka tidak faham atau buat-buat lupa tentang perkara ini.

Semasa Nabi ﷺ di Mekah, Nabi ﷺ juga menghadap Baitul Maqdis dalam salat baginda. Tetapi semasa di Mekah, Nabi ﷺ boleh lagi berada dalam posisi di mana baginda menghadap Kaabah dan Baitul Maqdis dalam waktu yang sama. Nabi ﷺ menjadikan kedudukan Kaabah dan Baitul Maqdis sejajar supaya baginda boleh hadap kedua-duanya sekali. Tetapi apabila telah berhijrah ke Madinah, Nabi ﷺ dan umat Islam lain tidak boleh lagi buat begitu. Nabi ﷺ bersedih disebabkan perkara itu kerana Nabi ﷺ amat sayangkan Kaabah kerana ia ada kaitan dengan Nabi Ibrahim عليه السلام.

Waktu ayat ini diturunkan, Mekah dan Kaabah masih lagi dalam jajahan takluk Musyrikin Mekah. Di situ masih banyak lagi berhala sembahan mereka. Apabila Allah ‎ﷻ berkata bahawa kiblat akan dipindahkan ke situ, itu sebenarnya telah memberi isyarat bahawa orang Islam akan menakluki Mekah. Ini kerana tidak mungkin Allah ‎ﷻ hendak membiarkan umat Islam terus salat menghadap ke arah Kaabah yang banyak berhala padanya?

Para sahabat tidak pernah melupakan Mekah dan Kaabah walaupun mereka telah berada di Madinah dan telah membina negara Islam di situ. Dari mula lagi mereka sudah tahu bahawa mereka akan kembali juga ke Mekah.

يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

Allah boleh pimpin kepada sesiapa yang Dia kehendaki

Allah ‎ﷻ boleh pilih dan bawa sesiapa sahaja ke arah kebenaran. Kerana itu kita katakan hidayah itu milik Allah ‎ﷻ. Dan Allah ‎ﷻ akan beri hidayah kepada mereka yang mahukan kebenaran, iaitu mereka yang ada sifat inabah dalam hatinya. Mereka sendiri mahu kepada kebenaran

إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

kepada jalan menuju kepada jalan yang lurus;

Iaitu jalan menuju kepada Allah ‎ﷻ. Iaitu jalan Al-Qur’an dan Sunnah. Jalan untuk mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Iaitu jalan yang ikut kepada perintah Allah ‎ﷻ. Maka kenalah kita minta jalan yang lurus ini daripada Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-143:

وَكَذٰلِكَ جَعَلۡنٰكُمۡ اُمَّةً وَّسَطًا لِّتَکُوۡنُوۡا شُهَدَآءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُوۡنَ الرَّسُوۡلُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيۡدًا ؕوَما جَعَلنَا القِبلَةَ الَّتي كُنتَ عَلَيها إِلّا لِنَعلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلىٰ عَقِبَيهِ ۚ وَإِن كانَت لَكَبيرَةً إِلّا عَلَى الَّذينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَما كانَ اللَّهُ لِيُضيعَ إيمانَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنّاسِ لَرَءوفٌ رَحيمٌ

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang (yang beriman).

وَكَذَٰلِكَ

Dengan kesempurnaan inilah,

Ini adalah jawapan ‘penuh kesempurnaan’. Lafaz كَذَٰلِكَ asalnya bermaksud perbandingan antara satu perkara dengan perkara yang lain, tetapi dalam ayat ini, ia bukan bandingan sebab tidak ada bandingan untuk dibandingkan.

Kalau kita hendak pakai juga maksud ‘perbandingan’, akan susah untuk tafsir. Maka kita kena ambil ia bermaksud ‘kesempurnaan’. Untuk mencapai kesempurnaan, [ayat seterusnya]

جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا

Kami jadikan kamu sebagai ‘umat pertengahan’;

Dan kesempurnaan inilah, Kami jadikan kamu umat terbaik. Lafaz وَسَطًا maksudnya ‘yang terbaik’. Umat Islam adalah umat terbaik dari dahulu sampai sekarang; Mereka terpilih kerana mereka mengikut arahan Allah ‎ﷻ. Walaupun sebenarnya hati mereka mungkin tidak suka kerana mereka hendak menghadap ke Kaabah.

Banyak pentafsiran tentang makna perkataan أُمَّةً وَسَطًا (umat pertengahan) ini. Pertengahan apakah yang dimaksudkan? Umat Islam adalah duduk di tengah-tengah antara perkara yang terlampau – “between two extremes”. Antara kepentingan peribadi dan masyarakat. Kita tidak terlalu melebihkan diri sendiri sehingga melupakan masyarakat dan tidak juga melebihkan masyarakat sampai melupakan kepentingan diri sendiri.

Kerana itulah ada ibadat dalam Islam yang melibatkan peribadi (seperti salat sunat bersendirian) dan masyarakat (seperti salat berjemaah). Dan ada ibadat yang menggabungkan kedua-duanya seperti ibadat haji – ia adalah ibadat persendirian tetapi dilakukan beramai-ramai. Kita hidup bermasyarakat, jadi tidak boleh kepentingan peribadi kita sampai menyakiti orang lain.

Begitu juga kita adalah umat pertengahan antara intelektual dan spiritual. Kita tidak berlebihan antara keduanya. Tidak terlalu mementingkan intelektual dan tidak terlalu mementingkan spiritual – kita seimbang antara keduanya. Itu adalah kesilapan Ahli Kitab terdahulu. Bangsa Yahudi terlalu mementingkan intelektual. Mereka adalah umat yang berilmu – tetapi mereka pandai sangat (terlebih pandai) sampaikan mereka hendak mengubah kitab mereka sendiri dengan sangkaan ia adalah lebih relevan dengan keperluan semasa.

Dan Kristian pula terlalu melebihkan elemen spiritual sampaikan mereka meninggalkan ilmu – mereka buat ibadat tanpa ilmu. Mereka tidak menerima elemen sains contohnya. Mereka terima bulat-bulat penipuan-penipuan yang dilakukan oleh ahli-ahli agama mereka.

Di sebalik dua agama yang telah sesat itu, adanya Al-Qur’an yang mengandungi kedua-dua elemen ini – intelektual dan spiritual. Oleh itu, jikalau kita hendak menjadi umat pertengahan seperti yang disebut dalam ayat ini, maka kita hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita dapat memahami apakah yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an iaitu daripada Allah ‎ﷻ sendiri.

‘Pertengahan’ juga bermaksud antara pengetahuan dan perbuatan. Jangan kita tahu ilmu sahaja, tetapi kita tidak buat. Begitu juga, jangan kita buat amalan tanpa mengetahui apakah ilmu di sebaliknya dan hukumnya. Begitulah indahnya Islam ini.

لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ

Supaya kamu akan menjadi saksi (di akhirat nanti), ke atas manusia;

Supaya umat Islam semua menjadi saksi kepada seluruh manusia di akhirat nanti bahawa para Nabi sepanjang zaman telah menyampaikan ajaran agama kepada umat mereka.

Di akhirat nanti, apabila ditanya kepada umat terdahulu adakah Nabi mereka telah menyampaikan dakwah kepada mereka, puak yang derhaka dalam kalangan mereka masih juga mahu berbohong. Mereka akan kata tidak ada Nabi yang sampai kepada mereka.

Maka, Nabi-Nabi akan ditanya sama ada mereka telah menyampaikan. Mereka akan jawab yang para Nabi itu semua memang telah sampaikan, cuma umat mereka itu sahaja yang degil tidak mahu menerima. Kemudian akan ditanya kembali kepada umat mereka. Umat yang degil akan jawab balik yang Nabi itu telah bohong. Nabi-Nabi itu akan jawab yang dalil mereka adalah umat Nabi Muhammad ﷺ, iaitu umat akhir zaman.

Kaum dia akan kata, bagaimana umat Nabi Muhammad ﷺ boleh menjadi saksi kerana umat Nabi Muhammad ﷺ tidak ada masa itu? Maka umat Islam akan jawab yang mereka boleh jadi saksi kerana mereka telah diberitahu dalam Al-Qur’an dan mereka telah belajar isi kandung Al-Qur’an itu. Dan mereka akan kata, dalam Al-Qur’an telah disebut bagaimana semua Nabi sudah sampaikan ajaran agama kepada umat mereka. Kemudian Nabi Muhammad ﷺ kata benarlah saksi itu.

Orang Islam juga akan menjadi saksi kepada Nabi Muhammad ﷺ bahawa baginda telah menyampaikan segala ajaran baginda kerana baginda juga termasuk dalam lingkungan para Nabi. Kita boleh berkata begitu dengan yakin kerana ajaran baginda telah sampai kepada kita. Apabila ditanya adakah telah disampaikan ajaran Nabi Muhammad ﷺ, kita akan jawab “Ya, sudah sampai”. Kerana ada manusia yang akan kata tidak sampai kepada mereka. Tetapi kita akan jawab, bagaimana tidak sampai, sedangkan kita telah dapat ajaran itu.

Oleh itu, apakah jawapan pengikut-pengikut Tarekat dan Sufi yang memegang pendapat bahawa ada ajaran-ajaran tertentu dan kononnya yang khas yang mereka kata Nabi ﷺ hanya sampaikan kepada sahabat-sahabat tertentu sahaja? Apabila mereka berkata begitu, mereka sebenarnya menuduh Nabi Muhammad ﷺ tidak sampaikan semua ajaran kepada manusia. Itu adalah satu dakwaan yang teramat jahat kepada Nabi ﷺ.

Kita juga akan menjadi saksi kepada orang-orang yang di sekeliling kita. Ini kerana kita kenal belaka siapa yang tidak ikut setelah kita beri dakwah kepada mereka. Kita akan jadi saksi di hadapan Allah ‎ﷻ nanti. Bahawa kita sudah sampaikan kepada mereka tetapi mereka yang tidak mahu juga ikut. Namun kita kenalah jadi orang yang mengikut sunnah terlebih dahulu dan dakwah kepada mereka. Kalau kita pun tidak dakwah kepada mereka, bagaimana pula kita hendak menjadi saksi?

Begitu juga, kita adalah sebagai ikutan kepada semua manusia. Semua manusia sepatutnya menjadikan kita sebagai contoh ikutan mereka. Namun malangnya, umat Islam kebanyakannya teruk sangat akhlaknya sampaikan tidak berselera orang-orang bukan Islam untuk mengikuti kita. Mereka akan kata: “Kalau Islam itu baik, tentulah penganutnya pun orang yang baik-baik juga”. Jadi, kita sebenarnya telah memburukkan nama agama Islam dengan akhlak kita yang buruk. Ini amat memalukan sekali.

Cara pengamalan agama kita pun tidak betul. Bayangkan ada yang mengaku sebagai Muslim tetapi mencederakan diri mereka sampai berdarah kononnya untuk memohon pengampunan seperti yang dilakukan oleh Syiah; bayangkan ada orang yang berzikir terlompat-lompat, terkinja-kinja seperti kera! Apa agaknya pandangan orang bukan Islam melihat perbuatan mengarut itu?

Bayangkan juga ada orang Islam yang mengambil rasuah terang-terangan, ada yang kerjanya menipu setiap hari, ada yang selamba sahaja menyakitkan orang lain dan sebagainya lagi; bayangkan seorang yang nampak alim tetapi berlaku zalim terhadap ahli keluarganya sendiri? Orang Islam yang mengutuk sana dan sini, mengadu domba? Semua ini memalukan nama Islam.

Masalahnya, jikalau kita tidak boleh menjadi ikutan kepada orang lain, maka orang-orang bukan Islam itu boleh menjadikan kita sebagai alasan kenapa mereka tidak mahu memasuki Islam. Mereka akan berhujah di hadapan Allah ‎ﷻ nanti bahawa mereka tidak nampak keindahan Islam disebabkan oleh akhlak buruk penganut Islam.

Namun begitu, alhamdulillah masih ramai lagi yang masuk Islam walaupun mereka telah lihat perangai buruk penganut Islam. Itu adalah kerana mereka telah mengkaji Islam yang sebenarnya dan hasilnya mereka dapat memahami bahawa yang teruk bukannya Islam, tetapi ‘orang Muslim’. Mereka yang tetap juga masuk Islam itu adalah orang-orang yang Allah ‎ﷻ telah berikan hidayah kepada mereka. Ada yang berkata: “Nasib baik saya kenal Islam sebelum saya kenal orang Muslim.”

Dan dalam masa yang sama, memang ada orang-orang mukmin yang telah menjadi sebab kepada orang bukan Islam untuk melihat keindahan Islam. Daripada orang-orang mukmin yang berperangai mulia itulah orang bukan Islam dapat melihat keindahan Islam. Bukan semua orang-orang Islam itu teruk. Soalannya, adakah kita hendak menjadi antara mereka yang teruk atau antara mereka yang mukmin?

وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Dan Rasul (Nabi Muhammad) itu menjadi saksi keatas kamu;

Nabi Muhammad ﷺ sendiri akan menjadi saksi ke atas kamu betapa benarnya penyaksian kamu itu. Sebelum ini telah disebut bagaimana umat Islam akan menjadi saksi bahawa para Nabi telah menyampaikan ajaran dakwah kepada umat mereka. Kemudian Nabi Muhammad ﷺ pula akan menjadi saksi bahawa benarlah penyaksian kita itu.

Nabi Muhammad ﷺ juga akan menjadi saksi ke atas orang yang beriman iaitu mereka yang mengamalkan sunnah dan menyebar ugama. Tentulah kita suka kalau Nabi Muhammad ﷺ sendiri menjadi saksi ke atas kita di Mahsyar nanti. Baginda akan menjadi saksi mengatakan yang kita telah mengikut sunnah. Bayangkan besarnya nikmat kalau begitu. Kita akan senyap sahaja nanti di Mahsyar, Nabi ﷺ yang menjadi saksi ke atas kita.

Guru kita pula akan menjadi saksi ke atas kita, gurunya menjadi saksi ke atasnya pula, sampailah kepada sahabat dan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Itulah yang dipanggil sanad. Maka, kenalah kita sebar ugama supaya ada orang yang menjadi saksi kepada kita nanti.

Ia bukan satu kerja yang senang. Hendak suruh manusia jangan bersanding pun sudah susah. Jangan kata hendak larang, tidak pergi pun sudah susah – takut macam-macam orang kata kalau kita tidak pergi. Padahal bersanding itu adalah amalan agama Hindu. Kita tahu bahawa Hindu mengamalkan syirik. Kerusi bersanding itulah yang menjadi simbolik kepada pemujaan yang dilakukan oleh penganut Hindu, iaitu perlambangan perkahwinan Sri Rama dan Sita Devi.

Ditambah pula lagi dengan ‘suap semangat’ dan renjis merenjis – itu adalah cara pemujaan agama mereka dan itu adalah perbuatan kufur kepada Allah ‎ﷻ. Manakala makanan yang digunakan sebagai pemujaan itu haram dimakan. Amalan itu adalah tinggalan daripada agama Hindu nenek moyang kita dahulu. Sebab mereka dahulu sebelum masuk Islam, beragama Hindu. Banyak yang mengamalkan amalan peninggalan agama Hindu lagi kerana sayang kepada perbuatan itu. Sampai tidak boleh hendak tinggal. Kalau ada yang larang, mereka pula yang kena marah.

Maka, kita yang hendak mengamalkan sunnah ini pula yang susah hati bila menegur. Kalau kita tegur, ramai yang akan marah. Alasan yang diberi adalah “tidak sayangkan adat”. Padahal adat itu bercanggah dengan agama Islam. Kalau adat itu tidak bercanggah, kita pun tidak tegur.

Satu lagi, Nabi ﷺ akan menjadi saksi ke’atas’ kita, bukan ‘untuk’ kita. Ini kalau kita buat amalan yang salah – amalan bid’ah dan amalan syirik, Nabi ﷺ akan dipanggil nanti dan Nabi ﷺ akan ditanya sama ada baginda telah mengajar manusia untuk berbuat amalan yang salah itu. Waktu itu, Nabi ﷺ akan berkata itu tidak benar, baginda tidak pernah ajar amalan itu dan baginda tidak dapat menolong kita.

Ada dalam satu riwayat, pernah Nabi ﷺ suruh sahabat membacakan Al-Qur’an kepada baginda. Apabila sampai kepada ayat di mana baginda akan menjadi saksi ke atas umatnya, baginda suruh sahabat itu berhenti membaca dan baginda tidak tahan dan terus menangis kerana baginda tahu bahawa baginda akan dipanggil menjadi saksi ke atas umatnya (mengatakan kita tidak mengikut ajarannya). Kita sangka Nabi ﷺ akan menolong kita, namun sebaliknya. Jadi ini amat menakutkan. Adakah kita benar-benar telah mengamalkan sunnahnya?

Oleh itu, jangan kita tersilap sangka seperti puak-puak ahli Kitab. Mereka sangka Nabi-nabi mereka akan menolong mereka, tetapi tidak. Kalau apa yang mereka amalkan itu salah, Nabi-nabi itu tidak akan dapat menolong pengikut-pengikut mereka. Kerana sebenarnya, mereka tidak mengikut pun ajaran Nabi-nabi mereka itu tetapi mereka reka amalan yang baru.

Begitu jugalah dengan masyarakat kita dengan bermacam-macam amalan bid’ah yang mereka amalkan. Bagaimana mereka boleh sangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan menolong mereka, bagi syafaat kepada mereka padahal amalan yang mereka lakukan itu tidak pernah Nabi ﷺ ajar?

Jangan kita sangka yang kalau kita beragama Islam sahaja, kita akan selamat, Nabi ﷺ akan bantu kita, tidak sama sekali. Bayangkan, Nabi Muhammad ﷺ pernah berkata kepada anaknya, Fatimah رضي الله عنها – kalau Fatimah رضي الله عنها melakukan kesalahan, baginda pun tidak dapat menolong. Kalau anaknya sendiri baginda tidak dapat tolong, bagaimana baginda boleh hendak menolong kita?

وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا

Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang kamu dulu menghadap kepadanya itu

Ini adalah jawapan kedua tentang kenapa kiblat mengalami pertukaran. Dahulu kamu mengahdap Kiblat di Mekah semasa di Mekah. Kemudian telah ditukar ke Baitul Maqdis apabila telah berhijrah ke Madinah.

إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ

melainkan supaya Kami dapat tahu siapa yang ikut Rasul;

Allah ‎ﷻ membuat penukaran kepada kiblat itu kerana hendak membezakan antara hamba-Nya: Mana yang ikut Nabi ﷺ semata-mata atau hanya mengikut baginda kerana Nabi ﷺ salat sama dengan kiblat mereka. Kalau mereka sudah tidak lagi ikut kiblat baru itu, bermaksud dahulu dia ikut Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ mengikut dia sahaja. Dan apabila Nabi ﷺ sudah tidak sama dengan kiblat mereka, mereka sudah tidak ikut. Maknanya, hidayat yang tidak sempurna.

Allah ‎ﷻ tidak jahil, cuma Allah ‎ﷻ hendak bezakan. Bukanlah Allah ‎ﷻ tidak tahu iman hamba-Nya sampaikan Dia hendak kena buat sesuatu untuk memastikannya pula – kalau ada yang kata begini, itu adalah salah sama sekali. Allah ‎ﷻ Maha Tahu hati hamba-hamba-Nya. Allah ‎ﷻ hendak menzahirkan iman mereka yang sebenarnya kepada orang Mukmin.

Ia adalah ujian Allah ‎ﷻ kepada sahabat untuk memperlihatkan siapakah yang taat. Yang sanggup mengikut Nabi ﷺ tanpa banyak soal. Waktu penukaran itu, banyak umat Islam yang telah goyah agama mereka. Ada yang kata adakah Allah ‎ﷻ telah salah beri alamat semasa suruh ikut kiblat yang dahulu? Dan berbagai-bagai lagi isu-isu yang timbul.

Ada yang waktu itu mereka baru masuk Islam dari agama lain. Dan penukaran kiblat itu menyebabkan mereka sangsi kepada Islam kerana nampak Islam macam tidak tetap pendirian – ini adalah kerana mereka masih jahil lagi dan tidak faham agama Islam lagi. Allah ‎ﷻ hendak melihat siapakah yang mahu ikut arahan tanpa soal.

مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ

dan siapa yang berpaling ke belakang;

mereka yang tidak ikut Nabi ﷺ, iaitu golongan munafik dan juga golongan Yahudi. Ada yang kembali kepada agama asal, iaitu kufur. Mereka meninggalkan agama Islam kerana mereka salah faham dan mereka sendiri yang tidak tetap pendirian untuk ikut apa yang Allah ‎ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ sampaikan.

Allah ‎ﷻ hendak menguji manusia tentang arahan kiblat ini. Sama ada mereka tetap patuh arahan Allah ‎ﷻ atau tidak. Jadi ada dua golongan yang diuji waktu itu:

1. Muhajirin yang meninggalkan Mekah ke Madinah waktu itu diuji kerana membelakangi Kaabah dan Mekah. Apabila mereka di Madinah mereka kena salat mengadap ke Jurusalem dan membelakangi Mekah. Tentu berat bagi mereka.

2. Golongan Ansar diuji apabila arahan mengadap ke Kaabah. Mereka lebih rapat dengan Jurusalem kerana mereka sudah lama duduk dengan Yahudi dan kiblat Yahudi adalah ke Jurusalem.

Allah ‎ﷻ hendak lihat siapakah yang taat kepada kepada arahan-Nya. Tempat menghadap itu tidak lebih penting daripada arahan Allah ‎ﷻ. Kita kena taat kepada Allah ‎ﷻ. Kalau dalam salat kita disuruh menghadap ke banyak arah pun kita kena buat. Katakanlah waktu berdiri Allah ‎ﷻ suruh menghadap satu arah dan bila rukuk kena menghadap lain arah, sujud arah lain pula. Kalau itu yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat, kita tetap kena ikut.

Apakah pula ujian bagi kita yang tidak hidup pada zaman itu? Kita pun diuji untuk terima arah kiblat ini. Janganlah hendak pening kepala fikir kenapa ke Kaabah? Adakah kita sujud kepada Hajarul Aswad pula? Ini antara soalan-soalan ujian yang bermain di kepala masyarakat kita sampai sekarang. Memang ditimbulkan oleh agama lain seperti Hindu dan ramai Muslim yang pening juga. Jawapan kenapa menghadap ke Kaabah adalah kerana ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Senang sahaja jawapannya. Kenapa hendak pening menjawab soalan daripada penganut agama yang mereka itu sendiri tidak tentu arah?

Jadi, pengajarannya, kita kena ada semangat yang kuat untuk mengikut ajaran Nabi ﷺ kita. Jangan hiraukan apa orang kata. Kalau hendak ikut semua kata-kata manusia, tidak lalu kita hendak makan nasi, bukan?

Ada orang yang tidak ada masalah untuk salat kalau dia dalam suasana senang dan tenang; tetapi kalau sibuk dengan hal lain, mereka sanggup tinggalkan Salat. Oleh itu, ketahuilah yang salat itu amat penting sekali kerana ia adalah tali hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ. Ini adalah alamat zahir tentang iman seseorang. Kita memang tidak tahu iman dalam hati manusia, tetapi kita boleh kenali dengan zahir mereka.

Asbabun Nuzul petikan ini: Ada sahabat-sahabat yang risau salat mereka semasa menghadap ke Baitul Maqdis dulu tidak sah. Ada orang Yahudi yang mengacau umat Islam dengan mengatakan kalau kiblat sudah ditukar, bermakna ibadat salat mereka semasa menghadap ke Baitul Maqdis itu tidak dikira. Maka kelam kabutlah para sahabat sekalian kerana entah berapa lama mereka salat menghadap Baitul Maqdis.

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ

Dan tidaklah Allah Taala akan menyia-yiakan ‘iman’ kamu;

Allah ‎ﷻ tidak akan menyia-nyiakan ibadat-ibadat soleh yang sahabat-sahabat Nabi ﷺ lakukan semasa mereka menghadap ke Baitul Maqdis. Tidaklah sia-sia amalan mereka dahulu – mereka masih dapat pahala juga daripada amalan mereka dahulu.

‘Iman’ yang dimaksudkan itu adalah ‘salat’ mereka. Ini menunjukkan kebesaran ibadat Salat. Ia hampir setaraf dengan iman sampaikan Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘iman’ untuk ‘salat’ dalam ayat ini. Begitu pentingnya salat, sehinggakan ia boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai kekuatan iman seseorang. Ini boleh dilihat sama ada dia akan terus salat ataupun tidak apabila timbul kesusahan.

Dalam konteks yang lebih luas, ini adalah ujian untuk taat kepada arahan Allah ‎ﷻ dalam segala hal. Apabila kita tahu sesuatu hukum yang ada dalam nas agama, adakah kita akan ikut? Kita pun tahu, kalau ada dalil, kenalah ikut. Jangan lagi hendak berhujah: “Amalan ini dah lama buat, ustaz itu ajar, tok nenek kita dah amalkan dan takkan mereka salah, adakah mereka masuk neraka….” dan macam-macam lagi persoalan.

Jangan semakkan fikiran kita. Arahan Allah ‎ﷻ lebih penting daripada terus memikirkan kata-kata orang lain. Kita mesti pentingkan arahan Allah ‎ﷻ, bukannya kata-kata manusia yang pelbagai. Kita sendiri tahu, yang selalu buat bising itu tidak belajar agama pun, jadi kenapa kita hendak hiraukan pendapat mereka? Mereka yang kena ikut kita yang belajar ini, bukan sebaliknya.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa ia diterima kerana semasa mereka menghadap ke Baitul Maqdis itu, mereka lakukan kerana iman mereka. Waktu itu mereka mengikut arahan Allah ‎ﷻ dan Nabi mereka. Mereka taat kepada Allah ‎ﷻ dan tidak mungkin Allah ‎ﷻ akan mensia-siakan ketaatan mereka itu? Seperti kita telah sebutkan, arah itu tidak penting, yang lebih penting adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Dahulu Allah ‎ﷻ suruh menghadap ke Baitul Maqdis, sekarang ke Kaabah pula. Kalau Allah ‎ﷻ suruh tukar pula, kita tetap akan ikut (tidaklah ada penukaran lagi kerana tiada lagi Nabi yang menerima wahyu).

إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ

melainkan ke atas orang-orang yang mendapat hidayat Allah sahaja;

Kalau Allah ‎ﷻ beri hidayah kepada mereka, mereka akan berasa ringan sedikit untuk mengikut sunnah. Walaupun memang berat (tidak dinafikan) tetapi dimudahkan sedikit. Ini kerana mereka hanya takut kepada Allah ‎ﷻ dan bukan kepada masyarakat sekeliling yang jahil. Semakin tinggi iman dan ilmu kita, semakin mudah untuk kita tidak menghiraukan kata-kata masyarakat sekeliling.

وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً

Dan sesungguhnya yang demikian itu adalah satu perkara yang amat berat untuk dipikul;

Untuk mengikut Allah ‎ﷻ dan Rasul semata-mata adalah susah kerana ramai yang tidak mengikutnya. Contohnya, seperti hendak meninggalkan amalan bersanding semasa majlis kahwin. Atau tidak hadir ke majlis tahlil, atau Maulid Nabi. Ini kerana amalan sesat itu dibuat oleh ramai manusia dalam masyarakat. Jadi kita takut masyarakat tidak dapat menerima kita. Kita takut kepada mereka yang jahil. Ini adalah salah dan mereka yang sebegini adalah lemah iman mereka.

إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ

Sesungguhnya Allah Taala terhadap manusia sangat menyayangi

Bukan Allah ‎ﷻ tidak sedar tentang kepayahan yang diterima oleh umat-Nya yang terpaksa mengharung segala rintangan dan tohmahan. Allah ‎ﷻ sedar, namun itu semua adalah sebagai ujian untuk kita. Kalau ia adalah senang, bukanlah ujian namanya.

Yang diuji adalah orang yang beriman. Yang diuji adalah barang yang berharga. Contohnya, kalau orang beri kita emas atau berlian, tentu kita ingin mengujinya sama ada ia adalah tulen ataupun tidak. Tetapi kalau orang beri kita besi biasa sahaja, adakah kita hendak uji sama ada ia adalah besi ataupun tidak? Tentu tidak, kerana besi tidak berharga mana. Bermakna, yang diuji adalah benda yang bernilai. Maka ingatlah, yang Allah ‎ﷻ uji adalah orang yang beriman. Kalau kita diuji, bermakna Allah ‎ﷻ hendak uji iman kita sebenarnya.

رَحِيمٌ

dan Maha Belas kasihan.

Amat tinggi sifat Raheem Allah ‎ﷻ ke atas kita. Kerana itulah orang Mukmin akan mendapat raheem Allah ‎ﷻ di akhirat kelak. Raheem ini hanya diberikan kepada orang Mukmin sahaja di akhirat (Kalau Rahman, semua makhluk boleh dapat). Maka, semoga kita mendapat Raheem Allah ‎ﷻ kelak, ameen.

Kesimpulan ayat ini: ada kelebihan yang diberikan kepada umat Islam dan dengan kelebihan itu, ada tanggungjawab. Dengan kelebihan yang diberikan ada tanggungjawab yang kita kena tunaikan. Maka kita kena belajar apakah tanggungjawab itu.

Allahu a’lam.